Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dollah optimis

Posted: 06 Aug 2014 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Dollah Salleh tetap yakin anak buahnya mampu memberi tentangan hebat untuk membawa pulang Piala AFF hujung tahun ini biarpun mereka berdepan prospek tersingkir awal apabila skuad kebangsaan diundi dalam kumpulan maut.

Baginya bertemu dengan finalis dua tahun lalu, Singapura dan Thailand dalam kempen Kumpulan B bermula 22 November ini di negara Kota Singa itu bakal menjanjikan aksi menarik.

"Ini persaingan menarik apabila kita akan menentang pasukan kuat," kata Dollah menerusi kenyataan ringkas dalam laman web rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Selain juara empat kali Singapura dan Thailand yang memegang rekod kedua terbanyak dengan tiga kejuaraan, Harimau Malaya yang terkandas di separuh akhir dalam misi mempertahankan gelaran dua tahun lalu juga perlu berdepan pasukan juara pusingan kelayakan bagi saingan Kumpulan B.

Foto

DOLLAH (kanan) ketika latihan skuad kebangsaan sebelum menentang Tajikistan.


Dollah, 50, diberikan tugas mencabar selepas dilantik menggantikan Datuk K Rajagobal pada 1 Julai lalu dengan sasaran ke final biarpun masa tampak singkat untuknya membuat persiapan.


Bekas pengendali Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, dengan barisan pemain dimiliki ketika ini, beliau yakin bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia merangkul kejuaraan kedua sejak kejohanan dwi tahunan itu diperkenalkan pada 1996.

"Walaupun masa agak suntuk untuk menyediakan pasukan, berdasarkan kemahiran dan pengalaman pemain, kami masih boleh memberi tentangan untuk membawa pulang piala," kata Dollah yang kini berada di Dushanbe bagi menghadapi perlawanan pertama kendaliannya menentang Tajikistan dalam aksi persahabatan, esok.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang pasukan juara pusingan kelayakan di Stadium Nasional Singapura pada 22 November sebelum bertemu Thailand (26 November) dan aksi terakhir dengan pasukan tuan rumah (29 November) bagi merebut salah satu daripada dua slot ke separuh akhir.

Kumpulan A di Hanoi pula membabitkan juara 2008 Vietnam, Filipina, Indonesia dan naib juara pusingan kelayakan.

Separuh akhir secara timbal balik bermula 6 hingga 11 Disember dan final bakal berlangsung pada 17 dan 20 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Peluang balas dendam: Aidil

Posted: 06 Aug 2014 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Atas kertas laluan skuad Harimau Malaya tampak sukar di pusingan awal apabila diundi bersama juara bertahan Singapura dan Thailand di kejohanan Piala AFF November ini, namun bagi kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, pertembungan dengan dua pasukan yang menghancurkan impian negara dua tahun lalu menyediakan peluang terbaik untuk mereka menebus kekecewaan.

Singapura juara empat kali dan tuan rumah bersama Vietnam bagi edisi tahun ini menumpaskan Malaysia 3-0 di peringkat kumpulan pada 2012 hingga menyulitkan laluan skuad kendalian Datuk K Rajagobal di peringkat separuh akhir bertemu Thailand.

Thailand yang memegang rekod tiga kejuaraan menjadi pemusnah impian negara untuk mara ke final bagi mempertahankan kejuaraan menang 3-1 dalam aksi timbal balik.

"Rekod kita tidak begitu baik apabila kalah dengan dua pasukan ini (Singapura dan Thailand), tapi kekalahan itu yang membuatkan kita mahu tebus semula tahun ini.

Saya rasa kekalahan itu akan memberi lebih motivasi kepada kami," kata Aidil ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Laluan skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh tambah sukar apabila selain Singapura dan Thailand, satu lagi slot Kumpulan B kemungkinan menjadi milik Myanmar yang menjadi pasukan pilihan menjuarai pusingan kelayakan.

Saingan Kumpulan B di Hanoi pula membabitkan pasukan tuan rumah dan juara 2008 Vietnam, Filipina, Indonesia dan naib juara pusingan kelayakan.

"Memang ini kumpulan maut kerana pasukan finalis satu kumpulan dengan kita.

Tapi saya yakin dengan kebolehan rakan sepasukan, InsyaAllah kita boleh layak ke pusingan kedua apatah lagi kita hanya akan beraksi di Singapura, jadi penyokong lebih mudah untuk datang beri sokongan," katanya yang kini berada di Tajiskistan bersama skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan esok.

Mengulas mengenai perlawanan dengan Tajikistan di Dushanbe itu, Aidil, 27, beharap mereka akan cepat menyesuaikan diri apatah lagi beraksi di padang rumput tiruan.

"Kami baru sampai semalam (kelmarin), mungkin semua pemain nampak keletihan sedikit.


Petang ini (semalam) baru kami akan menjalani latihan di sini.


Kami sentiasa bersedia, cuma perlu menyesuaikan dengan keadaan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Danyal 'takut' tetap sasaran

Posted: 06 Aug 2014 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Mengambil iktibar daripada kegagalan pada temasya Sukan Komanwel Glasgow minggu lalu, Chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia 2014 Incheon Datuk Danyal Balagopal seolah-olah mengambil langkah selamat apabila menegaskan pihaknya masih belum menetapkan sebarang sasaran pingat buat kontinjen negara ketika ini.

Sambil mengakui tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti berlaku di Scotland, Danyal kelihatan lebih realistik dengan berkata, sasaran itu hanya akan dimaklumkan kepada pihak media dan umum tiga hari sebelum temasya sukan paling terbesar di benua Asia itu bermula dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

"Kami belum lagi mengenal pasti secara sah pungutan pingat yang akan kita tetapkan kali ini.

Memandangkan Sukan Komanwel baru saja selesai, apa yang berlaku sepanjang Komanwel juga akan diambil kira sebelum kami membuat keputusan.

"Ini kerana rata-rata atlet mewakili negara ke Komanwel juga muka sama yang akan di bawa ke Korea nanti.

Kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk melihat prestasi semasa atlet dan kemampuan kita di Sukan Asia pula.

"Tekanan pastinya ada di pihak sekretariat, justeru saya mahu pastikan sasaran ditetapkan kali ini benar-benar relevan dengan keupayaan atlet serta standard pertandingan," katanya.ketika pada Majlis Pelancaran Program Team Samsung bersempena kehangatan Sukan Asia Incheon, di Kuala Lumpur, semalam Seramai 550 atlet dan pegawai dijangka menyertai Sukan Asia 2014 Incheon dengan Malaysia menyertai 29 daripada 36 acara yang dipertandingkan.

Berdasarkan rekod pada temasya empat tahun lalu di Guangzhou, China, Malaysia meraih sembilan pingat emas, 18 perak dan 13 gangsa.


"Jika tanya saya, sudah tentu saya mahu pencapaian empat tahun lalu diatasi kali ini.


"Sebab itu untuk kem latihan kontinjen negara kali ini, kami akan menambah baik beberapa program kepada atlet agar mereka benar-benar bersedia menghadapi cabaran di sana.

"Untuk itu, pada 12 Ogos ini, kami akan mengadakan mesyuarat bersama pengurus pasukan setiap jenis sukan.

"Pada 15 Ogos pula, mesyuarat sekretariat akan diadakan bagi membincangkan hal berbangkit dan terakhir pada 18 Ogos bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia), sebelum YB (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) memaklumkan sasaran negara di Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

'Komen Mahaleel tak adil'

Posted: 06 Aug 2014 11:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek tidak mahu peperangan menuding jari berlarutan sebaliknya menerima kritikan dilemparkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Bagaimanapun, bekas pemain perseorangan negara itu menganggap apa yang dikatakan Tengku Mahaleel sangat tidak adil seolah-olah mahu lari daripada tanggungjawab sebagai presiden persatuan.

"Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab atas kegagalan pemain perseorangan di Sukan Komanwel 2014 Glasgow malah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengakui bertanggungjawab kerana gagal mencapai sasaran pingat emas," katanya.

Rashid berkata, menteri tidak mengelak dengan kenyataannya dan terus-menerus mengaku gagal tanpa sebarang kenyataan berbelit-belit.

"Kalau menang orang lain akan mengambil pujian, tapi apabila kalah semuanya salah jurulatih.

"Saya rasa tidak adil terhadap komen diberikan itu," kata Rashid selepas Tengku Mahaleel menyalahkan pemilihan pemain perseorangan ke Sukan Komanwel terutama Liew Daren, pengganti Datuk Lee Chong Wei yang cedera pada saat akhir.

Kelmarin Tengku Mahaleel menegaskan pemilihan barisan pemain negara ke Sukan Komanwel terletak 100 peratus di bahu barisan kejurulatihan, diketuai Rashid.

Pada masa sama, Rashid mengakui masih belum pasti akan mengiringi pemain perseorangan ke Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen yang akan berlangsung 25 hingga 31 Ogos ini.

"Latihan pusat untuk pemain juga saya tidak pasti ada atau tidak, semua keputusan terpulang kepada pihak pengurusan," katanya.

Skuad badminton negara meraih tiga emas di temasya itu melalui berpasukan campuran, beregu lelaki (Tan Wee Kiong-Goh V Shem) dan beregu wanita (Vivian Hoo-Woon Khe Wei).

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Empat sukan gagal: Khairy

Posted: 06 Aug 2014 11:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Empat jenis sukan disifatkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai gagal menyumbangkan pingat yang disasarkan pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, berakhir Ahad lalu.

Antaranya skuad berbasikal trek negara yang gagal mempertahankan sebutir pingat emas dimenangi ketika edisi 2010 di New Delhi, India apabila sekadar meraih sebutir gangsa menerusi Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

"Trek basikal, menembak, gimrama dan boling padang gagal memberikan sasaran emas," kata Khairy menerusi entri Facebook miliknya malam kelmarin.

Altet menembak negara yang hadir dengan barisan berpengalaman turut sekadar membawa pulang sebutir pingat gangsa menerusi Nur Suryani Taibi, boling padang menyumbang dua perak manakala atlet gimrama meraih satu perak dan dua gangsa.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran tujuh emas disasarkan apabila sekadar meraih enam emas dengan badminton cemerlang menyumbang tiga pingat emas - acara berpasukan, beregu lelaki dan wanita, Datuk Nicol Ann David (skuasy), Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan Ooi Tze Liang (terjun) sekali gus mencetuskan kritikan hebat peminat sukan negara.

"Perlu ada kajian mendalam kepada program di bawah sukan itu," katanya.

Mengulas mengenai angkat berat, Khairy menyatakan sukan berkenaan berpotensi selepas sentiasa cemerlang menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Bangunkan bakat seperti Hafifi dan Zulhelmi supaya terus cemerlang pada Sukan Komanwel 2018," katanya.

Hafifi menyumbang emas negara dalam kategori 69 kilogram manakala Zulhelmi meyumbang perak 56kg.

Malah Khairy berkata, selepas ini mereka perlu menghantar atlet berpeluang menang atau pelapis berpotensi tinggi supaya tidak menjadi 'lauk' kepada atlet negara lain selepas apa yang berlaku di Glasgow.

"Kalau sekadar dihantar untuk pendedahan, tapi menjadi lauk orang lain, tak payah pergi.

Membazir duit sahaja.

Saya boleh cari pengalaman pendedahan yang lain untuk mereka, tak perlu sampai ke Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

'Toi' sasar genggam pingat

Posted: 06 Aug 2014 11:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas pelumba berbasikal trek elit melaksanakan tugas mereka di Sukan Komanwel 2014 Glasgow, kini tiba giliran pelapis pula menunjukkan ketangkasan di Kejohanan Trek Remaja Dunia 2014 Seoul.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada pemenang tiga pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dua edisi berturut-turut, Muhammad Firdaus Mohd.

Zonis (gambar) sebaik kejohanan itu membuka tirai esok.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar buat saya, tidak ada sebarang kekurangan mengenai persiapan saya untuk kejohanan ini," kata pelumba kelahiran Kuala Selangor itu.

Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran 'Toi' itu mahu memadam kekecewaan di kejohanan sama tahun lalu apabila gagal membawa pulang sebarang pingat.

"Saya yakin mampu membawa pulang pingat kali ini tapi tidak janji sama ada emas, perak atau gangsa.

"Fokus saya kali ini dalam acara keirin dan 1 kilometer ujian masa," kata pelumba berusia 18 tahun itu.

Firdaus yang juga akan beraksi dalam acara pecut, meletakkan sasaran mara sekurang-kurangnya sehingga ke separuh akhir acara itu.

"Sudah tiga hari kami menguji Velodrom Gwangmyeong, bagi saya trek di sini lain daripada yang lain dan kami mampu menyesuaikan diri.

"Mengenai pelumba yang perlu diberi perhatian, saya kurang pasti kerana ramai pelumba baru berbanding tahun lalu, tapi bagi acara keirin perhatian harus diberikan terhadap wakil Russia," katanya.

Selain Firdaus, turut beraksi di kejohanan itu bagi disiplin pecut, adiknya, Muhammad Fadhil serta Shariz Effendi Mohd Shahrin, Khairil Nizam Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

'Saya akan berundur'

Posted: 06 Aug 2014 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya akan berundur terus selepas Sukan Asia walau apapun keputusan di sana nanti."

Demikian keputusan muktamad dilakukan pengendali skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang mengambil tindakan drastik untuk meletak jawatan selepas berakhir Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, bulan depan.

Dhaarma berkata, keputusan dibuat itu bukan bermaksud mengalah dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Majid Manjit Abdullah yang mahu mengemukakan usul supaya pengendali berusia 45 tahun itu dipecat selepas aksi hambar di Sukan Komanwel yang berakhir Ahad lalu.

Sebaliknya Dhaarma berkata, keputusan awal itu bagi membolehkannya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi misi penting untuk cuba memenangi pingat emas di Sukan Asia sekali gus membolehkan Malaysia layak secara automatik ke Sukan Olimpik di Rio pada 2016.

"Saya mahu semua orang beri kami peluang dan ruang untuk fokus kepada Sukan Asia.

"Untuk memenuhi misi ini, saya perlukan barisan pemain terbaik.

Saya perlu dapatkan semula khidmat Faizal Saari untuk segera kembali menyertai sesi latihan secepat mungkin.

"Saya sudah hubungi Faizal dan mahu MHC menyelesaikan masalahnya.

Pingat emas Sukan Asia penentu masa depan hoki Malaysia.

"Saya tak hairan langsung pasal dia (Majid Manjit).

Foto


Seperti saya katakan tadi, keputusan ini untuk beri ruang kepada saya serta pemain fokus sepenuhnya kepada Sukan Asia," katanya yang dihubungi semalam.

Dhaarma yang kontrak sebenarnya akan berakhir pada Disember tahun depan berkata, Faizal yang sebelum ini menyatakan hasrat berehat seketika daripada skuad kebangsaan bersetuju untuk kembali menyertai skuad negara.

Bekas pengendali skuad remaja itu dalam reaksinya seperti dilaporkan Arena Metro semalam menyatakan beliau menyerahkan sepenuhnya segala keputusan kepada pihak pengurusan MHC lain yang disifatkannya lebih arif dan tidak mahu meneruskan persengketaan dengan Majid seperti ketika isu peletakan jawatan bekas jurulatih Paul Revington tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

No comments:

Post a Comment