Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Langkah kanan

Posted: 13 Aug 2014 10:32 AM PDT

Kuala Terengganu: Pengendali baru T-Team Anuar Abu Bakar gagal dalam ujian sulungnya apabila The Titans tewas 1-2 kepada Selangor dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selangor terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah menerusi Andik Vermanshah pada minit pertama namun berjaya dipatahkan benteng tuan rumah yang diketuai Mohd Faizal Muhamad.

Pasukan bimbingan Anuar nyaris membuka jaringan menerusi Muhammad Shahrin Sapien pada minit ke-18, Jimmy Mulisa pada minit ke-20 dan Patrich Wanggai pada minit ke-37, namun semua usaha itu dinafikan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.

Selangor yang sesekali melakukan serangan balas melalui jentera serangan diketuai Paulo Rangel gagal melepasi benteng pertahanan T-Team yang dikawal rapi kapten pasukan, Marzuki Yusof dan gandingannya Mohd Faizal.

Foto

PEMAIN T-Team (Jersi putih), Leandro Dos Santos disekat pemain Selangor, Pantelidis Stilianos.


Bersambung babak kedua, T-Team memerlukan tiga minit untuk jaringan sulung menerusi Wanggai yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-48.


Tersentak dengan jaringan itu, Selangor tidak menunggu lama menyamakan kedudukan menerusi pemain lincah, Andik yang mudah memperdayakan penjaga gol, Wan Azrai Wan Teh pada minit ke-50.

Kelincahan Rangel gagal dihalang benteng tuan rumah apabila pemain dari Brazil itu bijak menghukum kealpaan The Titans untuk gol kemenangan Selangor pada minit ke-53.

Usaha berterusan pasukan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan gagal kerana benteng pelawat mengekang asakan The Titans hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Pulau Pinang kekang Gladiators

Posted: 13 Aug 2014 10:19 AM PDT

Selayang: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila diikat Pulau Pinang 1-1 pada aksi Piala Malaysia yang berlangsung di depan kira-kira 5,000 penyokong di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Prestasi terumbang-ambing ATM sepanjang saingan Liga Super sebelum ini seolah-olah sudah dilupakan anak buah kendalian B Sathianathan apabila mempamerkan permainan penuh bertenaga sejak awal permainan buat memburu tiga mata berharga di halaman sendiri.

Dengan mempertaruhkan sebilangan besar muka lama seperti Rezal Zambry Yahya dan Ahmad Fauzi Shaari dalam kesebelasan utama, sentuhan bintang ATM itu tampak berbisa menerusi hantaran berbahaya ke kubu pelawat.

Seawal minit kelapan, ATM hampir menembusi jaring lawan menerusi awang import dari Korea Selatan, Park Yong Ho tetapi tandukannya tepat ke arah penjaga gol pelawat, G Jeevanathan yang sudah bersedia menafikan peluang terbabit.


Tujuh minit kemudian, pemain sayap kiri ATM, S Thinagaran mempersia-siakan peluang keemasan untuk meletakkan pasukannya di depan selepas permainan satu-dua bersama penyerang dari Haiti, Fabrice Noel berjaya mengatasi pertahanan pasukan Pulau Mutiara itu, namun jangkaan tepat Jeevanathan berjaya menenangkan seketika wajah cemas pengendalinya K Devan.


Namun begitu, aksi tangkas penjaga gol veteran itu akhirnya roboh apabila kapten ATM Hairuddin Omar mudah menolak masuk sepakan sudut di sebelah kiri kubu Pulau Pinang pada minit ke-25.

Selepas tuan rumah mendahului 1-0, ATM dilihat mengendurkan sedikit asakan ke kubu lawan. Pulau Pinang yang pernah muncul juara Piala FA pada musim 2002 menyamakan kedudukan menerusi Muhd Rafiuddin Roddin yang melepasi perangkap ofsaid sekali gus menewaskan Syed Adney Syed Hussein di depan gawang ATM pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, Sathianathan membawa masuk tiga tenaga baru Venice Elphi, Irwan Fadzly Idrus dan penyerang dari Argentina, Juan Manuel Arostegui bagi mencari lebih banyak jaringan namun pertahanan Pulau Pinang kemas menyerap segala asakan bertali arus skuad The Gladiators.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Waspada 'badi' Kedah

Posted: 13 Aug 2014 10:18 AM PDT

Ipoh: Pemain Perak diingatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan dari Liga Perdana, Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi sulung Kumpulan B di Stadium Perak, malam ini.

Ingatan itu diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang sedar pasukan Hijau Kuning itu sering menjadi 'badi' mereka selama ini.

"Jangan pandang mudah lawan semata-mata kerana mereka dari Liga Perdana. Kedah juga mempunyai rekod baik dalam kancah Piala Malaysia,"katanya.

Zainol yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui rekod buruk The Bos Gaurus dalam lima pertembungan terakhir dengan Kedah setakat ini.

Foto

BARISAN pemain Perak perlu lupakan badi di tangan Kedah.


"Kami mahu memperbaiki rekod tidak menang dalam lima pertemuan menentang Kedah. Kami tidak mahu pemain diasak dengan rekod lalu, sepatutnya mereka bermain dengan menganggap saingan Piala Malaysia sebagai gelanggang baru," katanya


Sehubungan itu, beliau berharap pemain akan bermain dengan cara mereka sendiri dan melupakan badi di tangan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Helang Merah ada azimat

Posted: 13 Aug 2014 10:17 AM PDT

Alor Setar: Jika bersandarkan rekod Piala Malaysia, Kedah memang mempunyai kelebihan untuk menang perlawanan menentang Perak di Ipoh, malam ini, namun ketua jurulatih Helang Merah Tan Cheng Hoe tetap menyifatkan hanya pasukan yang beraksi dengan baik mampu keluar sebagai pemenang.

Rekod terbaru kemenangan Kedah ke atas Perak dalam aksi Piala Malaysia dicatatkan ketika mereka menang 1-0 di Ipoh, musim lalu.

"Anak buah saya sedar perlawanan sukar yang mereka perlu lalui di Ipoh esok (malam ini), tapi mereka sudah bersedia mental dan fizikal untuk berdepan cabaran yang pasti menentukan arah tuju kami.

"Ketika ini memang pening kepala untuk memilih 18 pemain terbaik untuk dibawa ke Ipoh kerana mereka yang diberi peluang pada empat perlawanan ujian, beraksi dengan baik," kata Cheng Hoe merujuk kepada kemenangan ke atas Sime Darby 1-0, Harimau Muda C (4-0), Kelantan (4-2) dan seri dengan Selangor (1-1).

Katanya, prestasi Perak juga makin mantap pada beberapa perlawanan terakhir Liga Super dan ini pasti menyukarkan lagi tugas mereka mencuri tiga mata di Ipoh, ditambah pula sokongan ribuan peminat setia yang akan menaikkan semangat barisan pemain lawan.

"Saya hanya akan menamakan kesebelasan utama sebelum perlawanan kerana semua pemain boleh beraksi.

Saya juga yakin pengalaman pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar memberi kelebihan kepada kami selain Khyril Muhymeen Zambri juga sudah boleh beraksi selepas berehat empat bulan kerana pembedahan kaki.

Besar kemungkinan saya memberi peluang kepadanya.

"Saya yakin barisan pemain sudah lupakan kehampaan Liga Perdana musim ini dan mahu membuktikan kewibawaan sebenar dalam kancah Piala Malaysia," kata Cheng Hoe.

Foto

BADDROL sandaran Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Nor Farhan, Abdul Manaf sandaran Terengganu

Posted: 13 Aug 2014 10:16 AM PDT

Kuala Terengganu: Penggempur tempatan yang juga pemain kebangsaan, Mohd Nor Farhan Muhamad dan Abdul Manaf Mamat menjadi taruhan Terengganu untuk merobek gawang Sarawak apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Negeri, Kuching malam ini.

Selain kedua-dua penyerang itu, pemain berpengalaman Mohd Ashari Samsuddin dan kapten Zairo Anuar Zailani turut disandarkan untuk menghasilkan jaringan selepas Moustapha Dabo, 28, dari Senegal kurang menyengat manakala seorang lagi pemain import, Javier Andres Estupinan, 30, dari Colombia tidak dibawa ke Kuching.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim berkata, peningkatan prestasi pemain tempatan terutama ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan melegakannya dan beliau tidak menolak pemain tempatan bakal mengetuai barisan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

'Semua auta!'

Posted: 13 Aug 2014 10:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Kemelut melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) rentetan dakwaan wujudnya unsur penipuan menjelang pemilihan Kongres Tahunan FAS Ke-64 pada Isnin ini, menyaksikan badan induk bola sepak negeri itu tampil menafikan segala tuduhan tidak berasas itu.

Sambil mempersoalkan Khairil Mokhtar yang difahamkan bukannya ahli tetap perwakilan yang mempunyai hak mengundi pada sesi pemilihan itu, Setiausaha Agung FAS Rosman Ibrahim mendakwa Ketua Gabungan Penyokong Selangor itu sengaja mahu menggugat keharmonian kongres itu yang akan berlangsung di Kelab Shah Alam.

Rosman berkata, pihaknya sudah mengikut segala prosedur seperti ditetapkan dalam statut peraturan Kongres Tahunan FAS.

"Kalau diikutkan, saya sepatutnya tidak perlu melayan kerenah mereka (Khairil Mokhtar) yang bukan dari pertubuhan kelab penyokong yang sah serta tidak memiliki kuasa untuk mengundi.

"Namun demi menjaga imej baik persatuan, saya ingin jelaskan segala dakwaan itu sama sekali tidak benar.

Malah, FAS sudah mengikut semua prosedur ditetapkan sebelum menjalani kongres itu.

"Tugas sekretariat hanyalah menyerahkan borang kepada ahli perwakilan untuk memilih calon pilihan mereka.


Terpulanglah kepada ahli untuk mencalonkan siapa dan sekretariat tidak pernah mengeluarkan arahan seperti didakwa.

"Soal tawaran jawatan yang dibuat sebenarnya disalah erti sesetengah pihak yang tidak memahami prosedur.


Sebelum sesuatu jawatan itu dipertandingkan, pasti akan ada perbincangan antara perwakilan bagi mencukupkan kuota sebelum sesuatu jawatan itu diisytiharkan ada pertandingan.

"Lagipun cara ini sudah dipraktikkan sejak tahun 90-an dan sepatutnya perkara ini tidak timbul.

Mengenai cadangan minta Pesuruhjaya Sukan memantau pemilihan kali ini, kami tidak ada masalah untuk itu," katanya semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan pendedahan kononnya wujud keraguan mengenai borang pencalonan atau borang 'D' apabila sebilangan besar perwakilan yang hadir bagi mendapatkan borang itu diarahkan pihak sekretariat hanya untuk mengisi di ruang tandatangan dan cop tanpa mencatatkan nama calon pilihan.

Kelmarin, kira-kira 50 penyokong setia Merah Kuning mengadakan demonstrasi aman di depan Wisma FAS bagi menuntut pemilihan adil pada kongres kali ini selain mendesak FAS menjawab lima tuntutan berhubung kemerosotan mutu bola sepak The Red Giants.

Menurut Rosman, FAS kini giat memperbaiki setiap kelemahan sedia ada dengan perancangan terdekat untuk menswastakan pengurusan pasukan senior agar mampu menjadi persatuan terbaik dalam kancah liga tempatan.

"FAS tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dari segi gaji pemain, bonus dan kemudahan lain.

Saya memahami perubahan dikehendaki dan berharap semua pihak dan kelab dalam FAS harus menggandakan usaha agar Selangor kekal sebagai nama besar dalam bola sepak Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Piala Malaysia platform Dollah

Posted: 13 Aug 2014 10:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh mengakui masih belum mempunyai pasukan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF November ini dan berharap saingan Piala Malaysia yang bermula malam tadi menjadi platform terbaik untuk mengintai pemain berwibawa.

Pengendali berusia 50 tahun itu mendapat sedikit gambaran kekuatan dan kelemahan skuad Harimau Malaya selepas menyaksikan anak buahnya tewas 1-4 dalam perlawanan pertama kendaliannya menentang Tajikistan pada aksi persahabatan di Dushanbe Jumaat lalu.

"Saya belum ada pasukan, saya cuma membawa pemain sedia ada ketika menentang Tajikistan kerana kesuntukan masa. Saya perlu buat pemilihan semula dan percaya saingan Piala Malaysia akan memberi peluang untuk saya menilai prestasi pemain," katanya kepada Arena Metro.

Walaupun tewas perlawanan itu, Dollah yang menandatangani kontrak dua tahun setengah untuk menggantikan Datuk K Rajagobal, 1 Julai lalu tetap puas hati dengan kesungguhan pemain walaupun bergelut beraksi di atas padang rumput tiruan serta cuaca panas terik.


"Saya tidak dapat menilai secara keseluruhan kerana tidak dapat menguji kesemua pemain. Saya hanya boleh membuat enam pertukaran pemain.


"Pemain juga mengalami kesukaran bernafas pada perlawanan itu dan walaupun hanya berada pada tahap 60 hingga 70 peratus, mereka tetap berusaha memberi tentangan," jelasnya.

Pujian juga harus diberikan kepada bekas pengendali Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu yang membuat percaturan berani dengan memberi peluang kepada pemain tengah Mohd Badhri Radzi, S Chanturu dan R Gopinathan untuk berada dalam kesebelasan utama.

Masa sebenarnya cukup singkat untuk Dollah mempersiapkan pasukan sebelum misi ke final Piala AFF hujung tahun ini dan beliau berharap beberapa perlawanan persahabatan dapat diatur bagi membolehkannya menguji pemain.

"Selepas aksi persahabatan menentang Singapura dibatalkan, kami merancang mengadakan perlawanan dengan Vietnam dan Indonesia.

"Saya harap akan ada perlawanan selepas ini untuk saya siapkan pasukan," kata bekas penyerang kebangsaan itu.

Selain perlawanan membabitkan Vietnam dan Indonesia yang dijangka September dan November, Harimau Malaya juga dijadualkan menentang Jordan pada 11 Oktober dan New Zealand, 18 November.

Pada kempen Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand serta pasukan juara pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Rashid perlu ke Denmark: James

Posted: 13 Aug 2014 10:11 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kita perlu menang Kejohanan Dunia kali ini dan Rashid Sidek perlu bersama pasukan ke Denmark."

Itu saranan bekas pemain kebangsaan Datuk James Selvaraj yang mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan semula ketua jurulatih perseorangan negara itu untuk membantu Datuk Lee Chong Wei memburu gelaran pertama di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 25 Ogos ini.

Katanya keputusan BAM menggugurkan nama Rashid dan digantikan dengan jurulatih perseorangan Hendrawan untuk membantu Tey Seu Bock dilihat hanya mencetuskan 'huru-hara' dalam persiapan pemain ke kejohanan itu.

"Sebelum ini Chong Wei sudah biasa dengan kombinasi Rashid dan Seu Bock di mana-mana kejohanan dan dia juga berlatih dengan dua jurulatih ini. Tapi untuk Kejohanan Dunia, Rashid diketepikan dan digantikan dengan orang lain.

Foto

RASHID (kanan) berbincang dengan Hendrawan.


"Bukan saya cakap Hendrawan tidak bagus cuma Rashid sudah lama dengan Chong Wei dan sudah pasti tahu apa yang diperlukannya. Rashid bukan saja jurulatih berpengalaman malah pernah bermain di pentas antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia.


"Rashid tahu tekanan dihadapi pemain dan orang luar yang tidak ada pengalaman tidak tahu, mereka cuma tahu cakap saja.

"Kalau kita lihat ini peluang terbaik Chong Wei menang selepas kalah di final 2011 dan 2013 kepada Lin Dan, kenapa kita perlu kecoh mengenai masalah jurulatih ini. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku pada saat-saat akhir sebelum kejohanan," katanya kepada Arena Metro semalam.

Kenyataan James itu jelas senada dengan Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria yang menganggap Rashid perlu bersama pasukan negara ke Denmark walaupun jurulatih itu terbabit dalam pergeseran dengan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Norza menegaskan Rashid perlu kekal dalam perancangan asal BAM walaupun namanya sudah digugurkan selepas tidak dipanggil menyertai mesyuarat khas persatuan itu minggu lalu.

Rashid dipersalahkan Tengku Mahaleel atas kegagalan pemain perseorangan negara mempertahankan pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow baru-baru ini sehingga mencetuskan 'perang mulut' antara kedua-dua individu itu.

Namun James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM tetap mempertahankan kedudukan jurulatih itu.

"Kita tidak boleh salahkan jurulatih, sebab mereka sudah mencurahkan segala-galanya kepada pemain dan terpulang kepada pemain untuk menentukannya. Pemain yang bermain di gelanggang bukan jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Kekal bersama BAM demi pemain

Posted: 13 Aug 2014 10:10 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas berteka teki mengenai masa depannya, ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek akhirnya mengesahkan untuk terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika hubungan dinginnya dengan Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff masih belum menemui jalan penyelesaian.

Meskipun menyatakan mahu kekal, raut wajah Rashid jelas masih berat untuk meneruskan kerjayanya itu, namun atas nasihat beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin, beliau membulat tekad untuk terus bersama badan induk itu.

"Buat masa ini saya masih lagi jurulatih dan belum berhasrat letak jawatan.

Memang menteri ada hubungi saya semalam (kelmarin) dan bincang masalah ini.

Dia minta saya teruskan kerja dan persiapkan pemain.

"Dia mahu saya banyakkan bersabar dan cuba tenangkan fikiran," katanya.

Namun Rashid masih tidak pasti apakah BAM bakal membuat keputusan dengan membawanya ke Kejohanan Dunia di Denmark bermula 25 Ogos ini seperti diinginkan Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria selepas Tengku Mahaleel hanya memilih Hendrawan serta Tey Seu Bock untuk menggalas tugas itu.

"Biasanya dalam kejohanan besar memang saya pergi, tapi dengan keadaan semasa, saya tak pasti lagi," katanya Rashid mengaku fokusnya sedikit terjejas berikutan segala isu membabitkan dirinya serta Tengku Malaheel.

"Memang sedikit terjejas tapi sebagai profesional, saya perlu teruskan dengan penuh komitmen," katanya.

Rashid juga mendedahkan berdepan ujian cukup hebat dan perlu menjawab surat tunjuk sebab diserahkan BAM kepadanya sebelum saingan Sukan Komanwel lalu.

"Surat itu berkaitan saya membuat kenyataan di akhbar, menyatakan untuk letak jawatan sebagai ketua pasukan.


Saya harus menjawabnya dalam tempoh dua minggu," katanya.

Ditanya adakah wajar untuk presiden meletak jawatan dan bukan dirinya, Rashid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak nak terbabit sebarang isu lagi sebab tak suka bergaduh.


Yang penting hanya mahu fokus kepada kerjaya saya saja," katanya.

Rashid berkata, dorongan untuk kekal bukan saja hadir daripada nasihat Khairy, malah beliau berasa tugasnya bersama skuad negara belum selesai.

"Kalau ikutkan memang banyak belum diselesaikan lagi dan saya nak bantu pemain mempersiapkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Hendrawan idam juara dunia pertama negara

Posted: 13 Aug 2014 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Hendrawan yang bakal menggalas tugas pertama kali membantu Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Dunia, mahu memastikan pemain itu tidak terlepas peluang lagi untuk memenangi takhta berprestij itu.

Hendrawan yang pernah muncul juara dunia pada 2001 di Seville berkata, memang menjadi impiannya untuk membantu pemain negara memenangi Kejohanan Dunia sejak membimbing skuad negara.

"Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Chong Wei.

Kalau lihat pada undian, memang agak bagus.

"Tapi pada saingan Kejohanan Dunia, apa saja boleh berlaku.

Yang penting Chong Wei perlu menjaga tahap kecergasannya dan tidak perlu memikirkan sangat soal mahu menang.

"Sejak datang ke Malaysia, saya memang mempunyai impian membantu pemain negara ini menang Kejohanan Dunia.

"Saya tak percaya pemain Malaysia yang terkenal dengan sukan badminton tidak mampu meraih kejayaan itu.

"Bukan Chong Wei saja, sesiapa saja saya tetap akan membantu untuk memenuhi impian ini," kata bekas jaguh Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

No comments:

Post a Comment