Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Lebih baik berpisah saja'

Posted: 29 Jan 2014 09:11 AM PST

Kuala Lumpur: "Jika sudah tiada persefahaman, lebih baik pisahkan saja."

Demikian pandangan bekas pemain beregu negara Lee Wan Wah mengenai gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mempamerkan aksi merudum sejak beberapa tahun lalu sehingga mencetuskan persoalan wajarkah kedua-duanya yang digandingkan sejak 2006, dipisahkan atau sebaliknya.

Wan Wah yang pernah muncul beregu utama negara bersama Choong Tan Fook berkata, keputusan untuk memisahkan Kien Keat-Boon Heong dilihat sebagai jalan terbaik bagi meningkatkan semula prestasi kedua-dua pemain itu, terutama menjelang saingan Piala Thomas di New Delhi India, Mei ini.

"Apapun, segala-galanya terpulang kepada pemain terbabit. Kalau mereka selesa dan setuju berpisah, saya rasa tiada masalah," katanya.

Foto

KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.


Wan Wah yang pernah merangkul beberapa kejayaan termasuk dua pingat emas Sukan Komanwel menegaskan tidak timbul soal sukar untuk mendapatkan persefahaman seandainya Kien Keat dan Boon Heong bakal menerima pasangan baru.


"Perkara ini sesuatu yang biasa, malah saya juga pernah melaluinya satu ketika dulu. Kalau kita lihat sekarang pun beregu dari negara lain seperti Korea Selatan contohnya, memisahkan gandingan mereka.

"Saya rasa bukan masalah besar untuk mereka (Kien Keat-Boon Heong) membina persefahaman dengan pasangan baru," katanya.

Begitupun, Wan Wah menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membuat keputusan terbaik ke atas gandingan yang pernah menduduki ranking pertama dunia itu.

Boon Heong baru-baru ini menyatakan kesediaan berpisah dengan Kien Keat sekiranya itu keputusan terbaik BAM yang sehingga kini masih belum memutuskan mengenai gandingan mereka pada masa depan.

Kedua-dua pemain itu yang tersingkir seawal pusingan pertama di Siri Super Premier Terbuka Malaysia baru-baru ini, kini dibekukan daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Dilema Dharma menjelang Piala Sultan Azlan Shah

Posted: 29 Jan 2014 09:07 AM PST

Kuala Lumpur: Dilema kini bermain di benak fikiran ketua jurulatih skuad hoki senior negara Muhammad Dharma Raj Abdullah menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, pada 13 hingga 23 Mac ini.

Sama ada harus menurunkan skuad utama atau sebaliknya di kejohanan jemputan itu kini menjadi pertimbangannya kerana beliau juga perlu memikirkan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang pada 26 April hingga 4 Mei yang pada pendapatnya lebih penting kerana menawarkan mata ranking dunia.

Yang lebih utama, Dharma perlu membuat congakan tepat kerana selepas dua kejohanan itu, skuad negara akan tampil beraksi pada kancah Piala Dunia di The Hague, Belanda bermula 31 Mei iaitu antara tugasan paling getir sepanjang kempen tahun ini.

Namun Ipoh juga cukup penting buat dirinya sendiri kerana ia tugasan pertamanya selaku ketua jurulatih selepas mengambil alih daripada Paul Revington selain perlu mengekalkan reputasi cemerlang skuad negara yang muncul naib juara tahun lalu.


"Kalau saya turunkan barisan pemain utama, kita mungkin meraih pencapaian cemerlang tapi adakah pemain sama mampu beraksi di Cabaran Juara-Juara 1, itu yang saya fikirkan ketika ini.


"Cadangan awal saya untuk menurunkan barisan pemain muda sambil dibantu beberapa pemain senior. Tapi itu masih belum pasti lagi, saya hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan China dan Kanada bulan depan," katanya.

Dharma mengaku sedia menerima sebarang kemungkinan pada saingan Piala Sultan Azlan Shah nanti sekiranya congakan dilakukannya tidak menjadi serta anak buahnya beraksi hambar.

"Sejak diberi tugas jurulatih, saya sudah fikirkan semua ini. Saya pasti akan dikritik sekiranya gagal meraih keputusan bagus, tapi saya sudah bersedia menghadapi semua itu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Mohd Johari Abdul Aziz berkata, Afrika Selatan menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan penyertaan mereka di Piala Sultan Azlan Shah.

Sebelum ini enam pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka iaitu Australia, Korea Selatan, Kanada, Perancis, Malaysia dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Shaharudin harap doa peminat

Posted: 29 Jan 2014 09:06 AM PST

Melaka: Bekas pelumba berbasikal negara yang juga pemenang emas Sukan SEAP 1965, Shaharudin Jaffar (gambar), 74, meminta peminat sukan itu mendoakan agar pembedahan matanya berakhir dengan selamat.

Beliau yang pernah membuang selaput mata sekitar Jun 2012 akan sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Mata Tun Hussein Onn dalam usaha memastikan penglihatannya yang amat kabur ketika ini kembali berfungsi lebih baik.

Shaharudin yang pernah melalui perjalanan pahit manis dalam sukan itu termasuk kehilangan sebahagian cuping telinga, pendarahan dan kecederaan teruk akibat kemalangan ketika sesi latihan menjelang Sukan Olimpik Mexico 1968, reda dengan ketentuan dihadapinya.

Menurutnya, buat masa ini kesihatannya agak stabil walaupun pernah menjalani pembedahan pintasan jantung sekitar 2006, selain mengalami masalah buah pinggang dan kencing manis.

Foto


"Pergerakan saya sedikit terbatas dengan tahap kesihatan sekarang, tambahan pula isteri saya menghidap kanser tulang tahap empat dan pernah menjalani proses kemoterapi di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Cheras. Namun saya tetap bersemangat selain setia memberi sokongan kepadanya sepanjang masa," katanya yang kini tinggal di Seksyen 8 Shah Alam, Selangor.


Akibat masalah dihadapi, beliau terpaksa mengambil keputusan tidak meneruskan kedai perniagaan basikal di SJ Cycles Sekyen 4, Shah Alam kerana kini lebih mengutamakan kesihatan.

Katanya, perniagaan menerusi sistem penjualan secara online yang sebelum ini aktif juga dihadkan berikutan masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Troussier hampiri Malaysia

Posted: 29 Jan 2014 09:04 AM PST

Kuala Lumpur: Peluang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melantik jurulatih berbangsa Perancis, Philippe Troussier untuk membimbing skuad Harimau Malaya tampak semakin cerah apabila beliau dilaporkan menolak tawaran pasukan dari Afrika dan bakal mengadakan rundingan dengan pegawai tertinggi FAM di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Menerusi beberapa laporan di laman web sukan Perancis antaranya www.lequipe.fr pada Selasa lalu menyatakan bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun 2002 itu dijangka menandatangani kontrak bersama FAM sekiranya rundingan kali ketiga itu berjaya.

"Troussier kini berada di Kuala Lumpur untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi FAM. Beliau dijangka akan diumumkan sebagai jurulatih baru Malaysia," menurut laporan yang dipetik daripada laman web itu.

Sebelum ini jurulatih berusia 58 tahun itu turut dikaitkan dengan Tunisia, namun laporan laman web www.africatopsports.com mendakwa pasukan dari benua Afrika itu boleh melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Troussier kerana beliau dikatakan lebih berminat dengan Malaysia.

Foto

SOROTAN petikan daripada lawan sesawang antarabangsa mengenai Troussier yang berminat dengan Harimau Malaya.


Selain Tunisia, Troussier yang memiliki reputasi hebat di Afrika apabila pernah membimbing skuad kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi dilaporkan turut mendapat tawaran dua kelab dari Jepun.


Troussier menjadi calon pilihan FAM selepas mendapat nasihat daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dan pegawai FAM sudah mengadakan perbincangan awal dengan jurulatih itu di China pada pertengahan tahun dan di Singapura, November lalu.

Menurut sumber rapat FAM, badan induk itu bersedia menawarkan kontrak lumayan tiga tahun kepada Troussier kerana mereka menganggap sudah tiba masanya untuk melantik jurulatih berkelas dunia.

"Kualiti pasukan kebangsaan menampakkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan FAM berasa perlu untuk melantik jurulatih bertaraf dunia walaupun ia memerlukan perbelanjaan besar," katanya.

Jurulatih kelahiran Paris itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas menamatkan kontrak bersama kelab China, Shenzhen Ruby pada 5 November lalu. Difahamkan jika bersetuju, Troussier bakal menerima gaji AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun.

Selain Troussier beberapa nama lain turut dikaitkan untuk menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu, antaranya bekas jurulatih Liverpool Alez Miller, bekas pemain skuad juara Piala Dunia 1998 Perancis Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan Bob Houghton.

Buat masa ini skuad kebangsaan dikendalikan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee buat sementara waktu dengan aksi pertama skuad kebangsaan tahun ini menerusi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina pada 1 Mac nanti bakal menampilkan jurulatih baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Kim Swee uji sebelas muka baru

Posted: 29 Jan 2014 09:01 AM PST

Kuala Lumpur: Sebelas pemain baru akan dipanggil bagi menjalani sesi pemilihan skuad Harimau Muda A (Bawah 23) dalam tempoh terdekat.

Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau akan menguji enam pemain Harimau Muda B (Bawah 21) serta lima Harimau Muda C (Bawah 19) kerana skuad berkenaan bakal beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia dari Mac sehingga Ogos ini.

Selain menguji 11 pemain berkenaan, beliau turut memantau beberapa pemain berpotensi daripada Kejohanan Piala Presiden yang bermula minggu ini untuk dibawa bersama beraksi dalam Liga Divisyen Dua Australia itu.

"Tidak semestinya kesemua pemain akan pergi termasuk sesiapa yang saya pilih daripada Kejohanan Piala Presiden nanti kerana saya harus memberi mereka lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan saya," katanya.

Beliau berkata skuad kendaliannya hanya akan bercuti esok dan Sabtu ini sempena sambutan Tahun Baru Cina sebelum menyambung semula sesi latihan pada Ahad bagi memastikan pemain dapat mengekalkan kecergasan masing-masing.

"Kita tidak mempunyai banyak masa lagi sebelum bertolak ke Brisbane," kata Kim Swee.

Pada masa sama, beliau turut mengharapkan kehadiran Tahun Baru Cina yang bakal disambut esok menghadirkan tuah untuk skuad kendaliannya kerana mereka bakal menggalas cabaran negara pada saingan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September nanti.

Skuad Harimau Muda A kehilangan khidmat beberapa tonggak musim ini atas pelbagai faktor termasuk melebihi usia 23 tahun serta tidak menyambung kontrak bersama pasukan remaja negara itu.

Antaranya ialah kapten pasukan Mohd Irfan Fazail, pemain pertahanan Mohd Fadhli Mohd Shas serta penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta penyerang Izzaq Faris Ramlan yang kembali semula ke negeri kelahirannya Terengganu.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

'Saya belum terima surat FAM'

Posted: 29 Jan 2014 09:00 AM PST

Kuala Lumpur: "Saya tidak tahu, saya masih belum menerima sebarang surat daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)," kata jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan berhubung kontroversi kritikannya terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) baru-baru ini.

Jelas pengendali itu lebih senang bersikap tunggu dan lihat dengan keputusan yang bakal diambil FAM sama ada mahu memanggilnya untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Tatatertib atas dakwaan melanggar Artikel 88.

Nasib Sathianathan terus menjadi persoalan apabila Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak kelmarin enggan memberikan sebarang komen berhubung isu itu walaupun sebelum ini beliau yang meminta Jabatan Undang-Undang menyiasat kenyataan jurulatih berkenaan.

Sathianathan mencetuskan kontroversi apabila menyuarakan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil ketika pasukannya terkandas pada pusingan pertama Piala FA apabila tumpas 1-2 di tangan Sime Darby Selasa lalu.

Selain bekas jurulatih kebangsaan itu, jurulatih Sime Darby Ismail Zakaria juga berdepan nasib sama apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan ketika skuadnya kalah 1-2 pada aksi Liga Super, 18 Januari lalu.

Namun ada kemungkinan kedua-dua jurulatih itu bakal terlepas daripada sebarang hukuman dan sebaliknya hanya dikenakan amaran berikutan FAM kini bersikap lebih terbuka dalam menerima pandangan selepas membuat pindaan kepada Artikel 88.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Firdaus tak sabar ke Newcastle Jets

Posted: 29 Jan 2014 08:52 AM PST

Ipoh: Mohd Firdaus Saiyadi (gambar), pemain pertama yang akan menjalani ujian percubaan selama dua minggu bersama Newcastle Jets di Australia, Mac ini bertekad tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk mencuba nasib di negara Kanggaru itu

"Saya tidak akan melepaskan peluang keemasan ini dan bertekad untuk menjadi pemain terbaik bagi Perak," katanya.

Pemain skuad Piala Presiden Perak berusia 18 tahun itu terpilih menyertai latihan dua minggu bersama kelab terkenal itu yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) di pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.

Mohd Firdaus berasal dari Ipoh adalah produk hasil program pembangunan yang diusahakan PAFA Academy dengan kerjasama SMK Anderson, Ipoh.

Foto


Di bawah program pembangunan itu yang bertujuan meningkatkan mutu permainan bola sepak, PAFA juga berpeluang menghantar jurulatih atau kakitangan pengurusan bagi menimba ilmu bersama kelab berkenaan.


Selain itu beberapa perlawanan persahabatan pra-musim antara kedua-dua pasukan akan diadakan, khusus untuk persiapan bagi menghadapi Liga M. Malah Newcastle Jets bersetuju untuk datang ke Ipoh pada pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama ini akan menjadi medan menggilap dan mencungkil bakat baru berpotensi untuk diketengahkan dalam pasukan Perak.

"Apa yang kita harapkan melalui program ini, kita akan dapat memartabatkan dan meningkatkan mutu bola sepak negeri ini. Program ini mencetuskan satu perkembangan dan perubahan baru dalam bola sepak negeri Perak khususnya dalam usaha kita untuk menggilap bakat pemain muda untuk diketengahkan sebagai pemain negeri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya.

Pada majlis menandatangani MoU itu, PAFA diwakili Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya manakala Newcastle Jets menerusi Pengurus Operasi, Nicholas Deluca.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Azman yakin tumpuan PDRM tak terjejas

Posted: 29 Jan 2014 08:51 AM PST

Kuala Lumpur: Penolong jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan yakin tumpuan pemain tidak terjejas walaupun terpaksa melupakan seketika khidmat ketua jurulatih Dollah Salleh yang kini berehat selepas selamat menjalani angioplasty jantung kelmarin.

Azman, 42, berkata, buat sementara waktu beliau akan mengendalikan latihan pasukan seperti biasa bagi persiapan menentang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP) pada pusingan kedua Piala FA Selasa depan.

"Saya tidak dapat mengesahkan berapa lama jurulatih Dollah Salleh akan berehat dan buat sementara waktu saya akan mengambil alih tugas itu. Walaupun beliau tidak bersama pasukan, latihan akan tetap diteruskan seperti biasa. Saya akan sentiasa berhubung dengannya untuk mendapat arahan dari segi taktikal dan sebagainya.

"Saya dan semua pemain mendoakan beliau cepat sembuh dan bersama pasukan semula. Walaupun tidak bersama pasukan tapi saya percaya semangatnya akan terus bersama pemain. Beliau idola kepada pemain dan bagi saya, beliau ialah 'The Special One' Malaysia," katanya kepada Arena Metro semalam.

Foto

DOLLAH yang semakin pulih ditemani isteri, Roslina Ibrahim di Pusat Perubatan Sime Darby.


Di bawah kendalian Dollah, PDRM memulakan kempen musim ini dengan cemerlang apabila mengalahkan SPA FC 1-0 pada pusingan pertama Piala FA sebelum mencatat dua kemenangan berturut-turut menentang Johor Darul Ta'zim II (3-1) dan Pulau-Pinang (5-1) untuk menduduki tangga teratas Liga Perdana.


Dollah, bekas penyerang kebangsaan yang membimbing Pahang menjuarai Piala Malaysia musim lalu mengadu sakit dada beberapa hari lalu sebelum mendapat rawatan di Pusat Perubatan Sime Darby kelmarin.

Mengulas mengenai pertemuan dengan PBAPP bagi aksi Piala FA, Azman berkata, beliau tidak memandang mudah pertemuan itu dan bakal menurunkan barisan terbaik skuad The Cops.

"Setiap perlawanan penting tidak kira siapa lawan kami. Kami akan turun dengan pemain terbaik kerana kami tidak ambil mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Wan Jamak puas hati!

Posted: 29 Jan 2014 08:46 AM PST

Kota Bharu: Ketua jurulatih PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan menganggap kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin sebagai satu kepuasan untuk pasukannya.

Wan Jamak berkata, selaku pasukan berstatus kelab dan turun sebagai bukan pilihan, beliau cukup berbangga dengan prestasi anak didiknya apabila menjinakkan The Red Warriros (TRW) di gelanggang keramat mereka.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan sepatutnya berpihak kepada Kelantan, namun hasil kecekalan pemainnya yang bertahan dan menangkis serangan bertali arus tuan rumah di penghujung perlawanan berbaloi apabila memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata.

"Kami hanya pasukan kelab dan tidak mempunyai barisan pemain bintang dan kemenangan ini satu kepuasan bagi kami kerana dapat menewaskan lawan yang handal.

"Kelantan sepatutnya boleh menang dan saya bimbang melihat serangan mereka di penghujung perlawanan, namun pemain saya dapat bertahan sehingga wisel penamat," katanya selepas perlawanan.

Menurut Wan Jamak, setiap pasukan lawan yang berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV pasti berdepan tekanan kerana akan dibayangi penyokong tuan rumah.

"Begitupun, pemain saya dapat mengatasi keadaan itu.

Kredit harus diberikan kepada penyokong Kelantan kerana begitu berdisiplin dan membuktikan mengapa mereka dinobatkan sebagai penyokong terbaik musim lalu," katanya.

Foto

PEMAIN PKNS, Hamka Hamzah (kiri) menyekat kemaraan penyerang Kelantan, Francis Forkey Doe (tengah).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

'Kami gagal manfaat peluang'

Posted: 29 Jan 2014 08:45 AM PST

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby menyifatkan kekalahan 1-2 kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super kelmarin berpunca daripada kesilapan semua pemain.

Darby berkata, tiada pemain tertentu yang perlu dipersalahkan sebaliknya kekalahan berkenaan disebabkan kesilapan satu pasukan selain tidak memanfaatkan peluang tercipta di depan gol lawan.

"Tiada pemain tertentu yang harus dipersalahkan.

Kekalahan ini berpunca daripada kelemahan pasukan dan kita cipta banyak peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.

"Pemain saya ada yang bermain dengan baik, tapi masih melakukan kesilapan kecil.

Kesilapan ini yang menghukum pasukan dan kami terpaksa menerima keputusan perlawanan itu," katanya selepas perlawanan itu kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan kini turun ke tangga keempat Liga Super, namun masih berkongsi enam mata dengan tiga pasukan teratas iaitu Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, Darby turut menyifatkan ketiadaan pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan menjejaskan rentak permainan mereka.

Menurutnya, beliau mengharapkan pemain dari Mesir itu cepat pulih untuk diturunkan dalam perlawanan saingan Piala FA menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, 4 Februari ini.

"Ketiadaan Shawky memang menjejaskan rentak permainan kami.

Foto

PENYERANG Kelantan, Mohamad Ghaddar (kanan) dihalang pemain PKNS, Kim Dongchen dan Abd Ghani Rahman (kiri).


Dia pemain tengah berkualiti dan anda semua sudah lihat bagaimana dia beraksi.

"Kita akan ke Brunei esok (hari ini) sebagai persediaan saingan Piala FA.


Saya harap Shawky segera sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

No comments:

Post a Comment