Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya tak mahu sekat Peng Soon'

Posted: 30 Dec 2013 08:23 AM PST

Putrajaya: Goh Liu Ying tidak layak ke perlawanan akhir Grand Prix Final Sirkit Kebangsaan 2013, namun khabar buruk dibawanya ke Putrajaya semalam, apabila kecederaan lutut lamanya berulang dan bertambah buruk sehingga perlu menjalani pembedahan segera.

Kecederaan pemain beregu campuran utama negara itu, dialami sejak 2008, namun Liu Ying enggan menjalani pembedahan kerana berasakan masalah itu mampu diatasi secara semula jadi.


"Hari ini (semalam) saya bertemu doktor, melakukan ujian imbasan MRI kedua-dua lutut saya di hospital dan doktor mengesah yang koyak pada miniscus lutut kanan bertambah teruk. Saya sendiri berasa tidak selesa dan sakit ketika berjalan," kata Liu Ying yang hadir menyaksikan perlawanan akhir yang berlangsung di kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

"Doktor mencadangkan saya supaya terus menjalani pembedahan bagi mengelak masalah lebih teruk. Selain koyak pada miniscus, saya juga mengalami kecederaan koyakan pada otot ACL.


"Doktor memberi saya dua pilihan, melakukan pembedahan kecil mengatasi masalah miniscus yang akan memaksa saya berehat selama empat bulan, atau terus melakukan pembedahan besar termasuk ACL yang akan menyebabkan saya berehat untuk pemulihan sehingga lapan bulan." Begitupun, Liu Ying berkata, doktor tidak menjamin bahawa dia akan pulih sepenuhnya sekiranya menjalani pembedahan besar sekalipun.


Pada sirkit kebangsaan, Liu Ying tidak bergandingan dengan Chan Peng Soon, sebaliknya digandingkan bersama Tan Aik Quan.

Foto

PENG Soon (kiri) dan Pei Jing rangkul gelaran juara beregu campuran.

"Esok (hari ini) saya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan ke beberapa lagi hospital sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan pembedahan atau sebaliknya.


"Jika saya memilih untuk melakukan pembedahan, itu adalah pilihan saya dan saya tidak mahu sekat kebebasan Peng Soon untuk bergandingan dengan pemain lain.

"Saya tidak mahu kecederaan ini menjadi penamat gandingan saya dan Peng Soon, tapi dia juga berhak untuk memilih haluannya sendiri." Lebih malang, buah hati Liu Ying, Ong Jian Guo yang beraksi di perlawanan akhir bergandingan dengan Lim Yin Loo semalam, turut mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri sekali gus memberi kemenangan percuma kepada Peng Soon-Lai Pei Jing selepas hanya beraksi selama tujuh minit, ketika ketinggalan 5-11.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Schumacher malang

Posted: 30 Dec 2013 08:15 AM PST

Paris: Legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher sudah bersara pada 2012 selepas melalui karier yang cukup cemerlang, tetapi minatnya terhadap kepantasan dan risiko tinggi menyebabkannya kini menghadapi kecederaan serius ketika meluncur ski di Perancis.

Pelumba berusia 44 tahun dari Jerman itu mengalami kecederaan serius di kepala selepas terhentak batu di pusat peranginan Meribel dan meskipun ada laporan menyatakan kecederaannya tidak begitu serius, pihak hospital yang merawatnya di Grenoble menyatakan Schumacher berada dalam situasi kritikal.


Pengarah pusat peranginan Meribel, Christophe Gernigon-Lecomte berkata, Schumacher meluncur ski pada awal pagi kelmarin bersama rakannya sebelum terjatuh dan kemudian mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Legenda Jerman itu dikejarkan ke hospital di Grenoble sebelum diletakkan di bawah seliaan rapi Profesor Gerard Saillant iaitu pakar otak dan tulang belakang.


"Dia mengalami trauma di kepala serta berada dalam keadaan koma yang memerlukan pembedahan neuro segera," kata ejen Schumacher dalam satu kenyataan pada lewat petang yang dimaklumkan oleh pegawai hospital kepada kumpulan media. "Dia masih berada dalam situasi kritikal." Selepas mengharungi banyak perlumbaan berisiko tinggi dalam saingan Formula Satu serta melakar tujuh kejuaraan dunia, kemalangan yang menimpanya itu membuktikan persaraan tidak menghalangnya untuk terus terbabit dengan sukan berisiko tinggi.


Ketika sebagai pelumba F1, Schumacher dikenali dengan aksi berbahaya ketika memotong pelumba lain.

Semasa memenangi gelaran juara dunia pertama pada 1994 bersama Benetton, dia meraih kejayaan itu dengan penuh kontroversi apabila melanggar seteru utamanya Damon Hill pada perlumbaan terakhir.


Dia turut melakukan perkara hampir sama pada perlumbaan terakhir musim 1997 selepas bersaing sengit dengan Jacques Villeneuve dalam merebut kejuaraan yang kemudian menyaksikan Schumacher dibatalkan penyertaannya sepanjang musim itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

AS hampakan Sepanyol

Posted: 30 Dec 2013 08:05 AM PST

Perth, Australia: Hasrat Sepanyol untuk mempertahankan kejuaraan Piala Hopman lebur selepas tewas 0-3 kepada Amerika Syarikat semalam.

Gandingan Anabel Medina Garrigues dan Daniel Munoz-De La Nava turut tewas kepada Republik Czech kelmarin dan meskipun mereka masih mempunyai baki satu perlawanan, peluang untuk melangkah ke pentas final sudah tertutup rapat.


Anabel tewas 3-6, 1-6 di tangan pemain nombor 12 dunia Sloane Stephens pada saingan perseorangan wanita.

John Isner kemudian menang 6-3, 6-4 ke atas De La Nava, pemain ranking 194 dunia yang hanya dipanggil pada saat-saat akhir bagi menggantikan Tommy Robredo yang mengalami kecederaan.


Dalam acara beregu campuran, gandingan AS itu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 4-6, 6-0, 10-4.


Ia adalah perlawanan pertama buat AS yang menetapkan sasaran untuk merangkul kejuaraan ketujuh di Perth. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Lakonan tak jadi!

Posted: 30 Dec 2013 08:05 AM PST

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho percaya Luis Suarez masih lagi memiliki "perangai liar" meskipun aksi penyerang Liverpool itu pada kempen Liga Perdana musim ini sudah meningkat.

Suarez digantung 10 perlawanan selepas menggigit lengan pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic dalam satu perlawanan April lalu bagaimanapun dia kemudian mempamerkan prestasi hebat untuk membantu Liverpool mencabar kejuaraan.


Namun bintang Uruguay itu terbabit dengan insiden kontroversi di hujung perlawanan yang menyaksikan Liverpool kalah 1-2 kepada Chelsea awal pagi semalam apabila dia terjatuh akibat dikasari oleh Samuel Eto'o selepas kehilangan bola kepada Cesar Azpilicueta.

Pengadil Howard Webb tidak menghiraukan rayuannya untuk mendapatkan penalti sekali gus membolehkan Chelsea meraih kemenangan dan merapatkan jurang dua mata dengan pendahulu Arsenal manakala Liverpool keciciran enam mata di belakang di tangga kelima.


"Suarez gagal dalam perebutan bola dengan Azpilicueta, Azpilicueta membawa bola keluar dari kotak penalti dan dia (Suarez) melakukan layangan akrobatik bagi mendapatkan penalti," kata Mourinho.


"Kerana dia terlalu bijak dan dia tahu berada dalam kotak penalti dengan penyokong Liverpool berada di belakangnya.

"Tapi Webb hanya berada 10 meter dari tempat insiden itu dan saya fikir kesilapan yang dilakukan Webb ialah beliau tidak melayangkan kad kuning kepada Suarez." Mourinho menegaskan: "Dia (Suarez) pemain yang baik. Dia melakukan apa saja untuk menang dan Brendan (Rodgers) melakukan tugas bagus dalam membentuknya menjadi pemain lebih baik.


"Tidak dinafikan dia sudah berubah. Tapi apabila berada dalam situasi seperti itu dan anda pula sedang ketinggalan, sudah menjadi lumrah bagi pemain apabila sikap liarnya akan berulang kembali." Jaringan jarak dekat Martin Skrtel membolehkan Liverpool mendahului pada minit ketiga bagaimanapun Chelsea bangkit menerusi percubaan Eden Hazard pada minit ke-17 dan Eto'o 11 minit sebelum rehat babak pertama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Malang Rodgers

Posted: 30 Dec 2013 08:04 AM PST

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers hanya mampu iri hati terhadap skuad lawannya selepas kekalahan kedua dalam tempoh empat hari menggugat usaha mencabar kejuaraan liga dan menyebabkan beliau kini terpaksa memikirkan nasib pasukannya.

Kelab Merseyside itu berada di puncak Liga Perdana pada hari Krismas namun kekalahan 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi semalam, selepas tewas kepada Manchester City dengan jaringan sama, menyebabkan mereka menjunam ke kedudukan kelima.


Mereka tampil memberikan saingan sengit dan mendahului dalam kedua-dua perlawanan itu namun tidak mempunyai pemain di bangku simpanan yang berupaya memberi nafas baru kepada permainan mereka.

"Kami tidak mampu mengharungi dua perlawanan yang sukar menentang dua pasukan yang lebih hebat. Skuad kami amat kecil ketika ini," kata Rodgers.


"Ketika menentang Manchester City, kami adalah pasukan yang lebih baik dan hari ini (awal pagi semalam), selepas mendahului kami membenarkan jaringan yang mengecewakan untuk lawan.


"Pemain sudah memberikan yang terbaik. Jika satu atau dua perkara memihak kepada kami, keputusan mungkin berbeza. Sejak permulaan musim ini, skuad ini sangat kecil dan kami memerlukan sedikit tuah dengan tiada siapa mengalami kecederaan, hinggalah empat minggu lalu ia tidak memihak kepada kami." Ketika kapten Steven Gerrard dan penyerang Daniel Sturridge sudah tersisih, mereka mendapat berita lebih buruk dengan pemain pertahanan Mamadou Sakho dibayangi kecederaan hamstring dan pemain tengah Joe Allen terpaksa dikeluarkan.

Liverpool kini sudah menentang semua empat pasukan teratas di gelanggang lawan dan tiga perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan yang berada di kedudukan 10 atau di bawah dengan keputusan yang baik akan membawa mereka kembali dalam pemburuan kejuaraan liga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Wenger kagum!

Posted: 30 Dec 2013 08:04 AM PST

Newcastle, England: Arsene Wenger menegaskan anak buahnya semakin matang selepas melontarkan cabaran kepada pendahulu Liga Perdana Arsenal untuk mengekalkan saingan merebut kejuaraan pada kempen Tahun Baru.

Skuad kendalian Wenger itu menamatkan 2013 dengan mengumpul 82 mata, lebih banyak berbanding pencabar Liga Perdana yang lain selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Newcastle untuk kembali merampas kedudukan teratas liga.


Tujuh daripada sembilan kelab yang menerajui liga ketika memasuki Tahun Baru muncul juara Inggeris pada Mei.

Wenger enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu yang menyaksikan anak buahnya bergelut dengan fizikal dan mental dalam perlawanan itu selain kemahiran teknikal yang mereka miliki.


Namun pengendali dari Perancis itu mengakui beliau kagum dengan kemampuan pemainnya yang beraksi baik tanpa kehadiran Mesut Ozil yang diharapkan akan kembali pulih daripada kecederaan dalam tempoh terdekat ini.


Selepas Olivier Giroud meraih gol ke-11 musim ini untuk memastikan kemenangan, Wenger berkata: "Newcastle memberi cabaran fizikal yang hebat buat kami tapi kami berjaya mengatasinya.

"Kami membuktikan satu lagi kekuatan kami hari ini (semalam) iaitu kualiti kecergasan. Semua pemain bergerak di setiap sudut di padang. Kami mempunyai kemahiran teknikal yang bagus tapi kami juga mempamerkan kekuatan mental.


"Ada sesuatu yang istimewa dalam pasukan ini. Kualiti kecergasan kami sering dipertikaikan tapi kami membuktikan kekuatan sebenar kami.

"Pasukan ini mempunyai perpaduan dan kekuatan tersendiri. Mungkin beberapa tahun lalu, pemain muda kami gagal menyerap tekanan seperti ini terutama pada 15 minit terakhir." Mengulas mengenai persembahan pasukannya tahun ini, Wenger menjelaskan: "Kami menamatkan kempen dengan baik musim lalu dan jika anda lihat secara keseluruhan, kami sangat konsisten pada 2013." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

'Kami tetap menyerang'

Posted: 30 Dec 2013 08:03 AM PST

London: Pengurus Tottenham Tim Sherwood mahu meneruskan corak permainan menyerang yang diamalkan apabila menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi Khamis ini.

Sherwood meraih kemenangan pertama sebagai pengurus sepenuh masa selepas menggantikan Andre Villas-Boas dengan menewaskan Stoke 3-0 dalam saingan Liga Perdana di White Hart Lane awal pagi semalam.


Jaringan penalti Roberto Soldado pada minit ke-37, diberikan apabila kapten Stoke Ryan Shawcross menghalang aksi akrobatik Emmanuel Adebayor menggunakan tangannya, memberikan jaringan pendahuluan untuk Tottenham pada separuh masa pertama.

Kemenangan berjaya dipastikan menerusi dua jaringan dalam tempoh empat minit selepas babak kedua bersambung hasil jaringan Mousa Dembele dan Aaron Lennon yang menggegar gawang.


Sherwood, yang memimpin Spurs meraih kemenangan dalam satu daripada dua perlawanan sebagai pengurus sementara, mengabaikan formasi berhati-hati diamalkan Villas-Boas yang hanya menggunakan seorang penyerang dengan membawa kembali penyerang Togo, Adebayor yang sering tersisih sebelum ini, antara dua pemain yang diletakkan di bahagian serangan.


United memenangi enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan namun Sherwood menjelaskan beliau tidak akan bertandang ke Manchester pada hari tahun baru untuk bertahan dengan harapan meraih keputusan seri.

"Saya suka bermain dengan risiko," katanya. "Kami menghormati mereka namun kami tidak akan memberikan laluan mudah. Kami perlu tampil dan mempamerkan permainan kami sebaik mungkin.


"United sudah berubah sepenuhnya, mereka berada pada prestasi baik. Berdasarkan sejarah kita mengetahui kemampuan mereka apabila berada pada tahap terbaik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Latihan 4 hari berbaloi

Posted: 30 Dec 2013 08:03 AM PST

Kuantan: Gol tunggal penyerang Mohd Shafiz Zariah pada babak pertama menobatkan pasukan Remaja Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai juara Kejohanan Piala Mamee 1Malaysia pusingan pertama di padang Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan Azaruddin Aziz itu menewaskan pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) 1-0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, sijil dan pingat.


Naib juara menerima hadiah RM3,000, tempat ketiga Selising FC dari Kelantan meraih RM2,000 sementara tempat keempat Pekan FC membawa pulang RM1,000.

Sebanyak 16 pasukan Zon Timur membabitkan lebih 400 pemain bawah 19 tahun menyertai kejohanan kali pertama anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia dengan kerjasama Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Kelab Manchester United itu bagi mencari dua pasukan terbaik Zon Timur.


Pasukan Remaja PBNP dan MSNT FC terpilih mewakili Zon Timur yang berentap dengan dua pencabar di Zon Selatan, Tengah, Utara dan Malaysia Timur pada pusingan akhir untuk memburu hadiah RM15,000 dan piala kejohanan.


Azaruddin berkata, pasukan Remaja PBNP ditubuhkan hasil gabungan pemain Akademi FELDA dan skuad Sukan Remaja Pahang dan mereka hanya sempat mengikuti latihan selama empat hari sebelum menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, walaupun dalam tempoh singkat berlatih namun dengan kesungguhan serta pengalaman luas pemain di peringkat daerah dan negeri mereka dapat membentuk pasukan yang mantap seterusnya berjaya menjulang kejuaraan diimpikan.


"Saya puas hati dengan semangat tinggi yang dipamerkan pemain, walaupun dalam keadaan penat mengharungi perlawanan namun mereka tetap dengan misi menjulang kejuaraan berbekalkan sokongan peminat setempat."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

TF FC A ungguli saingan B-15

Posted: 30 Dec 2013 08:02 AM PST

Kuala Terengganu: Pasukan TF FC A muncul juara Kejohanan Futsal Terbuka 'The Titans Challenge 2013' bawah 15 tahun di DS Sport Centre, Wakaf Mempelam, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir kejohanan edisi pertama itu, TF FC A mudah menundukkan pasukan DS FC 3-0 menerusi dua jaringan Muhammad Badrul Amin Hammid dan Ahmad Shafiq Afnan.


Kejayaan itu membolehkan TF FC A membawa pulang wang tunai RM1,000.

DS FC berjaya meraih RM700 manakala tempat ketiga dimenangi pasukan dari Bukit Payung dengan hadiah wang tunai RM500 tempat keempat pula dimenangi pasukan SHAMS FC yang menerima wang tunai RM300.


Hadiah kepada pemenang disampaikan pemain pertahanan import pasukan T-Team kelahiran Brazil, Fabio Flor de Azevedo.


Kejohanan julung kali dianjurkan Akademi Bola Sepak T-Team Muda disertai 32 pasukan dan ia adalah sebagai platform mencungkil bakat baru dalam sukan futsal khususnya membabitkan pelajar sekolah.

Pengendali pasukan TF FC, Muhammad Faiz Rashid menyifatkan kejayaan diraih anak buahnya itu adalah usaha berterusan pasukan dalam mengekalkan prestasi kemenangan disertai mereka sebelum ini.


"Bagi saya kejayaan yang diraih kali ini lebih kepada pengubat duka buat pasukan selepas kami tewas pada suku akhir Grand Final Kejohanan Futsal Milo di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

40 peserta sertai Sirkit Kebangsaan

Posted: 30 Dec 2013 08:01 AM PST

Johor Bahru: Seramai 40 peserta daripada 16 kategori dipilih mewakili Johor ke Kejohanan Badminton Sirkit Remaja peringkat Kebangsaan tahun depan.

Proses pemilihan menarik 460 penyertaan dan ia dibuat menerusi program pemilihan pemain badminton remaja Johor bagi Sirkit Badminton Remaja Kebangsaan Zon Selatan 2014 di Dewan Badminton Persatuan Badminton Johor Larkin baru-baru ini.


Presiden Persatuan Badminton Johor Mat Rashid Jahlil berkata, semua pemain yang terpilih mewakili Johor akan ke dua sirkit pemilihan iaitu di Selangor pada Februari 2014 dan Melaka (April) sebelum ke pusingan akhir di Kuala Lumpur (Jun 2014).

Katanya, Johor antara empat pasukan terbaik dalam kejohanan remaja tahun ini dan berharap dapat memperbaiki ranking itu.


"Berdasarkan perkembangan tahun ini, kami dapati pemain berlatih bersama jurulatih peribadi dan ia satu transformasi menggilap bakat remaja sedia ada.


"Malah pembabitan dan kualiti permainan untuk pemilihan kali ini dilihat semakin meningkat kerana semuanya berkemahiran tinggi.

"Berdasarkan pencapaian Johor pada Sirkit Remaja Kebangsaan tahun ini, yang mana kami di kedudukan keempat dan berada di landasan betul sambil berharap dapat membaiki kedudukan pada kejohanan tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

No comments:

Post a Comment