Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Warkah taubat pencuri insaf

Posted: 05 Aug 2014 12:22 PM PDT

Gombak: "Ya Allah, di saat Winzulaidi terjatuh, Winzulaidi berserah kepadaMu Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dan maafkanlah kesalahan Winzulaidi di duniaMu Ya Allah." Itu yang tertera dalam warkah taubat seorang pencuri yang menyesal dengan perbuatannya dan bertindak memulangkan kembali beberapa keping dinar emas bernilai kira-kira RM3,000 kepada mangsa.

Malah, pencuri yang dipercayai warga Indonesia itu turut membayar 'ganti rugi' sebanyak 10,000 Rupiah (RM2.70) dalam kejadian di Taman Sri Gombak, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa, Marianti Chadijah Mohd Ghazali, 35, bersama suaminya Mior Yusuf Ahmad Fuad, 38, terkejut selepas mendapati rumah yang ditinggalkan hampir seminggu selepas pulang berhari raya di kampung dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba di rumah mereka.

Menurut Marianti, dia dan suaminya tiba di Gombak kira-kira jam 12.30 tengah malam sebelum mendapati lampu di ruang balkoni rumah terpasang.

Foto

MARIANTI (gambar kecil) menunjukkan nota taubat yang ditinggalkan pencuri.


"Sebelum tiba di rumah lagi, hati saya rasa berdebar-debar dan merasakan sesuatu sedang berlaku. Telahan saya benar apabila tiba di persimpangan rumah, saya dapati lampu di balkoni menyala.


"Saya bertanya kepada suami sama ada dia terlupa menutup lampu namun suami yakin dia sudah menutup lampu sebelum pulang ke kampung," katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Katanya, apabila sampai di hadapan rumah suami melihat pintu pagar dan jeriji rumah berkunci namun pintu depan sudah terbuka.

"Malah meja yang diletakkan di tepi dinding beralih ke tengah manakala kotak yang disediakan untuk tempat tinggal kucing dibentang sepertimana digunakan golongan gelandangan tidur," katanya.

Menurut Marianti, selepas yakin rumah dimasuki pencuri suami kemudiannya menghubungi polis dibimbangi terdapat orang di dalam rumah.

"Setibanya polis di rumah, suami cuba membuka pintu namun gagal dan terpaksa masuk ikut pintu belakang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

'Pintu bas Pak Wan terbuka'

Posted: 05 Aug 2014 12:11 PM PDT

Kuantan: "Pak Wan (Wan Mohamed Shah Wan Mohd Ramlee) selalu berpesan kepada saya supaya menutup pintu bas dengan kuat setiap kali memandu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Namun, sebaliknya berlaku apabila dia terbabit kemalangan hingga meragut nyawanya akibat pintu bas tiba-tiba terbuka," kata rakan sekerja mangsa, Mohd Ali Nor Mohamed, 39.

Lebih tragis dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, pemandu bas, Wan Mohamed Shah, 58, dari Taman Kempadang Perdana, di sini, maut dalam keadaan mengerikan dengan kepala pecah digilis bas dipandunya di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Tanjung Lumpur, di sini.

Ketika kejadian mangsa berseorangan memandu bas milik Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP) dalam perjalanan dari asrama pusat pengajian itu di Kampung Peramu untuk mengambil pelajar di Taman Gelora, di sini.

Foto

BAS Kolej IKIP terbabas dan merempuh deretan kereta di hadapan premis perniagaan.


Namun, ketika tiba di tempat kejadian, pintu pemandu secara tiba-tiba terbuka menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis tayar belakang bas menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.


Akibat kejadian itu, bas terbabit bergerak kira-kira 50 meter tanpa pemandu hingga menghentam tiga kereta, tiang elektrik dan dua kedai membaiki kenderaan sebelum berhenti.

Mohd Ali berkata, sebelum kejadian mangsa sering berpesan supaya berhati-hati kerana pintu bas itu boleh terbuka sendiri, sekali gus berisiko tercampak keluar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Arwah anak rayu ibu tak balik KL

Posted: 05 Aug 2014 12:08 PM PDT

Kota Bharu: "Mereka pernah merayu supaya saya tidak tinggalkan mereka, sebaliknya bekerja di sini, namun kami bukan orang senang.

"Saya perlu bekerja untuk menyara kedua-duanya termasuk anak bongsu yang tinggal dengan saya di Kuala Lumpur," kata Siti Aishah Mahmood, 36, ibu kepada dua beradik yang dirempuh sebuah lori empat tan dalam kemalangan di Kampung Repek, Pasir Mas, kelmarin.

Dalam kejadian itu, anak kedua Siti Aishah, Mohd Arif Zafran Mohd Zaki, 6, meninggal dunia manakala abangnya, Mohd Amir Zakuan, 8, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian menimpa anaknya, apatah lagi teringatkan rayuan mereka yang mendesak untuk tinggal bersama dan tidak mahu berpisah.

Katanya, ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri lalu, Mohd Arif Zafran dan Mohd Amir Zakuan memeluknya sambil menangis kerana tidak mahu dia kembali ke ibu negara.

"Saya bercuti selama seminggu dan pulang ke Kuala Lumpur Khamis lalu.

Sepanjang berada di kampung, setiap hari kami akan tidur bersama dan mereka memang seperti kembar yang sentiasa bersama, malah manja dengan saya.

"Walaupun tinggal berjauhan, kami sentiasa berhubung tetapi desakan hidup menyebabkan saya perlu meninggalkan mereka selepas bercerai dua tahun lalu, wang perbelanjaan diberikan suami kepada tiga anak tidak mencukupi.

"Saya hanya mampu membawa anak bongsu Mohd Akil Zikri yang kini berusia empat tahun bersama untuk tinggal di rumah yang disewa beramai-ramai manakala Mohd Arif Zafran dan Mohd Amir Zakuan diletakkan di bawah jagaan ibu.

"Ia keputusan yang sangat berat, namun kami tiada pilihan.

Apabila kejadian ini berlaku, menyebabkan saya tertekan dan sangat sedih," katanya ketika ditemui di HUSM, semalam.

Ibu tunggal itu berkata, dia segera pulang ke kampung sebaik dimaklumkan kejadian menimpa dua beradik terbabit, namun hatinya hiba apabila gagal bersama mereka di saat kedua-duanya memerlukan.

"Saya berharap anak sulung yang parah di kepala, badan dan patah kaki kanan akan segera pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa meskipun kehilangan adik kesayangan yang seperti kembarnya," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kejadian kemalangan membabitkan dua beradik yang berpimpin tangan dalam perjalanan ke rumah guru mengaji al-Quran sebelum dirempuh sebuah lori empat tan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Amuk lelaki gila talak

Posted: 05 Aug 2014 12:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai gila talak bertindak ganas apabila menyerang suami bekas isterinya menggunakan serpihan kaca tingkap dalam kejadian di Kampung Chubadak, Sentul di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang mangsa dikatakan berada bersama isterinya sebelum suspek datang bersama seorang lagi rakan dengan menjerit memanggil nama mangsa serta melakukan provokasi untuk mengajak mangsa bergaduh.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa berusia 21 tahun tidak mengendahkan suspek selepas dipujuk isterinya agar tidak keluar daripada rumah untuk berjumpa suspek.

"Berang kerana pelawaan untuk bergaduh dengan mangsa tidak dilayan, suspek merosakkan motosikal Yamaha RXZ milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah sebelum mangsa keluar untuk melihat kejadian itu," katanya.


Munusamy berkata, suspek yang bernama Mohamad Syafiq Mohd Alias juga berusia 21 tahun terus menerkam mangsa sebaik melihat mangsa keluar daripada rumahnya dan berlaku pergelutan selama beberapa minit.


Beliau berkata, suspek kemudian mengambil serpihan kaca tingkap dan terus menyerang mengakibatkan mangsa cedera di bahagian telinga kanan akibat dikelar.

"Panik dengan kejadian itu suspek bersama rakannya melarikan diri dan isteri mangsa mendapatkan bantuan jiran untuk membawa suaminya ke hospital sebelum isteri mangsa membuat laporan polis," katanya.

Munusamy memberitahu mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu suspek yang juga lelaki Melayu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Geng Ben tersungkur akhirnya

Posted: 05 Aug 2014 12:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah dikenali sebagai Geng Ben yang dikesan bergerak aktif sejak dua tahun lalu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, hasil daripada kejayaan terbabit polis turut merampas tujuh kenderaan mewah curi bernilai hampir RM1 juta.

Katanya, kumpulan berkenaan dianggotai dua Lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 37 tahun.

"Antara kereta yang dirampas termasuk Mercedes Benz, Audi, Honda City dan empat lagi Volkswagen Golf.

Foto

ZAINUDDIN (kiri) menunjukkan kereta mewah curi yang dirampas,semalam.


"Hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan bergerak aktif di kawasan sekitar Lembah Klang, Kajang dan Alor Setar, Kedah.


"Modus operandi kumpulan ini melakukan samun di rumah sebelum melarikan kenderaan milik mangsa yang disamun," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, keempat-empat individu ini ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan pihaknya.

Katanya, semua suspek ditahan reman dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

Zainuddin berkata, setakat ini polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

No comments:

Post a Comment