Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Meragut rumput atas nama tuhan

Posted: 12 Jan 2014 10:32 AM PST

Pretoria: Seorang paderi mempunyai cara tersendiri untuk mengajak pengikutnya 'mendekati Tuhan' - iaitu dengan meragut rumput seperti haiwan ternakan.

Lesego Daniel dari Afrika Selatan yang menjadi paderi di Pusat Rabboni di Garankuwa, utara Pretoria turut didakwa memijak dan menendang pengikutnya ketika mereka melakukan upacara keagamaan baru-baru ini.

Media semalam melaporkan, paderi kontroversi itu sudah melakukan pelbagai kekasaran atas nama agama, tetapi pengikutnya tetap mempertahankan perbuatannya itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial menggelar Daniel "gila" apabila lelaki terbabit memuat naik gambar menunjukkan dia memijak pengikutnya di laman Facebook.

Foto

PENGIKUT Daniel pertahan tindakannya menyuruh makan rumput.

Foto

PENGIKUT Daniel memakan rumput untuk dekat dengan Tuhan.


Berdasarkan gambar itu, ada antara pengikutnya dilihat menahan sakit ketika dipijak.


Sebelum ini, Daniel pernah mengarahkan pengikutnya melelapkan mata ketika dia cuba memulihkan seorang wanita yang menghadapi kehamilan 'syaitan.'

Sambil mempertahankan tindakan paderi itu, pengikutnya menjelaskan kepada media mengapa mereka mentaati arahannya.

Pelajar undang-undang, Rosemary Phetha, 21, berkata mereka rela memakan rumput kerana ia menunjukkan - dengan kuasa Tuhan - apa saja boleh dilakukan.

"Memakan rumput menyembuhkan sakit tekak yang saya hidapi sejak lebih setahun," katanya.

Pengakuannya itu turut disokong Doreen Kgatle, 27, dari Garankuwa.

"Saya tidak boleh berjalan tetapi selepas memakan rumput seperti diarahkan, saya mula mendapat kekuatan dan sejam kemudian, saya boleh berjalan semula," katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook Melvin Jeddy Bowtie berkata, dia melihat banyak perkara tidak masuk akal dilakukan paderi itu dan ia tidak lucu.

"Daniel sudah menukar pengikutnya menjadi kambing," katanya dalam satu kenyataan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Bapa ayam saman Nike RM320 juta

Posted: 12 Jan 2014 10:28 AM PST

Portland: Seorang bapa ayam memfailkan saman AS$100 juta (RM320 juta) ke atas syarikat pengeluar kasut Nike kerana gagal memberi amaran bahawa produk mereka - Air Jordan - tidak sesuai untuk untuk membelasah seorang lelaki.

Sirgiorgiro Clardy, 26, mendakwa Nike turut bertanggungjawab terhadap hukuman penjara 100 tahun yang dihadapinya kerana membelasah seorang lelaki.

Akhbar semalam melaporkan bapa ayam dari Portland itu memakai kasut Air Jordan ketika memijak muka lelaki yang cuba meninggalkan hotel tanpa membayar upah atas khidmat melanggan pelacur seliaannya.

Clardy didapati bersalah melakukan serangan tahap kedua oleh juri pada awal tahun lalu.


Mangsa menerima beberapa jahitan dan terpaksa menjalani pembedahan plastik.


Clardy juga didapati bersalah kerana merompak lelaki terbabit, selain turut membelasah wanita yang dipaksa menjadi pelacur hingga telinga wanita itu berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Tentera Thai rimas ditanya isu kudeta

Posted: 12 Jan 2014 10:27 AM PST

Bangkok: Panglima Tentera Thailand Prayuth Chan-ocha meminta media agar berhenti menyebarkan berita mengenai rampasan kuasa kerana pasukan itu tidak berhasrat campur tangan dalam konflik politik menjelang "penutupan" Bangkok hari ini.

Bercakap selepas mempengerusikan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan di Sanam Pao, Prayuth menggesa media berhenti menyoalnya mengenai kemungkinan berlaku rampasan kuasa tentera.

Dia berkata, tindakan media menyoalnya setiap kali bertemu hanya meningkatkan ketegangan terhadap konflik politik yang semakin buruk di negara itu.

Bagaimanapun, Prayuth mengakui dia bimbang dengan kemungkinan tercetusnya pertempuran antara kumpulan parti politik ketika Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) menguasai beberapa kawasan di ibu negara.

"Rampasan kuasa bukan isunya untuk dibicarakan setiap hari," katanya.

"Mengapa perlu sering bertanya saya setiap hari?" katanya.

Prayuth berkata, dia yakin rakyat akan mencari penyelesaian bagi mengatasi konflik politik itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Penyanyi dangdut tuntut Anas digantung

Posted: 12 Jan 2014 10:26 AM PST

Jakata: Ramai yang mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) ketika menahan bekas Ketua Umum Parti Demokrat, Anas Urbaningram selepas disyaki terbabit dengan kes rasuah projek Hambalang.

Antara yang mempertahankan tindakan KPK itu ialah penyanyi dangdut Yenny Anggraeni.

Yenny berkata, Anas tidak boleh melupakan janji yang pernah dilafaznya sebelum ini.

"Anas pernah berkata yang dia bersedia digantung di Monumen Nasional jika terbabit dengan rasuah dan janji itu perlu ditunaikan," katanya.

Menurut Yenny, Anas pernah membuat janji itu di pejabat Dewan Pimpinan Pusat Parti Demokrat di Jakarta pada 9 Mac 2012.


Yenny berkata, KPK perlu membuktikan tuduhan rasuah yang dihadapi Anas seperti pernah disebutkan kali pertama oleh Bendahara parti itu, Muhammad Nazaruddin.


Nazaruddin pernah menyatakan bahawa Anas mengirimkan wang AS$7 juta (RM22.8 juta) berhubung dengan kemenangannya sebagai ketua umum parti berkenaan dalam satu mesyuarat di Bandung.

"Tuduhan rasuah yang dihadapi Anas perlu dibuktikan KPK.

"Jika dia terbukti bersalah, maka dia perlu digantung tanpa dipaksa.

"Anas perlu menunjukkan kejantanannya dan mengotakan janji yang pernah dibuat," katanya.

Anas yang dituduh menerima rasuah dalam projek Hambalang secara rasmi menjadi tahanan KPK sejak Jumaat lalu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

PKB cipta 3 lagu buat Rhoma

Posted: 12 Jan 2014 10:25 AM PST

Jakarta: Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) sudah menyiapkan tiga lagu untuk kempen calon presiden mereka, Rhoma Irama.

Menurut Rhoma, tiga lagu itu menjadi bukti bahawa PKB serius mahu menamakannya sebagai calon presiden dalam pemilihan beberapa bulan lagi.

"Inisiatif mengadakan iklan itu hasil idea PKB dan parti juga yang menguruskan iklan itu," katanya.

Menurut Dara Dangdut itu, lagu berkenaan akan dimainkan di seluruh televisyen nasional sebagai kempen untuk menarik rakyat mengundinya sebagai Presiden Indonesia.

Katanya, tiga lagu berkenaan mempunyai tema berbeza.

"Lagu pertama berbentuk unsur nasihat agar menghindari rasuah - iaitu jenayah berat yang menyebabkan kemunduran rakyat.

"Lagu kedua mengisahkan pembaharuan dan mengajak rakyat agar berubah menjadi lebih baik, manakala lagu ketiga membicarakan soal kemajuan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Henti dagang mangsa Haiyan

Posted: 12 Jan 2014 10:25 AM PST

Manila: Filipina berusaha untuk mengekang aktiviti penyeludupan kanak-kanak yang hilang tempat bergantung ekoran Taufan Haiyan, kata jurucakap presiden semalam, sehari selepas badan kebajikan kanak-kanak Britain menyuarakan kebimbangan mengenainya.

Plan International meminta Filipina menyiasat pengambilan kanak-kanak sebagai pekerja seks di Pulau Samar yang terjejas teruk akibat bencana itu pada 8 November lalu.

Suruhanjaya antipenyeludupan khas sudah bertindak bagi melindungi kanak-kanak yang hilang tempat bergantung akibat Haiyan daripada dieksploitasi penyeludup, kata jurucakap Presiden Benigno Aquino, Herminio Coloma.

Kumpulan aktivis memberi amaran bahawa mereka yang berdepan kesukaran hidup melampau mudah terjebak ke kancah pemerdagangan manusia.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Oki sah bergelar isteri

Posted: 12 Jan 2014 10:24 AM PST

Jakarta: Aktres jelita Oki Setiana Dewi sah menjadi isteri Ory Vitrio dalam majlis yang diadakan tengah hari semalam.

Menurut pelakon kelahiran Batam itu, dia bercita-cita ingin berkahwin ketika berusia 20 tahun.

Namun, katanya, Tuhan menetapkan yang dia menjadi isteri orang pada usia 25 tahun.

Mengenai rancangan selepas bernikah, aktres yang popular melalui filem Ketika Cinta Bertasbih berkenaan berkata, dia dan Ory merancang untuk berbulan madu ke Mesir dan menunaikan umrah di Makkah.

"Kami akan mengunjungi Iskandariah iaitu sebuah destinasi romantik yang menarik," katanya.

Kata Oki, dia kagum dengan keindahan kota berkenaan.

"Pantai di situ memang sangat indah dan saya sudah lama menyimpan hasrat untuk ke sana," katanya dalam satu kenyataan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Belang al-Sisi makin terdedah

Posted: 12 Jan 2014 10:24 AM PST

Kaherah: Bekas Menteri Pertahanan Mesir yang mendalangi rampasan kuasa Presiden Mohamed Mursi Isa al-Ayyat semalam semakin hampir mendedahkan belangnya untuk menjadi ahli politik negara itu.

Media kerajaan melaporkan, Abdel Fattah al-Sisi berkata dia akan bertanding untuk merebut jawatan presiden jika mendapat "permintaan" ramai.

Jika Abdel Fattah memutuskan untuk bertanding, pemerhati berpendapat dia tidak menghadapi masalah kerana sejak menggulingkan pemerintahan sah di Mesir Julai tahun lalu nama panglima tentera itu memang menjadi tokoh paling dikenali.

Pegawai atasan tentera pula berkata, mereka akan memberi sokongan kepada Abdel Fattah jika dia menyertai pilihan raya dijadual akhir tahun ini.


Kenyataan Abdel Fattah semalam dibuat menjelang pungutan suara untuk perlembagaan baru Mesir yang akan diadakan esok dan lusa.


Akhbar al-Ahram , Abdel Fattah menyatakan kesediaannya mencalonkan diri sendiri jika mendapat permintaan ramai serta "mandat daripada tentera" negara itu.

Abdel Fattah turut menggesa rakyat Mesir beramai-ramai menjayakan pungutan suara berkenaan ketika ulama tersohor dunia, Dr Yusuf al-Qaradhawi beberapa hari lalu menyatakan, adalah haram untuk orang ramai menyertainya.

Sementara itu gerakan Islam terbesar Mesir, Ikhwanul Muslimin menyeru penduduk negara berkenaan memulaukan proses itu kerana menganggap kerajaan yang ada adalah haram.

Sumber berkata, jika jumlah pengundi yang keluar menyertai pungutan suara adalah tinggi, Abdel Fattah akan menganggapnya sebagai "permintaan" itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

'Pistol bukan jawapan masalah jenayah rogol'

Posted: 12 Jan 2014 10:23 AM PST

New Delhi: Sepucuk pistol yang direka khas untuk wanita dan dinamakan sempena nama mangsa rogol berkumpulan di Delhi mendapat kecaman daripada aktivis hak asasi manusia semalam dan menganggapnya sebagai memalukan.

Revolver ringan .32 itu dicipta Indian Ordnance Factory (IOF) milik kerajaan dan boleh dimasukkan ke beg tangan.

Kilang di Kanpur, utara India itu menerima 20 pesanan sejak enam senapang patah aloi-titanium berharga 122,360 rupee (RM6,509) itu dilancarkan awal bulan ini.

Pistol itu digelar "Nirbheek" bermaksud "tidak takut" dan direka sebagai penghormatan terhadap mangsa serangan kejam di ibu negara India pada Disember 2012 yang mencetuskan kemarahan mengenai tahap keganasan terhadap wanita di negara itu.

Namun aktivis berkata, pistol itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa India "salah faham" mengenai cara untuk melindungi wanita.

Menurut pengasas pertubuhan mangsa senjata api, Binalakshmi Nepram, penghasilan pistol berkenaan adalah penghinaan kepada Nirbhaya.

"Kajian kami menunjukkan seseorang yang membawa pistol 12 kali ganda lebih terdedah untuk ditembak mati.

"Kerajaan juga terbukti gagal melindungi wanita apabila mereka mengeluarkan pistol berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Ahli politik maut ditembak kumpulan lelaki bersenjata

Posted: 12 Jan 2014 10:23 AM PST

Tripoli: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati Timbalan Menteri Industri Libya ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari membeli-belah di Sirte, semalam.

Pihak berkuasa kemudian menyalahkan serangan itu didalangi kumpulan militan Islam.

Sumber berkata, Hassan al-Drowi ditembak beberapa kali dari sebuah kereta ketika mangsa sedang memandu.

"Polis yang menyiasat kejadian itu menemui bahan letupan yang dipasang pada kenderaan Hassan," katanya.

"Berdasarkan penemuan itu pihak berkuasa percaya rancangan awal penyerang untuk meletupkan kereta Hassan gagal, mendorong mereka menembaknya," katanya.

Libya masih bergelut dengan keganasan dan kekacauan dua tahun selepas Muammar Gaddafi digulingkan.

Militan, militia dan bekas pemberontak serang menggunakan keganasan untuk mendapatkan tuntutan daripada kerajaan.

Sumber itu berkata, militan Islam cuba meluaskan pengaruh mereka di Sirte ketika kawasan berkenaan menjadi lebih stabil berbanding Tripoli.


Sirte ialah kubu kuat penyokong Gaddafi ketika negara itu mengalami perang.

Malah Gaddafi juga menemui ajal di Sirte pada 20 Oktober 2011.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

No comments:

Post a Comment