Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Buka buku baru'

Posted: 11 Aug 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Usah kenang apa yang sudah disumbangkan kerana ada kalanya ia tidak mampu memenuhi kehendak pihak tertentu. Mungkin sudah tiba masanya Rashid (Sidek) melepaskan jawatan dan mencari jalan berbeza."

Meskipun sudah lama tidak duduk sebumbung bersama Rashid, abang ketua jurulatih badminton negara itu, Jalani Sidek merasakan sudah tiba masanya Rashid meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia(BAM).

"Buka buku baru. Jangan terlalu fikirkan apa yang berlaku kerana ia hanya mengusutkan keadaan, sama ada peribadi atau jurulatih profesional.

"Sudah 10 tahun Rashid bersama BAM dan apapun yang dialaminya perlu dijadikan pengajaran untuk mengorak karier yang lebih cemerlang selaku jurulatih profesional.

Foto

JALANI Sidek

Foto

RASHID sudah 10 tahun bersama BAM.


"Bagi saya yang penting fikirannya tidak bercelaru. Masih banyak peluang lain yang boleh diterokainya sama ada dalam mahupun luar negara.


"Dia pernah ke India, menjadi jurulatih kelab di sana dan masih banyak kelab tempatan yang sedia menagih sumbangannya.

"Pengalamannya sebagai pemenang pingat gangsa Olimpik boleh digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan persembahan pemain yang bakal dididiknya," katanya.

Rashid sudah bersama BAM selama 10 tahun dan pernah dilantik ketua jurulatih kelab Delhi Smashers sempena Liga Badminton India (IBL) Ogos tahun lalu.

Sebulan selepas itu, Rashid pernah melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih perseorangan BAM, namun 10 hari kemudian menarik balik keputusan itu dengan alasan ingin menyambung bakti kepada negara selepas dinasihati beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sengketa yang berlaku antara Rashid dan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sejak pulang dari Sukan Komanwel Glasgow awal bulan ini memuncak apabila jurulatih itu dilabel gagal melaksanakan tanggungjawabnya kerana terlepas pingat emas perseorangan lelaki selepas dua anak didiknya, Liew Daren dan Chong Wei Feng terkandas awal.

Sebagai abang, Jalani menganggap Rashid perlu memikirkan apa yang terbaik untuk dirinya, bukan terbabit perkara remeh yang sepatutnya tidak perlu difikirkan.

"Hakikatnya, sebagai pekerja, Rashid perlu akur segala rumusan pihak pengurusan. Majikan inginkan yang terbaik daripada setiap pekerjanya dan dalam sukan, keputusan menjadi titik penilaian mereka.

"Jika menang, anda pasti disanjung, jika tewas, sebaliknya. Terimalah apa saja kritikan dan jadikan ia satu cabaran.

"Andai merasakan sudah tiba masanya untuk mencari pengalaman baru, lepaskanlah jawatan yang dipegang, mungkin itu yang terbaik.

"Sebagai jurulatih profesional, Rashid tidak perlu memikirkan apa yang sudah disumbangkan kerana itu sebahagian daripada tanggungjawabnya.

"Yang penting beliau berasa puas hati dan sudah tiba masanya untuk membina karier di luar BAM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Rashid masih jurulatih: BAM

Posted: 11 Aug 2014 10:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih mengganggap Rashid Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan negara meskipun jurulatih bersia 45 tahun itu secara terbuka sudah menyatakan mahu meletak jawatan.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, ketetapan itu diambil kerana pihaknya masih belum menerima sebarang hitam putih daripada Rashid yang melanjutkan cuti hari rayanya selama dua hari dan hanya akan mula bertugas esok selepas membantu skuad negara meraih tiga pingat emas di Sukan Komanwel lalu.

"Sebenarnya buat masa ini Rashid masih bercuti lagi.

Dia mohon cuti hari ini (semalam) serta esok (hari ini) dan dijangka mula bekerja pada Rabu (esok).

"Kita masih anggap Rashid sebagai jurulatih sebab kita belum terima apa-apa (surat) lagi.

"Saya pun tak tahu sangat mengenai perkara ini.

Lebih baik saya anggap dia (Rashid) masih sebagai jurulatih," katanya ketika ditemui pada majlis undian Kejohanan Dunia semalam.

Rashid sebelum ini mendedahkan secara terbuka dipinggirkan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff selepas diketepikan dalam satu mesyuarat khas bersama jurulatih minggu lalu.

Sebelum itu, kedua-duanya saling berperang mulut selepas pemain perseorangan negara gagal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow dalam acara perseorangan lelaki.

Rashid kemudian secara terbuka menyatakan mahu meletak jawatan dalam tempoh terdekat dan ia dijangka berlaku esok iaitu hari pertama beliau kembali menyertai sesi latihan selepas pulang dari Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Laluan mudah Chong Wei

Posted: 11 Aug 2014 10:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Takhta kejuaraan Kejohanan Dunia bakal menjadi milik Datuk Lee Chong Wei selepas pemain nombor satu dunia itu memperoleh undian mudah pada saingan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 25 Ogos ini.

Menerusi undian semalam, pemain berusia 32 tahun itu akan berdepan Lee Dong Keun dari Korea Selatan pada pusingan pertama.

Dijangka tidak berdepan masalah menundukkan Dong Keun, Chong Wei akan bertemu sama ada jaguh India yang juga juara perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli atau Dieter Domke dari Jerman pada pusingan kedua.

Pemain Thailand, Boonsak Ponsana dijangka menjadi lawan pusingan ketiga.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot yang memaksanya menarik diri daripada temasya Sukan Komanwel, beliau tetap percaya Chong Wei tetap mampu memberikan aksi terbaik.

"Dalam kes Chong Wei, dia seorang pemain yang sangat istimewa.

"Kita semua menghargai dan tahu dia mempunyai faktor X.

Sama ada cedera atau belum pulih sepenuhnya, dia akan sentiasa memberikan yang terbaik.

"Saya rasa sekarang bukan masanya untuk kita memberikan tekanan kepadanya," katanya.

Kenny juga berkata, BAM turut mengharapkan beregu lelaki negara mampu membuktikan sesuatu pada kejohanan berprestij itu.

Tiga beregu lelaki negara yang akan beraksi ialah Tan Wee Kiong-Hoon Thien Howe, Goh V Shem-Lim Khim Wah serta gandingan senior Tan Boon Heong-Koo Kien Keat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Bersatu atau tarik diri!

Posted: 11 Aug 2014 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akhirnya membuat keputusan yang sudah dijangka, merehatkan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selaku ketua jurulatih skuad hoki negara dan menggantikannya dengan Arul Selvaraj sehingga badan induk itu mendapat jurulatih asing yang dilantik secara tetap.

Sambil dibantu Tai Beng Hai yang turut memikul tugas selaku pengurus pasukan menggantikan George Koshy, tugas berat terletak di tangan kedua-duanya untuk memasikan skuad negara memenangi pingat emas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang berlangsung 19 September, sekali gus menempah tiket ke Sukan Olimpik di Rio pada 2016.

Gandingan Arul serta Beng Hai hanya mempunyai masa 38 hari untuk mencipta keputusan itu, sesuatu yang mustahil pada pandangan mata kasar.

Bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan pada mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi semalam Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak menggugurkan pasukan negara dari Sukan Asia sekiranya pemain tidak bersatu kembali dan bersemangat untuk beraksi di temasya itu.

"Dengan perlantikan kedua-dua mereka, saya harap barisan pemain negara bangkit semula.

Saya sendiri akan bertemu dengan pemain.

"Semua ini terpulang kepada mereka.

Kalau tidak tunjukkan sikap positif, ada kemungkinan kita tidak hantar pasukan (ke Sukan Asia)," katanya pada sidang media semalam.

Tengku Abdullah merujuk kepada suasana tidak harmoni dalam pasukan membabitkan pemain remaja dan senior serta kegagalan mereka untuk bekerjasama dengan Dhaarma yang menyebabkan skuad negara mempamer aksi hambar di Piala Dunia serta Sukan Komanwel.

Ditanya kedudukan Dhaarma, Tengku Abdullah berkata, jurulatih berusia 45 tahun itu akan direhatkan dan dipanggil semula untuk menggalas tugas tertentu dalam staf kejurulatihan sekiranya beliau berminat untuk terus bersama skuad kebangsaan.

Jelas Tengku Abdullah lagi, banyak faktor yang mendorong kepada keputusan untuk merehatkan Dhaarma.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

PKBM tutup mulut

Posted: 11 Aug 2014 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil sikap berdiam diri berhubung nasib mereka selepas Panel Penasihat Sukan (PPS) memuktamadkan cadangan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tanpa mahu merayu atau meraih simpati, badan induk berbasikal negara itu masih menanti 'hukuman' yang bakal diputuskan Khairy.

Selepas audit dijalankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) awal tahun ini, PKBM dilapor mempunyai kelemahan dan kepincangan serius dalam pengurusan kewangan membabitkan dana disalurkan kerajaan.

"Setakat ini tiada sebarang makluman atau surat diteri ma mengenai perkara itu, saya tidak boleh berikan komen lanjut," kata Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab ketika dihubungi semalam.

Arena Metro pada Sabtu lalu melaporkan PPS sudah memuktamadkan pendirian selepas mesyuarat pada Khamis dan diminta Khairy memberikan cadangan terhadap isu audit membabitkan PKBM itu.

Memandangkan isu membabitkan dana kerajaan itu serius, PKBM mungkin berdepan tindakan penggantungan dan pembatalan, namun kata putus terletak di tangan Khairy dan hingga kini tidak sebarang pengumuman mengenainya.

"Kebetulan kami mengadakan mesyuarat exco dan turut membincangkannya pada hari itu dan kami sebulat suara bersetuju tidak memberikan sebarang kenyataan hingga mendapat surat pihak menteri.

Biarlah menteri membuat keputusannya dan mungkin selepas itu akan memanggil kami," katanya.

PKBM menjadi tumpuan sejak kegagalan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013, kali terakhir memenangi emas dalam acara lebuh raya pada 2005, hingga mengheret isu membabitkan peruntukan yang disalurkan KBS untuk pembangunan atlet lebuh raya negara selaras dengan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).

Foto

ABU Samah (kanan) enggan komen lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Analisis punca kegagalan Glasgow hari ini

Posted: 11 Aug 2014 09:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Punca dan kekusutan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran di Sukan Komanwel Glasgow dijangka terurai hari ini apabila mesyuarat post-mortem dijalankan semua pihak terbabit.

Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas kontinjen negara, diketuai Datuk Ong Poh Eng meraih enam pingat emas, kurang satu berbanding sasaran rasmi tujuh.

Pencapaian itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak yang saling menuding jari susulan kemerosotan prestasi itu di samping pemecatan jurulatih selain Khairy sendiri turut menawarkan diri untuk meletak jawatan sekiranya kegagalan berpunca daripadanya.

"Pada saya post-mortem sangat penting bagi mencari punca kegagalan di Glasgow.

Apa yang sudah berlaku, sudah berlalu tapi paling penting kita menyedari dan mengenalpasti kesilapan supaya tidak mengulanginya pada masa depan.

"Apabila sudah mengenalpasti masalah, kita perlu cari jalan penyelesaian terbaik dan melaksanakannya.

Sukan bukan mudah, semua pihak perlu bersatu hati," kata Poh Eng yang turut melahirkan kekecewaannya susulan kegagalan di Glasgow itu.

Beliau berkata, mentaliti atlet negara perlu diubah dan akan mengetengahkannya pada mesyuarat itu.

"Saya akan cadangkan beberapa perkara dan berharap tiada pihak mengatakan saya memandai.

Foto

POH Eng (kiri) dan atlet negara tiba di Lapangan Terbang KLIA, minggu lalu.


Kita perlu akui banyak perkara perlu ditingkatkan andai mahu bergelar juara sebenar.

"Mentaliti atlet perlu berubah, anda boleh lihat sekarang atlet seolah-olah mempunyai kata putus, sesuatu yang berbeza di negara lain.


Bayangkan ada atlet boleh memutuskan jurulatihnya sendiri, hisap rokok, bermain telefon bimbit ketika latihan (tidak serius) dan sebagainya, bagaimana mereka mahu menjadi juara jika perkara asas seperti ini tidak boleh diamalkan.

"Jika mahu berjaya, disiplin asas anda perlu lakukan dan ada perkara perlu dikorbankan.

Pada saya, aspek mental sejak awal lagi perlu diterapkan kepada atlet negara dan tidak hanya tertumpu ketika kejohanan tertentu saja," katanya yang juga Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Turut dijadual berlangsung hari ini mesyuarat membabitkan sukan yang terbabit ke Sukan Asia di Incheon Korea Selatan yang berlangsung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

MMBC hantar 30 pelumba

Posted: 11 Aug 2014 09:56 AM PDT

Ipoh: Penganjuran cemerlang kejohanan mountain bike anjuran akhbar Harian Metro menjadi punca utama pasukan Moreira Mountain Bike Club (MMBC) berhasrat menyertai sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Kuala Kangsar pada 23 dan 24 Ogos ini.

Ketua pasukan MMBC Badli Faisal Zainuldin berkata, berdasarkan pengalaman lalu, ahli kelab itu puas hati dengan layanan serta mutu penganjuran menyebabkan mereka ingin menyertai setiap kejohanan mountain bike dianjurkan Harian Metro.

"Ahli MMBC akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada kejohanan anjuran akbar Harian Metro," katanya.

Badli yang lebih mesra dengan sapaan Bad berkata, bagi sirkit pertama, MMBC akan menghantar 30 pelumba memandangkan kejohanan itu diadakan di negeri Perak.

"Kuala Kangsar dekat saja dengan Ipoh.

tidak ada masalah untuk kami menghantar seramai mungkin pelumba," katanya.

Menurutnya, MMBC tidak memburu kemenangan sebaliknya ingin mengecap kepuasan berkayuh serta mengeratkan hubungan silaturahim dengan pelumba lain ketika menyertai perlumbaan.

"Kami bukan hendak menang, tapi mahu menerap nilai murni seperti disiplin, kerjasama dan ukhwah," katanya.

Seperti biasa, Badli menegaskan dua tokoh MMBC, Azman Zakaria dan Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali Pak Abu dalam kalangan pencinta sukan basikal lasak menjadi duta pasukan itu.

"Dua tokoh ini sinonim dengan pasukan.

Ramai yang mengenali mereka.


Azman sebagai pelumba veteran handalan manakala Pak Abu 'orang lama' dalam sukan basikal," katanya.

Badli berkata, hingga kini ahli-ahli MMBC sudah menyertai lebih 10 perlumbaan mountain bike dan menganggap perlumbaan di Baling, Sepang, Pulau Pinang dan Janda Baik antara yang terbaik setakat ini.

Sirkit pertama HMMTB GP ini akan diadakan di Litar Padang Rengas sejauh 40 kilometer mempertandingkan dua acara iaitu jamboree dan XC race.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Kami kecewa!

Posted: 11 Aug 2014 09:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Badai melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berikutan pendedahan wujudnya unsur penipuan borang pemilihan Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ke-64 tampak semakin kuat apabila kali ini, bekas pemain skuad Merah Kuning pula turut meluahkan kekecewaan.

Bekas pemain tengah Selangor era-90an Shahril Arsat berkata, status Selangor selaku pasukan gergasi dalam arena bola sepak negara yang mula hilang belang sejak lima musim lalu tanpa sebarang kejuaraan amat mengecewakan kerana pasukan negeri itu sudah sinonim dengan Piala Malaysia.

Shahril pernah tiga kali menggondol trofi Piala Malaysia pada musim 1995, 1996 dan 1997 di bawah pengurusan Datuk Aini Taib yang dianggap era emas bola sepak negeri itu.

Menurutnya, prestasi mengecewakan Selangor beberapa musim lalu membuktikan pengurusan FAS gagal memainkan peranan berkesan dalam memacu kejayaan, malah Selangor dilihat semakin jauh ketinggalan berbanding Kelantan, Johor Darul Ta'zim dan Pahang yang menerapkan sistem pengurusan lebih efisien.

"Pada saya mudah, jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang.

Apa yang didedahkan mengenai unsur penipuan dalam pemilihan FAS saya tidak tahu, tapi melihatkan kepada kegagalan pengurusan FAS dan Selangor dalam liga tempatan, ia sesuatu yang amat mengecewakan.

"Justeru, perlu ada perubahan dan idea baru demi memastikan kejayaan Selangor yang kali terakhir memenangi Piala Malaysia sembilan tahun lalu," katanya semalam.

Sementara itu, bekas penjaga gawang The Red Giants, Jamsari Sabian pula mendakwa pihak pengurusan FAS yang diterajui Datuk Mokhtar Ahmad seolah-olah melupakan jasa dan keringat bekas pemain kebangsaan sepertinya apabila tidak langsung mendengar pandangan atau menagih khidmat mereka.

"Sebagai bekas pemain, saya langsung tidak diberi peluang memberi pandangan atau mencurah pengalaman bagaimana untuk mengekalkan penguasaan Selangor dalam kancah liga tempatan.

"Saya berasa khidmat saya langsung tidak diperlukan, begitu dengan bekas pemain lain.

Foto

MOKHTAR didakwa tak hirau bekas pemain.


Bukan itu saja, saya melihat segala kemudahan berkaitan pengurusan persatuan juga tidak tersusun dan berjalan dengan baik.

"Misalnya, ketika saya bergelar pemain bersama Selangor dulu, kami sering memiliki bakat baru yang dibawa masuk dari pasukan bawahan (skuad Piala Presiden) dan lebih memberi peluang kepada anak jati negeri ini untuk membarisi skuad utama.


"Bukan untuk menidakkan kehadiran pemain luar, tapi berilah sedikit kelebihan agar kesinambungan bakat dari Selangor terus muncul," katanya yang pernah menjuarai Piala Malaysia pada musim 2005.

Sebelum ini, Wisma FAS di Kelana Jaya digegarkan dengan pendedahan mengenai 93 ahli gabungan dihalang mengisi nama calon pada borang pencalonan untuk mesyuarat kongres yang akan berlangsung di Kelab Shah Alam, pada 18 Ogos ini.

Difahamkan petang ini, sebilangan besar penyokong Selangor merancang mengadakan demonstrasi aman di depan Wisma FAS bagi menuntut pemilihan adil pada kongres kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

'Beri Dollah masa, peluang'

Posted: 11 Aug 2014 09:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Ruang dan peluang seharusnya diberikan kepada Dollah Salleh untuk membuktikan keupayaannya meskipun mencatat kekalahan pertama selaku jurulatih Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kekalahan 1-4 kepada Tajikistan pada Jumaat lalu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus mengkritik pengendali yang menggantikan tempat Datuk K Rajagobal itu.

"Kita perlu beri peluang dan masa kepada Dollah sebelum membuat sebarang andaian.

"Saya pun tak sempat berjumpa pemain dan Dollah lagi.

Tapi saya harap mereka akan pamerkan aksi lebih baik selepas ini," katanya selepas mempengerusi mesyuarat tergempar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)semalam.

Tengku Abdullah yang turut menggalas tugas Presiden MHC mengulas mengenai undian skuad negara di Kejohanan Piala AFF 2014 di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember.

"Bagi saya kedua-dua kumpulan susah.


Pasukan seperti Filipina juga pilihan, begitu juga Indonesia.


Tiada pasukan lemah dalam kejohanan kali ini," katanya.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Singapura serta juara tiga kali, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Zainal sedia robek Johor DT II

Posted: 11 Aug 2014 09:51 AM PDT

Kuantan: Pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan mengesahkan sudah memiliki barisan kesebelasan impian untuk membenam cabaran Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) pada aksi pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu mahu kesebelasan yang disenaraikan mempamerkan prestasi terbaik bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik Pahang.

Menurutnya, setakat ini semuanya berjalan lancar termasuk memastikan empat pemain skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan dengan Tajikistan minggu lalu cergas untuk disenaraikan.

"Apa yang boleh saya katakan empat pemain ini, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Azamuddin Mohd Akil, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan bebas daripada kecederaan dan boleh diturunkan.

"Dengan kehadiran mereka serta kerjasama pemain lain, saya percaya tahap kecergasan mereka akan mencapai 100 peratus untuk memperkasakan skuad Tok Gajah.

"Matlamat utama adalah meraih tiga mata berharga apabila beraksi di gelanggang sendiri selepas lebih dua bulan tidak bermain dalam perlawanan sebenar," katanya.

Zainal Abidin berkata, sokongan padu penyokong setia Tok Gajah juga dialu-alukan dan sudah pasti mereka amat merindui melihat aksi pemain Pahang.

Katanya, jika pemain tidak berada pada tahap terbaik, peminat satu-satunya pembakar semangat untuk memastikan Piala Malaysia kekal di negeri itu.

"Saya percaya selepas lebih dua bulan tidak menyaksikan aksi Tok Gajah, penyokong kembali menghangatkan perlawanan di Stadium Darul Makmur." Pada saingan Kumpulan A, selain Johor DT II, Pahang turut diundi bersama wakil Singapura, LionsXII dan naib juara Liga Perdana, FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment