Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


INDRA KIAN BERNAFSU

Posted: 30 Jul 2014 01:00 PM PDT

Piala Malaysia dan Indra Putra Mahayuddin cukup sinonim dalam kancah saingan paling berprestij itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Apa tidaknya, dalam tempoh itu sudah empat kali dia beraksi di pentas final dan dua kejayaan berjaya dicapai penyerang berusia 32 tahun itu bersama pasukan Kelantan pada 2010 dan 2012.

Jika dilihat kepada pencapaian itu seakan sudah tiada apa lagi tarikan Piala Malaysia buat Indra Putra namun persepsi itu ternyata meleset.

Bersama dengan pasukan baru FELDA United musim ini bermakna dia kembali memulakan misi baru.

Lebih-lebih lagi apabila pasukan The Fighters kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak pernah menikmati detik menjulang trofi Piala Malaysia seperti yang pernah dirasai Indra Putra.

"Setiap kejuaraan pasti bermakna apatah lagi kalau anda berjaya melakukannya dengan pasukan yang tidak pernah memenanginya.

"FELDA hampir mencipta sejarah namun tewas di final Piala FA namun kami mencuba untuk melakukannya dalam Piala Malaysia pula selepas ini," katanya kepada Arena Metro.

Bekas penyerang kebangsaan itu menyertai FELDA musim ini dari Kelantan dan sentuhannya masih berbisa dengan meledak 10 gol dalam liga serta tiga gol ketika membantu pasukannya melangkah ke final Piala FA sebelum tewas 1-2 kepada Pahang.

FELDA akan memulakan kempen Piala Malaysia dengan menentang LionsXII pada 13 Ogos ini sebelum berdepan dua lagi pencabar Johor Darul Ta'zim II dan Pahang dalam Kumpulan A.

Bagi Indra Putra, dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan pasukan mara ke final Piala FA Jun lalu kerana menganggap setiap kejohanan pasti menyajikan saingan berbeza.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Reds ikat Origi

Posted: 30 Jul 2014 11:25 AM PDT

London: Liverpool mengumumkan semalam mereka sudah mengikat penyerang dari Belgium berusia 19 tahun, Divock Origi (gambar) dari Lille, tetapi akan meminjamkan semula pemain itu kepada kelab Perancis itu bagi musim 2014-15.

"Saya amat gembira kelab besar seperti Liverpool menunjukkan minat mendapatkan saya.

Saya berasa teruja.

"Saya tahu kelab ini mempunyai sejarah, penyokong dan pemain hebat.

Bagi saya, Liverpool salah sebuah kelab terbaik di dunia dan saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah mereka," kata Origi dalam laman web rasmi Liverpool.

Origi berlepas ke Amerika Syarikat ketika Liverpool mengadakan jelajah pramusim untuk melengkapkan perpindahan itu.


Mereka tidak mendedahkan nilai dan tempoh kontrak itu.

Selepas mempamerkan aksi mengagumkan bersama Lille pada 2013-14, Origi memperagakan persembahan mengagumkan buat Belgium di Piala Dunia dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 dalam saingan peringkat kumpulan untuk membantu negaranya mara ke pusingan kedua.

Origi adalah pemain kelima dibeli Liverpool selepas mereka berjaya mendapatkan trio Southampton, Adam Lallana, Rickie Lambert dan Dejan Lovren serta pemain tengah Jerman, Emre Can dari Bayer Leverkusen.

Walaupun pemain remaja itu terpaksa menunggu sekurang-kurangnya setahun sebelum beraksi buat kali pertama dengan Liverpool, dia sudah menyatakan kegembiraannya menjadi prospek kepada pengurus, Brendan Rodgers.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

BURUAN DROGBA

Posted: 30 Jul 2014 11:24 AM PDT

Didier Drogba sudah tidak sabar untuk membantu Chelsea menamatkan penantian selama lima tahun meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang Ivory Coast berusia 36 tahun itu sudah menandatangani kontrak selama 12 bulan minggu lalu untuk kembali ke Stamford Bridge apabila meninggalkan kelab itu selepas mereka muncul juara Liga Juara-Juara mengalahkan Bayern Munich pada 2012.

"Lima tahun adalah tempoh yang lama tidak muncul juara EPL jadi saya mahu memenanginya.

"Menjulang trofi EPL akan membuatkan anda berasa sangat luar biasa dan bertahun-tahun kami tidak melalui pengalaman ini, ia sangat lama buat kelab kami.

"Saya sangat merindui saingan EPL, liga terbaik di dunia.

Memang benar liga di Jerman sekarang ini sedang meningkat, tapi EPL sudah lama menjadi saingan paling sengit sejak sedekad lalu dan saya tidak sabar untuk beraksi buat kali pertama musim ini," kata Drogba dalam laman web rasmi kelab itu (www.chelseafc.com).

Drogba berjaya meraih kejuaraan sebanyak tiga kali sejak beraksi bersama Chelsea, iaitu pada 2005, 2006 dan 2010, serta menjulang trofi Piala FA sebanyak empat kali dan diikuti Piala Liga dua kali.

"Ia sangat menarik dapat kembali semula dengan perasaan luar biasa.

Saya gembira bersama semula dan bersedia untuk bertemu dengan penyokong.

"Memang mudah untuk membuat keputusan, sukar untuk menolak pelawaan pengurus Jose Mourinho dan Chelsea.


Saya mempunyai banyak kenangan manis di kelab ini," katanya.

Drogba yang menjaringkan 157 gol dalam 341 penampilan bersama Chelsea, adalah salah seorang pembelian pertama Mourinho ketika pengendali kelahiran Portugal itu menyertai kelab itu pada 2004.

"Dia berkata pemain seperti saya yang mempunyai sejarah dengan kelab, sepatutnya kembali semula menabur bakti pada masa depan," kata pemain yang beraksi dalam tempoh singkat di China bersama Shanghai Shenhua dan di Turki dengan kelab Galatasaray.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

United menyerlah aksi pramusim

Posted: 30 Jul 2014 11:22 AM PDT

Washington: Manchester United mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian pengurus baru dari Belanda, Louis Van Gaal dengan mengalahkan Inter Milan 5-3 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya seri tanpa jaringan semalam.

Van Gaal sedang menguji kehebatan penyerangnya 18 hari sebelum musim baru Liga Perdana Inggeris bermula, apabila menggandingkan penyerang Wilfried Zaha dan pemain Jepun, Shinji Kagawa pada separuh masa kedua dan meletakkan Javier Hernandez di bangku simpanan hingga hujung saingan tatkala pemain itu diintai Inter.

"Saya amat gembira.

Saya berasa kami sudah mempamerkan permainan terbaik berbanding dua aksi sebelum ini," kata Van Gaal.

United yang beraksi buat kali pertama dengan jersi baru berwarna biru, memulakan kempen pramusim dengan membelasah Los Angeles 7-0 Rabu lalu sebelum menang 3-2 ke atas AS Roma di Denver tiga hari lalu.

Seramai 61,238 penonton menyaksikan sepakan Marco Andreolli melepasi palang gol dalam penentuan sepakan penalti bagi membolehkan United mendahului 4-3 dan ketua pasukan mereka, Darren Fletcher menjaringkan gol kemenangan.

Hernandez, Ashley Young, Tom Cleverly dan Kagawa berjaya menyempurnakan sepakan penalti sebelum mereka meneruskan siri jelajah itu menentang Real Madrid Sabtu ini di Ann Arbor, Michigan yang dijangka akan mencecah rekod penonton paling ramai menyaksikan perlawanan bola sepak di Amerika Syarikat iaitu seramai 100,000 orang.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

DETIK HITAM

Posted: 30 Jul 2014 11:22 AM PDT

Steven Gerrard (gambar) menjelaskan kemerosotan yang menamatkan impian kejuaraan Liverpool dan England tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia menyumbang apa yang dianggap "tiga bulan terburuk dalam kehidupan saya".

Pemain berusia 34 tahun itu mengimbau saat-saat dia tersalah langkah menentang Chelsea hujung April lalu yang membolehkan Demba Ba membuka tirai jaringan.

Blues menang 2-0, keputusan yang secara efektif menamatkan buruan kejuaraan Liverpool kali pertama sejak 1990 selain harapan Gerrard menjulang kejuaraan Liga Perdana, satu-satunya trofi kelab yang gagal dimenanginya.

"Di mana saya meletakkan saat-saat itu? Ia mungkin tiga bulan terburuk dalam kehidupan saya.

Tiada apa yang boleh diperkatakan lagi," jelas Gerrard.

"Anda mendapat sokongan orang terdekat di sekeliling anda.

Itulah yang berlaku sejak hari pertama, orang yang melihat saya sejak melakukan penampilan sulung.


Mereka tetap ada di sana buat saya.


Mereka akan tetap bersama," ujarnya.

"Mereka menyokong dan cuba menceriakan anda tapi apabila sesuatu seperti ini berlaku, anda perlu menghadapinya keseorangan.

Saya cukup matang untuk menerimanya.

Ia sudah berlaku dan saya tidak boleh mengubahnya." Di samping penyerang Daniel Sturridge dan Luis Suarez, kini bersama Barcelona, Gerrard menjadi antara pencetus kebangkitan Liverpool musim lalu.

Pemain dengan kelab tunggal, dia berasa tertekan gagal memenangi kejuaraan itu dan mengakui dia menyaksikan kesilapan itu berkali-kali.

"Itulah sebabnya ia kejam.

Saya tidak melakukan kesilapan, saya tidak pernah terlepas kawalan ketika set-piece.

Saya tidak terlepas sepakan penalti.

Saya tidak melakukan hantaran buruk," ujar Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Nishikori tak gentar lagi

Posted: 30 Jul 2014 11:19 AM PDT

Washington: Pemain Jepun, Kei Nishikori (gambar) melaungkan keyakinan betapa dirinya sudah bersedia untuk melakukan kejutan ke atas pemain tenis ternama dunia selepas berjaya melakar beberapa kejuaraan bersama jurulatihnya Michael Chang.

Nishikori menikmati musim ATP yang menyeronokkan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan di Memphis serta dinobatkan raja gelanggang tanah liat selepas menjuarai pertandingan itu di Barcelona.

Hasil kejayaan itu, dia kini diletakkan pemain pilihan keempat pada kejohanan Terbuka Washington minggu ini.

"Masih terdapat lagi beberapa kelemahan dalam permainan jika dibandingkan dengan pemain dalam lima kelompok teratas.

Mereka tidak mudah melakukan kesilapan dan tidak akan memberi anda mata mudah untuk memenangi permainan," kata Nishikori, semalam.


"Tidak ada sebarang rasa takut selepas berjaya menumpaskan mereka beberapa kali sebelum ini.


Kini saya lebih yakin untuk menentang pemain yang lebih hebat," katanya.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Tekad kekal momentum

Posted: 30 Jul 2014 11:18 AM PDT

Bintang golf dunia Rory McIlroy (gambar) yang terpaksa menerima saingan sengit sehingga saat akhir sebelum meraih gelaran pertamanya di Terbuka British dua minggu lalu, berazam meneruskan rentak cemerlang dengan menambah koleksi kejuaraan sebelum berakhir musim ini.

Pemain Ireland Utara itu yang dalam laluan memburu kejuaraan dunia sulungnya kini berada dalam prestasi terbaik menjelang kejohanan WGC-Bridgestone Invitational dijadualkan berlangsung minggu ini di Akron, Ohio bermula hari ini.

"Saya kini dalam keadaan terbaik selepas berehat daripada kejohanan sebelum ini (Terbuka British), dan saya sudah bersedia untuk meneruskan aksi seterusnya," kata pemain nombor dua dunia itu kepada pemberita, kelmarin.

"Masih banyak kejohanan besar yang menanti sehingga penghujung musim ini, di samping banyak lagi gelaran yang ingin saya kecapi.

Jadi saya bertekad mahu meneruskan aksi cemerlang seper ti saya lakukan di Hoylake (venue Terbuka British).

"Saya perlu bangkit dan memperagakan aksi lebih kemas minggu ini.

Walaupun menjuarai tiga kejuaraan utama, saya tidak pernah memenangi kejuaraan dunia dan ini adalah kesempatan terbaik buat saya," katanya.

Bagaimanapun, McIlroy yang pernah bergelut dengan prestasinya terutama tahun lalu ketika menyesuaikan diri selepas menukar barangan sukan peralatan Januari lalu di samping turut mempunyai masalah peribadi membabitkan kes mahkamah, namun dia tetap bangkit menerusi aksi kemas bagi menewaskan pesaingnya.

Pada usia 24 tahun, McIlroy sudah menjuarai dua gelaran utama termasuk Terbuka Amerika Syarikat 2011 dan Kejohanan PGA 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Skuad trek tagih kudrat Firdaus

Posted: 30 Jul 2014 11:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad trek remaja negara sekali lagi menaruh harapan kepada pelumba Muhammad Firdaus Mohd Zonis (gambar) menjelang Kejohanan Trek Remaja Dunia 2014 di Seoul dari 8 hingga 12 Ogos ini.

Firdaus beraksi cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2014 di Astana bagi kategori remaja Mei lalu apabila meraih tiga emas acara keirin, satu kilometer ujian masa dan pecut.

Menurut penolong jurulatih pasukan trek remaja Junaidi Mohamad Nasir, setakat ini semua persiapan pelumba pecut berjalan lancar termasuk Firdaus ataupun dikenali dengan nama timangan 'Toi'.

"Mereka berada dalam keadaan baik dan mengikut apa yang saya rancangkan, saya harap semuanya berjalan lancar di Korea Selatan nanti," katanya.

Ia penampilan kedua Firdaus pada kejohanan itu selepas penampilan pertama tahun lalu di Glasgow menyaksikan dia gagal membantu pasukan negara memenangi sebarang pingat.

"Sasaran kami adalah lebih baik daripada tahun lalu." Ini bermakna skuad trek remaja negara menyasarkan sekurang-kurangnya meraih satu pingat berbanding tahun apabila pulang tangan kosong.

Ditanya sama ada Firdaus akan bergandingan dengan adiknya, Muhammad Fadhil di Seoul, Junaidi berkata, mereka berdua sekurang-kurangnya perlu melayakkan diri ke saingan akhir terlebih dulu dan selepas itu barulah memikirkan mengenai pingat.

"Kalau tidak mara ke saingan akhir tidak kira acara apa sekali pun bagaimana mereka berdua mahu mendapatkan pingat, jadi saya sebagai jurulatih akan cuba mengatur strategi di setiap pusingan awal untuk mencerahkan peluang ke peringkat akhir," kata bekas pelumba trek kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Khairul cari rentak

Posted: 30 Jul 2014 11:17 AM PDT

Pemanah kebangsaan Khairul Anuar Mohamad (gambar) mengakui dia perlu mencari rentak sebelum beraksi sebaik mungkin pada Sukan Asia 2014 Incheon walaupun fokusnya lebih terarah kepada acara berpasukan.

Menurut atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu, kini dia hanya berlatih seperti biasa dan mengikut segala program yang diatur oleh jurulatih.

"Walaupun penat berpuasa sebelum ini, saya berlatih seperti biasa dan setakat ini keadaan fizikal saya masih lagi dalam keadaan yang baik," katanya yang meraih dua emas pada Sukan SEA 2013 Myanmar dalam acara individu dan berpasukan recurve.

Khairul, 21, mengakui dia masih belum berlatih secara berpasukan kerana atlet lain seperti Atiq Bazil Bakri, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Shaifuddin Mohd Kamro baru pulang dari Kejohanan Universiti Dunia 2014 Poland.

"Selepas mereka kembali ke tanah air, kami akan membuat persiapan dan beraksi di kejohanan terakhir Grand Prix Asia Kedua 2014 di Taiwan dari 10 hingga 15 Ogos ini.

"Mungkin tiga atau empat pasukan yang akan beraksi di Sukan Asia nanti akan mengambil bahagian di kejohanan itu," kata Khairul yang mahu meraih emas pada temasya empat tahun sekali itu nanti.

Jelasnya, emas yang disasarkan itu adalah dalam acara recurve berpasukan namun bagi acara individu dia tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Peluang untuk acara berpasukan memang ada tapi bagi individu ia agak sukar kerana perlu bertemu ramai lawan hebat.

"Beraksi dalam acara berpasukan mudah untuk memenangi pingat kerana selalunya selepas dua perlawanan terus layak ke separuh akhir," jelasnya.

Khairul yang pernah meraih dua emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, berjanji untuk melakukan yang terbaik dan beraksi dengan corak permainannya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

England calar ego Australia

Posted: 30 Jul 2014 11:16 AM PDT

Glasgow: England menamatkan saingan renang Sukan Komanwel dengan 10 pingat emas selepas mencetus kekalahan pertama Australia dalam acara berganti-ganti dalam tempoh lapan tahun bagi acara 4x100m rampaian lelaki.

Kemenangan England ke atas Australia kelmarin lebih bermakna apabila perenang sensasi berusia 19 tahun Ben Proud meraih emas kedua pada temasya itu dengan mengalahkan dua bintang Cameron McEvoy dan James Magnussen dalam acara 50m gaya bebas lelaki.

Bagaimanapun, Australia masih mencatat kejayaan terbaik pada Sukan Komanwel apabila mereka mengumpul 57 pingat mengatasi rekod 54 daripada temasya 2006 di Melbourne.

Renangan hebat pusingan terakhir daripada juara 100m gaya bebas dunia Cate Campbell menghadiahkan kuartet 4x100 rampaian Australia pingat emas selepas Daniel Tranter memenangi acara rampaian individu 200m lelaki bagi membolehkan Australia menamatkan saingan dengan 19 emas.

Perlumbaan terakhir acara itu menjadi milik England, apabila kuartet diwakili Chris Walker-Hebborn, Adam Peaty, Adam Barrett dan Adam Brown menang dengan rekod temasya 3 minit 31:51 saat untuk muncul pasukan pertama Inggeris menundukkan Australia dalam acara 4x100m rampaian dalam tempoh 64 tahun.

Brown selesa mendahului bagi renangan terakhir namun hampir terjerat apabila juara 100m gaya bebas dunia, Magnussen bertindak hebat buat Australia.

"Saya tahu saya berdepan lelaki terpantas di dunia, Magnussen jadi saya bertungkus-lumus pada 50 meter terakhir dan bertuah menang," jelas Brown.

England hampir mencetus kejutan serupa dalam acara 4x100m rampaian wanita apabila mereka mendahului selepas 300m namun Cate bergaya membantu kemenangan Australia bagi renangan terakhir dengan masa keseluruhan 3:56.23s.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment