Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Derita tumpah tomyam

Posted: 29 Aug 2014 12:13 PM PDT

Kota Bharu: Dua kanak-kanak perempuan melecur di badan, muka, kepala dan kaki selepas mangkuk besar berisi tomyam panas terjatuh dari atas meja dan menyimbah mereka, Isnin lalu.

Kejadian berlaku jam 10 pagi di sebuah tadika, dekat Jalan Telipot, di sini ketika kedua-duanya yang berusia dua dan tiga tahun menunggu di dewan makan untuk menikmati hidangan pagi.


Difahamkan Nur Afiqah Mazran, 2, berdiri tepi meja makan sebelum rakannya yang berusia tiga tahun menarik mangkuk berkenaan yang kemudiannya secara tiba-tiba menyimbah mereka.

Akibatnya, dua kanak-kanak terbabit melecur 20 hingga 50 peratus dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.


Menceritakan kejadian itu, ibu Nur Afiqah, Noradillah Ismail, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kedai Mulong kerana sedang berpantang selepas bersalin anak ketiga.


"Saya mengetahui kejadian berlaku selepas suami Mazran Harun menghubungi memaklumkan anak kami cedera.

Foto

NORADILLAH memangku anaknya yang masih trauma.

"Dia memberitahu mengetahui insiden itu selepas guru tadika Nur Afiqah menelefonnya beberapa minit selepas kejadian.


"Kami segera ke HRPZ II, namun anak dirujuk ke Unit Kebakaran HUSM selepas pada malam kejadian, kepala, muka, kaki kiri, tangan kiri dan badan anaknya yang kemerah-merahan semakin teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Bagaimanapun Noradillah berkata, enggan membesar-besarkan perkara itu dan tidak menganggap ia kecuaian pengurusan tadika berikutan kecederaan dialami anaknya akibat perbuatan Nur Afiqah serta rakannya sendiri yang tidak diketahui namanya.


Katanya, Nur Afiqah juga dibenarkan keluar daripada hospital selepas dua hari menerima rawatan dan kini hanya berehat di rumah.


"Keadaannya juga sudah bertambah baik walaupun dia kelihatan seperti trauma apabila sering terkejut ketika tidur dan enggan lagi dihantar ke tadika," katanya yang tidak berhasrat mengambil tindakan ke atas pengusaha tadika berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Drebar buang air bas lepas

Posted: 29 Aug 2014 11:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak gila apabila melarikan sebuah bas henti-henti tanpa penumpang ketika pemandunya turun membuang air kecil berdekatan sebuah hentian bas di Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia lingkungan 30-an memandu lebih 10 kilometer (km) dan dipercayai turut bergesel dengan tiga kenderaan sebelum berhenti di Desapark City, Kepong.


Pemandu 'gila' itu dipercayai berhenti selepas bas dicurinya merempuh sebuah pagar berdekatan kawasan itu dan suspek kemudian melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Rasdi Ramli berkata, polis menemui semula bas terbabit pada jam 10.30 pagi di Bulatan Desapark City, Kepong.


"Siasatan turut mendapati bas yang dipandu suspek turut bergesel dengan tiga buah kenderaan. Bagaimanapun, polis masih belum menerima laporan dari pemilik kenderaan terbabit," katanya.


Katanya, polis kini memburu lelaki terbabit dan kes disiasat di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Beri isyarat gigit tangan

Posted: 29 Aug 2014 11:57 AM PDT

Georgetown: "Kami gigit tangan penculik untuk melepaskan diri daripada mereka," kata Fatin Nabihah Rashid, 9, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lanchang, di sini, yang mendakwa diculik tiga lelaki, kelmarin.

Menurut Fatin, dia dan rakannya, Arissa Batrisya Mohd Azmy, 9, ketika itu mendapat idea untuk menggigit tangan penculik berkenaan ketika mulut mereka ditekup penjenayah dalam van putih bercermin gelap.

"Saya memberi isyarat mata kepada Arissa dan kami berdua terus menggigit tangan dua penculik berkenaan membuatkan keadaan menjadi kelam-kabut.

"Ketika itu, pemandu van memberhentikan kenderaan di hadapan bank dan saya mengambil peluang itu membuka pintu dan melarikan diri," katanya ketika ditemui di bank berkenaan, di sini, semalam.

Foto

DUA murid mangsa culik menceritakan kembali kejadian kepada pegawai penyiasat.


Menurutnya, sejurus berjaya keluar, mereka berlari masuk ke dalam kawasan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), namun penjenayah mengejar mereka dengan van dan memberhentikan kenderaan di hadapan bank.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Sindiket janji hadiah banglo

Posted: 29 Aug 2014 11:56 AM PDT

Melaka: Misteri kehilangan geran dan dokumen pindah milik sembilan lot tanah bernilai RM3.9 juta disimpan di bilik kebal Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah empat tahun lalu terjawab apabila enam lelaki ditahan polis, 12 Ogos lalu.

Penahanan suspek berusia 41 hingga 62 tahun turut membongkar rahsia sindiket penipuan yang turut memiliki 21 geran asal tanah milik individu di daerah terbabit yang belum sempat dipindah milik.


Difahamkan, sindiket dipercayai aktif sejak 2010 itu mendapatkan bantuan kakitangan pejabat itu untuk membawa keluar geran dan dokumen pada bayaran RM100 hingga RM150 setiap satu.

Kakitangan pejabat itu yang kini sudah bersara juga dijanjikan hadiah banglo oleh sindiket jika semua urusan membawa keluar geran dan dokumen selesai dilakukan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan Ee Khong Koy berkata, penahanan enam suspek itu dibuat susulan dua laporan dibuat pejabat pada Disember 2012.


"Hasil siasatan, kami menahan enam suspek terdiri daripada orang tengah, pesara, ahli perniagaan, peguam dan pemilik restoran dalam serbuan berasingan 12 Ogos lalu.

"Hasil soal siasat, kami merampas 21 geran tanah asal milik individu yang masih belum ditukar nama di sebuah rumah di Ipoh, Perak milik seorang suspek berusia 47 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.


Hadir sama, Timbalannya Deputi Superintendan Chan Teck Paing.

Khong Koy berkata, suspek yang berperanan sebagai orang tengah mendapatkan bantuan pesara yang dulunya kerani di Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah membawa keluar geran dan dokumen pindah milik di bilik kebal.


"Geran itu dipindah milik kepada nama individu lain tanpa pengetahuan mereka sebanyak dua kali.


"Siasatan mendapati pembeli mendakwa ditawarkan tanah pada harga lebih rendah dari pasaran, namun dipercayai tiada urusan jual beli dijalankan sebaliknya hanya membabitkan pemindahan nama," katanya.


Menurutnya, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan didakwa di mahkamah minggu depan membabitkan kesalahan antaranya mengikut Seksyen 380/109, Seksyen 381/109 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.


Katanya, pihaknya kini meminta waris pemilik enam daripada sembilan lot tanah berkenaan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


"Ia membabitkan pemilik dipercayai sudah meninggal dunia dan kami gagal mengesan waris mereka kerana tiada nombor kad pengenalan pemilik pada geran.


"Sehubungan itu, kami minta waris kepada Tan Tat Yan pemilik tiga lot tanah di Tanjung Kling, Khoo Choon Seng (satu lot di Bukit Baru), Chi Sian Yan (satu lot di Bukit Katil) dan Ahmad Manap (dua lot di Bukit Katil) tampil membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Bukan menyelamat

Posted: 29 Aug 2014 11:56 AM PDT

Kuala Lumpur: "Dana RM6 bilion bukan untuk menyelamatkan Penerbangan Malaysia (MAS) sebaliknya ia adalah suntikan kewangan dan pelaburan ke atas syarikat tersebut," tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan bagi memastikan hasrat rakyat untuk terus melihat MAS masih relevan sebagai syarikat penerbangan negara kerana itu adalah asas paling penting.

Malah kata beliau, melalui penyusunan semula itu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berupaya memperoleh semula setiap sen yang dibelanjakan dengan pertumbuhan positif dapat dilihat dalam tempoh kurang tiga tahun.

"Itu bukan 'bailout' kerana kita tidak menggunakan dana awam dan kita yakin dengan pelan pemulihan kerana Khazanah berpengalaman memulihkan UEM yang sekarang menjadi syarikat dengan modal pasaran besar.


"Industri penerbangan sangat sengit kerana itu penstrukturan semula mesti dilakukan secara menyeluruh bukan sebahagian-sebahagian," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

No comments:

Post a Comment