Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Serah sajalah...'

Posted: 08 Jan 2014 10:02 AM PST

Kuala Lumpur: "Jika benar sayangkan sepaktakraw, serahkan sepenuhnya skuad elit kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk diuruskan.

"Saya dan bekas pemain kebangsaan lain sudah tidak sanggup lagi melihat sukan ini terus merudum".


Itu permintaan bekas perejam negara, Mohd Futra Abdul Ghani (gambar) terhadap pihak pengurusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang diketuai Presiden Datuk Ahmad Ismail menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama MSN dalam menentukan hala tuju skuad negara yang dijadualkan hari ini.

"Gunakanlah kesempatan dalam mesyuarat itu nanti untuk 'menyerahkan' skuad elit kepada MSN sepenuhnya. MSN mempunyai kepakaran lengkap dalam setiap aspek untuk memastikan mutu sepak takraw mampu dipertingkatkan kembali kepada tahap sepatutnya. Jadi tidak perlulah lagi PSM menimbulkan isu alasan remeh-temeh jika gagal," kata bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2005 itu - kejuaraan terakhir diraih skuad negara pada pentas temasya dwitahunan itu.


Susulan kegagalan di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini, PSM memberikan alasan masalah pemakanan berkualiti pemain sepaktakraw sebagai antara punca mereka gagal menyerlah sehingga mencetuskan 'perang mulut' bersama pengusaha kantin berkenaan yang tampil membuat penafian dan menuntut hutang ribuan ringgit yang masih belum dijelaskan badan induk itu sejak beberapa tahun lalu.


"MSN sudah terbukti mampu memberikan harapan baru seperti yang berlaku kepada kepada skuad berbasikal trek negara, memanah dan sebagainya. Anda boleh nilai sendiri di mana tahap mereka ketika ini selepas dikendalikan sepenuhnya MSN. "PSM tidak perlu gusar kerana mereka boleh memberi tumpuan kepada program pembangunan peringkat umur dan menganjurkan lebih banyak kejohanan untuk merancakkan semula sukan ini. "Bukannya kami (bekas pemain) sesuka hati mahu menghentam pihak pengurusan PSM, namun ruang dan peluang sudah terlalu banyak diberikan," katanya.

Foto

Mohd Futra Abdul Ghani

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Moyes terdesak

Posted: 08 Jan 2014 09:55 AM PST

London: Pengurus Manchester United, David Moyes mendakwa pasukannya bukan saja terpaksa berdepan pasukan lawan malah pengadil selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas 1-2 di tangan Sunderland pada separuh akhir pertama Piala Liga, awal pagi semalam.

Moyes yang kini tertekan selepas kalah tiga perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan menyalahkan Andre Marriner apabila pengadil itu menghadiahkan sepakan percuma yang menjadi punca gol pertama Sunderland.


Pengadil itu juga menjadi punca kepada kemenangan Sunderland apabila menghadiahkan sepakan penalti pada babak kedua selepas Adam Johnson dijatuhkan Tom Cleverley buat Fabio Borini meledak gol kedua.

"Ia sukar, tapi kami perlu terus berusaha," kata Moyes. "Kami tidak melakukan banyak kesilapan. Saya fikir pengadil membuat keputusan salah (memberikan sepakan percuma) yang menjadi punca gol pertama. Saya tidak percaya beliau memberikan Sunderland sepakan percuma. Ia keputusan yang teruk.


"Ketika insiden itu kami semua mentertawakan keputusannya.


"Ia seolah-olah kami terpaksa menentang mereka (pegawai) serta pasukan lawan dalam masa yang sama." United yang disingkirkan City daripada saingan Piala FA Ahad lalu dan tumpas di tangan Tottenham Hostpur dalam kempen Liga Perdana pada Tahun Baru, memulakan kempen dengan hambar di bawah kendalian Moyes.

Ketika kelab itu berada di tangga ketujuh dalam Liga Perdana dan 11 mata di belakang pendahulu Arsenal, Piala Liga kini dianggap penting buat Moyes meraih kejuaraan.


Beliau tetap yakin mengatasi keputusan itu pada pertembungan kedua 22 Januari ini bagi memenuhi ramalan awal menentang musuh tradisi Manchester City di final.

"Saya fikir pemain dan penyokong adalah yang terbaik. Pemain berhak mendapat keputusan lebih baik," jelasnya. "Ia saingan membabitkan dua perlawanan dan saya tidak sabar untuk menantikan perlawanan kedua." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Pellegrini lega Aguero kembali berlatih

Posted: 08 Jan 2014 09:53 AM PST

London: Manuel Pellegrini mengakui Manchester City tidak terdesak untuk mendapatkan pemain baru pada tempoh perpindahan pemain Januari ini apabila Sergio Aguero akan kembali semula bersama pasukan.

Penjaring terbanyak Aguero kembali berlatih selepas enam perlawanan diketepikan akibat kecederaan betis dan dijangka berada dalam skuad utama bulan ini.


City berminat dengan "dua atau tiga" pemain yang enggan didedahkan bagaimanapun tumpuan utama Pellegrini bulan ini lebih terarah kepada pertembungan separuh akhir Piala Liga menentang West Ham dan aksi ulangan Piala FA dengan Blackburn.

"Buat masa ini, tiada sebarang berita. Sudah pasti jika kami membawa masuk pemain baru ke City, dia mestilah pemain yang sangat bagus.


"Pasukan ini dibarisi pemain handalan jadi jika kami mahu meningkat, kami perlu membeli pemain yang penting.


"Ia bukan keutamaan kami ketika ini dan kami tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan. Kami cuma sedang memantau dua atau tiga pemain tapi bukanlah terlalu penting," kata Pellegrini.

Mengenai kehadiran semula Aguero, beliau berkata: "Ia berita baik. Apabila semua pemain kembali pulih daripada kecederaan sudah pasti ia berita baik terutama pemain penting seperti Kun Aguero." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Hodgson 'kecewa'

Posted: 08 Jan 2014 09:51 AM PST

London: Pengurus England, Roy Hodgson kecewa selepas penyerang Arsenal, Theo Walcott diketepikan bagi Piala Dunia tahun ini kerana kecederaan lutut serius.

Walcott, 24, mengalami koyak ligamen lutut kiri ketika kemenangan Piala FA Arsenal ke atas Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, dengan kelabnya mengumumkan dia tidak boleh beraksi sekitar enam bulan.


Selain terlepas baki aksi musim ini, ia bermakna Walcott turut tidak boleh bermain pada Piala Dunia di Brazil bermula Jun kecuali pulih secara luar biasa.

Ia babak kekecewaan terbaru Piala Dunia buat Walcott yang dipanggil bagi pusingan akhir 2006 pada usia 17 tahun namun tidak beraksi dan kemudian diketepikan bagi kejohanan 2010 oleh jurulatih Fabio Capello.


"Saya bercakap dengan Theo dan hanya mahu meluahkan kekecewaan saya kepadanya," kata Hodgson.


"Ia satu tamparan buatnya secara peribadi, juga bagi Arsenal dan England.

"Kami berbual agak lama dan sedih kerana kami terpaksa kehilangan seorang pemain berkaliber sepertinya bagi Piala Dunia, dia benar-benar tidak bertuah dan kami berharap dia pulih dengan cepat." Bagaimanapun, Hodgson berkata, Walcott mempunyai mentaliti tidak membiarkan kecederaan menjejaskan kariernya.


"Selepas bekerja dengannya selama dua tahun sebagai pengurus England saya sedar karakter dimilikinya dan saya tahu dia akan bangkit dengan lebih gagah selepas kecederaan ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Bruce gembira Aluko kekal

Posted: 08 Jan 2014 09:47 AM PST

London: Keputusan penyerang Nigeria, Sone Aluko (gambar) menyambung kontrak di Hull disambut baik pengurus Steve Bruce yang menganggap ia mungkin perjanjian paling penting buat kelab Liga Perdana itu pada pasaran perpindahan pemain bulan ini.

Kontrak semasa pemain berusia 24 tahun itu tamat hujung musim ini namun kini dia menetapkan untuk kekal bersama Tigers sekurang-kurangnya dua setengah tahun lagi.


Aluko ketika ini diketepikan kerana kecederaan tumit namun Bruce tidak ragu-ragu dia amat penting buat Hull yang kini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana selepas dinaikkan liga musim lalu.

"Ia mungkin perjanjian paling penting buat kami bulan ini," kata Bruce.


"Jika Sone cergas beberapa minggu lagi, dia seorang pemain terbaik seperti yang kami sering lihat.


"Dia seorang pemain istimewa buat kami, saya sudah menyatakan beberapa kali, jadi harapnya kami dapat melihat dia melakukan yang terbaik dalam beberapa bulan akan datang." Aluko, yang tidak beraksi sejak pertengahan Oktober berkata: "Saya perlu fokus untuk kembali beraksi dan bermain dengan bagus.

"Pengurus dan pemilik mempamerkan tahap keyakinan tinggi terhadap saya dan saya perlu membalasnya dengan beraksi baik di padang. Itulah keutamaan saya selama ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

'Elak bahang musim panas'

Posted: 08 Jan 2014 09:44 AM PST

Paris: Piala Dunia 2022 di Qatar tidak akan diadakan pada Jun dan Julai, tetapi lebih bagus dilangsungkan pada musim sejuk, kata Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke semalam.

Penjadualan kejohanan itu hangat didebatkan sejak FIFA secara kontroversi menganugerahkan tugas hos kepada Qatar pada Disember 2010, terutama kebimbangan mengenai bahang musim panas di negara Teluk itu akan membahayakan pemain dan peminat.


"Tarikh Piala Dunia (di Qatar) bukannya Jun-Julai," Valcke, personaliti kedua paling berkuasa dalam badan induk bola sepak dunia itu, memberitahu Radio France.

"Secara jujur, saya fikir ia antara 15 November dan 15 Januari selewat-lewatnya.


"Jika anda bermain antara 15 November dan hujung Disember ia adalah masa bagi cuaca terbaik kerana anda boleh beraksi dalam suhu sama dengan musim bunga di Eropah dengan purata 25 darjah Selsius.


"Ia pasti sempurna untuk bermain bola sepak." Valcke menafikan sama ada beliau lebih menyokong Piala Dunia pada musim sejuk 2021-22 atau 2022-23, namun faktor penentu mungkin membabitkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada awal 2022.

Penganugerahan Piala Dunia 2022 kepada Qatar mencetus banyak kritikan, terutama mengenai cuaca panas melampau pada musim panas di negara Teluk itu.


Ramai yang mahukan ia diubah ke musim sejuk bagi keselesaan buat pemain dan penyokong.

Namun ia mencetus bantahan kelab Eropah, yang akan kehilangan pemain ternama mereka buat beberapa minggu pada pertengahan musim dan kebimbangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ia mampu memberi saingan kepada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Di Maria dikecam penyokong

Posted: 08 Jan 2014 09:44 AM PST

Madrid: Real Madrid memulakan siasatan dalaman selepas pemain sayap dari Argentina, Angel Di Maria dilihat memegang kemaluannya apabila dia digantikan ketika kemenangan 3-0 aksi La Liga ke atas Celta Vigo, kelmarin.

Di Maria, digantikan Gareth Bale pada pertengahan babak kedua di Bernabeu, telah dicemuh serta diejek penyokong tuan rumah ketika berlari keluar, menegaskan ia satu "gerak isyarat biasa" dan berkata, dia memohon maaf jika ada yang menganggap ia sebagai melampau.


Insiden itu hangat diperkatakan dalam media Sepanyol dan Argentina kelmarin dan mencetus spekulasi Di Maria, yang hanya beberapa kali bermain sejak kehadiran pemain rekod dunia Bale, mungkin dijual sama ada ketika pasaran perpindahan pemain Januari atau hujung musim ini.

"Saya tidak bermaksud apa-apa sama ada terhadap penyokong atau jurulatih," kata pemain berusia 25 tahun itu yang dipetik dalam laman web Real (www.realmadrid.com) kelmarin.


"Ia satu tindakan biasa dilakukan mana-mana lelaki lagipun ia ketika saya berlari," jelasnya.


"Anda sering melakukannya di padang. Dalam televisyen anda boleh melihatnya dalam beberapa saat saja. Tiada apa sebenarnya.

"Saya bukan melakukannya dengan sengaja atau berniat apa-apa." Di Maria berkata, dia berada dalam keadaan baik dan amat gembira di Real dan jurulatih Carlo Ancelotti yakin dengan kebolehannya.


Dia bersetuju dengan keputusan kelab untuk memulakan siasatan kerana ia mampu menyelesaikan kemelut itu.

"Saya fikir ia tepat bukan saja bagi sesiapa yang memulakan siasatan tapi juga bagi saya kerana saya boleh menjelaskan situasi itu dan apa semuanya (isyarat itu)," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Postiga selamat maruah Valencia

Posted: 08 Jan 2014 09:43 AM PST

Madrid: Penyerang Valencia, Helder Postiga menanduk masuk gol penyamaan pada minit akhir masa kecederaan untuk memaksa keputusan seri 1-1 dengan penyandang juara Piala Raja Sepanyol, Atletico Madrid, pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir, awal pagi semalam.

Selepas Raul Garcia menanduk masuk untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-72, penyerang Portugal, Postiga akhirnya berjaya mengatasi penjaga gol Thibaut Courtois apabila dia menyempurnakan hantaran silang Sofiane Feghouli dari jarak dekat pada minit ke-93.


Ketika jurulatih baru Antonio Pizzi mengemudi pasukan kali kedua, Valencia menguasai permainan di Mestalla namun ketinggalan apabila kesilapan penjaga gol, Vicente Guaita yang menyaksikan sepakannya singgah di kaki pemain tengah Garcia.

Garcia turut memiliki peluang terbaik Atletico pada babak pertama namun cubaannya diselamatkan Guaita, manakala tendangan leret pemain Valencia, Juan Bernat diselamatkan Courtois tujuh minit selepas rehat.


Atletico menang semua perlawanan di laman sendiri musim ini kecuali seri 1-1 menentang Barcelona, yang akan bertemu mereka pada aksi La Liga Sabtu ini.


"Saya fikir kami berhak menang tapi kami terpaksa berpuas hati dengan seri, perlawanan masih terbuka dan kami akan terus berjuang," kata Postiga.

"Kami berdepan penjaga gol yang hebat dan benteng pertahanan mantap dan kami sedar betapa sukarnya menjaringkan gol menentang Atletico." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Detik penentuan

Posted: 08 Jan 2014 09:42 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas lapan saingan peringkat awal di seluruh negara, sudah sampai masanya untuk pertarungan penentuan bagi menobatkan juara kedua Kejohanan KBS-MAM Kapcai Endurance yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu ini.

Sebanyak 311 pelumba yang merangkumi penunggang berpengalaman dan mereka yang baru berjinak dengan sukan pemotoran termasuk bakat remaja bakal mengharungi cabaran saingan lasak empat jam tanpa henti di litar yang menjadi medan pertarungan jaguh dunia.


"Dalam perlumbaan 'endurance', apa saja boleh berlaku. Walaupun terdapat beberapa nama besar yang akan mengambil bahagian, sukar untuk meletakkan mereka sebagai pelumba pilihan.

"Mereka mungkin mempunyai kelebihan. Tapi, tidak semestinya menjadi pelumba pilihan. Apa lagi untuk tahun ini yang menyaksikan begitu banyak bakat baru. "Secara ikhlas, saya amat berpuas hati dengan penyertaan tahun ini. Kami mendapat sambutan memberangsangkan pada semua pusingan berbanding edisi pertama.


"Ternyata, usaha gigih KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MAM (Motorsports Association of Malaysia) membuahkan hasil yang lebih lumayan. "Saya turut dimaklumkan gejala Mat Rempit dan lumba haram turut semakin berkurangan selepas acara ini diperkenalkan pada 2012," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Datuk Razlan Razali. Antara nama besar yang bakal bertarung pada pusingan akhir ini termasuk Mohamad Azhar Abdul Jalil, Muhammad Adib Rosley, Mohamad Kanafi Kamaruddin, Abdul Muhaimin Roslan, Mohamad Emir Fareez Hasan, gandingan adik beradik Muhamad Adam dan Muhamad Ibrahim Norrodin serta juara SIC 250 Ninja Cup musim ini, Muhammad Hafiza Rofa.


Razlan, yang juga Ketua Eksekutif SIC, berkata, lebih menggembirakan kemunculan bakat baru yang sememangnya satu agenda besar untuk acara KBS MAM Kapcai Endurance ini.

"Kita semua sedar Malaysia sememangnya kaya dengan bakat. Yang kekurangan hanyalah peluang. Sekiranya diberi peluang, mereka mampu untuk berkembang maju dan menjadi pelumba berkelas dunia.


"Kita lihat Zulfahmi (Khairuddin). Dia bermula daripada program awal anjuran MAM, iaitu Junior GP Dream Cup. Dari situ bakatnya mula terserlah sebelum menjadi pelumba handalan dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

"Kini, kita bukan saja mempunyai Zulfahmi dalam kejuaraan dunia MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruzaman juga beraksi dalam Moto2 serta Amirul Hafiq Azmi, Moto3. Saya yakin satu hari nanti kita akan ada pelumba negara yang beraksi dalam MotoGP," kata Razlan. Untuk saingan Pusingan Akhir ini, pelumba akan bersaing dalam empat kelas – Kelas 1 untuk jentera di bawah 100cc, Kelas 2 (bawah 120cc), Kelas 3 (bawah 150cc) dan Kelas Terbuka bagi pelumba berpengalaman dan berusia 30 tahun ke atas dengan rata-rata menggunakan jentera di bawah 150cc.


Sebelum saingan penentuan pada Sabtu, pelumba akan bersaing dalam sesi kelayakan esok bagi menentukan kedudukan grid masing-masing.


Selain gelaran juara dan trofi, ganjaran yang dikejar pelumba bawah 18 tahun pada saingan Pusingan Akhir ini membabitkan tiket automatik ke SIC 250 Ninja Cup yang memberi peluang kepada penyertaan di pentas antarabangsa seperti Kejuaraan Kebangsaan Sepanyol yang rata-rata dianggap pentas kejuaraan remaja dunia dalam sukan lumba motosikal. Tahun lalu, tiket ke Sepanyol itu dianugerahkan kepada pelumba Husni Aizat Abdul Malek yang berlumba bersama-sama dengan bekas pelumba Red Bull Rookies Cup, Amirul Hafiq.


Untuk musim 2014, pelumba yang terpilih ke Sepanyol membabitkan Muhammad Hafiza Rofa. Naib juara, Muhammad Syafiq Rasol pula terpilih untuk mewakili negara untuk saingan Shell Advance Asia Talent Cup.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

QC FC jagoan MIYUS

Posted: 08 Jan 2014 09:42 AM PST

Melaka: Pasukan QC FC muncul juara Kejohanan Futsal Piala India Youth Uplifting Society (MIYUS) anjuran Persatuan Pemuda India Melaka di Gelanggang Futsal Cheng, baru-baru ini.

Skuad berkenaan meraih RM1,200 selepas menewaskan Puteh FC 4-0 di pentas final sekali gus menyaksikan naib juara tetap ceria meraih RM800 sebagai ganjaran.


Sebanyak 58 pasukan menyertai kejohanan yang dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang turut dihadiri pengerusi Pemuda India Melaka, Dhanesh Basil.

Paling menarik kejohanan turut disertai pelajar dari luar negara termasuk Arab Saudi, Dubai dan Nigeria yang turut memperaga persembahan cemerlang sepanjang saingan.


Saravanan dalam ucapan perasmian berkata, kejohanan berkenaan antara pentas penyatuan kaum dan mengeratkan hubungan tanpa mengira bangsa dan agama.


Katanya, program sedemikian amat wajar diteruskan pada masa depan bagi memastikan ikatan kekeluargaan terjalin erat menerusi sukan.

Beliau berkata, pembabitan memberangsangkan tanpa mengira bangsa selain penyertaan generasi muda berwajah 1Malaysia jelas mendokong inspirasi perpaduan nasional.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

No comments:

Post a Comment