Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Untukmu adik

Posted: 30 Jul 2014 12:58 PM PDT

Seorang budak membuktikan kasih sayangnya yang mendalam terhadap adiknya yang cacat dan kesungguhan itu membolehkan dia mengatasi cabaran dalam pertandingan mini triatlon di ibu negeri Idaho.

Lucas Aldrich, 6, dilahirkan dengan lissencephaly (otak rata) - sejenis kecacatan pada otak yang jarang berlaku disebabkan gangguan tumbesaran ketika janin berusia antara minggu ke-12 hingga 24.

Penyakit itu menyebabkan Lucas lumpuh hampir seluruh badan.

Namun ketika abangnya, Noah, 8, mengetahui Persatuan Belia Kristian (YMCA) di kawasannya menganjurkan acara triatlon mini untuk kanak-kanak, dia berazam untuk menyertai dan menghabiskan perlumbaan itu bersama adiknya.

Selama tiga bulan mereka berlatih bersama sebelum benar-benar bersedia menyertai cabaran merangkumi aktiviti renang sejauh 200 meter, berbasikal 4.8 kilometer dan berlari sejauh 1.6 kilometer Pada hari pertandingan, pasangan Noah - Lucas menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

Dalam cabaran berenang Noah menarik Lucas yang diletakkan dalam pelampung sebelum meneruskan acara berbasikal dan akhirnya berjaya melintasi garisan penamat dengan si abang menolak adiknya dalam kereta tolak kanak-kanak.

Foto
Foto


Sementara itu, ibu mereka, Alissa Aldrich berkata dia agak bimbang melihat anaknya melalui cabaran berkenaan.

"Namun ia kemudian menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan saya sangat bangga melihat mereka menyempurnakan setiap cabaran.


"Sebagai ibu bapa, ia adalah perkara paling menakjubkan untuk disaksikan," katanya.

Alissa berkata, Lucas juga amat seronok selepas menamatkan perlumbaan itu.

"Saya rasa dia mengetahui yang dia adalah anugerah istimewa buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Dibelasah, dibogel depan orang ramai

Posted: 30 Jul 2014 11:42 AM PDT

Yulin: Seorang perempuan diserang, dibelasah dan dibogelkan beberapa gadis lain di khalayak umum selepas dia disyaki menjadi perempuan simpanan.

Dalam kejadian terbaru menunjukkan orang awam lebih gemar mencari keadilan sendiri itu, anggota polis didakwa tidak mengendahkan kejadian berkenaan.

Media semalam melaporkan, pergaduhan itu berlaku di depan sebuah kedai menjual barangan elektronik di bandar ini.

Tidak dinyatakan apa yang menyebabkan serangan ganas berkenaan berlaku namun saksi berkata, mereka mengesyaki ia ada kaitan dengan hubungan sulit mangsa dengan lelaki lain.

Selepas dibelasah, pakaian mangsa dikoyakkan dan dibiar dalam keadaan separuh bogel.

Saksi berkata, jeritan mangsa meminta perbuatan itu dihentikan tidak dipeduli penyerang.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Opick berazam lawat Gaza

Posted: 30 Jul 2014 11:39 AM PDT

Jakarta: Walaupun ditentang anak sendiri, penyanyi lagu keagamaan Indonesia Opick berazam mengunjungi Gaza ketika wilayah itu terus diserang tentera rejim Zionis Israel.

Kata Opick - atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus - dia akan berkunjung ke Gaza bersama Jawatankuasa Nasional Untuk Rakyat Palestin (KNRP).

"Cuma setakat ini hasrat saya tidak dipersetujui anak saya, Ghaniya.

"Anak sulung saya itu kini berusia 11 tahun dan dialah yang menyanyi bersama saya.

"Katanya, saya tidak boleh pergi kerana mempunyai tanggungjawab di sini," katanya.

Justeru Opick sedang menjelaskan kepada Ghaniya mengapa dia perlu ke Gaza.

"Saya juga memberitahunya kami ke sana secara selamat," katanya.

Penyanyi yang dikenali melalui singlenya "Tombo Ati" itu menyatakan dia faham mengenai kebimbangan keluarga berhubung hasratnya untuk ke Gaza bersama KNRP.

Katanya, misi mereka adalah bagi memantau penyaluran bantuan kepada umat Islam yang tertindas di Gaza.

Cabaran lain dihadapi Opick ialah keputusan Majlis Ulama Indonesia yang tidak membenarkan sesiapa mengunjungi Palestin berikutan keadaannya yang berbahaya ketika ini.

"Saya jelaskan ini demi kebaikan.

Ia adalah jalan yang terbaik buat masa ini," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Rombongan Aidilfitri ditembak Abu Sayyaf

Posted: 30 Jul 2014 11:31 AM PDT

Seorang budak berusia 3 tahun dan bapanya adalah antara 23 korban keganasan di selatan Filipina semalam selepas militan Abu Sayyaf melepaskan tembakan ke arah rombongan orang awam sedang dalam perjalanan menziarahi keluarga masing-masing sempena Aidilfitri.

Jurucakap tentera, Brig Jen Martin Pinto berkata, kira-kira 40 hingga 50 anggota militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah mangsa.

"Mereka dalam perjalanan menemui sanak saudara kerana meraikan hari raya," katanya.

Serangan itu juga, kata Pinto, menyebabkan sembilan yang lain cedera termasuk enam masih dirawat di hospital.

Kata Pinto, kejadian berlaku di bandar Talipao yang didiami ramai masyarakat Sulu Muslim dan hutannya menjadi kubu penting militan Abu Sayyaf.

Menurut Pinto operasi memburu kumpulan berkenaan masih diteruskan namun setakat ini tiada sebarang jejak ditemui.

"Ia bukan perkara yang mudah kerana kawasan berkenaan cukup luas," katanya.

Kerajaan Filipina pula dalam kenyataannya memberitahu pasukan tentera meneruskan kemaraan dan akan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Laporan terkini tentera menyebut 10 anggota sukarelawan keselamatan berada bersama penduduk kampung ketika serangan, namun menurut Pinto maklumat itu masih belum disahkan.

Ia termasuk laporan yang menyatakan sebanyak enam orang terkorban dalam serangan adalah anggota Pasukan Bertindak Menjaga Keamanan.

Motif serangan itu masih belum diketahui.

Menurut pegawai bertugas ia mungkin sebahagian keganasan akibat peperangan antara puak atau tindakan balas dendam militan terhadap sukarelawan keselamatan yang membantu tentera negara itu dalam beberapa pertempuran yang menyaksikan anggota Abu Sayyaf terbunuh sebelum ini.

Timbalan Gabenor Sulu, Abdusakur Tan mengecam serangan itu dan mendakwa ada tali barut yang bekerjasama dengan kumpulan militan.

"Perkara ini sangat bertentangan dengan Islam.


Selepas menjalani ibadah di bulan Ramadan, bBinatang pun tidak sanggup melakukan perkara seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Bom sekolah lagi

Posted: 30 Jul 2014 11:30 AM PDT

Sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin maut dan kira-kira 90 lagi cedera awal pagi semalam apabila Israel sekali lagi mengebom sebuah sekolah yang menjadi pusat perlindungan mangsa perang.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, 43 orang terbunuh dalam serangan udara serta bedilan kereta kebal di Jabaliya.

Katanya, jumlah kematian itu termasuk mangsa yang terbunuh di sekolah kendalian PBB itu.

Dalam tempoh dua malam terakhir di Gaza, wilayah ditadbir pejuang Islam Hamas itu menyaksikan pengeboman intensif daripada rejim Zionis Israel.

Selepas 23 hari serangan kejam Israel disasarkan ke Gaza, jumlah korban di pihak Palestin kini melepasi angka 1,300 orang - kebanyakannya orang awam.

Di pihak Israel hanya 53 tentera dan 3 orang awam maut.

Minggu lalu, sebanyak 15 orang terkorban dan 200 lagi cedera apabila sebuah sekolah di Beit Hanoun serta padang permainan kanak-kanak dibom.


Tentera Israel menafikan mereka bertanggungjawab dalam serangan itu sebaliknya menyalahkan pejuang Palestin.


Kata Israel pejuang Hamas dan pertubuhan lain melancarkan roket dari kawasan sekolah yang dikendalikan agensi bantuan kemanusiaan PBB itu.

Kenyataan rejim Zionis mengakui mereka menyasarkan 75 tapak sejak malam kelmarin menjadikan jumlah lokasi dibom kepada 4,100 tempat.

Tiga terowong bawah tanah juga dimusnahkan dalam tempoh 24 jam.

Antara lokasi disasar tentera Israel ialah lima masjid - didakwa menempatkan laluan masuk ke terowong bawah tanah - tempat simpanan senjata dan pos peninjau.

Dua "kemudahan" digunakan pejuang kanan Hamas turut diranapkan.

Sementara itu Chile dan Peru mengesahkan memanggil pulang duta mereka di Israel sebagai bantahan terhadap kekejaman Zionis.

Kementerian Luar Chile dan Peru berkata, perkembangan di Gaza diikuti dengan penuh rasa bimbang.

"Ketika ini nampaknya populasi awam Gaza dihukum secara pukal," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Juruterbang BA dituduh buas

Posted: 30 Jul 2014 11:29 AM PDT

London: Sekumpulan remaja dan wanita yang mendakwa mereka didera secara seksual oleh juruterbang British Airways (BA) akan menyaman syarikat itu.

Sebuah firma guaman semalam berkata, pihak BA perlu bertanggungjawab ke atas segala tindakan Simon Wood yang melakukan jenayah berkenaan ketika dia berada di Kenya, Uganda dan Tanzania atas urusan kerja.

Serangan itu dikatakan berlaku di beberapa sekolah serta rumah anak yatim di negara terbabit.

Wood, 54, ditemui mati dilanggar kereta api pada Ogos 2013 - dua minggu sebelum dia dijadual hadir di mahkamah atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh serta menghasilkan gambar lucah kanak-kanak.


Peguam dari firma Leigh Day yang mewakili mangsa, Nichola Marshall berkata, jenayah Wood berlaku kerana pembabitannya sebagai juruterbang BA.

"Terutama ketika Wood menyertai aktiviti kemasyarakatan berkaitan tugasnya," katanya.


Nichola mewakili 16 daripada mangsa Wood dan mereka berusia seawal lapan tahun hingga 20 tahun.

Menurut Nichola, sekolah dan rumah anak yatim terbabit menerima sumbangan daripada BA dan Wood memainkan peranan penting dalam menguruskan dana berkenaan.

Minggu depan, sekumpulan peguam dari firma berkenaan akan bertemu beberapa individu lain yang mungkin turut menjadi mangsa Wood di Kenya dan Uganda.

Sementara itu BA berkata, mereka terkejut dengan tuduhan dibuat ke atas Wood.

"Nampaknya pembabitan Wood dengan aktiviti berkaitan kanak-kanak adalah di luar skop tugasnya dengan BA," kata kenyataan dikeluar syarikat berkenaan.

Kes berkenaan akan didengar di sebuah mahkamah di London.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Konflik etnik ragut 100 nyawa

Posted: 30 Jul 2014 11:28 AM PDT

Pertempuran di wilayah Xinjiang yang sebahagian besarnya didiami etnik Uighur Muslim menyebabkan hampir 100 orang maut atau cedera, kata sebuah pertubuhan semalam.

Ketika pihak berkuasa China mendakwa kejadian itu ada kaitan dengan "serangan pengganas" Kongres Uighur Dunia berkata, ia tercetus apabila etnik berkenaan bangkit menentang dasar pemerintahan melampau Beijing.

Jurucakap pertubuhan itu, Dilxat Raxit berkata, pertentangan bersenjata itu menyebabkan kematian atau kecederaan di kedua-dua pihak.

Sebelum itu Dilxat berkata lebih 20 orang Uighur terbunuh dan 10 cedera selain 13 anggota keselamatan China maut atau cedera dalam kejadian berkenaan.

"Seramai 67 orang lagi ditahan," katanya.

Agensi berita rasmi China Xinhua pula melaporkan puluhan orang awam dan "penjenayah" terbunuh atau cedera dalam serangan sekumpulan orang bersenjata pedang dan kapak.

"Polis menembak beberapa puluh orang anggota penjenayah," lapornya.


Xinhua bagaimanapun tidak menyatakan pecahan kematian akibat kejadian Isnin lalu itu.

Laman sesawang kerajaan Xinjiang pula mendakwa beberapa puluh orang daripada etnik Uighur dan Han maut atau cedera dalam insiden berkenaan.


Han adalah etnik terbesar di China dan mereka berhijrah ke Xinjiang sejak beberapa dekad lalu sehingga mengubah nisbah penduduk di wilayah berkenaan.

Keganasan itu berlaku di daerah Shache - atau Yarkand menurut bahasa Uighur - berhampiran padang pasir Taklamakan di barat Xinjiang.

Xinhua mendakwa kejadian itu dirancang lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Wira hadapi ebola kecundang akhirnya

Posted: 30 Jul 2014 11:27 AM PDT

Freetown, Sierra Leone: Seorang doktor terkenal yang menggadai nyawanya merawat puluhan pesakit ebola meninggal dunia akibat wabak itu semalam.

Dr Sheik Umar Khan yang mendapat sanjungan antarabangsa kerana bertugas merawat lebih 100 pesakit di Sierra Leone disahkan meninggal dunia oleh pegawai kementerian kesihatan di negara itu.

Dia sebelum ini dikuarantin di sebuah hospital amal di utara Sierra Leone selepas dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

Petugas kesihatan memang sangat terdedah kepada jangkitan ebola yang boleh berlaku melalui cairan seperti air ludah, peluh, darah dan air kencing.

Dua petugas kesihatan Amerika kini dirawat di hospital selepas dijangkiti di Liberia.

Sheik Umar, 39, dianggap wira negara oleh Kementerian Kesihatan Sierra Leone dan menghembus nafas terakhirnya tengah hari kelmarin - kurang dari seminggu selepas dia dikesan dijangkiti ebola.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, virus ebola dipercayai sudah meragut nyawa 672 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone sejak wabak itu bermula Februari lalu.

Setakat ini belum diketahui apa yang mampu mengubati penyakit berkenaan yang boleh menyebabkan pelbagai simptom termasuk muntah, cirit-birit dan pendarahan - sama ada dalaman atau luaran.


Sementara itu, sebuah syarikat penerbangan dari Afrika Barat, Asky menggantung penerbangan keluar dan masuk dari Sierra Leone serta Liberia sebagai langkah berjaga-jaga.

Syarikat penerbangan terbesar Nigeria, Arik Air juga mengambil langkah sama.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment