Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


AS bekalkan Israel senjata

Posted: 31 Jul 2014 11:23 AM PDT

Washington: Amerika Syarikat semalam mengesahkan ia membekalkan senjata tambahan kepada Israel untuk membunuh rakyat Palestin di Gaza.

Pengesahan itu dibuat selepas ia menyelar serangan terhadap sebuah sekolah yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin yang berlindung di situ terbunuh.


Washington bagaimanapun enggan menerima hakikat bahawa rejim Zionis yang mengebom sekolah itu walaupun ia disahkan oleh agensi bantuan untuk Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Ketika menjawab soalan wartawan di Washington, timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Marie Harf berkata: "Kami tidak tahu siapa yang mengebom sekolah berkenaan. Pada masa sama kita perlu mengumpulkan fakta mengenai serangan itu." Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika, Bernadette Meehan pula menyalahkan penduduk Palestin kerana berlindung di sekolah berkenaan yang didakwanya menjadi tempat simpanan senjata Hamas.


Dalam pada itu, Pentagon mengesahkan Israel memohon bekalan senjata baru bagi meningkatkan simpanan yang semakin merosot selepas ia digunakan untuk membunuh rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza.


Jurucakap Pentagon Laksamana Muda John Kirby berkata, pihaknya menerima permohonan itu 20 Julai lalu dan kelulusan untuk memenuhi permintaan itu dibuat tiga hari kemudian.

Foto

ANTARA kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam kekejaman Israel dikebumikan semalam.

Foto

KEPULAN asap menyelubungi ruang angkasa bandar raya Gaza selepas serangan udara terbaru Israel, semalam.

"Amerika Syarikat komited dengan keselamatan Israel. Ia amat penting bagi Amerika Syarikat membantu Israel dalam usaha meningkat dan mengekalkan pertahanannya," kata Kirby.


Selepas 23 hari melancarkan keganasan, Israel dengan bantuan senjata Amerika Syarikat membunuh lebih 1,360 rakyat Palestin.

Washington sejak dulu lagi membekalkan senjata kepada negara Zionis itu, termasuk membiayai Kubah Besi, sistem pertahanan peluru berpandu yang bertujuan melindungi Israel daripada serangan roket Hamas.


Anggota Dewan Senat negara itu kini berusaha menyediakan pakej sokongan tambahan ketenteraan berjumlah AS$225 juta (RM720.5 juta) kepada Israel walaupun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menggesa Washington menghentikan bantuan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Padah kalah bertaruh dalam Piala Dunia

Posted: 31 Jul 2014 11:16 AM PDT

Wrexham (Wales): Seorang peminat bola sepak di sini mungkin menjadi orang yang paling rugi dalam bertaruh ketika kejohanan Piala Dunia lalu.

Jon Jolley bertaruh £100 (RM540.00) ke atas Brazil untuk menjuarai kejohanan itu dengan penyerang handalannya Neymar memenangi anugerah kasut emas. Kerana begitu yakin akan memenangi pertaruhan itu, dia juga berikrar: "Jika Brazil tidak berjaya membawa pulang piala kali ini, saya akan mendaki Gunung Snowdon dengan hanya memakai thong (seluar dalam wanita)," katanya.


Namun, sangkaan Jolley meleset kerana Brazil gagal memenangi piala berkenaan.

Dengan kekalahan Brazil 1-7 kepada Jerman dalam peringkat separuh akhir, Jolley terpaksa menunaikan janjinya.


Menurut media, dengan tidak memakai apa-apa selain seluar dalam wanita, Jolley mendaki gunung setinggi 1,085 meter itu dalam masa selama tiga setengah jam untuk sampai ke puncak, kelmarin. "Saya orang yang berpegang pada janji. Biasanya jika bertaruh dalam perlawanan, saya tidak akan menyuarakan sesuatu seperti ini, tetapi kali ini Neymar dan David Luiz benar-benar menghampakan saya. "Selepas menangis selama beberapa jam, saya sedar saya boleh menjadikan kekecewaan ini kepada sesuatu yang positif. "Dengan menunaikan janji saya itu, saya menjadi lelaki pertama mendaki gunung dengan berseluar dalam. Pada masa sama, saya juga memungut derma dan berjaya mengumpul £450 (RM2,427) untuk tujuan kebajikan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

25 mati lemas

Posted: 31 Jul 2014 11:15 AM PDT

Jakarta: Sekurang-kurang 25 orang, termasuk enam kanak-kanak mati lemas sementara 13 lagi masih belum ditemui dalam dua kejadian bot karam.

Kejadian berlaku ketika jutaan penduduk Indonesia pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.

Sebuah bot membawa sebanyak 48 penumpang karam di sebuah sungai di Sungai Barombang di Sumatera Utara awal semalam selepas dikatakan mengalami masalah enjin.

Kemalangan itu meragut nyawa enam kanak-kanak dan seorang dewasa, menurut polis tempatan.


Polis menjalankan operasi menyelamat di kawasan berkenaan bagi mencari 13 orang yang masih hilang.


Sementara itu, Selasa lalu, sebuah feri yang membawa 70 penumpang di Sungai Kapuas, Kalimantan Tengah juga karam.

Pihak berkuasa semalam mengesahkan 18 mayat ditemui manakala yang lain dilaporkan selamat.

"Pagi ini, 18 mayat ditemui," kata ketua penduduk tempatan yang mengetuai misi menyelamat, Wasino, semalam.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, polis kini dalam proses menyoal siasat pemilik feri berkenaan berhubung kejadian itu.

Menurut laporan, feri terbabit mungkin membawa penumpang berlebihan.

Kemalangan bot yang meragut puluhan nyawa sering berlaku di Indonesia, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Selatan Thai berjaga-jaga

Posted: 31 Jul 2014 11:14 AM PDT

Bangkok: Agensi keselamatan di selatan Thai mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya selepas laporan mendakwa sembilan anggota kumpulan pemisah berunding di Malaysia baru-baru ini, kononnya untuk melancarkan beberapa serangan di wilayah berkenaan.

Menurut satu sumber yang enggan dikenali, ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), Masae Useng, berbincang dengan lapan anggota kanan kumpulan itu di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk merancang serangan serentak.

Menurut sumber itu, kumpulan berkenaan merancang menggunakan pejuang Ronda Kumpulan Kecil untuk melaksanakan pelan itu.

Kira-kira 150 anggota, 50 di setiap tiga wilayah selatan Thai, akan dikerah melakukan serangan.


Sumber itu juga mendakwa, kumpulan berkenaan membincangkan sasaran di Yala, khususnya kawasan di luar daerah Muang.


Masae ialah antara tiga pemimpin utama pemisah yang amat dikehendaki pihak berkuasa Thai.

Kerajaan negara berkenaan menawarkan hadiah sebanyak RM300,000 kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga pemimpin pemisah itu tertangkap.

Ancaman berkenaan menyusuli serangan bom minggu lalu di daerah Betong di Yala yang meragut dua nyawa dan mencederakan 25 yang lain.

Ketua Polis Narathiwat Major Jeneral Pattanawut Angkhanavin mengarahkan polis dan tentera di semua 13 daerah wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang sering menjadi sasaran serangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Jeneral peras ugut penjaja ditahan

Posted: 31 Jul 2014 11:14 AM PDT

Bangkok: Seorang pegawai tentera Thai berpangkat jeneral ditahan semalam kerana disyaki melakukan peras ugut di kawasan pelacuran di Bangkok.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Leftenan Kolonel Burin Tongprapai berkata, Major Jeneral Jenronnarong Detwan, 56, ditahan tentera awal kelmarin di sebuah hotel berhampiran kawasan Patpong dan dituduh memeras ugut wang daripada golongan penjaja.

"Dia adalah pegawai kanan tentera paling kanan pernah ditahan kerana peras ugut," katanya yang mengetuai tangkapan berkenaan.

Patpong adalah kawasan yang menyediakan hiburan dewasa khususnya untuk pelancong.


Pihak tentera yang mengambil alih kepemimpinan negara itu pada 22 Mei lalu memulakan siasatan terhadap jeneral terbabit selepas menerima aduan daripada penjaja yang menjual barangan tiruan termasuk produk berjenama dan DVD.


Jenronnarong bagaimanapun menafikan tuduhan terhadapnya.

"Dia mendakwa mengambil wang daripada penjaja untuk membayar pemilik hak cipta barangan yang dijual mereka.

"Dia kini menghadapi siasatan jenayah dan tentera," kata Burin.

Jurucakap junta Kolonel Winthai Suvaree mengesahkan tangkapan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Jumlah kematian di Gaza cecah 1,364

Posted: 31 Jul 2014 11:12 AM PDT

Gaza: Serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza awal semalam menyebabkan tujuh lagi penduduk terbunuh, sekali gus meningkatkan jumlah kematian kepada 1,364.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata, serangan udara yang dilakukan sebelum subuh membunuh seorang lelaki di bandar Deir al-Balah. Tiga lagi maut dalam dua serangan udara pada pagi seorang di Rafah di selatan dan dua lagi di Deir al-Balah.


Serangan di Khan Yunis pula mengakibatkan tiga lagi terbunuh, katanya.

Kejadian berlaku sehari selepas serangan paling buruk dalam kempen keganasan Israel terhadap penduduk Gaza yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.


Dalam dua kejadian berasingan itu, 16 maut dalam serangan terhadap sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat perlindungan pelarian, manakala 17 terbunuh selepas sebuah pasar diserang.


Konflik yang dilancarkan Israel sejak 8 Julai lalu mengakibatkan 1,364 orang Palestin terbunuh, kebanyakannya orang awam.

Dalam pada itu, setakat ini, seramai 56 tentera Israel mati. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Lumpur 'telan' kampung

Posted: 31 Jul 2014 11:12 AM PDT

Pune (India): Pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang menggunakan jentera berat dan tangan kosong semalam menggali lumpur tebal untuk mencari penduduk yang mungkin terselamat selepas tanah runtuh menimbus sebuah kampung di sini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, peluang menemui mangsa yang masih hidup dalam kejadian di Malin, kampung di daerah Pune di negeri Maharashtra itu, amat tipis.


Kejadian yang berlaku awal kelmarin meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa dan lebih 100 orang dilapor hilang, dikhuatiri mati.

Seorang pegawai daerah, Suresh Jadhay berkata, kira-kira 40 rumah tertimbus dalam bencana itu.


Usaha menyelamat tidak dapat dijalankan dengan lancar kerana hubungan komunikasi yang buruk, keadaan jalan raya berbahaya, ditambah pula dengan hujan berterusan.


Kejadian itu hanya diketahui selepas seorang pemandu bas melintasi kawasan berkenaan dan melihat kampung itu hilang dari pandangan selepas ditimbus tanah dan lumpur.

Foto

PEKERJA penyelamat mengusung mayat seorang mangsa selepas mengeluarkannya dari timbunan lumpur di tempat bencana, semalam.

"Pemandu itu kembali ke bandar berhampiran dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa. Semua yang ada di gunung itu runtuh," kata Jadhar.


Sehingga semalam, 30 mayat sudah ditemui dan lapan berjaya di tarik keluar dengan selamat, kata pegawai penyelamat, Sachin Tamboli. Suresh Dhonde, yang bekerja di bandar berhampiran ketika kejadian berkata, dua anggota keluarganya berjaya meloloskan diri dari rumahnya yang runtuh.

"Enam yang lain tertimbus dan masih belum ditemui," katanya.


Penduduk yang terselamat, dibantu orang ramai dari kawasan berhampiran, membantu pasukan penyelamat menggali lumpur dan mengalihkan pokok yang tumbang serta bongkah batu. Pihak berkuasa menjangka jumlah kematian akan meningkat. Pegawai kanan Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan, Sandeep Rai Rathore menganggarkan kira-kira 100 penduduk kampung itu yang terletak di kaki gunung Sajyadri, hilang dan dikhuatiri mati. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Maafkan pencuri biri-biri

Posted: 31 Jul 2014 11:11 AM PDT

Tabuk (Arab Saudi): Seorang lelaki Saudi yang membeli seekor biri-biri untuk mengadakan jamuan sempena hari raya semalam terpaksa berbelanja lebih apabila haiwan itu dicuri.

Kejadian berlaku selepas dia berhenti di sebuah kedai selama 10 minit setelah membeli biri-biri itu di sebuah pasar berhampiran.


"Saya membeli haiwan ini dengan harga SR1,800 (RM1,533). Tetapi ia dicuri selepas beberapa minit. "Saya terpaksa kembali ke pasar untuk membeli seekor lagi," katanya ketika ditemui.

Lelaki itu bagaimanapun memberitahu akhbar Okaz, dia tidak bercadang membuat laporan polis mengenai kejadian itu, sebaliknya memaafkan pencuri berkenaan, sempena hari raya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

No comments:

Post a Comment