Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Letupan gas ragut 24 nyawa

Posted: 01 Aug 2014 03:12 PM PDT

Kaohsiung: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 271 cedera selepas beberapa letupan gas bawah tanah berlaku di bandar raya kedua terbesar Taiwan ini semalam.

Kejadian itu menyebabkan konkrit dan kereta melambung ke udara serta memusnahkan tebing jalan.


Letupan awal pagi semalam itu berlaku di kawasan yang padat penduduk, tempat beberapa kilang petrokimia mengendalikan saliran paip bersebelahan dengan sistem kumbahan di Kaohsiung, bandar pelabuhan di barat daya negara itu.

Antara mangsa ialah anggota bomba yang tiba untuk menyiasat kebocoran gas beberapa jam sebelum letupan yang turut memusnahkan lima kereta bomba.


Daripada 24 yang terbunuh, empat ialah anggota bomba, kata Agensi Kebakaran Kebangsaan.


"Tengah malam semalam, rumah mula bergegar. Saya menyangka ia gempa bumi. Tetapi, apabila membuka pintu, saya melihat kepulan asap dan terbau gas," kata Chen Qing-tao, 38, yang tinggal tidak jauh dari kawasan utama letupan.

Foto

TEBING jalan raya pecah akibat letupan gas di Kaohsiung, semalam.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas propana, bahan petrokimia yang bukan untuk kegunaan awam.


Bagaimanapun, punca dan sumber kebocoran masih tidak diketahui, kata pegawai.

Saluran gas yang meletup itu milik syarikat kerajaan, CPC Corp. Syarikat berkenaan, dalam kenyataannya berkata, ia tidak menunjukkan sebarang masalah sebelum letupan. Rakaman yang disiarkan stesen televisyen TVBS menunjukkan penduduk mencari mangsa di depan deretan kedai sementara anggota penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan.


Perdana Menteri Jiang Yi-huah berkata, lima letupan menggegarkan bandar raya itu.


Kebanyakan yang cedera terdiri daripada mereka yang berada di kawasan berhampiran, selepas terkena serpihan atau dihempap kereta yang melambung akibat letupan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Pak belang baham tangan

Posted: 01 Aug 2014 03:10 PM PDT

Cascavel (Brazil): Seorang kanak-kanak putus sebelah tangan selepas dibaham seekor harimau setelah dia memanjat masuk ke kawasan larangan untuk mengusap haiwan berkenaan.

Saksi berkata, kanak-kanak berusia 11 tahun itu meraung: "Saya akan mati, tangan saya putus" selepas dia dibaham ketika dikatakan cuba menghulurkan daging menerusi kandang itu.


Sementara itu, adik mangsa berusia tiga tahun dipercayai menyaksikan kejadian di zoo di Cascavel itu.

Rakaman video yang dimuat naik melalui laman Liveleak menunjukkan mangsa dipapah melintasi sekatan keselamatan. Bapanya dikatakan membenarkannya memasuki kawasan larangan itu walaupun terdapat tanda amaran.


Guru muzik, Ricardo Espindola yang turut berada di tempat kejadian berusaha membantu bapa mangsa sementara menunggu ambulans tiba.


"Dia memberi makanan kepada harimau itu dan bergurau dengan binatang itu sambil mengusap haiwan itu dengan tangannya," kata Espindola.

Foto

PARAMEDIK merawat mangsa di tempat kejadian sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, selepas melihat harimau itu, Espindola beredar dan kemudian terdengar kanak-kanak itu meraung. "Saya berlari semula ke situ dan melihat bapa mangsa mendukungnya dengan tangan kanak-kanak itu terkulai. Saya segera menelefon ambulans.


"Kanak-kanak berkenaan dalam keadaan terkejut dan merapu dengan meraung yang dia akan mati selepas dibaham," kata Espindola, semalam.

Mangsa dirawat oleh paramedik di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital dan doktor dipercayai terpaksa memotong tangan mangsa. Menurut seorang pekerja, harimau yang diberi nama Hu itu adalah antara haiwan yang paling 'comel' di zoo itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

BRN dah sedia

Posted: 01 Aug 2014 03:08 PM PDT

Bangkok: Kumpulan pemisah selatan Thai, Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersedia untuk menyambung semula rundingan damai sekiranya Bangkok bersungguh-sungguh untuk kembali ke meja rundingan, kata jurucakapnya, semalam.

Menurut jurucakap itu yang enggan dikenali, perwakilan BRN ke dialog keamanan yang diusahakan Malaysia selama ini memerhatikan perkembangan yang berlaku di Thailand, khususnya pengumuman terbaru oleh Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) yang berkata ia mahu menjadikan penyelesaian terhadap masalah di selatan negara itu sebagai keutamaan.


Jurucakap itu, dalam satu kenyataan semalam berkata, BRN bagaimanapun kecewa kerana jawatankuasa yang dibentuk junta tentera Thai baru-baru ini bagi menyelesaikan krisis di selatan negara itu terlalu lembap.

Majlis tentera juga belum menghubungi fasilitator Malaysia mengenai hasrat untuk menyambung semula rundingan.


"Berkait dengan rundingan damai itu, kami sudah bersedia sekiranya Bangkok bersedia. "Dan saya difahamkan Malaysia akan memainkan peranan fasilitator dan masih menanti kenyataan rasmi. Malaysia tidak pernah mempunyai masalah dengan junta tentera Thai," katanya.


Jurucakap itu juga menyangkal mengenai laporan Bangkok Post kelmarin mengenai kononnya BRN merancang kempen keganasan baru.

"Tidak ada rancangan untuk melancarkan keganasan. Apa yang berlaku ialah keadaan sekarang sudah kembali kepada keadaan sebelum rundingan damai bermula. Ia seperti perniagaan yang kembali normal.


"Sayap bersenjata melancarkan serangan seperti masa lalu, tetapi dalam skala lebih kecil," katanya ketika ditemui media. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Korban bot karam meningkat kepada 34 orang

Posted: 01 Aug 2014 03:07 PM PDT

Jakarta: Pasukan penyelamat Indonesia menemui lebih banyak mayat mangsa kejadian bot karam yang berlaku baru-baru ini menjadikan jumlah korban meningkat kepada 34 kematian semalam.

Kejadian yang berlaku di dua sungai berbeza itu menyaksikan bot yang membawa penumpang untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing karam selepas didakwa membawa muatan berlebihan.


Menurut pegawai agensi bencana tempatan, Mujiono, sebanyak 17 mayat lagi ditemui di Sungai Barombang, Sumatera Utara, kawasan bot yang membawa 48 penumpang karam awal kelmarin selepas dikatakan terlanggar tunggul.

Antara yang terkorban termasuk enam kanak-kanak berusia lingkungan 7 bulan hingga 11 tahun.


Mujiono berkata, 28 daripada mangsa diselamatkan manakala tiga lagi masih belum ditemui.


Di Kalimantan Tengah pula, pasukan penyelamat menemui dua lagi mayat di Sungai Kapuas dalam kejadian serupa Selasa lalu yang menyaksikan sebuah feri yang membawa 70 penumpang karam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Hasil perisikan tiga negara bentuk ISIS

Posted: 01 Aug 2014 03:05 PM PDT

Washington: Bekas kakitangan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat, Edward Snowden berkata, Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) adalah kumpulan yang dibentuk hasil kerjasama perisikan tiga negara.

Global Research, pertubuhan penyelidikan bebas yang berpejabat di Kanada memetik Snowden berkata, badan perisikan Britain, Amerika Syarikat dan Israel bekerjasama untuk membentuk sebuah negara khalifah baru yang dinamakan ISIS.


Menurut Snowden, badan perisikan ketiga-tiga negara itu bekerjasama menghasilkan kumpulan berkenaan bagi menarik semua ekstremis di seluruh dunia menerusi cara yang digelar 'sarang lebah.' Dokumen NSA didedah Snowden menunjukkan strategi sarang lebah dilaksanakan untuk melindungi kepentingan Zionis dengan menciptakan slogan agama dana Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Israel cabul gencatan senjata

Posted: 01 Aug 2014 03:05 PM PDT

Gaza: Gencatan senjata selama 72 jam yang dipersetujui musnah beberapa jam selepas dikuatkuasakan semalam apabila Israel membedil bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza dan kawasan sekitarnya, menyebabkan lebih 50 penduduk Palestin terbunuh.

Pegawai kesihatan Gaza Ashraf al-Kidra berkata, kira-kira 200 penduduk juga cedera dalam serangan rambang Israel itu yang dilancarkan kira-kira dua jam selepas gencatan senjata dikuatkuasakan pada jam 8 pagi (1 petang waktu Malaysia) yang diumumkan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Menurutnya, angka kematian mungkin meningkat memandangkan usaha mencari mereka yang tertimbus dalam runtuhan beberapa apartmen yang dibedil tentera Zionis masih dilakukan.

Dia bagaimanapun tidak menyebut sama ada mangsa orang awam atau pejuang.


Israel mula melancarkan keganasannya dengan serangan udara ke atas Gaza 8 Julai lalu sebelum mengerahkan tentera daratnya memasuki wilayah berkenaan, kononnya untuk memusnahkan terowong dan kawasan yang digunakan Hamas untuk melancar roket ke wilayahnya.


Kekejaman Israel sehingga semalam sudah meragut lebih 1,500 nyawa penduduk Palestin, hampir semuanya orang awam sementara lebih 60 Yahudi, hampir semuanya askar, juga mati.

Foto

SEBUAH masjid di Beit Hanun turut menjadi sasaran serangan Israel, semalam.

Sekurang-kurangnya empat gencatan senjata kemanusiaan diumumkan sejak keganasan Israel itu bermula tetapi semuanya bertahan hanya beberapa jam.


Gencatan senjata sementara yang sepatutnya dilaksana semalam adalah yang paling panjang pernah diumumkan setakat ini.

Menurut gencatan senjata itu, tentera darat Israel yang berada di Gaza hanya boleh memusnahkan terowong di kawasan belakang garisan pertahanan mereka tetapi mereka melanggar persetujuan berkenaan, menyebabkan pejuang Hamas bertindak melancarkan serangan ke arah Israel.


Menurut pegawai Kementerian Kesihatan di Gaza, beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, 17 rakyat Palestin termasuk 10 orang daripada keluarga yang sama terbunuh dalam serangan yang dilancarkan tentera Yahudi.


Pegawai itu berkata, keluarga itu terbunuh selepas kediaman mereka di Khan Younis dibedil melalui serangan udara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

Tentera diculik alasan serang Rafah

Posted: 01 Aug 2014 03:04 PM PDT

Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam melancarkan gerakan mencari seorang anggotanya yang mereka khuatir diculik oleh pejuang Palestin ketika gencatan senjata baru dikuatkuasakan semalam.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, dua askar Israel dilapor terbunuh, dipercayai dalam pertempuran sama yang membawa kepada penculikan itu.


"Tanda awal menunjukkan seorang askar diculik oleh Hamas sebaik gencatan senjata bermula," kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner kepada wartawan.

Ketika ditanya sama ada ia bermakna gencatan senjata sudah berakhir, dia menjawab: "Ya. Kami akan meneruskan keganasan di darat." Hamas, kuasa politik dan tentera utama di Gaza tidak mengesah atau menafikan penculikan itu.


Bagaimanapun, dalam satu kenyataan ia berkata, pengumuman Israel mengenai penculikan itu hanya untuk dijadikan alasan bagi mencabuli gencatan senjata dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Rafah, merujuk kepada pengeboman rambang yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa, beberapa jam selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.


Selain itu, pasukan polis juga melaporkan mengenai kereta kebal tentera Yahudi yang melepaskan tembakan di utara dan timur Gaza pada waktu yang sama.

Bunyi berbalas tembakan turut kedengaran membabitkan kumpulan pejuang dengan tentera rejim Zionis.


Dalam pada itu, Briged Izuddin Al-Qassam berjaya memusnahkan sebuah kereta kebal milik tentera Yahudi dengan tembakan peluru berpandu dan turut menyerang pasukan lain yang datang untuk membantu.

Terdahulu, rejim Zionis itu mengesahkan lima lagi askarnya mati selepas terkena tembakan mortar berhampiran sempadan Gaza awal pagi semalam. menjadikan jumlah askarnya yang terbunuh sejak ia mula melancarkan keganasan 8 Julai lalu kepada 61. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/02

No comments:

Post a Comment