Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak sabar lihat aksi

Posted: 27 Jan 2014 08:38 AM PST

London: Penyokong Manchester United berharap dapat menyaksikan kelincahan aksi pemain yang memecah rekod perpindahan kelab, Juan Mata awal pagi esok apabila menanti kunjungan Cardiff City di Old Trafford pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Mata melengkapkan perpindahan bernilai £37.1 juta (RM205 juta) dari Chelsea Sabtu lalu, akan terus disenaraikan dalam skuad untuk bertemu Cardiff yang dibimbing bekas penyerang United, Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain tengah antarabangsa Sepanyol itu tiba ketika United ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga Arsenal selepas mengalami dua kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir sementara perlawanan terakhir di tempat sendiri menyaksikan mereka tewas menerusi penentuan penalti kepada Sunderland pada saingan Piala Liga.

Pengurus United, David Moyes mengaku agak terkejut dengan keputusan Chelsea melepaskan Mata ketika saingan liga sedang berlangsung, namun beliau tetap gembira dengan kehadiran pemain itu.

Foto

MOYES (kiri) yakin kemampuan Mata.


"Saya agak terkejut kerana situasi seperti ini tidak selalu berlaku, terutama membabitkan pasukan di Liga Perdana Inggeris.


"Apapun, kami kini mempunyai pemain yang dimahukan dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya. Seorang pemain yang saya rasa setiap kelab mahu mendapatkannya kerana dia cemerlang ketika bersama Chelsea.

"Saya mahu melihat dia memakai jersi merah kami dan melakukan tugas yang diberikan kepadanya," katanya.

Kehadiran Mata akan meragut sedikit tumpuan terhadap Solskjaer yang kembali ke Old Trafford dan bertekad untuk membantu kelab itu keluar daripada zon penyingkiran.

"Saya memang menantikan saat ini iaitu pertemuan dengan United," kata Solskjaer yang menghabiskan masa 11 tahun bersama United dan menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 1999.

"Sejak menerima tugas ini, saya amat sibuk dan terlupa mengenainya tapi sekarang, fokus saya adalah untuk perlawanan seterusnya. Inilah impian saya," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Pembinaan kolam gagal siap ikut jadual

Posted: 27 Jan 2014 08:37 AM PST

Kangar: Penganjuran acara sukan renang Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 di Perlis yang bakal berlangsung pada hujung Mei depan dijangka berdepan 'episod' baru apabila pembinaan kolam di pusat akuatik Kompleks Sukan yang dilaporkan terlewat hampir 20 peratus.

Keadaan itu secara tidak langsung mengakibatkan penganjur mungkin terpaksa menggunakan Pelan B dengan mengadakan acara berkenaan di Kompleks Akuatik Alor Setar, Kedah jika pembinaan kolam masih gagal disiapkan menjelang 31 Mac depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya melahirkan rasa bimbang kerana pembinaan kolam di pusat akuatik terbabit dilaporkan lewat daripada dijadualkan sehingga memungkinkan acara itu bakal dianjurkan di negeri jiran.

"Justeru, kontraktor terbabit diberi tempoh sehingga hujung Mac (depan) untuk menyiapkan kolam renang dan fasiliti di pusat akuatik di sini atau terpaksa memilih Pelan B iaitu pindahkan lokasi pertandingan renang di Kedah.

Foto

KHAIRY (dua dari kanan) meninjau projek mengubahsuai kolam renang di pusat akuatik.


"Malah, perkembangan pembinaan fasiliti di pusat akuatik itu akan dipantau sehingga hujung Februari ini sebelum satu keputusan tegas diambil.


"Ini kerana, jika kita hendak dipindahkan lokasi bagi acara ini, pusat akuatik di Kedah juga perlu disiap atau dinaik taraf mengikut keperluan sepatutnya," katanya selepas taklimat mengenai perkembangan persiapan SUKMA ke-17 serta lawatan ke beberapa lokasi penganjuran kejohanan itu, semalam.

Khairy berkata, beliau dimaklumkan masalah kelewatan pembinaan pusat akuatik itu bermula pada peringkat perolehan kontrak lagi.

"Pada asalnya, kontrak pembinaan hendak diberi kepada kontraktor tempatan tapi bila didapati tiada syarikat tempatan yang mampu melaksanakannya, kita terpaksa ulang semula proses perolehan daripada awal.

"Kita bukan hanya perlu memastikan kesemua lokasi penganjuran sukan ini siap sebelum SUKMA ke-17 tetapi juga perlu sedikit waktu untuk buat ujian dan percubaan.

"Ia bagi menentukan tiada sebarang masalah pada kemudahan di semua lokasi venue dan pastikan ia benar-benar sedia untuk digunakan," katanya.

Selain pusat akuatik, Khairy berkata, dewan gelanggang untuk sukan badminton juga dilaporkan agak lewat daripada jadual yang ditetapkan.

Namun, katanya, beliau yakin dewan gelanggang itu dapat disiapkan mengikut perancangan kerana pembinaannya tidak begitu rumit berbanding pusat akuatik.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

'Kami serius baiki kelemahan'

Posted: 27 Jan 2014 08:35 AM PST

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan pihaknya serius berusaha untuk membaiki kelemahan yang wujud membabitkan acara lebuh raya di negara ini.

"Kita tidak berdiam diri.

Semua kritikan yang membina mengenai kelemahan yang wujud akan diperhalusi, kami sendiri mungkin tidak nampak namun orang luar sebaliknya.

"Perbincangan, permintaan dan rumusan pada forum yang berlangsung Sabtu lalu akan dibincangkan pada mesyuarat exco dalam masa terdekat.

Sekiranya terdapat masalah yang ditimbulkan kami akan mengambil tindakan jika perlu, namun saya masih menunggu laporan penuh dan rakaman video forum berkenaan untuk penelitian," kata Abu Samah.

Perkembangan berkenaan membayangkan PKBM bersedia merintis jalan terbaik dalam mengembalikan semula prestasi skuad lebuh raya negara yang semakin merudum sejak kebelakangan ini selain turut dijangka melakukan perubahan terutamanya membabitkan kedudukan dua naib presidennya, Amrun Misnoh dan Omar Saad yang juga Pengerusi Biro Pembangunan manakala Omar adalah Pengerusi Biro Lebuh raya PKBM.

Acara lebuh raya mendapat perhatian susulan pengguguran saat akhir pelumba berpengalaman, Mohd Zamri Salleh pada temasya Sukan SEA Myanmar hujung tahun lalu dengan Amrun didakwa terbabit dalam insiden berkenaan sehingga menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kali terakhir skuad lebuh raya memenangi emas adalah pada edisi 2005 di Filipina, situasi yang membimbangkan ketika skuad trek negara kini sudah mampu bersaing di pentas dunia.

Menurut Abu Samah, PKBM kini sedang menjalankan bengkel selama dua hari bermula semalam bagi merangka program skuad lebuh raya negara tahun ini sehingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Langgar Artikel 88 lagi?

Posted: 27 Jan 2014 08:34 AM PST

Kelana Jaya: Nasib jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan dan Sime Darby FC Ismail Zakaria sama ada akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM ataupun tidak atas dakwaan mengkritik mutu pengadilan Liga M hanya bakal diketahui hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sedang meneliti secara mendalam kenyataan yang dilemparkan oleh kedua-dua jurulatih dari pasukan Liga Super itu yang dikatakan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

"Esok (hari ini) kita akan tahu sama ada kes ini akan dibawa ke tindakan seterusnya atau tidak. Kami sudah 'separuh jalan' meneliti kes Ismail dan Sathianathan dan apa yang pasti, kita akan umumkan keputusan esok (hari ini)," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Biarpun saingan Liga M baru bermula, isu mutu pengadilan sudah dibangkitkan dengan Ismail menjadi jurulatih pertama menyuarakan rasa tidak puas hati itu apabila menyaksikan skuad kendaliannya tewas 1-2 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, 18 Januari lalu selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Foto

SATHIANATHAN

Foto

ISMAIL


Manakala Sathianathan pula membidas keputusan pengadil selepas pasukan bimbingannya terkandas pada aksi pusingan pertama Piala FA apabila tumpas 1-2 di tangan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak meminta Jabatan Undang-Undang FAM supaya menyiasat kenyataan itu sama ada ia menghina, mencemuh atau mencampuri hal ehwal FAM biarpun pindaan Artikel 88 membenarkan ketua jurulatih untuk bersuara.

Jika didapati bersalah di bawah Perkara 18 Kod Tatatertib FAM, kedua-dua jurulatih itu boleh dikenakan hukuman minimum penggantungan empat perlawanan dan maksimum dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Pengganti Rajagobal pertengahan bulan depan

Posted: 27 Jan 2014 08:31 AM PST

Kelana Jaya: Aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina pada 1 Mac depan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bakal menjadi aksi pembuka tirai Harimau Malaya tahun ini namun biarpun tempoh itu nampak singkat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seakan tidak mahu terburu-buru untuk memperkenalkan jurulatih baru kebangsaan.

Jika sebelum ini badan induk bola sepak tanah air itu menyatakan bersedia untuk mengumumkan pengganti baru Datuk K Rajagobal awal bulan depan namun seakan ada rundingan yang belum selesai apabila mereka masih memerlukan sedikit masa lagi.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya akan umumkan apabila tiba masanya. Saya jangkakan jurulatih baru skuad kebangsaan akan diumumkan pada pertengahan bulan depan," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui semalam.

Pengendali dari Perancis Philippe Troussier dikatakan semakin hampir untuk menandatangani kontrak dengan FAM selepas mereka mengadakan pertemuan di Singapura November lalu.

Foto

TROUSSIER dikatakan semakin hampir tandatangani kontrak dengan FAM.


Troussier, 58, bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun, Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Qatar dan Maghribi dikatakan ditawarkan gaji lumayan lebih RM5 juta setahun selepas FAM tidak menyambung kontrak Rajagobal yang berakhir 31 Disember lalu.


Selain Troussier beberapa nama seperti bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller, bekas jurulatih China dan Uzbekistan Bob Houghton, bekas jurulatih AS Roma Zdenek Zeman serta bekas pemain skuad juara Piala Dunia Perancis Marcel Desailly turut dikaitkan dengan kerusi panas itu.

Hamidin berkata, mereka tidak bimbang dengan persiapan Harimau Malaya yang akan meneruskan saingan dalam kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman pada 5 Mac depan kerana jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee kini mengendalikan tugas sebagai jurulatih sementara.

"Buat masa ini Kim Swee sedang memantau prestasi pemain dalam Liga M bagi aksi persahabatan nanti (menentang Filipina). Saya percaya beliau mampu menggalas tugas ini dengan baik sebelum FAM memperkenalkan jurulatih baru nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Kami akan bangkit: Durakovic

Posted: 27 Jan 2014 08:30 AM PST

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic menggesa anak buahnya melupakan kekalahan kepada LionsXII pada Sabtu lalu dan memberikan tumpuan penuh apabila turun menentang Pahang petang ini.

Katanya, perjalanan Liga Malaysia masih panjang buat Merah Kuning dengan pemain perlu meneruskan perjuangan dengan memperagakan aksi terbaik menentang juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang di laman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

"Kami jelas mempamerkan permainan yang lebih baik di Stadium Jalan Besar, saya merasakan kami tidak layak untuk tewas (kepada LionsXII) dan harus pulang dengan meraih sekurang-kurangnya satu mata.

"Mungkin pemain sedikit kecewa kerana tewas menerusi jaringan pada minit kecederaan, ia sesuatu yang amat emosi namun kami perlu meneruskan saingan," katanya berhubung kekalahan pertama yang dialami anak buahnya dengan keputusan 2-1, Sabtu lalu.

Durakovic mahu memastikan Selangor kembali kepada situasi yang lebih positif selepas mencipta dua kemenangan awal, menewaskan T-Team (Liga Super) dan Harimau Muda C (Piala FA).

"Pahang adalah pasukan berpengalaman namun ia tidak bermakna kami gentar.

Kami tetap akan mempamerkan corak permainan menyerang dan kita akan lihat hasilnya (selepas 90 minit).

Saya menyaksikan aksi mereka pada perlawanan sumbangsih, ternyata mereka bagus namun begitu juga kami yang mempunyai pemain ramai pemain muda," katanya.

Selain Shahrom Abd Kalam yang masih belum cergas sepenuhnya, Durakovic turut menilai tahap kecederaan penjaring gol tunggal Selangor, Sabtu lalu, Mohd Fitri Shazwan Raduwan serta perancang tengah K Gurusamy sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mampu diturunkan atau sebaliknya.

Sementara itu pertahanan Selangor, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia berdepan Pahang terutamanya dalam mengekang jentera serangan lawan yang terkenal dengan kepantasan pemain yang dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Enggan kecewa lagi

Posted: 27 Jan 2014 08:29 AM PST

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) pasti mengemaskan lagi corak serangan dalam usaha mencari kemenangan berdepan LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Malah kekalahan 0-1 kepada T-Team, Sabtu lalu nyata beri iktibar kepada barisan skuad Harimau Selatan yang sudah memasang impian untuk bangkit bagi menamatkan persembahan kurang konsisten.

Pertembungan jiran Tambak itu cukup menarik apabila pengendali LionsXII yang pernah membimbing Johor DT akan kembali ke Larkin manakala pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez mahu pastikan tiga mata tidak terlepas.

"Kita sudah melalui pengalaman pahit apabila tumpas tipis kepada T-Team dan sudah tiba masanya untuk bangkit mencari kemenangan, namun dalam keghairahan itu pemain perlu berwaspada dengan ancaman lawan.

"LionsXII pasti hadir dengan semangat berbekalkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor dan kita tidak harus ambil mudah dan beraksi mengikut taktikal yang saya pratikkan sepanjang latihan, malah saya sedang memikirkan kemungkinan ada rombakan kecil.

"Pasukan lawan kerap menggunakan `set piece' untuk mencipta jaringan dan pemain Johor DT perlu mengawasi setiap gerakan itu kerana kita tidak mahu terluka buat kali kedua dan tumpuan utama mencari kemenangan," katanya.

Tuan rumah akan turun dengan kekuatan tersendiri dan pastinya mahu menebus bukan sahaja kekalahan kepada T-Team, malah lebih terarah untuk membalas dendam kepada pasukan dari Seberang Tambak itu yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor DT musim lalu.

Pastinya sentuhan magis Pablo Aimar amat ditagih untuk mencorak gerakan lebih ampuh sambil dibantu Shakir Shaari untuk Luciano Figueroa meledak jaringan.

Di benteng pertahanan gandingan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak-Baihakki Khaizan perlu lebih mantap untuk menyekat kelicikan Khairul Amri Kamal dan Sufian Anuar yang mungkin menjadi ancaman andai tidak disekat.

"Komitmen sepanjang 90 minit perlawanan amat ditagih dan saya yakin pemain sudah bersedia memburu kemenangan," kata Jiminez.

Foto

PENYUDAH Figueroa (dua dari kanan) ditagih pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Fandi punya 'resipi' jinak Harimau Selatan

Posted: 27 Jan 2014 08:29 AM PST

Johor Bahru: Pengendali LionsXII, Fandi Ahmad tidak mahu pemainnya berada dalam situasi tertekan apabila berdepan Johor Darul Takzim (DT) pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Apa pun bagi bekas jurulatih Johor DT itu, pengalaman ketika beraksi menentang Pahang pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Darulmakmur, 7 Januari lalu cukup beri pendedahan terbaik buat barisannya berdepan lebih 30,000 ribu penyokong skuad Harimau Selatan.

Tambahnya lagi, kemenangan 2-1 ke atas Selangor, Sabtu lalu memberi kesan positif kepada pemain terutama kekuatan mental untuk menandingi kehebatan Johor DT yang memiliki pemain berkualiti musim ini.

"Berbeza dengan LionsXII, pasukan lawan mempunyai 25 pemain yang boleh diturunkan dalam kesebelasan utama pada bila-bila masa sedangkan pemain saya sedang dalam proses untuk meningkatkan prestasi.

Foto

PERTAHANAN LionsXII, Sufian Anuar (dua dari kiri) mengasak pemain Selangor pada aksi Sabtu lalu.


"Johor DT dibarisi hampir 90 peratus pemain muka baru dan LionsXII pula hanya sekadar pemain 23 tahun yang sedang dibentuk dan pastinya jurang pengalaman amat berbeza, namun kita akan berusaha untuk cari kemenangan kedua.


"Masalah kecederaan beberapa tonggak utama seperti Khairul Amri Kamal, Safuwan Baharuddin dan Shahfiq Ghani sedikit menjejaskan perancangan, tetapi saya akan pantau sama ada mereka boleh diturunkan atau sebaliknya," katanya.

Apa pun, Fandi akan cuba sedaya upaya merencana strategi ampuh untuk tidak keciciran mata walaupun sedar kepayahan yang bakal diharungi berdepan skuad Harimau Selatan yang pasti bangkit dari kekalahan 1-0 kepada T-Team, baru-baru ini.

Agak menarik pertembungan itu bakal menyaksikan Fandi kembali ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan skuad Singa perlu berdepan rakan lama, Baihakki Khaizan yang mungkin menjadi penghalang utama Lions XII melakar kemenangan.

Kepintaran Fandi mencorak permainan taktikal amat ditagih untuk memastikan tiga mata tidak terlepas dan corak permainan `set piece' akan menjadi taruhan untuk merobek gawang Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Alberts rombak jentera serangan

Posted: 27 Jan 2014 08:27 AM PST

Kuching: Prestasi tidak menentu dua penyerang import menyebabkan jurulatih Sarawak, Robert Alberts melakukan rombakan bagi menghadapi 'Pembunuh Gergasi', Sime Darby pada saingan Liga Super Stadium Negeri, Petra Jaya, malam ini.

Alberts berkata, beliau tidak menggandingkan Alireza Abasfard dari Iran dan Molorad Janjus dari Serbia dalam perlawanan itu kerana didapati tidak berfungsi ketika menentang Kelantan Sabtu lalu, menyebabkan skuadnya tewas 0-1.

"Hanya seorang antara mereka akan diturunkan dan digandingkan dengan pemain tempatan, tapi saya belum buat keputusan siapakah pemain itu," katanya.

Kekalahan dua perlawanan berturut-turut termasuk dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 di tempat lawan menyaksikan skuad Bujang Senang masih tercari-cari resipi kemenangan.

"Kekalahan dua kali itu sudah cukup dan kami mahu melupakannya meskipun Alireza dan Janjus menerima kritikan hebat daripada peminat tempatan.

"Kami tetap menghormati Sime Darby dan pada masa sama yakin pemain mampu mencipta kemenangan.

Mereka (Sime Darby) memiliki pemain import berkualiti dan mampu menewaskan mana-mana pasukan Liga Super.

"Saya hanya akan memutuskan kesebelasan utama sebaik selesai sesi latihan petang ini (semalam).

Kecederaan beberapa pemain menyebabkan saya lebih berhati-hati dalam menyenaraikan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Buktikan bukan menang nasib

Posted: 27 Jan 2014 08:25 AM PST

Ipoh: Buktikan kejayaan ke atas Terengganu Sabtu lalu bukan faktor nasib.

Justeru jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berharap pemain mengulangi persembahan bertenaga apabila bertandang ke Stadium MP Selayang berdepan ATM, malam ini.

"Kemenangan ke atas Terengganu itu saya rasa adalah detik perubahan pasukan Perak. Saya yakin ia memberi satu keyakinan baru kepada pasukan.

"Kini saya berharap mereka mampu meneruskan rentak cemerlang dengan ATM,"katanya.

Foto

PEMAIN Perak, Eliel Da Cruz (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Terengganu.


Abu Bakar dijangka menurunkan kesebelasan permulaan sama seperti ketika pertemuan dengan Terengganu untuk menentang ATM, malam ini.


Penjaga gol, Razi Effendi Suhit yang bertindak cemerlang dijangka terus diberi kepercayaan untuk mengawal benteng terakhir sambil mengekalkan gandingan sama di benteng hadapan pasukan The Bos Gaurus itu yang terus tidak mendapat khidmat pemain Burkina Faso, Martin Kafando.

"Saya akan lakukan rombakan paling minimum agar kemampuan pasukan tidak terjejas. Kami perlukan kesebelasan terbaik untuk menghadapi cabaran ATM malam ini,"katanya.

Beliau sedar anak buah B Sathianathan ketika ini ibarat `bom jangka' yang bersedia untuk meletup selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

"Kami perlu berhati-hati dan mengelak melakukan kesilapan yang akan membawa padah. ATM mempunyai barisan pemain berpengalaman.

"Pemain Perak perlu berada dalam keadaan cukup bersedia untuk pertemuan ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

No comments:

Post a Comment