Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Apa muslihat Manjit?

Posted: 07 Aug 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan terburu-buru Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Manjit Majid Abdullah yang mahu mengemukakan usul untuk memecat Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang dalam badan induk itu sendiri.

Naib Presiden MHC itu dilihat umpama 'tidak sabar' untuk memecat Dhaarma sebelum bermulanya temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan seperti dilapor akhbar semalam meskipun temasya itu akan berlangsung tidak lama lagi.

Bukan memihak kepada pengendali berusia 45 tahun itu, tetapi sumber dalaman MHC hairan dengan tindak tanduk Manjit yang mengeluarkan pendapat terbaru Dhaarma lebih layak kembali membimbing skuad remaja.

"Apa agenda dia sebenarnya? Dia tahu tak yang dia tak boleh buat keputusan sendiri?

Foto

MANJIT cadang usul pecat Dhaarma.


"Apa hak dia suka-suka nak pecat orang lain?" soal sumber itu.


Sumber itu juga mempertikaikan tindakan Manjit ketika skuad negara tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan diri mereka menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea bulan depan.

"Adakah dengan tindakan menukar jurulatih akan menjamin pingat emas untuk skuad negara di Sukan Asia?

"Sekarang dia bagi pendapat Dhaarma lebih layak bimbing skuad remaja," katanya.
Jelas sumber itu, Dhaarma secara terbuka sudah menyatakan akan berundur selepas Sukan Asia dan untuk itu, wajar ruang diberikan kepadanya.

"Dhaarma sanggup gadaikan masa depannya untuk Sukan Asia. Berilah peluang kepadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Dhaarma 'gembira' dipecat sekarang

Posted: 07 Aug 2014 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya 'gembira' kalau dipecat sekarang, tapi sabarlah dulu kerana saya boleh berundur sendiri selepas Sukan Asia."

Demikian nada sinis Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Manjit Majid Abdullah yang tetap mahu mencadangkan ketua jurulatih skuad hoki negara itu dipecat sebelum bermulanya temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan seperti dilaporkan akhbar semalam.

Pengendali berusia 45 tahun itu yang sudah masak dengan perangai Manjit yang sering 'mengganggunya' sejak 2009 bagaimanapun mahu Naib Presiden MHC itu menilai pencapaiannya sejak membimbing skuad remaja dan senior selepas dikatakan gagal menggalas tugas dengan baik sekali gus mendorong Manjit untuk membawa usul memecatnya.

"Saya nak tanya kepadanya adakah ada pencapaian lebih baik selain naib juara pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ketika pertama kali saya membimbing skuad senior? Ketika zaman Paul Revington, kita muncul naib juara juga.

Foto

DHAARMA (tengah) ketika membimbing skuad senior bagi menghadapi kejohanan besar.


"Saya ingin tanya lagi, adakah ada pencapaian lebih baik daripada tempat ketiga di Cabaran Juara-Juara 1 ketika saya bimbing pasukan kebangsaan di Kuantan? Tidak ada bukan?


"Adakah kita juga layak ke Piala Dunia secara merit? Juga tidak. Saya bimbing pemain untuk ke Piala Dunia dalam tempoh yang singkat.

"Kenapa hanya sebab gagal di Sukan Komanwel yang menggunakan pasukan kedua, saya tak habis-habis diserang?" katanya ketika dihubungi semalam.

Dhaarma juga menyindir Manjit yang mungkin mampu mencari pengendali lebih baik daripadanya bagi membimbing pasukan dalam tempoh tidak sampai 50 hari untuk meraih pingat emas di Sukan Asia sekiranya beliau benar-benar dipecat sebelum bermulanya temasya di Incheon itu.

"Mungkin orang itu (jurulatih baru) datang dari syurga. Sabarlah, biar saya pikul tanggungjawab untuk Sukan Asia dulu dan bagi ruang kepada pemain supaya tidak kusut kepala memikirkan hal-hal luar padang.

"Lepas itu, saya lepaskan jawatan dan dia (Manjit) pasti puas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Firdaus mula cabaran trek Remaja Dunia

Posted: 07 Aug 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Cabaran pelumba trek remaja negara bermula hari ini apabila acara pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan lelaki membuka tirai di Kejohanan Trek Remaja Dunia 2014 Seoul.

Walaupun dilihat sukar, namun acara pecut berpasukan yang dibarisi jaguh remaja Asia, Muhammad Firdaus Mohd Zonis bersama dua lagi pelumba, Mohd Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol harus diberi perhatian.

Ini kerana mereka berjaya meraih pingat perak di Ke johanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 Astana Mei lalu selepas tumpas kepada Korea Selatan.

Tahun lalu di kejohanan sama di Glasgow, gandingan Firdaus bersama Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Asyraf Naim Ying dibatalkan penyertaan mereka oleh komisar kerana melanggar peraturan perlumbaan.

Antara negara yang dijangka menguasai acara ini selain Korea Selatan, adalah Perancis, New Zealand, Russia dan Jerman.

Sementara itu, acara kejar-mengejar berpasukan bakal dipikul Ahmad Muazzam Iman Mustaffa Kamal, Muhammad Afiq Huznie Othman, Asyraf dan Akmal Hakim Zakaria.

Pingat gangsa dimenangi di ACC 2014 sudah pasti menjadi penguat semangat keempat-empat pelumba ini walaupun bakal mengharungi laluan sukar.

Foto

FIRDAUS (kiri) ketuai cabaran negara di Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Tengku Mahaleel sisih Rashid

Posted: 07 Aug 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Pergolakan antara Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan jurulatih perseorangan lelaki Rashid Sidek memasuki episod baru selepas peperangan menuding jari.

Kali ini Rashid tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas sempena perancangan dan misi baru pemain badminton negara pada masa akan datang termasuk Sukan Olimpik 2016 Rio.

"Beliau (Tengku Mahaleel) sudah meminggirkan saya, sedangkan semua jurulatih dipanggil menghadiri mesyuarat itu semalam (kelmarin)," katanya.

Lebih malang, Rashid tidak dipilih mengetuai barisan jurulatih ke Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen, 25 hingga 31 Ogos ini, sebaliknya digantikan dengan jurulatih pelapis, Hendrawan.

Foto

RASHID Sidek

Foto

TENGKU Mahaleel


"Semua jurulatih lain pergi ke kejohanan itu, termasuk Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang dan Jeremy Gan.


"Sekarang kita nampak siapa yang lebih berkuasa, tidak ada gunanya saya berada dalam BAM lagi," kata bekas pemain perseorangan kebangsaan itu.

Rashid yang menegaskan kritikan Tengku Mahaleel ter hadapnya tidak adil berikutan kegagalan pemain perseorangan gagal meraih emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, mendakwa mesyuarat itu dijalankan tanpa pengetahuannya.

"Saya difahamkan dalam mesyuarat itu banyak kali beliau menyalahkan saya.

"Tapi tidak mengapa kerana rezeki ada di mana-mana," katanya.

Situasi ini dilihat akan mengulangi semula peristiwa Rashid meninggalkan BAM September tahun lalu dengan sebulan notis selepas 10 tahun berbakti buat skuad kebangsaan.

Pada ketika itu Rashid mengakui dilayan seperti pekerja kelas rendah termasuk campur tangan keterlaluan daripada beberapa orang kepercayaan Tengku Mahaleel yang menyebabkan mereka hilang sabar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Peluang Chong Wei juara dunia cerah

Posted: 07 Aug 2014 10:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas sering dibayangi aura hebat jaguh perseorangan China, Lin Dan dalam kejohanan utama, peluang kini cerah buat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei merealisasikan impiannya menjulang takhta Kejohanan Dunia kali ini.

Lin Dan yang muncul juara dunia lima kali dilapor tidak akan mempertahankan kejuaraannya di Copenhagen, Denmark pada 25 hingga 31 Ogos ini disebabkan faktor kegagalannya menempatkan diri dalam kelompok teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Justeru itu, Chong Wei diletakkan sebagai pilihan utama di Copenhagen dan berpeluang cerah menamatkan kemarau kejuaraan dunia.

"Mungkin itu sedikit kelebihan, tetapi saya tetap mengambil satu demi satu perlawanan.

Walaupun Lin Dan tidak ada, saya tidak boleh terlalu selesa," katanya kepada Arena Metro.

Kejohanan Dunia tahun lalu menyaksikan Chong Wei terpaksa akur kepada legenda China itu apabila terpaksa menarik diri pada set ketiga ketika ketinggalan 17-20, gara-gara mengalami kekejangan kedua-dua paha.

Chong Wei terlebih meminta rawatan pada kedudukan 16-19 di set ketiga dan cuba menyambung permainan, namun dia tidak mampu bergerak untuk menghadiahkan kejuaraan kelima buat Lin Dan yang menang 16-21, 21-13, 20-17.

Kegagalan Chong Wei menamatkan badi kekalahan kepada musuh tradisinya itu mengulangi skrip sama Kejohanan Dunia 2011 dan Sukan Olimpik 2012, kedua-duanya di London.

Sementara itu, Chong Wei sudah mula menjalani latihan biarpun belum 100 peratus pulih daripada kecederaan dan berharap kecergasannya dapat berada di tahap terbaik.

"Saya sedar harapan amat tinggi dan kerana itu saya perlu melakukan yang terbaik, tambahan pula cabarannya hampir sama dengan Sukan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

'Jangan sampai ganggu persiapan pemain'

Posted: 07 Aug 2014 10:33 AM PDT

Kuala Lumpur: "Jangan sampai ganggu persiapan pemain untuk Kejohanan Dunia dan Sukan Asia".

Itulah yang ditegaskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berikutan pergolakan yang berlaku dalam kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Kunci utama adalah isu ini tidak boleh mengganggu persiapan pemain terutama di Sukan Asia 2014 Incheon," katanya.

Sebaik berakhir Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff seolah-olah menyalahkan jurulatih Rashid Sidek berikutan kegagalan pemain perseorangan, Chong Wei Feng dan Liew Daren mempertahankan pingat emas acara itu.

Semalam, Rashid pula menganggap apa yang dikatakan Tengku Mahaleel itu tidak adil.

"Tengku Mahaleel mempunyai pengalaman dari aspek pengurusan, dia pernah berada dalam dunia korporat.

"Dia memang arif dalam perkara ini dan ia akan di selesaikan dengan segera," katanya.

Zolkples berkata, beliau tidak boleh masuk campur dalam perkara ini yang membabitkan isu dalam badan sukan.

Tengku Mahaleel pernah terbabit dalam bidang korporat selepas menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Berhad sehingga 2005 dengan memegang jawatan itu selama lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Biarlah realistik!

Posted: 07 Aug 2014 10:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan era 80-an, Khalid Ali mengingatkan barisan staf kejurulatihan dan pemain Harimau Malaya agar berpijak di bumi nyata dengan mengkaji semula sasaran untuk layak ke final Piala AFF.

Menurut bekas pemain tengah negara itu, Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang terlalu tinggi diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Dollah dikhuatiri boleh memberi tekanan kepada pasukan negara yang kini berada di Tajikistan bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu skuad kebangsaan negara itu malam ini.

"Cakap memang senang, tapi adakah pasukan kita memiliki kualiti diperlukan itu? Kalau nak pasang niat tiada masalah, tapi kita perlu sedar di mana pasukan negara berada.

"Saya bukan mahu bersikap negatif, tapi ini pandangan ikhlas saya.

Kalau masih berada di takuk sama dan sikap pemain tidak berubah, saya rasa kita tidak mampu pergi jauh malah kemungkinan kita terkandas awal tetap ada.

"Lagipun, rekod pertemuan kita dengan Singapura dan Thailand tidak begitu baik, malah sering tewas setiap kali bertemu dalam aksi penting," katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Dollah diletakkan sekumpulan dengan dua pasukan kuat, Singapura dan Thailand yang pernah menjulang mahkota itu lebih daripada sekali berbanding Malaysia hanya sekali pada 2010.

Singapura yang akan tampil selaku juara bertahan selepas muncul juara dua tahun lalu apabila menghampakan Thailand 3-2 di final melengkapkan status selaku pasukan paling digeruni dengan menjuarai piala itu empat kali (1998, 2004, 2007, 2012) manakala Thailand tiga kali (1996, 2000, 2002).

Justeru, Khalid yang juga kenalan rapat Dollah mengharapkan bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dapat melakukan transformasi dari segi corak permainan bertahan kepada corak serangan yang amat digemari jurulatih itu.

"Dollah perlu ubah dan yang pasti taktikal yang akan digunakan nanti mesti berbeza.

Foto

PEMAIN negara bakal hadapi misi getir di Singapura.


Jangan amalkan gaya permainan bertahan yang sering digunakan jurulatih sebelum ini," katanya.

Laluan skuad kebangsaan juga bertambah sukar apabila selain Singapura dan Thailand, satu lagi slot Kumpulan B kemungkinan menjadi milik Myanmar yang menjadi pasukan pilihan menjuarai pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Bimbang 'bahang' Dushanbe

Posted: 07 Aug 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan tugas sukar menentang pasukan penuh 'misteri' Tajikistan dalam aksi cuaca panas di Stadium Dushanbe Central bagi aksi persahabatan antarabangsa pertama di bawah kendalian ketua jurulatih baru Dollah Salleh, hari ini.

Perjalanan hampir 24 jam dari Kuala Lumpur untuk tiba di Dushanbe, Selasa lalu pasti memenatkan namun itu bukan cabaran sebenar buat pemain negara.

Sebaliknya, prestasi anak buah Dollah itu akan diuji menentang Tajiskitan, pasukan di ranking ke-124 dunia selepas Harimau Malaya berehat tiga bulan tanpa sebarang aksi antarabangsa.

Dan pengendali itu mengakui tidak tahu sejauh mana kemampuan pasukan tuan rumah kendalian Mukhsin Mukhamadiev itu yang tidak pernah mereka temui sebelum ini.

"Tidak banyak maklumat yang boleh saya kumpul mengenai pasukan Tajikistan, saya cuma mengetahui serba sedikit menerusi pencarian maklumat di Internet saja.

Saya tidak tahu untuk menilai kemampuan mereka," kata Dollah ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Tajikistan yang memiliki ranking lebih baik berbanding Malaysia di tangga ke-151 gagal melayakkan diri dalam Piala Cabaran AFC Mei lalu dan berdasarkan rekod perlawanan persahabatan tahun ini, pasukan yang mempunyai corak permainan fizikal seperti Eropah itu berjaya menewaskan Afghanistan 1-0 sebelum tewas 1-2 di tangan Estonia.

Bagaimanapun, apa yang boleh beliau jangkakan dalam perlawanan pada jam 6 petang di Dushanbe (8 malam waktu tempatan) itu adalah aksi dalam cuaca panas terik dengan suhu melebihi 36 darjah Celsius.

"Tiada apa yang membimbangkan cuma cuaca panas walaupun kita turun bermain jam 6 petang.


Panas di sini agak terik, berbeza dengan panas di Malaysia dan saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca," kata bekas penyerang kebangsaan itu.

Dollah, 50, membawa 23 pemain ke Dushanbe dan hampir kesemua pemain berpengalaman di pentas antarabangsa seperti penyerang Mohd Safee Sali, Norshahrul idlan Talaha, pemain tengah Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.

"Semua pemain bebas daripada kecederaan.


Saya pening untuk memilih kesebelasan utama kerana semua pemain layak beraksi dalam skuad utama.

Saya harap semua pemain dapat beraksi dengan baik," katanya.

Sebelum sepak mula perlawanan itu, semua pemain akan bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada insiden pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Vietnam, Indonesia uji taring Harimau Malaya

Posted: 07 Aug 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang persediaan lebih rapi bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya sebelum ke kejohanan Piala AFF November ini dengan mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pencabar serantau Vietnam dan Indonesia.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, dua perlawanan itu sebagai ganti aksi persahabatan dengan Singapura yang dibatalkan.

"Selepas berbincang antara kedua-dua pihak, kami terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan dengan Singapura kerana kedua-dua pasukan beraksi dalam kumpulan sama di Piala AFF.

"Tapi, ia tidak menjejaskan persiapan skuad kebangsaan kerana kami kini mengatur perlawanan dengan Vietnam dan Indonesia di gelanggang lawan yang dijangka diadakan pada bulan September dan November.

"Saya sudah menghantar kertas cadangan ini kepada jurulatih Dollah Salleh dan pengurus pasukan Datu Susarsono (Osman) dan perkara ini akan dimuktamadkan minggu depan," katanya kepada Arena Metro semalam.

Pada awalnya, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menjemput Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan sempena pembukaan stadium baru, Stadium Nasional, namun aksi itu beberapa kali tertangguh kerana masalah tarikh perlawanan.

Perlawanan itu akhirnya dibatalkan selepas undian Piala AFF Selasa lalu menyaksikan pasukan tuan rumah Singapura diundi dalam kumpulan yang sama bersama Malaysia, Thailand dan satu lagi pasukan juara pusingan kelayakan.

Dalam pada itu, Hamidin menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan skuad kebangsaan di bawah kendalian Dollah Salleh bermula dengan aksi persahabatan menentang Tajikistan di Dushanbe hari ini.

"Saya baru menghubungi Dollah tadi (semalam) dan mendapat perkhabaran semua pemain dalam keadaan terbaik dan bebas daripada kecederaan.


"Saya harap Dollah dan anak buahnya dapat melakukan sesuatu pada perlawanan ini walaupun kita semua tahu beliau tidak mempunyai banyak masa mempersiapkan pasukan kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Wee Wern sasar final Sukan Asia

Posted: 07 Aug 2014 10:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita nombor dua negara, Low Wee Wern (gambar) menetapkan sasaran tinggi dalam Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dengan mengintai tempat di final acara individu.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 24 tahun itu berharap dapat memperbaiki pencapaian pingat gangsa dimenanginya dalam edisi 2010 di China, dan berkata, saingan terbesar bakal dihadapinya dari dua negara iaitu India serta Hong Kong dalam edisi 2014 yang berlangsung di Incheon mulai 19 September.

"Saya harap pasukan kami dapat mengekalkan pingat emas yang diraih pada 2010 dan bagi acara perseorangan, saya harap dapat mara ke final.

"Saya baru sembuh daripada demam denggi dan mudah-mudahan ini akan melonjakkan semangat saya untuk melakukan yang terbaik dalam kejohanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan slogan iklan baru Puma, 'Forever Faster', semalam.

Wee Wern berkata, sebelum Sukan Asia, beliau akan beraksi dalam Terbuka Malaysia 2014, yang akan diadakan di Pusat Skuasy Negara dari 17-23 Ogos di samping Terbuka Hong Kong 2014 dari 24-31 Ogos.

"Saya harap dapat melangkah hingga suku akhir Terbuka Malaysia dan saya jangka akan bertemu pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Weleily jika berjaya melepasi pusingan awal manakala bagi Terbuka Hong Kong, saya harap dapat melakukan sebaik mungkin," katanya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

No comments:

Post a Comment