Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Penyokong liar!

Posted: 19 Jan 2014 09:07 AM PST

Ipoh: Permulaan baik pasukan pilihan utama Liga Super 2014, Johor Darul Takzim (DT) apabila menumpaskan Perak 2-0 bagaimanapun dicemari gelagat liar penyokongnya terhadap penyokong pelawat, malam kelmarin.

Insiden panas di Stadium Larkin itu menyaksikan penyokong Perak dipukul, bas dibaling suar, semua penyokong hanya dapat keluar stadium jam 12 tengah malam serta cermin belakang kereta pengurus dipecah dan dibaling batu. Pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika memaklumkan insiden itu menyifatkannya sebagai penghinaan tahap maksimum yang diterima daripada peminat Johor DT.


"Bayangkan jika pasukan mereka kalah malam kelmarin. Saya tidak tahulah apa akan jadi. Apa yang pasti saya cukup kesal dan kecewa dengan kejadian ini.

"Johor DT sebuah pasukan mantap dan kuat, tetapi sayangnya gelagat penyokongnya tidak seiring dengan perkembangan drastik pasukan itu.


"Saya ingatkan dalam era maju ini sudah tiada lagi tingkah laku dan perlakuan ganas, tetapi malangnya masih ada yang bertindak tidak rasional," katanya.


Beliau hairan dengan tahap kawalan keselamatan longgar di stadium itu kerana tuan rumah sepatutnya memastikan keselamatan pelawat terkawal.

Foto

PENYOKONG Johor DT membaling suar ke arah bas penyokong Perak.

"Main bola, main bolalah kenapa hendak cederakan orang dan rosakkan harta benda orang? Saya hairan kenapa peminat Johor DT perlu bertindak liar sebegitu," katanya. Berikutan itu beliau akan meminta Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menghantar bantahan rasmi kepada FAM mengenai insiden yang mencemarkan bola sepak negara itu.


Malah bibit-bibit insiden dan layanan buruk terhadap peminat Perak berlaku lebih awal apabila seramai 300 orang yang menaiki enam bas di kepung peminat Johor DT serta tidak mempunyai tiket untuk memasuki stadium.

Bagaimanapun campur tangan pegawai FAM dan pegawai Tengku Mahkota Johor (TMJ) perkara itu dapat diselesaikan dan penyokong berkenaan dapat memasuki stadium.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Liverpool terselamat

Posted: 19 Jan 2014 08:20 AM PST

Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mendakwa satu mata yang diperoleh ketika seri 2-2 dengan Aston Villa dilihat sebagai tanda peningkatan mereka musim ini.

Villa mendahului 2-0 pada pertembungan Liga Perdana di Anfield menerusi gol Andreas Weimann dan Christian Benteke, tapi Liverpool bangkit untuk mengutip satu mata.


Daniel Sturridge merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama dan Luis Suarez kemudian mendapatkan sepakan penalti kontroversi untuk Liverpool yang disempurnakan kapten, Steven Gerrard.

Rodgers yang melihat keputusan itu dari segi keseluruhan kempen ini sebagai cukup penting buat Liverpool yang kini menduduki tangga keempat liga dan masih bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara.


"Keputusan itu menunjukkan usaha keras yang kami lakukan. Kami bermain menentang Stoke dan Aston Villa tahun lalu pada tempoh yang sama dan gagal mendapat sebarang mata apabila kalah kedua-dua perlawanan," kata Rodgers.


"Kali ini kami mendapat empat daripada enam mata. Mata itu sangat penting untuk kami.

"Ia juga membuktikan kekuatan mental pasukan ini walaupun tidak beraksi pada tahap terbaik tapi masih boleh mendapat keputusan baik. Ia boleh dianggap keputusan yang baik selepas ketinggalan 0-2.


"Kami sukar untuk melancarkan serangan dan mendapat rentak dalam perlawanan itu. Kami gagal mempamerkan permainan sebenar, tapi pada separuh masa kedua kami mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Kami tidak berada di tahap terbaik, tapi ia penting untuk mendapat sesuatu daripada perlawanan itu. Kami sekali lagi membuktikan karakter hebat untuk mencipta kebangkitan." Rodgers turut memberi penjelasan mengenai detik kontroversi perlawanan itu apabila Suarez dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh penjaga gol Villa, Brad Guzan dan pengadil Jon Moss menghadiahkan penalti buat Liverpool.


Ulang tayang di televisyen tidak memberi gambaran tepat sama ada Guzan ada mengasari penyerang Uruguay itu.


"Ia sememangnya penalti," kata Rodgers. "Bila anda melihat dengan teliti, lengan kiri penjaga gol terkena kaki Luis Suarez.


"Saya juga fikir kami tidak bernasib baik kerana tidak mendapat satu lagi sepakan penalti apabila tangan terkena bola Leandro Bacuna."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Los Blancos mengganas baham Betis

Posted: 19 Jan 2014 08:20 AM PST

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti memuji persediaan pasukannya selepas menewaskan kelab yang sedang bergelut Real Betis 5-0 di Benito Villamarin, awal pagi semalam.

Cristiano Ronaldo melengkapkan minggu yang sempurna untuk diri sendiri apabila meledak jaringan pada jarak 25 meter bagi membuka jaringan sebelum Gareth Bale menggandakan kedudukan untuk memberikan kelebihan kepada Madrid susulan sepakan percuma untuk meledak jaringan pertamanya dalam tempoh dua bulan.


Karim Benzema meraih gol ke-100 dirinya untuk kelab itu disusuli Angel di Maria dan Alvaro Morata turut memahat nama selepas rehat untuk membolehkan Madrid kini terikat mata dengan Barcelona dan Atletico Madrid dalam kedudukan teratas La Liga.

Kekalahan menyebabkan Betis terpelusuk di tangga terbawah liga tanpa sebarang kemenangan dalam 13 perlawanan liga sejak September tahun lalu.


Ancelotti gembira dengan ketajaman anak buahnya di depan gol walaupun tuan rumah memberikan kesukaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Cazorla kembali berbisa

Posted: 19 Jan 2014 08:17 AM PST

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya Santi Cazorla (gambar) kini kembali di tahap terbaik apabila pemain itu menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana dalam tempoh dua bulan bagi membantu pasukannya kekal di puncak liga.

Cazorla terpaksa berehat selama enam minggu pada awal musim ini selepas mengalami kecederaan buku lali ketika Arsenal memenangi pertembungan utara London dengan Tottenham Hotspur pada 1 September lalu.


Bagaimanapun pengurus Arsenal, Wenger berasakan dua gol yang dijaringkan Cazorla ketika menang 2-0 ke atas Fulham di Stadium Emirates kelmarin membuktikan pemain itu sudah bersedia memainkan peranan penting dalam memburu gelaran.

"Dia sudah lama tidak bermain sejak awal musim dan mengalami beberapa kecederaan. Selepas itu dia mengalami kecederaan buku lali dan hanya pada pertengahan Disember dia kembali berada di prestasi terbaiknya," kata Wenger.


"Apabila anda bermain di kawasan pasukan lawan, dia seorang pemain yang boleh mencipta sesuatu istimewa sama menerusi hantarannya atau sentuhan penyudah. Dia boleh menggunakan kedua-dua kakinya dan itulah yang membuatkannya sangat bahaya." Cazorla yang membentuk gandingan hebat bersama Jack Wilshere dan Olivier Giroud meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-57 sebelum sekali lagi mencipta nama selaku penjaring empat minit selepas itu bagi gol kedua pasukan tuan rumah.


Tambah Wenger: "Wilshere semakin mantap dan dia adalah pemain yang memulakan banyak gerakan serta meningkatkan tempo permainan kami." Pengurus itu bagaimanapun belum membuat sebarang pengesahan mengenai usahanya mendapatkan penyerang Juventus, Mirko Vucinic pada tempoh perpindahan Januari ini walaupun beliau mengakui mahu memperkuatkan pasukan.

"Kami sedang mencari beberapa pemain baru tapi tidak semestinya Vucinic," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Pellegrini idam sapu empat kejuaraan

Posted: 19 Jan 2014 08:16 AM PST

Manchester, (United Kingdom): Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini percaya kehebatan pasukannya menjaringkan gol boleh membantu mereka menyapu bersih semua empat piala utama musim ini.

Kemenangan 4-2 di gelanggang sendiri ke atas Cardiff City pada aksi Liga Perdana kelmarin membolehkan City menjaringkan 103 gol dalam semua kejohanan dan 42 gol dalam 11 perlawanan liga di gelanggang sendiri setakat ini yang semuanya dimenangi mereka.


Mereka hanya ketinggalan satu mata dengan pendahulu Arsenal, memiliki kelebihan 6-0 ke atas West Ham United menjelang pertembungan separuh akhir kedua Piala Liga minggu ini dan masih lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA.

"Saya fikir kami dalam keadaan sangat baik dari segi keyakinan pasukan ini, bukan hanya membabitkan 11 pemain saja," kata Pellegrini. "Keyakinan pasukan ini sangat tinggi ketika ini. Kami akan meneruskan cabaran dan bulan lalu tekanan amat tinggi buat semua pasukan. saya berharap kami dapat mengekalkan rentak.


"Saingan Liga Perdana sangat sengit dan bukan hanya Liga Perdana, tapi kejohanan lain. Kami bukan satu-satunya pasukan pilihan, tapi kami dalam kedudukan terbaik dan kami berharap dapat mengekalkan prestasi ini.


"Pasukan ini semakin meningkat. Kami mesti menjadi pencabar untuk semua kejuaraan. Kami bermain lebih baik berbanding di awal musim tapi ia perkara normal.

"Bukan mudah untuk membuat banyak perubahan dari segi cara pasukan ini bermain sebelum ini. Pemain perlu belajar banyak perkara. Sekarang kami mesti teruskan usaha." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Kejutan Ana

Posted: 19 Jan 2014 08:14 AM PST

Melbourne: Bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic mencipta kejutan terbesar apabila menewaskan pilihan utama Serena Williams pada pusingan keempat Terbuka Australia, semalam.

Pemain Serbia itu bangkit selepas ketinggalan set pertama untuk mencatatkan kemenangan 4-6, 6-3, 6-3, menamatkan harapan lawan dari Amerika Syarikat (AS) itu yang mahu menyamai rekod 18 gelaran Grand Slam yang dimiliki Chris Evert dan Martina Navratilova.


Serena yang memburu gelaran keenam di Australia, mendedahkan selepas kekalahan itu bahawa dia mengalami kecederaan belakang dan hampir menarik diri daripada kejohanan sebelum perlawanan pusingan ketiga menentang Daniela Hantochova.

Namun dia enggan menjadikan itu sebagai alasan kekalahannya itu.


"Saya melakukan banyak kesilapan, terlepas pukulan yang biasanya saya tidak akan melakukannya, saya tidak pernah terlepas sejak 1980-an lagi. Saya tidak biasa terlepas pukulan seperti itu," katanya.


"Saya fikir Ana bermain sangat bagus. Dia melakukan apa yang diperlukan untuk menang." Ia kejayaan besar untuk Ivanovic, 26, yang melangkah ke suku akhir dan akan menentang pemenang membabitkan pemain remaja Kanada Eugenie Bouchard atau harapan penyokong tempatan Casey Dellacqua.

"Dia pemain yang hebat. Melangkah ke gelanggang hari ini (semalam), saya cuba memberikan yang terbaik," kata pemain Serbia itu yang kini berada dalam prestasi hebat selepas memenangi kejohanan Antarabangsa Auckland bulan ini.


"Saya cuba untuk menjadikan ia perlawanan yang bagus. Saya sangat kompetitif sehingga tempoh terakhir dan jelas sekali saya sangat teruja." Sejak memenangi Roland Garros pada 2008, Ana berada pada kedudukan ke-14 dunia, hanya sekali melangkah ke suku akhir Grand Slam iaitu di Terbuka AS 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Djokovic, Ferrer ke suku akhir

Posted: 19 Jan 2014 08:02 AM PST

Melbourne: Juara bertahan Novak Djokovic dan pilihan ketiga David Ferrer antara yang terawal melangkah ke suku akhir menerusi cara kemenangan berbeza di Terbuka Australia semalam.

Pemain nombor dua dunia Djokovic mudah mengatasi Fabio Fognini dalam aksi tiga set untuk melangkah sebagai lapan pemain terakhir dengan pantas sekali ketika Ferrer berdepan halangan lebih sukar.


Djokovic mencatatkan kemenangan 6-3, 6-0, 6-2 ke atas pemain pilihan ke-15 Fognini dalam tempoh satu jam 33 minit untuk meraih suku akhir ke-19 berturut-turut di Grand Slam.

Hanya dua pemain, Roger Federer (36) dan Jimmy Connors (27) yang lebih kerap melangkah ke suku akhir berturut-turut di Grand Slam berbanding Djokovic.


Djokovic yang memburu gelaran kelima di Australia dan ketujuh Grand Slam, turut melebarkan rekod tanpa kalah kepada 28 perlawanan sejak final Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York pada September tahun lalu.


"Saya rasa sejak awal kejohanan ini saya mempamerkan peningkatan. Setiap perlawanan lebih baik," kata Djokovic.

"Fokus saya tertumpu di gelanggang, semua pukulan, menggunakan posisi di gelanggang dengan baik sekali, agresif dan bermain dengan gaya permainan saya.


"Itu yang saya lakukan dengan sangat baik hari ini (semalam) sejak mata pertama hingga akhir. Saya tidak membenarkan lawan mempamerkan kebangkitan." Ia akan menjadi penampilan ketujuh berturut-turut Djokovic di suku akhir pada Terbuka Australia dan menambah rekod tanpa kalah kepada 23 perlawanan di Melbourne Park.

Djokovic kelihatan akan menjadi pemain kedua selepas Roy Emerson yang meraih empat gelaran berturut-turut di Terbuka Australia.


Pemain nombor tiga Dunia dari Sepanyol, Ferrer menamatkan cabaran pemain Jerman Florian Mayer dalam aksi empat set di Hisense Arena.


Ferrer tewas pada set pertama yang ditentukan menerusi tie-break sebelum bangkit mencatatkan kemenangan 6-7 (5/7), 7-5, 6-2, 6-1 dalam tempoh kurang tiga jam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Ogier takluk Rali Monte Carlo

Posted: 19 Jan 2014 08:02 AM PST

Monaco: Juara dunia, Sebastien Ogier meraih kejayaan pada perlumbaan pembukaan tahun ini di Rali Monte Carlo yang memasuki edisi ke-82 bagi perlumbaan klasik itu, kelmarin.

Ogier yang memandu jentera VW Polo-R mengatasi saingan rakan senegara dari Perancis Bryan Bouffier yang menggunakan Ford Fiesta manakala pelumba British Citroen, Kris Meeke pada kedudukan ketiga.


Ia adalah kemenangan kedua dalam karier Ogier namun ia yang pertama dalam kejohanan elit dunia.

Dia memenangi Cabaran Antarabangsa 2009 bersama jentera Peugeot.


"Saya amat gembira kerana sudah mencapai satu daripada impian musim ini," kata Ogier yang mendahului perlumbaan sejak Jumaat lalu.


"Kami cuba bersaing musim ini dengan cara terbaik, seperti yang kami lakukan musim lalu.

"Kami tidak berada dalam kedudukan untuk menang apabila menduduki kedudukan kesembilan pada hari pertama dan ketinggalan seminit setengah berbanding pendahulu.


"Namun adalah penting untuk tidak berasa ragu dan saya tidak pernah hilang keyakinan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Peminat teruja jumpa pemain

Posted: 19 Jan 2014 07:59 AM PST

Kota Kinabalu: Lebih 1,000 peminat bola sepak tempatan di negeri ini teruja apabila bertemu dan beramah mesra dengan pemain pujaan mereka di ruang legar aras 3 pusat beli-belah Suria Sabah, semalam.

Gabungan kelab penyokong Sabah dan orang ramai mula berkumpul di ruang legar itu sejak 11 pagi meskipun sesi bertemu peminat dijadualkan pada 12 tengah hari.
Pada sesi itu, Sabah diketuai jurulatih, Milomir Seslija, penyerang Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman dan hampir semua pemain pasukan itu.

Seslija ketika berucap dihadapan peminat merakamkan rasa terharu dengan sambutan diberikan peminat kepada pasukan itu pada musim ini.
"Saya tidak dapat menahan rasa terharu diatas sambutan diberikan peminat kepada pasukan Sabah dan berharap agar ia berterusan seperti mana zaman ketika saya bermain dengan Sabah dulu.
"Kami juga mahu peminat dan penyokong terus memberi sokongan dengan hadir ke Stadium setiap kali perlawanan berlangsung," katanya.

Sesi bertemu peminat itu bagi memberi peluang pasukan lebih dekat selain mendapatkan tandatangan setiap pemain.
Sementara itu, peminat yang ditemui amat teruja untuk melihat pasukan kegemaran mereka itu mencatat kemenangan pada setiap perlawanan Liga Perdana.

Bagi peminat berasal dari Ranau, Waideh Laumin berharap sokongan yang diberikan peminat dapat diteruskan sehingga tamatnya saingan Liga Perdana musim ini.
"Saya juga berharap pemain dapat menunjukkan semangat kesukanan tinggi pada setiap perlawanan tidak kira di tempat lawan ataupun gelanggang sendiri.
"Pemain juga harus menggunakan pengalaman jurulatih itu kini yang pernah bermain untuk Sabah pada tahun 90 an dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

MUSA perlu bebas politik

Posted: 19 Jan 2014 07:58 AM PST

Melaka: skuad bola sepak negeri akan menarik diri daripada kancah Liga M jika terdapat unsur persatuan sukan itu dipolitikkan oleh mana-mana pihak termasuk mereka yang terbabit dalam barisan pengurusan.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang juga presiden Melaka United (MUSA) memberi amaran itu dan mahu persatuan bebas daripada unsur yang boleh menyebabkan kelemahan dan kekurangan dalam semua aspek untuk menguasai saingan Piala FAM musim ini.


Menurutnya, beliau mahu semua yang terbabit dalam pembangunan dan pengurusan bola sepak Melaka tiada berkepentingan dalam memastikan MUSA diurus dengan cekap.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran jersi dan sumbangan penaja kepada pasukan itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam.


Hadir sama Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee.


Pasukan berkenaan musim ini dibimbing jurulatih dari Slovakia Ladislaw Totkovic sambil dibantu penolong jurulatih Rahim Abdullah dan Norizam Ali Hasan.

Barisan pemain diketuai bekas pemain Negeri Sembilan, Rashid Mahmud dan K Rajan selain Amer Shahreen Mubin, Khairul Izwan Jamaludin, Fauzi Kassim dan Mohd Yusri Abas.


Pada majlis berkenaan Idris mengumumkan tajaan kerajaan negeri sebanyak RM2 juta selain Mamee Double Decker (M) Bhd, Kejuruteraan Asas Jaya (KAJ) Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Hatten Group, Faithview Group, Melaka Taming Sari Berhad dan Sadra Motor Sdn Bhd.

Katanya, pihak Mamee juga akan menaja pemergian pasukan itu ke Manchester United selama seminggu jika layak ke Liga Perdana musim 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

No comments:

Post a Comment