Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sasar 10 terbaik dunia

Posted: 26 Jan 2014 08:43 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas melonjak tiga anak tangga untuk menduduki ranking ke-14 dunia pada minggu lalu, gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah yakin mampu berada pada kelompok 10 terbaik sebelum berakhir tahun ini.

Kejayaan muncul juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia baru-baru ini bukan saja mengubah persepsi ramai terhadap mereka berdua yang sebelum ini kurang dikenali, malah meletakkan mereka semakin hampir untuk berada setaraf dengan gandingan beregu hebat dunia yang lain.

"Ketika ini tahap keyakinan kami berdua lebih tinggi, terutama ketika sesi latihan. Malah kami juga sudah nampak sasaran tertentu pada kejohanan yang akan disertai selepas ini.

"Kalau kami berdua boleh mengekalkan prestasi sekarang, saya rasa tidak mustahil untuk kami mengambil alih beregu utama negara milik Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia sebelum berakhir tahun ini," kata V Shem.

Foto

KHIM Wah (kiri) dan V Shem lebih yakin ketika latihan.


Pemain berusia 25 tahun yang digandingkan semula dengan Khim Wah buat kali ketiga itu bagaimanapun berkata, mereka berdua hanya mahu menumpukan kepada setiap kejohanan yang disertai terlebih dulu.


"Kami mahu terus fokus pada aksi di atas gelanggang dan tidak mahu memikirkan perkara lain.

"Lagipun banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Saya sendiri rasa kurang kemas ketika bertahan dan tidak konsisten dalam permainan jaring," kata V Shem.

Meskipun sudah memenangi saingan Siri Super Premier, V Shem serta Khim Wah tidak memandang mudah saingan Grand Prix Gold (GP) Jerman yang akan disertai mereka bermula 25 Februari depan.

Namun V Shem mengaku GP Jerman cukup penting untuk mereka berdua sebelum berkira-kira untuk beraksi pada saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung pada 4 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Beregu wanita cetus kebimbangan

Posted: 26 Jan 2014 08:38 AM PST

Kuala Lumpur: Prestasi tidak menentu pemain beregu wanita negara sejak kebelakangan ini mencetuskan rasa resah dan kurang senang jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak menjelang saingan Piala Uber 2014 di New Delhi Mei depan.

Terbaru, pada saingan Grand Prix Emas di India, semua beregu wanita negara beraksi hambar sementara sandaran utama Vivian Khoo-Woon Khe Wei yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA lalu turut tewas pada saingan separuh akhir kepada pasangan dari China.

Rosman juga sukar untuk menilai tiga lagi prestasi pasangan beregu negara iaitu Ng Hui Ern-Ng Hui Lin, Amelia Anscelly-Soong Fie Cho dan Yean Lee Meng-Lim Yin Loo selepas melalui tiga kejohanan iaitu Siri Super Terbuka Korea Selatan, Terbuka Malaysia dan GP Emas India.

"Memang betul kesemua pasangan beregu wanita ini perlu digilap lagi, tetapi rasanya susah untuk kita melayakkan diri jika dilihat pada prestasi sekarang," katanya.

Foto

KAH MUN (kiri) dan Khe Wei (kanan) beraksi ketika Terbuka Malaysia.


Kali terakhir skuad wanita negara beraksi di saingan Piala Uber adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2010 yang menyaksikan skuad negara terkandas di pusingan suku akhir.


Sementara dua tahun lalu di Wuhan, skuad negara gagal melayakkan diri di kejohanan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

'Senaraikan apa sumbangan mereka'

Posted: 26 Jan 2014 08:37 AM PST

Kuala Lumpur: Kelab Sukan Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia menggesa Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail menyenaraikan hasil yang disumbangkan Setiausaha Agung Datuk Arshad Yahya dan Penolong Setiausaha Agung 1 Tengku Adnan Tengku Burhanuddin berbanding meminta disenaraikan apakah kesalahan dua individu berkenaan.

"Saya rasa itu lebih baik, cuba senaraikan apakah sumbangan mereka sepanjang 10 tahun memegang jawatan dalam PSM.

Malah Ahmad sendiri seharusnya boleh menilai dalam aspek pembangunan, pentadbiran dan sebagainya kerana dua individu berkenaan adalah lantikan dirinya.

Tidak mungkin beliau tidak nampak selama 10 tahun ini?," kata presiden kelab berkenaan Rommi Suhendra.

Arshad dilantik Setiausaha Agung pada 2003 selepas Ahmad dipilih presiden persatuan berkenaan pada tahun yang sama manakala Tengku Adnan dilantik Penolong Setiausaha Agung 1 pada 2011.


Sebelum itu, beliau memegang jawatan Ketua Seranta PSM.

Tambahnya, kelab berkenaan tidak akan berdiam diri selepas mendesak tiga individu berkenaan meletak jawatan pada awal bulan ini dengan merancang untuk mengadakan jelajah ke seluruh negara.

"Kami sudah memulakan jelajah ke peringkat negeri bagi mengadakan perjumpaan dengan bekas pemain bermula dengan Pulau Pinang hari ini (semalam) dengan kehadiran kira-kira 20 pemain negeri dan kebangsaan.


Ternyata bekas pemain di Pulau Pinang turut menyuarakan keresahan mereka terhadap sukan ini.

"Antara yang disuarakan adalah ketiadaan kejohanan yang semakin ketara," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Kali terakhir skuad negara meraih emas di Sukan SEA adalah pada edisi 2005 di Filipina manakala untuk Sukan Asia 1994 di Hiroshima, kedua-duanya menerusi acara regu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Amaran Sime Darby

Posted: 26 Jan 2014 08:36 AM PST

Kuala Lumpur: Pasukan yang baru dinaikkan taraf, Sime Darby FC memberi amaran awal bahawa mereka juga mampu mencabar kejuaraan Liga Super musim ini selepas menewaskan juara Piala Malaysia, Pahang 1-0 kelmarin.

Selepas menyingkirkan ATM pada pusingan awal Piala FA minggu lalu menerusi kemenangan 2-1, skuad kendalian Ismail Zakaria itu meneruskan rentak kemenangan itu dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin.

Ia satu kebangkitan bagi kelab yang diberi jolokan 'Pembunuh Gergasi' itu dalam kempen liga selepas kalah tipis 2-1 di tangan Kelantan pada perlawanan pertama dan menjadi pembakar semangat menjelang aksi di gelanggang lawan dengan Sarawak esok.

"Saya berpuas hati dengan kesungguhan pemain dan apa yang penting kami berjaya mengutip tiga mata bagi meneruskan perjalanan liga yang masih panjang. Kami mampu bersaing dengan pasukan lain walaupun kami hanyalah pasukan yang sederhana, tapi pemain-pemain memiliki karaktor dan keinginan untuk menang," kata Ismail.

Foto

MAHMOD (kanan) berjaya melepasi asakan dua pemain Pahang.


Dalam perlawanan itu, Sime Darby seharusnya berterima kasih kepada pemain sayap Fahrul Razi Kamaruddin apabila menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua selepas dia menanduk masuk bola hantaran Farid Ramli dari sebelah kiri.


Bagi Fahrul, 27, dia gembira dapat menyumbang tiga mata buat Sime Darby melonjak ke tangga keenam liga dan berharap dapat memperbaiki sentuhan penyudahnya selepas hanya menyumbat satu gol musim lalu.

"Saya gembira dengan kemenangan ini untuk membantu pasukan meneruskan momentum. Selepas ini kami akan bertemu Sarawak dan ia bukan perlawanan yang mudah apatah lagi bermain di tempat mereka," katanya.

Fahrul yang memiliki kepantasan dilihat cukup serasi bergandingan dengan pemain import Syria, Mahmoud Amnah di bahagian tengah dalam mengatur serangan ke kubu Pahang.

"Saya bergandingan dengannya sejak November lalu dan sudah menampakkan keserasian. Saya sedang berusaha untuk memperbaiki permainan kerana kalau boleh saya mahu merebut tempat dalam skuad kebangsaan," katanya yang mengimpikan untuk menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

'Set piece' Singa jerat Gergasi Merah

Posted: 26 Jan 2014 08:34 AM PST

Johor Bahru: Merentap ego Selangor nyata memberi kepuasan buat LionsXII yang sudah mula menunjukkan taringnya beraksi di padang rumput tiruan untuk mencipta kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin.

Agak menarik apabila dua gol berpunca daripada 'set piece' menarik sehingga memukau benteng pertahanan skuad Gergasi Merah termasuk penjaga gol, Farizal Marlias.

Namun bagi pengendali LionsXII, Fandi Ahmad yang mengambil alih tugas daripada V Sundramoorthy, tidak mahu terlalu awal mendabik dada sebaliknya menganggap banyak kelemahan perlu diperbaiki bagi memantap pasukan berstatus juara Liga Super itu.

"Saya berpuas hati dengan tiga mata yang diraih, begitupun ia terlalu awal untuk menyatakan barisan pemain LionsXII berada di tahap memuaskan kerana banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki.

"Paling ketara adalah tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan.

Apa pun saya yakin kesungguhan yang dipamerkan pemain selepas menewaskan Selangor beri motivasi tinggi kepada mereka mengharungi perlawanan seterusnya.

"Saya tidak anggap Lions XII ada kelebihan beraksi di padang rumput tiruan.

Anda lihat sendiri penguasaan jelas milik Selangor, tetapi pemain saya bersikap tenang dan tidak kelam kabut dan hasilnya tiga mata milik kami," katanya.

Tuan rumah yang sering tertekan dengan asakan bertubi-tubi anak didik Mehmet Durakovic pantas mengambil kesempatan mencipta gol pada minit ke-44 selepas Shakir Hamzah menanduk kemas bola sepakan sudut.

Bagaimanapun, LionsXII tersentak dengan jaringan penyamaan Selangor pada minit ke-57 selepas Mohd Fittri Shazwan menanduk bola menerjah jaring, namun ketika aksi terarah dengan keputusan seri 1-1, Khairul Amari Kamal muncul wira LionsXII selepas bola tandukan pada masa kecederaan babak kedua memastikan kemenangan buat skuad Singa itu.

Kini Fandi mengakui agak gusar menanti pertembungan menentang seteru utama Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Larkin, malam esok selepas Khairul Amri mengalami kecederaan selain Shahfiq Ghani dan Safuwan Baharuddin turut mengalami nasib serupa.

"Belum pasti lagi status mereka, kita akan pantau kecederaan dialami dan saya berharap mereka bersedia berdepan satu lagi ujian getir berdepan pasukan yang di anggap terkuat pada saingan Liga Super," kata Fandi.

Foto

FITTRI (kiri) diasak pemain LionsXII.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Sathia mahu anak buah fokus mental

Posted: 26 Jan 2014 08:32 AM PST

Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan mahu anak buahnya kembali menguatkan mental menjelang pertemuan menentang Perak malam esok selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut.

Gladiators memulakan saingan Liga Super dengan menumbangkan Sarawak, namun tersingkir pada pusingan pertama Piala FA apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Sime Darby FC disusuli kekalahan kepada PKNS FC pada perlawanan kedua liga, Jumaat lalu.

"Pemain perlu mempamerkan kebangkitan selepas ini kerana saya lihat pemain terjejas dalam aspek mental selepas tersingkir dalam kancah Piala FA.

Jadi saya mahu pemain kembali apabila menentang Perak.

Kami perlu berusaha sebaik mungkin untuk aksi ketiga liga kerana saya percaya sebuah pasukan yang baik akan kembali bangkit," kata bekas pengendali kebangsaan itu yang turut dibayangi siasatan FAM susulan kenyataannya berkaitan pengadil.

Namun, beliau tidak mempunyai masalah dengan pengadil pada Jumaat lalu, tidak seperti pengadil yang mengendalikan pertemuan menentang Sime Darby FC apabila menyifatkan Mohd Zamzaidi Katimin "mempunyai kelas".

Ayam tambatan PKNS FC, Ronaldinho muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-72 sudah cukup untuk meranapkan impian tiga mata ATM.

Sathianathan menjelaskan ketiadaan kapten ATM, Hairuddin Omar yang mengalami kecederaan memberi kesan kerana mempunyai kualiti kepimpinan yang dimilikinya namun penggantinya, Rezal Zambry Yahya juga juga seorang pemain berpengalaman serta sudah memberikan yang terbaik menggalas tugas yang diamanahkan.

"Masih terlalu awal kerana baru perlawanan kedua.


Nasib baik kami bermain seperti ini sekarang, bukan pada penghujungnya.


Tahun lalu kami bermain dengan baik sejak awal, namun kehilangan banyak mata apabila penghujung saingan.

Kami tewas kerana mental dan berharap perlawanan selepas ini lebih baik," katanya.

ATM bakal menanti kunjungan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok dengan anak buah Sathianathan pastinya mahu meraih tiga mata penuh sebagai penawar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

TRW gah di puncak liga

Posted: 26 Jan 2014 08:32 AM PST

Petra Jaya: Jurulatih Kelantan, Steve Darby lega apabila anak buahnya berjaya menewaskan Sarawak 1-0 apatah lagi apabila gol kemenangan muncul pada minit akhir perlawanan dramatik saingan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam kelmarin.

Kemenangan tipis itu bukan saja membolehkan The Reds Warriors (TRW) menghuni tangga teratas liga, malah melebarkan rekod cemerlang sepanjang pertembungan tiga tahun kebelakangan ini.

Darby pada mulanya menyangka pertembungan itu berkesudahan seri tanpa jaringan berikutan tekanan hebat diberikan tuan rumah sehingga menyekat usaha Kelantan melancarkan serangan.

"Amat menakjubkan apabila saya sudah meletakkan keputusan bahawa kami akan (berkongsi mata) dengan Sarawak kerana mereka beraksi begitu baik.

Pemain saya diberi tekanan hebat dan saya puji corak permainan semua pemain yang berjaya menjalankan tugas lebih baik.

"Perlawanan ini amat sengit apabila hanya beberapa ketika kami berpeluang mengatur serangan berbanding Sarawak.

Tapi kami berjaya menghalang walaupun mereka turut berpeluang menjaringkan gol," katanya.

Keputusan itu membolehkan Kelantan melakarkan kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan Sime Darby, 2-1 di laman sendiri Sabtu lalu.

Ditanya Kelantan sepatutnya menguasai perlawanan kerana memiliki kelebihan berehat panjang, Darby berkata: "Kami cuba melakukannya tapi kami sering diasak.

Foto

PEMAIN Sarawak, Joseph Kalang Tie (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohd Nazri Ahmad.


Bagaimanapun, kami berjaya mengawal permainan dan ini membolehkan kami memanfaat peluang yang ada.

"Pemain bijak mengatur corak permainan dan saya memuji mereka terutama Ahmad Fakri (Saarani) yang bermain dalam tiga posisi pada satu-satu masa.

"Inilah dikatakan permainan profesional apabila anda tidak seharusnya berada dalam satu-satu posisi sebaliknya boleh berfungsi di setiap sudut.

"Kami memiliki komunikasi pemain yang baik biarpun kebanyakan muka baru.


Kami hilang tujuh pemain musim ini, tapi mereka bertindak seperti biasa untuk memburu mata kemenangan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Azraai puas T-Team calar ego Johor DT

Posted: 26 Jan 2014 08:30 AM PST

Kuala Terengganu: Keupayaan T-Team mencalar ego pasukan bintang Johor Darul Takzim (DT) malam kelmarin menyuntik semangat barisan Azraai Khor Abdullah untuk menewaskan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Malah bukan itu saja, corak permainan skuad itu yang sebelum ini dikritik hebat selepas prestasi hambar ketika bertemu Selangor dan UiTM, kini dilihat semakin ampuh sebagai mana yang diperagakan ketika menumbang Johor DT 1-0 hasil jaringan pemain import dari Indonesia Patrich Steev Wanggai m-71.

Bekas jurulatih Perak musim lalu itu tanpa berselindung mengaku berasa gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pemainnya yang sudah menemui rentak berdasarkan aksi yang diperagakan pemain malam kelmarin.

"Sudah tentu saya amat gembira kejayaan T-Team yang beraksi dengan baik walaupun beberapa peluang yang dimiliki pemain gagal direalisasikan dengan jaringan selain umpanan yang kurang menyerlah serta ada pemain tidak berfungsi dengan baik.

"Apapun kemenangan itu begitu berharga kerana hasil usaha keras semua pemain termasuk kecemerlangan penjaga gol Mohd Shahril membantu T-Team meraih tiga mata pertama meskipun kita hanya menyasarkan satu mata dalam pertemuan yang penuh dramatik menentang pasukan hebat itu," katanya yang mengharapkan pemainnya tidak besar kepala atas kejayaan itu.

Bagaimanapun, pengendali itu belum mahu mendabik dada atas kejayaan itu sebaliknya mengharapkan pemainnya terus meningkatkan prestasi terutama menjelang pertemuan dengan Terengganu malam esok yang juga dibarisi ramai pemain berkualiti pada setiap posisi.

"Kejayaan mengekang Johor DT itu belum cukup kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki jika berhasrat untuk melangkah lebih jauh lagi dalam kancah liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Smith rehatkan Nwakaeme

Posted: 26 Jan 2014 08:29 AM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Ronald Smith tidak berani mengambil risiko untuk menurunkan Dickson Nwakaeme bagi pertemuan dengan Selangor esok walaupun khidmat pemain import Nigeria itu amat penting bagi memantapkan jentera serangan yang dilihat hambar ketika tewas 1-0 di tangan Sime Darby FC pada aksi Liga Super kelmarin.

Selepas memulakan kempen liga dengan bergaya apabila mengalahkan juara bertahan LionsXII 1-0 pada aksi Sumbangsih pada 17 Januari lalu, skuad Tok Gajah gagal beraksi baik dan membenarkan Sime Darby mengutip tiga mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Bagi Smith, beliau tidak mahu menjadikan jadual padat sebagai alasan kekalahan itu sebaliknya mengakui pemainnya gagal beraksi pada tahap sebenar dan banyak mensia-siakan peluang.

"Memang jadual padat tapi semua pasukan berdepan situasi yang sama.

Beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari memang sukar tapi saya membuat beberapa pertukaran pemain dalam pasukan.

Kami mencipta beberapa serangan tapi pemain gagal membuat hantaran yang tepat jadi tiada alasan jika anda melepaskan peluang untuk menghasilkan gol," katanya.

Kekalahan itu menyebabkan skuad juara Piala Malaysia itu tergelincir ke tangga kesembilan liga selepas dua perlawanan dan berdepan tugas mencabar untuk bangkit apabila melayan kunjungan Selangor di Stadium Darul Makmur esok.

Gandingan penyerang Matias Conti dan Mohd Azamuddin Akil kurang menjadi dalam perlawanan itu namun Smith bakal mempertaruhkan pemain yang sama apabila Nwakaeme masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami pada perlawanan Sumbangsih.

"Dickson tidak boleh beraksi menentang Selangor, memang dia semakin pulih tapi saya tidak berani mengambil risiko dengan kecederaan hamstring.


Jika anda silap, kecederaannya akan bertambah buruk.


Saya rasa dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi dia baru boleh bermain semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Alberts terdesak!

Posted: 26 Jan 2014 08:02 AM PST

Petra Jaya: Tanpa berselindung jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui berada dalam keadaan terdesak untuk menurunkan ayam tambatannya, Muamer Salibasic yang masih mengalami kecederaan selepas harapan disandarkan terhadap dua penyerang baru gagal menemui penyudahnya.

Salibasic, 30, yang juga penyerang kelahiran Bosnia Herzegovina mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat panjang dengan tempatnya digantikan Alireza Abasfard yang digandingkan bersama Gabor Gyepes.

"Dalam situasi seperti ini, kami memerlukan Salibasic selepas Alireza dan Gyepes tidak menunjukkan prestasi sebenar. Saya memang tidak berpuas hati terhadap persembahan mereka sehingga kami terlepas beberapa peluang terhidang.

"Ketika ini, semua pasukan bergantung kepada pemain import untuk menjaringkan gol dan pemain tempatan bekerja keras untuk membantu dan mengisi slot dalam setiap perlawanan.

Foto

GYEPES (dua dari kanan) gagal temui penyudah.


"Sebab itulah, kami perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga minggu untuk memastikan dia (Salibasic) pulih sepenuhnya dan diturunkan," katanya sambil mengharapkan dua pemain import masing-masing dari Iran dan Hungary itu meningkatkan prestasi pada perlawanan menentang Sime Darby, esok.


Alberts berkata, faktor keletihan pemainnya turut menyumbang kepada kegagalan membentuk corak permainan selepas hanya dua hari diperlukan untuk menghadapi pertembungan ini.

"Saya sedar pemain keletihan selepas beraksi selama 120 jam (pada saingan Piala FA). Kami bergelut untuk memulihkan kembali dengan tempoh rehat dua hari masih belum mencukupi." katanya

Kekalahan tipis 0-1 kepada Kelantan malam kelmarin menyaksikan Sarawak terus malang apabila menghuni tangga tercorot selain satu-satunya pasukan belum memungut sebarang mata.

Pada aksi pembukaan, Sarawak tumpas 0-2 kepada ATM ditempat lawan sebelum menewaskan Pulau Pinang pada pusingan pertama Piala FA, di laman sendiri, Selasa lalu.

Dalam perlawanan itu, Sarawak menguasai 70 peratus permainan berbanding Kelantan yang sekali sekala melakukan serangan tapi malangnya beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

No comments:

Post a Comment