Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Dalang main kotor'

Posted: 09 Jan 2014 12:21 PM PST

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Mohd Zamri Salleh (gambar) yang mendakwa menjadi mangsa permainan 'orang dalam' Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), tidak berpuas hati dengan keputusan mesyuarat exco yang enggan menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap pengurus dan penyelaras pasukan, Amrun Misnoh dan Omar Saad.

Zamri yang langsung tidak dipanggil memberi penjelasan berkata, dia menjadi mangsa keadaan kepada permainan kotor 'dalang' dalam PKBM yang sejak dari awal tidak mahu dia berkayuh untuk negara.


Sambil menekankan bukan mahu menegakkan benang basah, Zamri yang kecewa dengan apa yang berlaku menganggap dia menjadi mangsa kepada agenda peribadi segelintir pihak yang memandang remeh pengorbanannya sebagai pelumba basikal yang sentiasa berkorban untuk negara.

"Saya datang ke Myanmar bukan untuk makan angin. Saya tinggalkan anak yang baru beberapa hari dilahirkan demi menggalas tugas sebagai pelumba negara, namun apa yang mengecewakan kesudahannya begitu menyedihkan apabila digugurkan pada saat akhir dengan alasan diberikan PKBM langsung tidak dapat saya terima," katanya.


Selain menyifatkan dia menerima layanan kelas kedua, Zamri berkata, pengorbanan pelumba profesional langsung tidak dipandang apabila keutamaan lebih diberikan kepada pelumba kebangsaan.


"Saya pernah meminta kasut kepada pihak pengurusan dan jawapan yang diterima, tiada peruntukan untuk pelumba profesional dan bajet yang ada hanya untuk pelumba kebangsaan. Tapi saya berkayuh untuk siapa di Sukan SEA? Saya bukan berlumba untuk TSG (Terengganu Cycling Team).

Foto

Mohd Zamri Salleh

"Ini kes kedua membabitkan saya. Saya juga berdepan kejadian sama pada 2009 ketika di Laos. Saya berkayuh dengan kasut koyak dan terpaksa menggunakan pita pelekat untuk menampal bahagian yang terkoyak itu. Tapi tak mengapa, demi negara semua itu saya abaikan.


"Jika PKBM memutuskan Amrun tidak bersalah, itu terpulang kepada mereka kerana orang luar boleh menilai sendiri siapa sebenarnya bersalah," katanya yang mengakui kekecewaan digugurkan daripada skuad lebuh raya di Sukan SEA pada saat akhir masih bersarang dalam sanubarinya.

Kelmarin, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab memutuskan Amrun dan Omar tidak bersalah atas dakwaan campur tangga dalam pemilihan pelumba di Sukan SEA sehingga mencetuskan konflik antara pelumba dengan pihak pengurusan pasukan dengan kedua-dua individu itu hanya dikenakan hukuman direhatkan daripada urusan menguruskan pasukan kebangsaan selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Waspada Swansea!

Posted: 09 Jan 2014 12:13 PM PST

London: Ancaman kekalahan keempat berturut-turut kini menghantui Manchester Untied, tetapi pengurus David Moyes menganggap anak buahnya sedang melalui proses perubahan kepada lebih baik daripada pasukan yang agak bergelut.

Swansea City akan kembali ke Old Trafford untuk kali kedua hujung minggu ini selepas menundukkan lawan mereka itu pada pusingan ketiga Piala FA dan tidak mustahil sekali lagi bakal mengancam United, mengambil kira prestasi hambar yang dipamerkan lawan mereka itu.


Sunderland muncul kelab terbaru mengecewakan anak buah Moyes pada separuh akhir pertama Piala Liga kelmarin sekali gus menyaksikan United tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak kali terakhir pada 1932.

Dua kekalahan dalam dua saingan berbeza itu, selepas dimalukan Tottenham Hotspur di gelanggang sendiri, menyaksikan United kini menduduki tempat ketujuh liga dengan ketinggalan 11 mata di belakang Arsenal selaku pendahulu.


Bagaimanapun Moyes yang dipilih sendiri oleh Alex Ferguson untuk menggantikan tempatnya dengan kontrak selama enam tahun, tidak berasa panik.


"Saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini dan menyelesaikannya dengan baik.

"Cuma ketika ini, kami sedang melalui proses perubahan kepada yang lebih baik. Kadang kala anda memerlukan sedikit tuah dan nampaknya inilah kekurangan yang kami hadapi ketika ini.


"Saya dapat lihat di bilik persalinan masing-masing bersemangat untuk meraih kedudukan lebih baik pada saingan liga," kata Moyes.

Penyokong United mengejek pemain mereka ketika tewas kepada Swansea tetapi berbeza situasi di Stadium of Light apabila menyuarakan kesetiaan kepada Moyes dengan menyanyikan namanya di sebalik prestasi hambar.


Moyes melabelkan penyokong mereka sebagai luar biasa, tetapi pada masa sama sedar prestasinya sedang diperhatikan oleh pengurusan kelab. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Defoe tinggalkan Spurs, sertai Liga MLS

Posted: 09 Jan 2014 12:12 PM PST

Toronto, Kanada: Penyerang England Jermain Defoe akan meninggalkan Tottenham Hotspur dan menyertai pasukan Major League Soccer (MLS) Toronto FC, menurut laporan media Kanada.

Perpindahan yang agak mengejutkan itu menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu akan diperkenalkan di Toronto Isnin ini sebelum kembali menyertai Spurs hingga 1 Mac, tarikh yang menyaksikan Defoe akan menyertai kelab Amerika Utara itu iaitu kira-kira dua minggu sebelum pembukaan musim baru di Seattle.


Toronto FC sudah mengeluarkan beberapa video promosi kelab itu.

Media Kanada melaporkan Defoe sudah berada di Kanada minggu ini untuk melengkapkan perpindahan ke kelab MLS itu dengan nilai perpindahan dianggarkan sebanyak AS$10 juta (32.7 juta) dan gaji kira-kira AS$150,000 (RM491,000).


Difahamkan, Toronto juga sedang dalam proses akhir untuk mendapatkan pemain tengah AS Roma, Michael Bradley yang juga pemain antarabangsa Amerika Syarikat.


Bradley akan berehat seketika sebelum bermulanya saingan MLS.

Kehadiran Defoe diharap dapat memberi sinar baru MLS seperti yang dilakukan David Beckham ketika menyertai LA Galaxy. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Selangkah ke final

Posted: 09 Jan 2014 12:08 PM PST

Manchester: Alvaro Negredo meledak hatrik ketika Manchester City membenam West Ham 6-0 di Stadium Etihad awal pagi semalam sekali gus hampir pasti mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Liga.

Pasukan kedua West Ham dimalukan 5-0 oleh Nottingham Forest pada Piala FA Ahad lalu, namun kembalinya beberapa pemain utama tidak mampu menghalang penguasaan penyerang City pada separuh akhir pertama.


Dua gol menarik Negredo selain Yaya Toure meletakkan City di depan 3-0, dengan Negredo menyempurnakan hatrik pada babak kedua sebelum Edin Dzeko melengkapkan kemenangan besar itu dengan dua gol.

City kendalian Manuel Pellegrini (gambar) kini menjaringkan 59 gol dalam 15 perlawanan di laman sendiri setakat musim ini dan tempat mereka di final hampir pasti menjelang pertemuan separuh akhir kedua di Upton Park pada 21 Januari ini.


"Ia tidak pernah tamat hingga ke minit terakhir, tapi saya fikir hari ini kami sudah selangkah di final," kata pengurus City, Pellegrini.


"Bagi saya apa yang paling penting adalah bukannya menjaringkan enam gol, tapi cara pasukan ini bermain. Memang amat penting terus mencetak gol, tapi penting juga tidak melepaskan sebarang gol.

"Kami tetap perlu beraksi bagi perlawanan separuh akhir kedua di London dan kami akan cuba terus bermain seperti apa yang kami pamerkan hari ini." Bagi West Ham yang dibelenggu kecederaan, fokus mereka kini terarah kepada usaha mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran Liga Perdana.


West Ham akan bertandang ke Cardiff malam esok manakala City berkunjung ke Newcastle Ahad ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Kritik pengadil, Rodgers bakal didenda

Posted: 09 Jan 2014 12:07 PM PST

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers akur tuduhan mengenai komennya terhadap pengadil berikutan kekalahan pasukannya di Manchester City bulan lalu, menurut Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kelmarin.

Rodgers menggambarkan persembahan pengadil Lee Mason dan pegawainya ketika kekalahan 1-2 Liverpool pada 26 Disember lalu sebagai "dahsyat" dan mempersoalkan kenapa seorang pengadil dari Greater Manchester dipilih mengendalikan perlawanan itu.


"Harapnya kami tidak berdepan seorang pengadil dari Greater Manchester mengadili perlawanan Liverpool-Manchester selepas ini," katanya.

"Ia mengejutkan saya bermain di Manchester dan mempunyai seorang pengadil dari Greater Manchester. Saya yakin kami tidak akan mendapat seseorang dari Wirral (berdekatan Liverpool) mengadili pertemuan Liverpool-Man City." Rodgers kemudiannya didakwa FA susulan komennya yang mempersoalkan integriti Mason.


Pengurus Liverpool itu kemungkinan besar didenda selepas pendengaran kes yang tidak akan dihadirinya.


Rodgers kemudiannya menjelaskan beliau cuba memberikan pendapat mengenai bagaimana pengadil dilantik bagi perlawanan pada aksi Liga Perdana.

"Dari segi geografi, saya pastinya tidak mempersoalkan integriti pengadil," ujarnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Super Messi sudah kembali!

Posted: 09 Jan 2014 12:06 PM PST

Madrid: Lionel Messi menjelaskan dia tidak sabar berdepan satu lagi tahun penting 2014 selepas menjaringkan dua gol ketika kemunculan semulanya daripada kecederaan apabila Barcelona membenam Getafe 4-0 pada perlawanan pertama, pusingan 16 terakhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam.

Pemain Terbaik Dunia empat kali itu melakukan penampilan sulung sejak awal November lalu sebagai pemain gantian selepas sejam dengan Barca mendahului 2-0 menerusi dua gol Cesc Fabregas.


Bintang Argentina itu tidak menunggu lama untuk menyerlah apabila dia merembat masuk dari jarak dekat sebelum meraih gol ke-16 musim ini dengan larian solo menakjubkan pada masa kecederaan.

"Saya banyak berehat dan berasa amat bagus ketika sesi latihan namun bermain dalam perlawanan kompetitif memang amat berbeza," katanya.


"Lebih daripada gol itu, saya berasa amat bagus secara fizikal dan saya mampu bermain tanpa sebarang rasa sakit jadi saya terlalu gembira." Selepas menjalani tempoh pertama pemulihannya di Barcelona, Messi berkunjung ke Argentina untuk meneruskan pemulihan Disember lalu.


Harapan tinggi diletakkan di bahu pemain berusia 26 tahun itu dalam tempoh tujuh bulan akan datang ketika dia mengemudi kempen Barca untuk memburu tiga trofi sebelum mengetuai negaranya pada Piala Dunia di Brazil.

Namun selepas berehat, dia menegaskan terlalu gembira untuk kembali beraksi.


"Saya amat gembira. Saya mampu menghabiskan banyak masa di negara sendiri bersama keluarga dan rakan dan melupakan seketika padang bola.

"Kini saya kembali. Teruja dan tidak sabar berdepan satu tahun yang gemilang." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Tarikh Piala Dunia Qatar diperdebat

Posted: 09 Jan 2014 12:06 PM PST

Paris: Tarikh Piala Dunia 2022 di Qatar terus mencetus masalah buat FIFA apabila pegawai nombor duanya menolak penganjuran kejohanan itu pada Jun-Julai sebelum dimaklumkan badan induk bola sepak dunia itu bahawa perkara itu masih dalam pertimbangan.

Penjadualan kejohanan itu hangat diperdebatkan sejak FIFA secara kontroversi menganugerahkannya kepada Qatar pada Disember 2010, terutamanya mengenai kebimbangan bahang musim panas di negara Teluk itu akan menghadirkan bahaya kepada pemain dan peminat.


"Tarikh bagi Piala Dunia (di Qatar) tidak mungkin Jun-Julai," kata Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke, personaliti kedua paling berkuasa dalam bola sepak antarabangsa, memberitahu Radio France.

"Secara jujur, saya fikir ia selewat-lewatnya antara 15 November dan 15 Januari." Namun, FIFA bertindak pantas menafikan komen Valcke dengan berkata, ia adalah pendapat peribadinya dan keputusan rasmi untuk mengubah tarikh kejohanan itu tidak akan dibuat sebelum pusingan akhir Piala Dunia di Brazil bermula Jun ini.


"Setiausaha Agung Jerome Valcke menjelaskan dalam temuramah Radio France hari ini, seperti yang pernah disebut sebelum ini, bahawa pada pendapatnya Piala Dunia FIFA 2022 mesti berlangsung pada musim sejuk dan jangka masa terbaik mungkin antara 15 November hingga 15 Januari," menurut FIFA.


"Ketika kejohanan itu hanya akan dilangsungkan dalam tempoh lapan tahun lagi, proses rundingan tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa dan masa secukupnya akan diberikan untuk menimbang semua elemen relevan bagi mencapai satu keputusan.

"Tiada sebarang keputusan akan diambil sebelum Piala Dunia FIFA 2014 Brazil seperti yang dipersetujui jawatankuasa eksekutif FIFA." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Toure pilihan Terbaik Afrika

Posted: 09 Jan 2014 11:57 AM PST

Abuja: Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure menjadi pilihan utama memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu memenangi dua edisi terdahulu anugerah itu pada 2011 dan 2012.


Rakan senegara Didier Drogba dari Galatasaray dan pemain tengah Nigeria, John Obi Mikel adalah dua lagi pemain yang mengintai anugerah itu yang akan diumumkan di ibu negara Nigeria, Lagos.

Toure yang berusia 31 tahun Mei ini, mungkin tidak memenangi sebarang trofi utama buat kelab dan negaranya tahun lalu namun persembahan mantapnya terserlah di peringkat domestik mahupun bersama Ivory Coast.


Pencabar terdekatnya adalah Mikel, 26, yang membantu Nigeria memenangi Piala Negara-Negara Afrika 2013 di Afrika Selatan dan turut tampil ketika kemenangan Chelsea dalam Liga Europa.


Bekas penyerang Arsenal, Nwankwo Kanu muncul bintang terakhir Nigeria memenangi anugerah berprestij itu pada 1999.

Bekas pemain kesayangan Stamford Bridge, Drogba, 35, menjadi naib juara pada 2012 namun memenangi anugerah itu pada 2006 dan 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Becker latih Djokovic

Posted: 09 Jan 2014 11:57 AM PST

Melbourne: Keutamaan pertama Boris Becker adalah membantu Novak Djokovic meraih 'kelebihan mental' apabila tekanan memuncak pada acara Grand Slam, menurut juara Terbuka Australia itu semalam.

Djokovic yang membida kejuaraan keempat berturut-turut di Melbourne Park apabila kejohanan itu bermula Isnin ini, mengumumkan dia melantik pemenang enam gelaran Grand Slam dari Jerman itu menjadi ketua jurulatihnya bulan lalu.


Becker yang berusia 46 tahun menjadi pemerhati setia pada kejohanan jemputan Klasik Kooyong, yang mana Djokovic mempersiapkan diri dengan bahang Grand Slam pertama tahun ini dengan kemenangan 7-5, 6-1 ke atas pemain nombor 42 dunia dari Argentina, Juan Monaco dalam cuaca panas.

"Saya amat bangga dan teruja memiliki Becker dalam pasukan kami sebagai ketua jurulatih saya," kata Djokovic selepas perlawanan di Kelab Lawn Tenis Kooyong, bekas gelanggang Terbuka Australia hingga 1987.


"Saya amat berharap beliau mampu memberi kelebihan mental kerana beliau mengetahui situasi dihadapi pemain ternama, terutama ketika acara Grand Slam dan tekanan serta harapan selain saat-saat genting.


"Itulah yang kami harapkan dapat diperbaiki. Sudah tentu beberapa elemen lain dalam permainan saya. Saya tidak boleh melakukan servis sebaik beliau tapi saya harap dapat meningkat." Pelantikan Becker susulan daripada gandingan mantap pemain nombor empat dunia Andy Murray bersama Ivan Lendl yang membantu pemain Britain itu memecah kebuntuan kejuaraan pada Terbuka AS 2012 dan Wimbledon tahun lalu selepas kalah dalam empat perlawanan akhir Grand Slam.

Roger Federer pula mengambil khidmat Stefan Edberg dari Sweden yang turut diumumkan bulan lalu dan bermakna Arena Rod Laver akan menampilkan kehadiran ramai legenda 1980-an minggu depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Powell tak tahu Sherone ambil diet sama

Posted: 09 Jan 2014 11:40 AM PST

Kingston: Bekas pemegang rekod dunia 100 meter, Asafa Powell berkata, dia tidak tahu menahu bekas rakan sepelatihnya, Sherone Simpson mengambil diet tambahan sama seperti digunakannya.

Powell dipanggil sebagai saksi dalam kes pendengaran doping Sherone di depan panel disiplin Suruhanjaya Anti-Doping Jamaica sebelum memulakan prosedur sama ke atas Powell minggu depan.


Kedua-dua Sherone dan Powell diuji positif dengan bahan terlarang oxilofrine pada kejohanan kebangsaan Jamaica tahun lalu.

Powell yang menyalahkan ujian positifnya kepada diet tambahan berkata, dia hanya mengetahui Sherone dan dia kedua-duanya mengambil diet tambahan sama apabila masing-masing gagal ujian dadah.


"Saya tidak tahu dia mengambilnya hingga selepas ujian positif itu," ujar Powell menyokong apa yang diberitahu Sherone kepada panel itu sebelum ini.


Ditanya jika dia memberitahu Sherone bahawa pelatih fizikal Chris Xuereb memberinya diet tambahan itu, Powell berkata tidak.

Powell memberitahu panel itu bagaimana dia diperkenalkan kepada diet tambahan itu oleh Xuereb dari Kanada dan berkata, dia bangun jam 4.45 pagi sebelum pergi ke latihan pada jam 5 pagi tanpa makan apa-apa.


Ia menarik minat Xuereb yang berada di rumahnya ketika itu.

"Selepas beberapa hari beliau memerhatikannya (saya tidak makan pada waktu pagi) dia memberitahu saya patut menjaga diri sendiri. Ketika itu dia mencadangkan diet tambahan itu," jelas Powell, yang memberi keterangan selama 10 minit. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

No comments:

Post a Comment