Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kontraktor main kotor

Posted: 28 Jan 2014 09:32 AM PST

Kuala Lumpur: Taktik kotor kontraktor utama sebuah projek pembinaan kondominium mewah yang menyembunyikan saluran tambahan di bawah tanah bagi mencuri air gagal apabila berjaya dikesan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn (SYABAS), di sini, semalam.

Perbuatan itu dipercayai bermula pada bulan Mei 2012 selepas pihak kontraktor mengemukakan permohonan untuk mendapatkan satu saluran bekalan air sah daripada pihak SYABAS sedangkan projek pembangunan itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga sambungan air.


Pengarah Eksekutif Bahagian Kadar Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) SYABAS, Yusof Badawi berkata hasil risikan dan siasatan sejak tahun lalu, pihaknya mengesahkan kontraktor utama projek pembinaan terbabit mencuri air melalui paip utama SYABAS menggunakan satu paip tambahan.

"Kami juga menerima aduan penduduk di sekitar kawasan berkenaan mengenai masalah tekanan air yang sering turun secara mendadak.


"Siasatan mendapati ada satu sambungan bekalan air melalui paip utama SYABAS menggunakan paip jenis High Density Poly Ethylene (HDPE) bersaiz 32 milimeter (mm) sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan terus kepada tiga tangki besar," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu, semalam.


Yusof berkata, kecurian air berkenaan membabitkan kos sebanyak RM240,000 selepas semakan data akaun SYABAS mendapati penggunaan air di premis berkenaan rendah dan tidak sepadan dengan aktiviti pembinaan yang dijalankan.

Foto

YUSOF menunjukkan saluran paip ke tangki dari sambungan haram.

Foto

YUSOF (kanan) menunjukkan sambungan haram yang dibuat kontraktor.

"Hasil ujian klorin yang dijalankan adalah positif, sekali gus membuktikan sampel bekalan air yang diambil adalah dari bekalan air terawat agihan SYABAS.


"Kami memandang serius kes kecurian air seperti ini dan akan menjalankan pemantauan berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, kontraktor itu akan diberi Notis Pemberitahuan Kesalahan bagi menuntut ganti rugi kehilangan air, manakala SPAN pula mengeluarkan notis tindakan pendakwaan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Lelaki 'tempah maut' bergayut di tingkat 13

Posted: 28 Jan 2014 09:27 AM PST

Kuala Lumpur: Terdesak untuk mengelak diberkas pihak berkuasa dalam Op Bersepadu 6P, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup 'menempah' maut apabila nekad bergayut dan bersembunyi pada jeriji besi di tingkat 13 sebuah flat di Jalan Putra di sini, kelmarin.

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIWPKL), lelaki berusia 30-an itu hanya memakai kain pelikat tanpa memakai baju biarpun mengetahui risiko jika terjatuh pada ketinggian itu.


Ketua Bahagian Penguat kuasa JIWPKL James Musa Singa berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 2.30 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap kedai runcit, restoran dan rumah flat yang dipercayai didiami pendatang asing tanpa izin.

"Dengan kekuatan 53 anggota, kami turut dibantu agensi lain termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


"Kami berjaya memeriksa 567 warga asing dan rakyat tempatan dan daripada jumlah itu, seramai 119 orang ditahan iaitu 100 lelaki dan 19 wanita, "katanya.


Beliau berkata, berdasarkan pecahan, warga asing paling ramai ditahan dari Bangladesh seramai 46 orang diikuti Pakistan (25), Indonesia (20), Nepal (18), Myanmar (empat), India (tiga), Vietnam (dua) manakala Nigeria dan Cameroon masing-masing satu yang berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi masa, pas dan permit kerja disyaki palsu serta menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Bakar van lepas rompak

Posted: 28 Jan 2014 09:27 AM PST

Kuala Selangor: Samun dan bakar. Itu modus operandi sekumpulan empat lelaki yang melarikan RM3.36 juta selepas menyamun van milik sebuah syarikat keselamatan yang membawa wang tunai berkenaan di sebuah stesen minyak di Ijok dekat sini, semalam.

Kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu dipercayai dirancang teliti berikutan kelancaran jenayah berkenaan yang seakan-akan dibuat mengikut masa dan laluan yang dikaji terlebih dulu.

Ketika kejadian, empat penjenayah itu dikatakan menunggu di stesen minyak berkenaan bersama sebuah van dan motosikal Yamaha LC dan mereka dipercayai sedia menanti kenderaan membawa sembilan beg berkenaan tiba di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, ketika kejadian, van berkenaan singgah di stesen minyak itu untuk memindahkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Foto

VAN keselamatan yang membawa wang tunai dibakar penjenayah dalam ladang sawit.


Menurutnya, sebaik van itu tiba di hadapan stesen minyak itu, dua daripada penjenayah terbabit terus menyerbu masuk dan merampas senjata jenis pump gun milik kakitangan keselamatan syarikat itu sebelum terus melarikan van bersama empat pengawal keselamatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Tertuduh mungkin tak cukup umur 18 tahun

Posted: 28 Jan 2014 09:26 AM PST

Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di sini, semalam, diberitahu bahawa ada kemungkinan usia Walfrida Soik iaitu pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa membunuh majikannya tiga tahun lalu, tidak sampai 18 tahun ketika kejadian berlaku pada 2010.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan kes itu yang bersambung semalam.


Berdasarkan laporan pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Shafee berkata, penilaian yang dilakukan menunjukkan anak guamnya berusia tidak lebih 21 tahun ketika pemeriksaan dibuat pada 29 Oktober 2013.

Mengikut pertuduhan, Walfrida didakwa membunuh warga emas, Yeap Seok Pen, 60, di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada 7 Disember 2010.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.


Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemerhatian terperinci dan pemeriksaan kesihatan mental yang dilakukan doktor dari Hospital Permai, Johor Bharu, tertuduh juga mengalami gangguan psikotik sementara.


"Berdasarkan pendapat mereka, tertuduh tidak siuman dan tidak tahu tindakannya salah dari segi undang-undang ketika kejadian," katanya.

Pada perbicaraan sebelum ini, pihak pembelaan mengemukakan permohonan baru bagi memanggil saksi baru iaitu pakar perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas tertuduh.


Mahkamah menetapkan keputusan permohonan itu pada 29 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Adik serang peniaga berebut harta pusaka

Posted: 28 Jan 2014 09:25 AM PST

Kota Bharu: Akibat perselisihan faham berkaitan harta pusaka, seorang peniaga diserang adiknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau dalam kejadian di Kampung Gaung, Nilam Puri, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun menerima 13 jahitan di kepalanya.


Sebelum kejadian, mangsa berada di rumahnya dan suspek yang berusia 40 tahun ke rumah mangsa dengan membawa kayu disyaki untuk merosakkan harta benda milik mangsa.

Bagaimanapun, suspek beredar seketika menyebabkan mangsa mencarinya di kawasan berhampiran sebelum suspek tiba-tiba muncul semula dan menyerangnya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


"Siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka arwah bapa yang berpihak kepada mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

No comments:

Post a Comment