Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Derita cincin 'gigit' jari

Posted: 07 Aug 2014 12:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 28 tahun menahan kesakitan apabila cincin dipakainya gagal dikeluarkan, semalam.

Usaha mangsa untuk mengeluarkan cincin berkenaan di rumahnya di Selayang, di sini, gagal menyebabkan jari manis tangan kirinya membengkak dan berdarah sebelum dia bergegas ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

Harian Metro difahamkan, pihak pengurusan HS kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mendapatkan bantuan untuk menanggalkan cincin berkenaan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selayang Azman Mahat ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi bergegas ke HS.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha menanggalkan cincin tersekat di tangan mangsa.


"Kami tiba di HS enam minit kemudian sebelum usaha menanggalkan cincin berkenaan mengambil masa sejam.


"Enam anggota terbabit dalam usaha menanggalkan cincin berkenaan kerana cincin dipakai mangsa terlalu tebal selain pihaknya perlu berhati-hati untuk memotong cincin itu bagi mengelakkan kecederaan," katanya.

Menurut Azman, mangsa kemudian diberikan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Padah sebar artikel provokasi

Posted: 07 Aug 2014 12:48 PM PDT

Klang: Gara-gara memuat memuat naik artikel di laman Facebook (FB) mengenai kononnya berlaku kejadian pelajar tahfiz diserang sekumpulan lelaki di Klang, seorang penganggur ditahan polis awal pagi semalam.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sebuah rumah di Kampung Pandan, Ampang, jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki terbabit ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai artikel berbunyi, 'Mlm tadi India Potong 6 Org Melayu (Tabligh) kat Pandamaran Klang balik dari Tahfiz Umur Mangsa 5 tahun sehingga belasan tahun'.

Beliau berkata, susulan laporan diterima mengenai penyebaran artikel berkenaan, polis menubuhkan satu pasukan siasatan untuk mengesan individu terbabit.

Foto

SUSPEK di Mahkamah Majistret Klang, semalam.


"Suspek ditahan kerana kenyataan dimuat naik di FB yang ternyata tidak benar serta dapat menimbulkan suasana tegang antara kaum di daerah ini.


"Dalam serbuan itu juga, polis merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Maut leher tersangkut di tingkap

Posted: 07 Aug 2014 12:45 PM PDT

Kuala Terengganu: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dalam keadaan tergantung selepas lehernya tersangkut pada besi tingkap cermin nako rumahnya di Kampung Losong Feri di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa Nurliana Nabila Mazlan yang berada dalam bilik tidurnya berusaha keluar menerusi tingkap berkenaan selepas mendapati pintu bilik terkunci dari luar dan dalam, jam 3.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik dikatakan bersendirian dalam bilik berkenaan manakala seorang daripada empat abangnya, Mohd Faiz, 18, tidur dalam bilik berasingan dan ibunya, Rohaizan Zain, 42, tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Muzium Negeri, 300 meter dari rumah.

Menurut Mohd Faiz, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu jiran sebelum menendang pintu bilik bagi melihat keadaan yang berlaku.

Katanya, selepas memecahkan pintu bilik berkenaan, dia terkejut melihat adiknya dalam keadaan longlai tergantung pada besi tingkap cermin nako yang tersangkut pada lehernya.

"Ketika itu keadaan adik seperti longlai, langsung tidak bermaya dengan leher tersangkut pada besi tingkap manakala badannya tergantung di luar dinding bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, pintu bilik tidur arwah sudah lama rosak dan akan terkunci dengan sendiri apabila ditutup rapat.

"Saya percaya adik masuk serta menutup rapat pintu berkenaan dan ketika mahu keluar dia tidak dapat membuka pintu lalu mengambil jalan mudah dengan keluar menerusi tingkap cermin.

"Bagaimanapun, sebaik sebahagian badannya sudah berada di luar rumah, arwah dipercayai kepenatan menyebabkan bahagian lehernya tersangkut pada besi tingkap mengakibatkan dia sukar bernafas.

"Saya bersama jiran mengeluarkan adik dari celah tingkap dan keadaannya ketika itu cukup lemah," katanya.

Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka adiknya pergi sekelip mata ketika suasana Aidilfitri masih terasa.

Katanya, adiknya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sangat ceria ketika menyambut Aidilfitri.

Foto

MOHD Faiz menunjukkan tingkap tempat Nurliana (gambar kecil) tersangkut hingga maut.


"Tak sangka tahun ini Aidilfitri terakhir baginya selepas kehilangan ayah, Mazlan Mamat yang meninggal dunia setahun lalu," katanya.


Jiran, Sukri Yusof, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suara meminta pertolongan dari rumah mangsa dan terkejut apabila melihat Mohd Faiz dan beberapa penduduk sedang memangku arwah yang tergantung di luar dinding bilik berkenaan.

"Leher arwah tersangkut pada besi tingkap cermin dan kami berusaha secara perlahan mengeluarkan kepalanya," katanya.

Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari bekerja pada jam 3.30 petang dan arwah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menggunakan ambulans bomba sebelum disahkan meninggal dunia ketika rawatan kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Ismail Mat Hassan mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.14 petang sebelum segera ke tempat kejadian bersama sembilan anggota.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikeluarkan orang awam dan pihaknya memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan ambulans bomba.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital jam 5.30 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Dugaan untuk insan terpilih

Posted: 07 Aug 2014 12:41 PM PDT

Ada yang termanggu kebingungan melihat rumah mereka menyembah bumi. Ada juga yang sibuk mencari saki-baki pakaian dan barangan yang masih boleh dipakai, manakala di satu sudut lain hati saya sebak melihat seorang ibu memeluk erat cebisan baju anak yang gugur syahid.

Itu suasana yang saya lihat selepas dua hari tempoh gencatan senjata selama 72 jam dilaksanakan di Gaza sebelum tempoh berkenaan tamat awal pagi esok.

Jiwa saya juga tersentuh tatkala melihat seorang lelaki cuba mengalihkan batu-bata besar di tapak rumahnya yang ranap sama sekali untuk mencari sesuatu yang mungkin masih boleh digunakan.

Seorang bapa yang saya temui, Ali Mohamed, 51, memberitahu keseluruhan rumahnya 'rata' akibat dibedil tentera rejim Zionis pada hujung bulan lalu.

Foto

PENDUDUK Gaza termenung menyaksikan keruntuhan dan kemusnahan kediaman mereka di bandar Shejaia.


Namun, dalam wajah tenang, Ali mendekati saya dan berbisik biar rumahnya hilang, biar tiada tempat perlindungan, namun yang penting dua anaknya berusian 20-an masih selamat.


"Rumah boleh dibina semula, ada rezeki saya akan membina semula rumah ini untuk teduhan kami sekeluarga. Jika kehilangan anak-anak, ia tiada gantinya. Biarpun anak-anak saya terselamat, saya merasa keperitan jiran dan rakan yang kehilangan orang tersayang.

"Mereka kehilangan ibu, bapa, suami, anak-anak dan saudara-mara. Saya merasa apa yang mereka rasa. Saya juga pernah kehilangan orang tersayang tidak lama dulu," katanya kepada saya sambil duduk melihat runtuhan rumahnya.

Ali yang saya kenali sangat tenang menghadapi dugaan Tuhan, dia juga ada membisikkan kepada saya apa pun yang terjadi, Allah sentiasa bersama orang yang sabar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

'Minta maaf tak dapat pulang kebumi mak'

Posted: 07 Aug 2014 12:38 PM PDT

Dungun: "Jijoe minta maaf banyak-banyak kerana tak dapat pulang untuk sama-sama mengebumikan mak." Itu SMS yang dikirimkan jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang kepada kakak sulungnya Roshamiza, 40, sebaik menerima berita kematian ibu tirinya, Rohani Yahaya, 60, semalam.

Dalam SMS sama, Azizulhasni melahirkan kesedihan kerana sudah lama tidak berjumpa dengan ibu tirinya serta tidak dapat bersama keluarga menyambut Aidilfitri, baru-baru ini apabila terpaksa menggalas cabaran negara dalam Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

"Baru saja kita berbual pasal kesihatan mak malam tadi (kelmarin) dan hari ini (semalam) Allah pula menjemput mak pulang ke rahmatullah.

"Biarpun saya berada jauh, saya berharap semua urusan pengebumian mak berjalan lancar," kata Azizulhasni dalam SMS itu.

Foto

AWANG (dua dari kanan) menyiram air di pusara isteri, semalam.


Bapa Azizulhasni, Awang Embong, 62, berkata, isterinya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih 10 tahun lalu mengadu tidak sihat sebelum dimasukkan ke Hospital Dungun dua hari lalu.


Katanya, pegawai perubatan mendapati arwah menghadapi tekanan darah rendah dan selama dua hari mendapat rawatan di hospital arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 5.25 pagi semalam.

"Arwah kelihatan sangat gembira dan bergurau senda serta bergambar bersama sembilan adik-beradik Azizulhasni pada Aidilfitri lalu serta ceria pada majlis perkahwinan abang Azizulhasni, Hazrul Hafiz, 27, Sabtu lalu," kata Awang

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

No comments:

Post a Comment