Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pesawat terkini

Posted: 23 Aug 2014 03:03 PM PDT

Alor Setar: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkukuhkan Pusat Latihan Terbang (PLTB) 1 di Kepala Batas, di sini, dengan menambah lima pesawat Pilatus PC7 Mk II bagi melahirkan lebih ramai juruterbang berkaliber pada masa depan.

Pertambahan pesawat latihan baru yang dipertingkatkan berkenaan bagi menampung 43 pesawat Pilatus PC7 sedia ada dan dijangka mula digunakan menjelang penghujung 2015.

Panglima Tentera Udara Tan Sri Rodzali Daud berkata, pihaknya menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk menambah lima lagi Pilatus PC7 Mk II sebagai pesawat latihan terkini dan tercanggih bagi melahirkan juruterbang baru.

Menurutnya, lima pesawat baru itu dijangka akan diterima selewat-lewatnya Disember 2015 sebagai penambahan kepada pesawat latihan sedia ada di PLTB1.

Foto

RODZALI (kanan) merasmikan Majlis Ulang Tahun No 1 Flying Training Centre (1FTC) 1964-2014 di Lapangan Terbang Kolej Tentera Udara, Kepala Batas, semalam.


"Kita tiada masalah berkaitan isu pesawat, sebaliknya berdepan kekangan berikutan kawasan latihan terhad di Alor Setar, menyebabkan lebih banyak latihan untuk juruterbang baru dilakukan di sekitar Pulau Langkawi.


"Ini kerana aspek keselamatan adalah faktor penting dalam melatih juruterbang baru kerana PLTB1 yang berjaya melahirkan 1,200 juruterbang, terutama untuk TUDM, turut melatih jurulatih berbanding dihantar ke luar negara sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada sambutan jubli emas sempena ulang tahun ke-50 PLTB1 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, di sini, semalam.

Hadir sama bekas Panglima Tentera Udara Tan Sri Sulaiman Sujak dan bekas Pegawai Memerintah Pertama PLTB1 (1963-1966) John F Woodard.

Pada majlis sama, Woodard turut dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM). Selain itu, turut diadakan ialah pelancaran Buku Jubli Emas PLTB 1 dan pertunjukan udara oleh pesawat pejuang Sukhoi SU30MKM.

Sementara itu, Rodzali berkata, pihaknya juga dalam perancangan menggantikan khidmat helikopter Alouette yang berkhidmat sejak 52 tahun lalu dengan helikopter baru bagi melatih juruterbang.

"Helikopter Alouette kini dalam proses ditukar ganti dengan helikopter baru dalam tempoh terdekat juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Rakyat kehausan

Posted: 23 Aug 2014 02:57 PM PDT

Peperangan tidak menunjukkan tanda untuk terus lenyap, sebaliknya setiap hari pasti ada saja yang menjadi korban tindakan kejam rejim Zionis. Rakyat Gaza masih meneruskan perjuangan, perjuangan untuk terus hidup dan kekal di bumi Gaza biar digasak daripada pelbagai sudut.

Rakyat Gaza kini sangat memerlukan bekalan air bersih selepas bekalan itu menjadi sangat terhad sejak tercetusnya Perang 10 Ramadan, Julai lalu.

Jika beberapa minggu lalu, ada saja kontena atau lori pengangkut air yang mundar-mandir di sekeliling bandar untuk mengagihkan bekalan air, namun nisbah kekerapannya semakin kurang.

Oleh itu, rakyat Gaza memerlukan satu inisiatif berterusan iaitu pembekalan air bersih secara kekal tanpa perlu menunggu lori tangki atau sebagainya.

Bekalan air ini juga penjamin kepada kelangsungan hidup anak Gaza.

Saya menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) From Gaza With Love bersama-sama Yayasan Amal Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) meneruskan usaha pembekalan air bersih kepada rakyat Gaza menerusi penyediaan 2,000 liter tong air yang diisi dua kali sehari.

Untuk projek ini, kami memberi fokus kepada dua lokasi iaitu kawasan Shaaf dan Shijaiyyah untuk menyediakan bekalan air bersih selepas lokasi itu dibedil rejim Zionis beberapa minggu lalu.

Selepas nisbah serangan rejim Zionis berkurang sejak seminggu lalu, penduduk di dua kawasan ini mula pulang ke rumah mereka dan melihat sisa runtuhan.

Foto

TANGKI air sumbangan Malaysia yang dibekalkan untuk bekalan air bersih di Gaza.


Mereka sangat memerlukan air untuk kekal bertahan memandangkan kaedah pengangkutan tong air tidak efektif serta terdedah dengan serangan.

Susulan itu juga, kami mengambil inisiatif menyediakan tong air bersih kepada penduduk di dua kawasan itu yang membabitkan 30 keluarga.


Biarpun kuantiti air itu tidak banyak, namun cukup untuk memberi keselesaan kepada penduduk sekitarnya.

Sehingga kini, kami menyediakan 25 tong air hasil sumbagan ketiga-tiga badan amal berkenaan.

Berkat sumbangan daripada semua pihak, saya berharap inisiatif ini meringankan beban penderitaan rakyat Gaza.

Sebenarnya, pembekalan tong air itu juga tidak begitu efektif, namun ia cukup untuk menampung keperluan harian rakyat di dua kawasan itu dalam membekalkan air bersih untuk kegunaan minuman atau sebagainya.

Sejak menjadi penghuni bumi Gaza lebih setahun lalu, masalah air sememangnya sebati untuk penduduk di sini, jika dalam keadaan aman pun ada masalah, apatah lagi jika berlakunya perang.

Sistem pengairan di Gaza tidak sebegitu baik, tidak seperti di kawasan lain.

Jika di Malaysia, hampir 99 peratus rakyat negara dapat merasai kemudahan bekalan air, namun tidak bagi rakyat Gaza.

Segala-galanya payah dan sukar.

Bagaimanapun, saya berharap awan mendung di bumi Gaza akan berlalu dan mengembalikan sinarannya.

Segala amal bakti di bumi ini adalah untuk melihat anak kecil Gaza kembali tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Lancar tabung bina semula UIG

Posted: 23 Aug 2014 02:52 PM PDT

Bukit Mertajam: "Israel menyerang universiti di Palestin dengan alasan ia dijadikan tempat melatih militan yang menjadi ancaman kepada mereka.

"Namun, ia hanya alasan untuk mereka menyerang dan memusnahkan pusat yang dapat melahirkan sumber manusia di Palestin," kata Pegawai Hubungan Luar Universiti Islam Gaza (UIG) Dr Wesam A Al Madhoun semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak UIG melancarkan tabung khas mulai semalam bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula institusi berkenaan yang rosak teruk akibat serangan rejim Israel.

Menurutnya, pihaknya memerlukan dana RM31 juta untuk membangunkan dan menstruktur semula universiti berkenaan bagi membolehkan 20,000 penuntut di UIG menyambung semula pengajian mereka yang tergendala.


"UIG yang ditubuhkan sejak 1998 adalah universiti terkemuka di Palestin dan termasuk dalam kelompok 67 universiti terbaik dunia serta wilayah Arab yang mampu melahirkan modal insan dan sumber manusia di negara kami.


"Palestin sangat komited memperkasa pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) kerana yakin dengan cara itu saja dapat melahirkan modal insan berkualiti yang mampu membangunkan negara ditindas rejim Zionis," katanya.

Dr Wesam yang juga bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, kempen mengumpul dana itu dilancarkan di seluruh dunia dan Malaysia antara negara yang menjadi tumpuan dalam merealisasikan usaha itu.

"UIG tidak memperoleh dana daripada kerajaan kami kerana situasi yang berlaku ketika ini (perang). Kami beroperasi dengan yuran pengajian pelajar selain bantuan daripada organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar, termasuk dari Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan menjelajah ke seluruh negara termasuk ke Kuala Lumpur dalam usaha menjayakan kempen berkenaan dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun MayBank Islamic 557344058202 atas nama 'Tabung Universiti Islam Gaza'.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Stadium Jugra terbiar

Posted: 23 Aug 2014 02:51 PM PDT

Banting: Jika satu ketika dulu Stadium Jugra gah dalam kalangan peminat sukan kerana sering menganjurkan perlawanan bola sepak Liga Selangor dan kejohanan sukan bertaraf negeri, kini stadium yang terletak di Jalan Stadium Telok Datok itu kelihatan suram dan tidak bermaya bak kata pepatah 'hidup segan, mati tak mahu'.

Kemudahan asas sekitar bangunan itu nyata kurang memuaskan.

Sebaik melangkah ke kawasan stadium, pasti pengunjung terasa seperti berada dalam bangunan lama yang dibina penjajah kerana keadaan catnya luntur selain keadaan padang tidak terurus.

Pekerja swasta Rozi Rahmat, 50, berkata, dia mendapati tiada aktiviti sukan atau riadah dijalankan di stadium itu sejak tinggal di kawasan berkenaan, tujuh bulan lalu.

"Saya kecewa melihat keadaan gelanggang yang tidak terurus sejak tinggal di sini kerana pernah mendengar nama stadium ini yang terkenal satu ketika dulu.

"Sepatutnya pihak berkaitan peka dengan masalah ini dan tidak membiarkan gelanggang itu terbiar, malah kemudahan untuk beriadah sangat berkurangan di daerah ini, terutama untuk remaja," katanya.

Rozi berkata, stadium itu patut diberi nafas baru untuk menarik semula pengunjung dan peminat sukan di daerah itu melakukan aktiviti, sekali gus menaikkan semula kegemilangan stadium itu.

Tinjauan Metro Ahad mendapati tiada kawalan keselamatan di stadium dan sesiapa saja boleh menceroboh kawasan itu, malah ia boleh dijadikan sarang untuk kegiatan tidak bermoral.

Pengunjung stadium yang hanya mahu dikenali sebagai Joseph, 60, berkata, dia kerap ke kawasan stadium untuk beriadah pada waktu petang memandangkan kawasan luar bangunan itu ada trek pejalan kaki.

"Saya mendapat tahu stadium ini ditutup sejak April lalu kerana dalam proses membaik pulih, namun tidak pasti berapa lama ia akan ditutup.

"Keadaan di Stadium Jugra ketinggalan zaman dan kerana itu, saya mengharapkan pihak bertanggungjawab menyenggara stadium itu dengan baik," katanya.

Menurut Joseph, dia menyambut baik usaha MDKL dan berharap ia dilakukan segera selain yakin stadium yang berwajah baru dapat menarik kembali tumpuan penduduk untuk mengadakan acara sukan dan pelbagai kegiatan lain di situ.

Katanya, dia juga berharap pihak berkenaan menaik taraf kemudahan rekreasi disediakan di luar bangunan stadium kerana ia menjadi lokasi orang ramai untuk beriadah.

"Keadaan di luar stadium juga seperti tidak diselenggarakan dengan betul selain ketiadaan lampu jalan sehingga boleh membahayakan keselamatan pengunjung pada waktu senja," katanya.

Foto

KEADAAN pintu masuk ke stadium yang rosak dan berisiko diceroboh.

Foto

KEMUDAHAN kelihatan usang dan tidak sesuai digunakan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Fasa kedua jejak bangkai MH370 di dasar laut

Posted: 23 Aug 2014 02:39 PM PDT

Kuala Berang: Di sebalik kesedihan negara dan ahli keluarga mangsa tragedi MH17, usaha pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu tetap diteruskan kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, usaha pencarian pesawat penerbangan MH370 fasa kedua yang akan bermula minggu depan akan teralih kepada pengesanan bangkai pesawat di dasar laut.

Katanya, tumpuan pencarian pesawat penerbangan MH370 yang hilang bukan saja ditumpukan di Lautan Hindi, sebaliknya di tiga lokasi yang akan diputuskan minggu depan.

"Saya bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin diberi mandat kerajaan ke Australia bagi membincangkan kaedah terbaru pencarian MH370.

"Ketika berada di negara itu, rombongan akan ke Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) serta pejabat Biro Keselamatan dan Pengangkutan Australia (ATSB) untuk mendengar taklimat terkini tumpuan pencarian MH370 akan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perumahan Kampung Tok Randok, dekat sini, semalam.

Jailani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media misi berkenaan berkata, usaha pencarian MH370 fasa kedua akan dilakukan di tiga lokasi dan tumpuan pencarian akan dilakukan di dasar laut.

"Jika pencarian fasa pertama, usaha pengesanan hanya dilakukan melalui udara dan permukaan air, tapi kerajaan bersetuju dengan cadangan JACC dan ATSB supaya tumpuan fasa kedua dilakukan di dasar laut," katanya yang enggan mengumumkan tiga lokasi pencarian yang baru akan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

No comments:

Post a Comment