Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perlu rebut peluang

Posted: 17 Aug 2014 12:37 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun hakikatnya tiga acara berpasukan iaitu bola sepak, hoki serta sepak takraw gagal memberi keputusan yang diharapkan sejak kebelakangan ini, namun ketiga-tiga acara itu wajar diberi peluang beraksi di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Bagaimanapun, pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, peluang yang diberikan itu tidak seharusnya disia-siakan begitu saja atau pendek kata mengulangi persembahan hambar mereka pada kejohanan atau temasya sukan sebelum ini.

"Kita tidak boleh menggugurkan sukan ini daripada beraksi di Sukan Asia sebab kalau kita lakukan begitu, ia hanya akan menafikan peluang atlet kita untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Kita juga tidak boleh menghukum persatuan kerana keputusan yang hambar.

Foto

PEMAIN skuad negara perlu kerja keras di Sukan Asia, bulan depan.

"Tapi setiap atlet perlu faham, mereka tidak boleh meraih keputusan yang sama selepas diberi peluang ke Sukan Asia.

"Jadi tanyalah kepada diri sendiri adakah sudah cukup sumbangan yang mereka berikan selama ini kepada negara," katanya semalam.

Hoki menerima kritikan hebat selepas menamatkan saingan di tempat tercorot pada pentas Piala Dunia serta mempamer aksi hambar di Sukan Komanwel yang turut menyaksikan mereka tewas kepada pasukan kerdil, Trinidad & Tobago.

Keputusan itu menyaksikan hoki yang menyasarkan pingat emas Sukan Asia untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik, diletakkan dalam Kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum badan induk itu mempertimbangkan rayuan MHC untuk kembali kepada Kategori A.

Bola sepak serta sepak takraw juga cukup mengecewakan terutama pada temasya Sukan SEA lalu.

Di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, skuad bola sepak negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Indonesia sementara skuad sepak takraw lebih mengecewakan apabila sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.

Namun berbeza dengan bola sepak serta hoki yang diletakkan dalam Kategori B, takraw diletakkan dalam Kategori A.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Terima kasih MOM!

Posted: 17 Aug 2014 12:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas menjadi bahan pertikaian akhirnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk memberikan Kategori A kepada skuad hoki lelaki ke Sukan Asia Incheon bulan depan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi selepas mendapat reaksi balas daripada ahli jawatankuasa pemilihan badan induk itu mengenai rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Khamis lalu.

"Secara tidak rasmi, hoki akan diberikan Kategori A semula kerana saya mendapat maklum balas majoriti ahli yang menerima permohonan itu. Cuma ada seorang dua yang mahu keputusan itu dikekalkan, tapi saya fikir tiada masalah untuk hoki diberikan Kategori A semula," katanya kepada Arena Metro semalam.

Isu skuad hoki turun taraf dibangkitkan oleh Arena Metro minggu lalu apabila MOM membuat keputusan memberikan Kategori B kepada pasukan kendalian Arul Selvaraj berdasarkan prestasi hambar di Sukan Komanwel Glasgow.

Foto

AKSI skuad kebangsaan (kuning) di Sukan Komanwel.


Bagaimanapun MHC yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu membuat permohonan secara rasmi agar keputusan itu dikaji semula.


Menurut Kok Chi, perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia prosedur biasa dalam menentukan kategori setiap sukan yang bertanding ke temasya sukan besar.

"Sebelum ini, saya juga berpendapat bahawa hoki diletakkan dalam Kategori A, tapi ada pihak yang berpendapat sebaliknya. Dalam membuat keputusan kita menerima pandangan semua pihak jadi saya fikir perkara ini akan selesai.

"Surat penilaian semula sudah dihantar kepada ahli jawatankuasa dan mereka nampaknya bersetuju (hoki diberikan Kategori A). Tapi perkara ini belum rasmi, kami akan mengadakan mesyuarat esok (hari ini)," jelasnya.

Skuad hoki yang mendapat jurulatih baru Arul selepas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah direhatkan sementara berikutan masalah dalaman dan prestasi pasukan bakal menggalas misi memburu pingat emas di Sukan Asia untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Pada edisi empat tahun lalu di Guangzhou, skuad hoki meraih perak selepas tewas kepada Pakistan pada final.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Dugaan Sea Keong

Posted: 17 Aug 2014 12:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Nasib pelumba Giant-Shimano, Loh Sea Keong sepanjang bulan ini boleh diibaratkan sebagai jatuh ditimpa tangga selepas gagal menamatkan perlumbaan di Sukan Komanwel 2014 Glasgow, terbaru dia terbabit pula dengan kemalangan di perlumbaan Vuelta a Burgos.

Jika rayuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ditolak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengambil bahagian dalam acara lebuh raya di Sukan Asia 2014 Incheon ia juga sedikit sebanyak menyentak semangat Sea Keong.

"Memang sangat kecewa kerana bulan Ogos hingga September ini amat penting untuk saya membuktikan sesuatu kepada pasukan dan negara," kata pelumba kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.

Sea Keong yang menjadi pelumba pertama Malaysia beraksi dengan pasukan berstatus ProTeam, mengalami kecederaan retak tulang dada dan dikejarkan ke sebuah hospital di Sepanyol selepas terjatuh di perlumbaan peringkat pertama Vuelta a Burgos Rabu lalu.

"Sudah dua hari saya keluar dari hospital, kerana doktor perlu melakukan pemantauan ke atas saya berikutan kecederaan dialami.

"Saya perlu menerima hakikat segala kejadian yang berlaku terhadap ke atas saya," katanya yang gagal menamatkan perlumbaan di Sukan Komanwel bersama seorang lagi wakil negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Ranking 'penyelamat' takraw

Posted: 17 Aug 2014 12:31 PM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap mempertahankan keputusan mereka memberikan keistimewaan Kategori A kepada pasukan sepak takraw ke Sukan Asia di Incheon bulan depan walaupun keputusan itu mengundang perasaan kurang senang segelintir pihak.

Prestasi hambar pasukan sepak takraw di Myanmar tahun lalu yang hanya menyumbang satu perak dan dua gangsa seakan tidak mengikis kepercayaan MOM kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menanggung perbelanjaan 12 atlet lelaki dan lima wanita ke Sukan Asia kali ini.

Menurut Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi, sepak takraw layak diberikan Kategori A berdasarkan ranking semasa di peringkat Asia.

"Sepak takraw dalam kedudukan terbaik untuk meraih pingat perak atau gangsa kerana jika berdasarkan ranking, mereka selalunya berada di ranking kedua dan ketiga.

Mereka sememangnya layak untuk diletakkan dalam Kategori A," katanya semalam.

Kok Chi berkata demikian sebagai mengulas laporan Arena Metro Sabtu lalu yang membangkitkan ketelusan jawatankuasa pemilihan MOM dalam menentukan kategori setiap sukan yang bertanding ke Sukan Asia.

Bekas penolong setiausaha MOM T Kumar menyuarakan rasa hairan dengan keputusan itu memandangkan hoki yang turut berada dalam ranking yang baik di peringkat Asia serta meraih perak di Sukan Asia Guangzhou diberi layanan Kategori B.

Sepak takraw yang kali terakhir memenangi pingat emas di Sukan Asia Hiroshima pada 1994 tampak tidak konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini di pentas antarabangsa apabila bukan lagi sukar untuk mengalahkan Thailand malah bergelut dengan Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar.

17 pemain sepak takraw akan dibiayai MOM ke Incheon manakala PSM hanya perlu menanggung perbelanjaan tiga lagi pemain wanita apabila diletakkan dalam Kategori B.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Hafizh raih tiga mata di Czech

Posted: 17 Aug 2014 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba sensasi negara Hafizh Syahrin Abdullah sekali lagi mempamerkan aksi konsisten pada saingan Moto2 apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Republik Czech di tempat ke-13 semalam.

Keputusan itu meneruskan aksi cemerlangnya minggu lalu di Indianapolis, Amerika Syarikat apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh sekali gus penamat terbaiknya setakat ini.

Kejayaan semalam menyaksikan pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu berjaya meraih tiga mata sekali gus mengumpul 21 mata selepas 11 pusingan.

"Saya bermula dengan keyakinan tinggi walaupun hanya bermula di barisan ketujuh.

Jentera juga berada pada tahap terbaik.

"Selepas berakhir pusingan pertama, saya berjaya berada di kedudukan ke-17 dan sedar berpeluang untuk memotong beberapa lagi pelumba di depan.

"Akhirnya saya mampu juga memotong beberapa pelumba lagi dengan langkah yang berhati-hati.

"Saya harap dapat meneruskan rentak cemerlang ini pada perlumbaan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Kirthana tak mahu kecundang awal

Posted: 17 Aug 2014 12:30 PM PDT

Nanjing, China: Dengan barisan atlet terhebat dunia beraksi pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) kali kedua, ia tidak mematahkan semangat atlet lompat kijang pelapis negara, R Kirthana untuk berusaha membawa pulang pingat dan mengelak daripada 'bungkus awal'.

Kirthana yang akan memulakan aksi peringkat awal di stadium utama, Pusat Sukan Olimpik Nanjing, Jumaat ini berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran itu dan akan berusaha keras bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir terlebih dulu.

"Jika sudah layak ke suku akhir maka baru ada peluang untuk ke separuh akhir dan seterusnya meraih pingat," katanya semalam.

Pemenang pingat emas dengan catatan lompatan sejauh 13.06m pada Kejohanan Olahraga Kelayakan Asia di Thammasat, Thailand, Mei lalu berkata, dia tidak berani meletakkan sasaran lebih tinggi daripada mara ke suku akhir kerana bimbang tidak mencapai sasaran itu.

"Catatan peribadi terbaik saya 13.06m dan berharap mampu memperbaiki lompatan sama ada 13.08m atau 13.10m Jumaat ini," jelasnya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Aidil kekok

Posted: 17 Aug 2014 12:29 PM PDT

Johor Bahru: Tugas selaku kapten Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan pertama kali beraksi di posisi bek kanan akan digalas sepenuhnya oleh Aidil Zafuan Abd Radzak jika diturunkan menentang Angkatan Tentera Malaysia dalam saingan Kumpulan C di Stadium Larkin, malam esok.

Kelibat pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan itu yang pertama kali diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Johor DT, Bojan Hodak untuk beraksi di posisi itu diakui sendiri Aidil Zafuan betapa dirinya masih kekok.

Namun sebagai pemain profesional apa jua arahan jurulatih harus diterima dan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Apabila diarahkan oleh Bojan (Hodak) beraksi di posisi bek kanan saya memaklumkan kepadanya tidak pernah bermain selaku pemain bek kanan namun saya cuba sedaya walaupun agak sukar dan kekok.

"Ada kesilapan juga, tetapi tidak ketara maklumlah pertama kali beraksi dan saya akan perbaiki segera jika diberi kepercayaan jurulatih untuk beraksi di posisi bek kanan.

"Keberkesanan di posisi itu bergantung juga kepada corak konsisten apabila beraksi dan saya yakin kerjasama daripada rakan sepasukan turut memainkan peranan," katanya.

Menurut Aidil, sama ada dia akan beraksi di posisi itu apabila berdepan ATM selepas Mahali Jasuli masih mengalami kecederaan hanya bergantung kepada keputusan jurulatih dan berjanji akan beri persembahan terbaik.

Beliau menambah pada aksi pertama menentang Kelantan, Rabu lalu, kemampuan untuk menyekat Wan Zaharulnizam Zakaria sememangnya tidak diduga memandangkan pemain itu begitu licik.

"Atas permintaan Bojan dan sebagai pemain profesional kita harus bersedia, malah saya tiada masalah jika kekal bermain di posisi itu.

"Berdepan ATM sememangnya sukar buat Johor DT terutama corak permainan pasukan itu sering berubah dan tidak dinafikan kekuatan pemain sayap kiri dan kanan pasukan itu yang mampu beri ancaman kepada kami.

Apa pun kita akan cuba tambah tiga mata lagi apabila beraksi di laman sendiri," kata Aidil.

Foto

AIDIL (kanan) pertama kali beraksi di pertahanan kanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Hai-O belum hilang sengat

Posted: 17 Aug 2014 12:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Kemarau jaringan sejak bermulanya kempen Liga Malaysia Januari lalu sudah ditebus kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar apabila pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu menghadiahkan satu gol dalam pertemuan yang menyaksikan The Gladiators sekadar berkongsi satu mata dengan Pulau Pinang pada saingan Piala Malaysia minggu lalu.

Biarpun diletakkan di bahagian pertahanan berbanding posisi kegemarannya di jentera tengah, Hairuddin atau lebih mesra disapa Hai-O masih mampu menjelmakan sentuhan pemusnah ketika ramai pemain utama ATM terpaksa diketepikan akibat kecederaan berpanjangan.

Ketiadaan dua pertahanan kental Amirizwan Taj Tajuddin dan K Reuben yang masih berada dalam senarai kecederaan menuntut pengendali ATM B Sathianathan melakukan perubahan dengan meletakkan kaptennya itu di bahagian bawah bagi digandingkan bersama awang import dari Korea Selatan, Park Yong Ho.

Menurut Sathianathan, pengalaman dimiliki Hai-O amat ditagih ATM ketika bekas naib juara Piala Malaysia 2012 itu menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut pada edisi kali ini.

"Hai-O bagi saya seorang pemain serba lengkap yang boleh bermain di banyak posisi.

Kami amat beruntung kerana memiliki khidmatnya dan kehadirannya dalam pasukan adalah aset paling berharga kami.

"Mengenai jaringan itu, ia adalah jaringan pertamanya musim ini memandangkan dia kerap diturunkan di bahagian pertahanan.

Saya harap dia akan menjaringkan banyak gol lagi buat pasukan terutama menerusi tandukannya.


Dia antara pemain tempatan yang mempunyai tandukan cukup baik," katanya.

ATM akan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim pada perlawanan kedua di Stadium Larkin, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Zainal puji aksi pemain simpanan

Posted: 17 Aug 2014 12:26 PM PDT

Kuantan: Pengendali Tok Gajah Zainal Abidin memuji sumbangan pemain simpanan yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran mereka dengan jayanya pada aksi pembuka tirai Piala Malaysia.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, sebagai contoh, Mohd Fauzi Rozlan atau Kojie yang mengantikan Matias Conti berjaya menjaringkan gol keempat buat pasukan itu pada masa kecederaan.

"Bagi saya, Fauzi adalah seorang pemain yang bagus dan tidak mempersia-siakan peluang yang diberikan dengan mempamerkan komitmen tinggi terhadap pasukan.

"Berkat usahanya kita dapat saksikan dia (Fauzi) menjaringkan gol biar pun baru saja diturunkan serta sumbangan pemain yang banyak membantu memantapkan pasukan," katanya.


Menjelang pertemuan dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar malam esok, Zainal Abidin berkata, tambahan tiga mata menjadi matlamat utama skuadnya.


"Kemenangan berterusan perlu disempurnakan biar pun sedar lawan sudah pasti meraih tiga mata selepas mencatat keputusan seri dengan FELDA United FC.

"Sebagai jurulatih, saya sebolehnya mahu pastikan Pahang layak lebih awal mengesahkan tempat ke suku akhir piala berprestij musim ini.

"Apa yang diharapkan ialah pemain bijak memanfaatkan peluang apabila berada di kawasan lawan untuk memastikan jaringan dapat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

Peluang FELDA curi tiga mata

Posted: 17 Aug 2014 12:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas diikat tanpa jaringan oleh LionsXII dalam aksi pembukaan Kumpulan A minggu lalu, naib juara Liga Perdana musim ini FELDA United berazam menjadikan Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) sebagai mangsa pertama apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Menurut pemain paling berpengaruh Shahrulnizam Mustapha, kelebihan beraksi di tempat sendiri harus digunakan sebaik mungkin oleh rakan sepasukannya buat mencuri tiga mata penuh bagi menjarakkan diri dengan pencabar lain.

"Berdasarkan rekod dalam Liga Perdana sebelum ini, kedua-dua aksi bertemu mereka (Johor DT II) berakhir dengan keputusan seri.

Jadi kami amat mengenali kelemahan dan kelebihan masing-masing" katanya.

"Memandangkan kami akan bermain di laman sendiri, saya harap rakan sepasukan jangan leka dan rebut peluang ini dengan baik aupaya kami boleh muncul sebagai pasukan paling awal layak ke peringkat berikutnya," katanya semalam.

Apabila ditanya mengenai kekuatan skuad dari Harimau Selatan itu, Shahrulnizam atau lebih mesra dipanggil Arul berkata, kelincahan dua pemain sayap kiri dan kanan Johor DT II amat merbahaya dan harus disekat.

"Mereka memiliki dua pemain sayap yang laju disamping tonggak import yang berkualiti.

Apapun, bagi saya jika kami dapat merantai pergerakan di sebelah sayap mereka, saya yakin tiga mata pasti berada dalam genggaman kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment