Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei mara mudah

Posted: 18 Jan 2014 07:26 AM PST

Kuala Lumpur: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei kini selangkah ke kejuaraan kesepuluhnya di Siri Super Terbuka Malaysia, apabila menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgenson dalam pertemuan separuh akhir semalam.

Pilihan ketiga kejohanan itu menarik diri akibat kecederaan ketika Chong Wei mendahului saingan 21-13, 3-0. Chong Wei bakal berdepan pilihan keempat dari Indonesia, Tommy Sugiarto yang sebelum itu menewaskan Kenichi Tago dari Jepun, 21-13,21-18.

"Saya perlu mengekalkan prestasi saya untuk cuba menjuarai saingan Terbuka Malaysia buat kali ke-10. Saya jangkakan satu perlawanan yang sengit esok," kata Chong Wei ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Turut mengiringi Chong Wei ke pentas final adalah gandingan negara Goh V Shem-Lim Khim Wah ketika membenam cabaran sengit beregu Indonesia Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 23-25, 21-13, 22-20.

Foto

V Shem (kiri), Kim Wah meraikan kemenangan mereka.


Kemenangan itu sekali gus menyaksikan beregu negara itu bakal beraksi buat kali pertama pada pentas final tertinggi sepanjang karier mereka menentang beregu China Chai Biao-Hong Wei, hari ini.


Pada perlawanan semalam, V Shem-Khim Wah yang mengejutkan beberapa pasangan pilihan termasuk gandingan Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark, bangkit daripada kekalahan set pertama dengan beraksi cemerlang di set kedua dan ketiga.

"Perlawanan tadi (semalam) memang cukup sengit. Kami bermula baik tapi sayangnya tewas juga pada set pertama walaupun sudah mendahului lawan.

"Pada set kedua, kami merancang semula corak permainan dan di set ketiga, kami cuba beraksi pada tahap terbaik," kata Khim Wah.

Jelasnya lagi, peluang layak ke final membuatkan mereka semakin bernafsu untuk memburu kejuaraan pertama mereka pada saingan Siri Super Premier.

"Sebelum turun pada saingan Terbuka Malaysia, kami tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya mahu menumpukan kepada setiap perlawanan terlebih dulu.

"Esok (hari ini) kami hanya mahu fokus pada perlawanan dan tidak mahu memikirkan sangat tentang perkara lain.

"Yang penting kami perlu beraksi lebih baik berbanding hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Tengku Mahaleel akur nasihat Khairy

Posted: 18 Jan 2014 07:24 AM PST

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff akur dengan nasihat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila membuat keputusan membahagikan tugas dalam Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) yang diterajuinya.

Kini, Tengku Mahalel memimpin TMG sambil dibantu Timbalan Presiden 1 Datuk Dr Ir Mohamed Al-Amin Abdul Majid, Timbalan Presiden 11, Datuk Mohamad Norza Zakaria serta exco BAM.

"Saya hanya memegang satu jawatan saja iaitu unit Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan (CSR) untuk sementara waktu kerana kami sedang mencari calon paling sesuai untuk memikul tugas ini.

"Saya tak akan beritahu siapa individu itu, tetapi yang pasti mereka adalah pakar dalam sukan badminton," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis BAM semalam.


Khairy baru-baru ini menegur BAM serta Tengku Mahaleel yang difahamkan memikul terlalu banyak tanggungjawab dan tiada pengagihan tugas yang jelas.


Selain itu, beliau juga menegur aksi hambar skuad negara pada saingan Sukan SEA serta saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia dan mahu bertemu pengurusan BAM dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Tengku Mahaleel berkata, khabar angin yang menyatakan Kenny Goh meletak jawatan selaku Pengurus Besar adalah tidak benar.

"Saya tak tahu daripada mana datangnya cerita ini. Dia kekal dengan kami dan tidak timbul sebarang isu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

'Saya tak takut dikritik'

Posted: 18 Jan 2014 07:23 AM PST

Kuala Lumpur: Pemimpin paling kontroversi - Itu gelaran yang boleh diberikan kepada Datuk Ahmad Ismail gara-gara pemimpin nombor satu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu terlalu kerap diheret ke dalam isu tidak menyenangkan.

Begitupun, Ahmad sering 'memekakkan' telinganya terhadap tohmahan serta kritikan keras yang dilemparkan kepadanya dan beliau menganggap semua faktor itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi seseorang yang bergelar pemimpin. Ikuti temubual Metro Ahad dengan beliau.

SOALAN (S): Datuk adalah pemimpin sukan yang dilabel sebagai paling kontroversi sejak kebelakangan ini. Apa komen Datuk mengenainya?

JAWAPAN (J): Saya memang sedar ia sudah menjadi yang agak lumrah setiap empat tahun sekali. Apa yang saya nampak, saya seolah-olah sengaja diheret ke kancah kontroversi. Ini ada kaitan dengan Sukan Asia yang diadakan setiap empat tahun sekali. Kebetulan Sukan Asia biasanya akan diadakan pada tahun selepas Sukan SEA.

Foto

AHMAD tetap tabah walaupun dikritik pelbagai pihak.

Foto

PROGRAM sepak takraw anjuran persatuan negeri mampu cungkil bakat baru.

Foto

BEKAS pemain sepak takraw, Omar Husin antara pemain yang digeruni.


Maka keputusan Sukan SEA pada tahun sebelum berlangsungnya Sukan Asia - tidak kira sama ada PSM mencapai sasaran atau tidak - akan dijadikan asas perhitungan dan dijadikan titik permulaan untuk menjadikan saya sebagai seorang yang kontroversi.


Ini juga di sebabkan ramai orang yang berminat untuk mengambil bahagian di dalam Sukan Asia sama ada sebagai Jurulatih atau pun pemain yang sekadar mahukan posisi kerana Sukan Asia menjanjikan ganjaran lebih lumayan jika dibandingkan dengan Sukan SEA.

Tetapi, sebagai presiden yang bertanggungjawab, saya akan tetap menerima segala kritikan secara positif dan mengambil iktibar untuk kebaikan sepak takraw negara. Saya sentiasa menganggap semua ini sebagai suatu petanda sukan sepak takraw tetap mendapat tempat di hati warga dan pencintanya.

S: Kecaman, teguran dan kritikan pedas sudah menjadi 'asam garam' sejak memimpin PSM. Bagaimana Datuk menghadapinya?

(J): Saya berasal dari Pulau Pinang dan saya gemar makan kari Pulau Pinang. Kari 'mamak' jika tak ada asam dan garamnya, tentulah tidak sedap (ketawa).

Saya tidak dapat nafikan 'asam garam' itulah membuatkan saya menjadi lebih masak dengan sepak terajang dan kerenah sepanjang memimpin PSM. 'Asam garam' ini juga yang membuat saya mengenali 'warna' di dalam sepak takraw. Maka saya bersyukur ke hadrat Allah Maha Agung yang memberi ruang kepada saya mendapat pelajaran dan pengalaman ini.

Justeru, 'asam garam' ini menjadi suntikan semangat bagi saya untuk terus berjuang melalui PSM dan berusaha untuk mempopularkan serta memartabatkan sukan sepak takraw.

Lebih banyak kritikan, lebih banyak suntikan dan kekuatan untuk saya terus berusaha memajukan sepak takraw, Insya-Allah. Malah, sejak awal lagi, tatkala saya diberi kepercayaan dan amanah untuk menerajui PSM, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya sesungguhnya meletakkan pisau di leher saya.

Namun, sebagai seorang pejuang yang terlalu cintakan sukan warisan ini, sudah pasti saya harus menerima dengan tabah dan berani segala kritikan dan tohmahan yang dilontarkan.

Dengan rendah diri saya nyatakan selagi ada kritikan, maka wujudlah kelemahan dalam diri saya dan juga pegawai di bawah kepimpinan saya.

Saya akan berusaha sedaya upaya memperbaiki segala kelemahan sendiri dan juga pegawai saya. Saya juga akan menerima segala kritikan dengan terbuka dan masih ada kerja yang belum selesai.

Saya berterima kasih kepada semua sudi membuat kritikan berkenaan kerana dengan adanya kritikan itu, akan membuatkan saya bersemangat dan dapat menyedarkan bahawa perjuangan saya masih belum sampai ke destinasi yang dituju.

Insya Allah, saya akan terus berusaha dan bekerja dengan lebih gigih lagi. Sesungguhnya ini juga sudah saya tanam kukuh di hati dan jiwa saya sebagai azam menghadapi tahun baru 2014 ini. Teruslah kritik dengan ikhlas dan jangan serik kerana ini akan membuat saya lebih gagah menghadapi cabaran.

S: Difahamkan, PSM tidak mempunyai penaja sejak bertahun-tahun lalu. Daripada manakah Datuk mendapat wang untuk dibelanjakan PSM?

(J): Sememangnya masalah penajaan ujian paling berat saya alami sepanjang menerajui PSM. Apabila mula memegang jawatan ini pada 2003, secara kebetulan kerajaan telah tidak membenarkan syarikat pengeluar tembakau menjadi penaja sukan. Maka tamatlah penajaan Perilly's pada penghujung tahun 2002 sebelum sempat saya memulakan tugas pada 2003.

Sudahlah Perilly's tidak lagi dapat menjadi penaja PSM ketika saya mula mengambilalih tanggungjawab ini, PSM pula pada ketika itu dibelenggu kemelut dadah. Maka bukan senang nak dapatkan penaja kerana kita sedia maklum penaja tentunya mahukan 'mileage' untuk tajaan yang akan dapat membantu mempromosi dan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Tidak ada penaja yang mahu terheret dengan masalah boleh menjejaskan perniagaan mereka. Apatah lagi diheret dalam masalah dadah.

Alhamdulillah, kami berjaya menangani masalah itu dengan baik dan PSM di bawah kepimpinan baru ketika itu selamat dan terlepas daripada penghinaan.

Kami berjaya mendapatkan tajaan dari Telekom Malaysia (TM) selama setahun. Namun, TM telah diminta untuk turut menaja sukan lain pada tahun berikutnya. Maka, kami pun dimaklumkan bahawa tajaan kepada PSM terpaksa disalurkan kepada sukan berkenaan. Sekali lagi kami didatangi masalah tajaan.

Apalah daya saya, sesudah masalah dadah yang dikaitkan dengan PSM dapat kami selesaikan, bermulalah pula era baru dalam PSM yang penuh cacian dan kenyataan yang memburukkan PSM selain wujud fenomena baru iaitu rentetan hentam-menghentam yang berpanjangan.

Sekali lagi, hal ini tidak sihat pada imej PSM. Namun, apabila PSM dituduh dengan kecaman tidak berasas, kepimpinan PSM terpaksa menjawab cemuhan itu demi menjaga imej PSM. Ini juga sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab kami.

Namun, kita tidak dapat menafikan rentetan peristiwa hitam ini tidak begitu digemari penaja kerana tidak ada penaja mahu terpalit dengan persatuan dilihat mempunyai masalah sedangkan kita sebenarnya tidak mempunyai masalah sekiranya tidak ada tangan kotor yang sengaja burukkan PSM.

Sebagai pemimpin utama PSM, program dan aktiviti mesti diteruskan. Saya tetap bertanggungjawab untuk mencari kewangan bagi membolehkan program PSM diteruskan. Selain dari bantuan kerajaan, saya juga terpaksa menggunakan wang sendiri dan ada kalanya terpaksa bergolok bergadai sekadar kemampuan saya demi cinta saya terhadap sepak takraw. Saya juga bersyukur kerana sahabat saya sentiasa membantu pada saat saya memerlukan.

Saya turut bersimpati dengan Persatuan Sepaktakraw Negeri-Negeri dan Ahli-Ahli Gabungan PSM kerana tidak banyak yang dapat saya hulur. Sekali lagi saya bersyukur kerana terdapat juga beberapa Persatuan Negeri yang berusaha sekadar kemampuan mereka untuk mengadakan program pembangunan selain menyertai kejohanan yang dianjurkan PSM.

Saya secara peribadi berbangga di atas usaha kepimpinan persatuan negeri namun saya tetap sedar tidak banyak dapat mereka lakukan walaupun berhasrat untuk menghasilkan atlet berkemahiran tinggi untuk diserapkan ke dalam Skuad Elit Kebangsaan.

Saya bersyukur kepada kerajaan negeri Terengganu yang mendokong dan membantu Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu dengan begitu lumayan dan hebat sekali. Usaha itu mendorong kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu untuk berhempas-pulas melakukan pelbagai program dan meningkatkan pembangunannya.

Saya berani berkata, Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu adalah di antara negeri paling berjaya dengan programnya. Saya bersyukur mereka berjaya melahirkan ramai pemain berwibawa. Maka itulah dapat kita lihat betapa mereka berjaya menghasilkan pemain berpotensi dan sekarang atlet kebangsaan kita ramai yang datang dari Terengganu.

Alangkah bahagianya andai Kerajaan Negeri boleh membantu Persatuan Sepaktakraw Negeri-Negeri kerana mereka ini sesungguhnya amat dahaga dengan program-program pembangunan dan saya yakin mereka sedia melakukan pada bila-bila masa sekiranya mendapat sokongan dan bantuan kewangan yang secukupnya.

Malah, saya dengan rendah diri memohon jasa baik YB Menteri supaya berusaha membantu persatuan sepaktakraw negeri-negeri dengan memberi geran RM100,000 terus kepada setiap persatuan sepaktakraw negeri-negeri bagi membolehkan mereka menggerakkan program pembangunan di negeri masing-masing.

Terdapat 16 persatuan sepaktakraw negeri yang bergabung dengan PSM tidak termasuk Kelab Sukan ATM dan PDRM. Maka jumlah RM1.6 juta diperlukan untuk diagihkan kepada 16 Persatuan Sepaktakraw Negeri-Negeri. Ia bukanlah angka besar namun kami harap ia dapat melahirkan ramai pemain yang baik.

S: Apa masa depan sepak takraw di Malaysia?

(J): Saya positif sepak takraw akan terus berkembang dan maju. Saya dan sahabat berusaha untuk memajukan sukan ini. Saya turut bersyukur kerana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang baru adalah seorang anak muda agresif dan sentiasa melihat ke depan mengenai masa depan sukan.

Pandangan bernas beliau dan kesediaannya untuk membantu PSM dan persatuan negeri dengan suatu bentuk program pembangunan yang komprehensif akan dapat melahirkan ramai pemain berpotensi di masa depan. Ini akan dapat membantu mewujudkan lebih ramai pelapis bagi mengisi kekosongan sedia ada. Kita sedar dalam sistem piramid, lapisan paling bawah adalah paling besar. Lapisan ini seharusnya diisi dengan pelapis dari pelbagai kategori umur.

Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana selepas Khairy menerajui selama lebih kurang 8 bulan, Khairy dapat mengenal pasti aspek ini dan akan terus menekankan program pembangunan. Ini sudah pasti akan dapat melahirkan suatu kelompok besar pemain berkualiti yang sudah tentu akan menjadi aset kepada negara.

S: Penolakan terhadap kepimpinan Datuk terus hangat diperkatakan. Apa yang Datuk mahu lakukan selepas ini?

(J): Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ini adalah satu lagi ujian Allah terhadap saya. Lebih banyak ujian kita terima bererti Allah lebih mengasihi kita. Saya bertanya pada diri saya - apakah saya mahu menjadi pemimpin sepak takraw atau pun mahu menjadi pejuang sukan warisan ini?

Dengan dorongan Allah, saya memilih untuk menjadi pejuang. Sebagai pejuang, sudah tentu saya akan melalui liku penuh berduri. Saya tetap sedar di depan ada api dan di belakang ada duri. Namun, api dan duri akan saya tempuh dengan hati cekal. Saya akan berjuang sehingga sepak takraw menjadi salah satu sukan yang popular di Malaysia. Di samping usaha yang tidak kenal penat, saya akan terus berdoa mengharap restu Allah. Insya Allah PSM pasti berjaya.

S: Adakah benar sepak takraw Malaysia semakin merudum atau Datuk melihat sebaliknya?

(J): Hanya mereka yang tidak kuat daya juang dan tidak yakin bahawa Allah akan tetap bersama dengan perjuangan saja akan menganggap sepak takraw kita sudah merudum.

Ingatlah pesanan Pak Hamka: "Sekiranya kamu jatuh, jangan sekali-kali kamu kecewa. Bangunlah, namun pada kali ini bangunlah dengan loncatan jauh lebih kuat lagi, Insya Allah kamu pasti akan berjaya".

Berpegang pada kata ini dan dengan usaha berlipat ganda, kita pasti berjaya. Saya yakin dengan pemain sekarang ini. Mereka masih muda lagi. Sekiranya keputusan Sukan SEA lalu dijadikan kayu pengukur, maka izinkan saya menyatakan 80% daripada mereka berusia bawah 23 tahun dan 54% pula pertama kali bermain di kejohanan sebesar ini.

Yakinlah bahawa inilah pasukan yang akan mengembalikan kegemilangan sepak takraw Malaysia. Saya yakin kekalahan mereka itu suatu kemenangan tertangguh. Mereka akan bangun dan membuat kejutan. Saya ingin paparkan butiran kutipan pingat sejak sepak takraw menjadi acara tetap di Sukan SEA dan Sukan Asia. Buatlah analisa sendiri dan jawab dengan jujur di hati sama ada sepak takraw sudah merudum atau pun sebaliknya?

S: Apa usaha PSM untuk mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw Malaysia?

(J): Banyak usaha perlu dilakukan. Pembangunan di peringkat akar umbi. Kerjasama lebih mantap lagi dengan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk terus menggarap kejayaan kita sekarang ini sudah pun wujudnya sepak takraw di 117 buah sekolah. Pendekatan yang baru sedang disusun dan akan dibuat bersama dengan IPT.

Malah, selain perkara yang diperbaharui bersama dengan MSN dan ISN, komitmen YB Menteri bersedia membantu program pembangunan di negeri serta kerjasama dengan CIMB untuk program pembangunan lebih komprehensif bagi pemain muda pasti dapat melonjakkan lagi suakn ini.

Suatu skuad pelapis bawah 16 tahun akan dimulakan tahun ini di Sekolah Sukan Titiwangsa. Usaha sama dengan 'Asia Sports Venture (ASV)' menyaksikan Kejohanan Sepaktakraw 'PSM SuperSeries' secara liga selama 12 minggu akan bermula tahun ini.

S: Apa harapan Datuk terhadap PSM dan sepak takraw itu sendiri?

(J): Harapan saya agar ahli gabungan PSM terus bersatu kerana itulah senjata yang pasti membawa kejayaan. Jangan sampai kita diheret dalam satu permainan oleh segelintir tangan kotor yang mempunyai agenda sendiri.

Kita mahu mengembalikan kejuaraan namun jangan lupa sekarang ini kita akan bersaing dengan lawan yang sudah bergelar jaguh. Yakinlah ketika kejayaan milik kita nanti - nikmat yang akan kita kecapi akan lebih lazat dan bermakna kerana kita akan muncul sebagai Juara dikalangan Jaguh-Jaguh.

S: Bersediakah Datuk untuk melepaskan jawatan selepas dikritik hebat banyak pihak termasuk dari dalam PSM sendiri?

(J): Kritikan adalah suntikan semangat buat saya. Lebih hebat kritikan, lebih kuat lagi semangat saya untuk berjuang memartabatkan sepak takraw.

Pada saya jawatan bukanlah pangkat untuk dibanggakan, tetapi ia adalah amanah. Selagi amanah diberikan, saya tidak akan berundur. Banyak lagi kerja belum dilaksanakan dan masih ada agenda belum selesai. Perjuangan harus diteruskan untuk memartabatkan sukan ini. Namun saya sedia beri laluan bila tiba waktunya kepada sesiapa jua yang berhemah dan komited untuk memperjuangkan sepak takraw.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Landasan atlet muda

Posted: 18 Jan 2014 07:13 AM PST

Kuala Lumpur: Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Kebangsaan yang sedang berlangsung di kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat menjadi landasan terbaik buat skuad kebangsaan mencari bakat baru yang mampu diketengahkan.

Penyertaan 45 pasukan bagi kategori terbuka, 36 regu Bawah 21 tahun dan 27 regu kategori wanita membuktikan sambutan terhadap sukan tradisi itu tidak pernah padam tetapi persoalannya ialah mampukah mereka yang terpilih mengharungi cabaran getir bergelar atlet negara pada masa depan?

"Ia platform terbaik untuk pemilihan skuad kebangsaan yang akan diadakan 24 hingga 26 Januari ini," kata jurulatih kebangsaan Jamaludin Hassan.

Menurutnya, daripada 60 atlet yang bakal berada dalam senarai awal termasuk atlet sedia ada, jumlah itu bakal dikurangkan kepada 24 menerusi pemilihan yang dibuat oleh panel penilai termasuk menggunakan kejohanan terbabit untuk menguji kemampuan atlet.

Foto

ANTARA aksi pemain di Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Kebangsaan.


Namun apa yang diharapkan Jamaludin ialah, atlet yang tersenarai menyertai sesi pemilihan perlu bersedia untuk bersaing kerana pihaknya mahukan hanya yang terbaik berada dalam skuad kebangsaan apatah lagi pemain yang terpilih bakal dibentuk untuk menghadapi Sukan Asia Incheon dan matlamat jangka panjangnya adalah ke Sukan Sea 2017.


Apa yang beliau harapkan gandingan lebih baik dapat dibentuk menerusi pemain berpengalaman dan baru untuk mengharungi saingan lebih mencabar selepas ini.

"Jika pemain yang bagus tidak datang dan yang tidak bagus datang, kita terpaksa memilih dengan apa yang ada," katanya.

Beliau juga menyedari kekangan yang dilalui atlet sepak takraw selama ini memandangkan ada di antaranya berdepan dilema antara kerjaya dan tuntutan sebagai pemain sepak takraw kebangsaan.

"Jika mereka bekerja dengan kerajaan, mungkin mudah untuk membantu mereka tetapi bagi pekerja swasta, sukar untuk mereka membuat keputusan untuk memilih antara kerjaya dan sepak takraw.

"Mungkin apa yang membimbangkan mereka adalah bagaimana untuk meneruskan kehidupan mereka jika tidak terpilih, sedangkan terpaksa bercuti untuk menjalani latihan.

"Situasi sama juga berlaku kepada atlet institusi pengajian tinggi apabila ramai di antara mereka berbakat tetapi jika tidak beraksi dengan baik sedangkan sudah menangguhkan pengajian, tentu ia sesuatu yang merugikan. Apa pun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan cuba mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini."

Sementara itu, kalangan peserta yang ditemui menyambut positif penganjuran kejohanan terbabit.

Wakil Terengganu, Hisham Che Kamaludin, 26, mengakui Kejohanan Terbuka Kebangsaan itu adalah platform terbaik untuk mencari bakat baru bagi diserapkan ke skuad kebangsaan.

"Memang saya ada meletak sasaran untuk mewakili negara, selepas mewakili negeri menerusi Sukma dari 2008 hingga 2010. Saya berehat dua tahun lalu dan ini kejohanan pertama yang disertai," katanya.

Mohd Husni Abdul Kadir, 24, dari Melaka turut mengakui ramai pemain berbakat boleh dikesan menerusi pertandingan tetapi berpendapat PSM juga perlu memikirkan pemain lama yang masih mampu menyumbang untuk negara,

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Impian tercapai

Posted: 18 Jan 2014 04:31 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas berjaya mengharungi sesi pemilihan yang dianggap mencabar awal bulan ini, Mohd Rafiq Ismail dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi sudah sedia menggalas tugas buat negara apabila kedua-duanya layak berada dalam skuad elit bowling kebangsaan seperti diumumkan Presiden Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan.

Kedua-dua mereka mengakui cabaran dihadapi untuk berada dalam senarai elit itu bukan sembarangan memandangkan mereka perlu bermain dalam 12 'game' dengan format Kejohanan Dunia dan hanya yang terbaik bakal mewakili negara.

"Saya gembira, memang menjadi matlamat saya untuk menyertai skuad elit," kata Mohd Rafiq yang mengalami kecederaan pergelangan tangan kirinya sewaktu pemilihan berkenaan diadakan.

Nyata kesibukan jadual pertandingan yang disertainya sepanjang tahun lalu membuahkan hasil buat pemain berusia 17 tahun terbabit meskipun buat masa ini dinasihatkan pakar fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN) agar berehat selama dua minggu.

Foto

RAFIQ fokus membuat lontaran.

Foto

FIFAH sudah bersedia sahut cabaran musim ini.


Bagi Syaidatul Afifah, 23, yang pernah menyertai skuad sokongan elit tahun lalu, format pertandingan seumpama itu memberi peluang kepadanya untuk 'naik pangkat' ke skuad elit dengan mempamerkan aksi terbaik meskipun dia boleh berbangga dengan pencapaiannya di Terbuka Filipina dan Pesta Pulau Pinang tahun lalu.


"Sebaik mengetahui mengenai pemilihan berkenaan, saya terus mencuba kerana inilah peluang untuk mempamerkan prestasi saya," kata atlet berasal dari Ipoh itu.

"Pada mulanya saya rasa agak tertekan memandangkan atlet yang akan menyertai skuad elit ditentukan berdasarkan keputusan pertandingan berkenaan, tetapi saya kuatkan semangat dan akhirnya terpilih."

Selain Mohd Rafiq, skuad bowling lelaki 2014 turut dibarisi Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Adrian Ang, Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli selain muka baru Timmy Tan, Syimir Abdul Razak dan Jonathan Ding Sagan.

Skuad wanita pula menampilkan Syaidatul Afifah, Natasha Mohamed Roslan dan Radin Nur Najwa Arifah sebagai muka baru barisan elit yang turut dianggotai Sin Li Jane, Esther Cheah, Shalin Zulkifli, Jacqueline Sijore dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Kini, tiba masanya buat kedua-dua atlet terbabit membuktikan sejauh mana kemampuan mereka beraksi bersama pemain lebih senior dengan Sukan Asia Incheon menjadi matlamat utama tahun ini.

"Sudah pastilah sasaran kami adalah Sukan Asia dan ingin membawa pulang pingat emas buat negara," kata Mohd Rafiq, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Indah itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Holloway Cheah kerana banyak membantu hingga sampai ke tahap ini. Tidak ketinggalan sokongan keluarga."

Syaidatul Afifah yang mesra dipanggil Fifah, mengakui sudah mula bersedia untuk menyahut cabaran musim ini dengan memulakan latihan sejak beberapa hari lalu.

"Jurulatih sudah mengenalpasti apa kelemahan yang perlu diperbaiki. Yang penting saya perlu fokus untuk meningkatkan permainan.

"Apa yang lebih menggembirakan rakan senior juga tidak lokek berkongsi ilmu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Sherwood tak teragak jual pemain

Posted: 18 Jan 2014 04:12 AM PST

London: Pengurus Tottenham Hotspur Tim Sherwood berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk menjual mana-mana pemain bagi mendapatkan tenaga baru dalam usaha menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Kelab utara London itu kini ketinggalan dua mata berbanding pasukan di tangga keempat dan bakal bertandang ke Swansea untuk mengharungi perlawanan malam ini.

Catatan empat kemenangan serta satu seri sepanjang lima aksi Liga Perdana Inggeris meningkatkan keyakinan Sherwood dan beliau percaya Spurs sudah kembali ke landasan sebenar.

Sherwood menggantikan Andre Villas-Boas yang dipecat bulan lalu dan perubahan itu turut dapat dilihat di atas padang sekali gus menyaksikan pemain yang kerap diketepikan, Etienne Capoue, Nacer Chadli dan Lewis Holtby dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.


Dan Sherwood tegas mengatakan beberapa pemainnya akan berpindah sebelum tempoh perpindahan pemain tamat hujung bulan ini.


"Selagi ada pemain yang saya tidak perlukan, saya tidak akan teragak-agak untuk menjual mereka," katanya.

"Kami sudah berbincang tetapi ada kalanya, masalah akan timbul berhubung isu pembelian pemain baru. Kami mempunyai ramai pemain berbakat dan saya tidak akan kecewa jika kami terpaksa hilang seorang atau dua pemain."

Aksi Swansea sejak kebelakangan ini pula dilihat tidak menentu - mereka gagal menang sepanjang tujuh perlawanan liga - bermakna Tottenham dijangka pulang dari selatan Wales dengan tiga mata di tangan.

"Impian kami untuk musim ini masih ada kerana kami tidak tercicir mata dan semakin hampir dengan kelompok empat teratas," kata penjaga gol Spurs Hugo Lloris.

"Memang sukar untuk menentang Swansea dan kami tahu mereka boleh mencipta kejutan ketika menentang pasukan besar.

"Mereka beraksi baik dan jika kami tidak menumpukan perhatian serta tidak beraksi 100 peratus, keadaan akan menjadi sukar." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Maria mara, Caroline kandas

Posted: 18 Jan 2014 04:10 AM PST

Melbourne: Maria Sharapova terpaksa bekerja keras sebelum mara ke kelompok 16 pemain terbaik Terbuka Australia semalam tetapi nasib malang menimpa Caroline Wozniacki (gambar) yang diaibkan pemain bukan pilihan Garbine Muguruza.

Maria bagaikan kehilangan naluri pemusnah pada set kedua apabila gagal menyempurnakan servis kemenangan memaksa pemain Perancis Alize Cornet mengheretnya ke aksi tie-break sebelum menamatkan saingan 6-1, 7-6 (8/6).

Pilihan ketiga dari Russia itu bakal menentang pilihan ke-20 dari Slovakia, Dominika Cibulkova untuk tempat ke suku akhir dan dia mengakui perlu perbaiki permainannya jika mahu terus berada dalam kejohanan itu.

"Saya boleh mengambil beberapa perkara positif daripada perlawanan ini.

Satu daripadanya adalah mampu menang biarpun tidak bermain dengan baik," kata juara kejohanan utama empat kali yang baru pulih daripada kecederaan bahu itu.

"Banyak yang perlu saya perbaiki untuk maju kerana ia sudah menjadi semakin mencabar." Pilihan kelima Agnieszka Radwanska juga terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pemain Russia Anastasia Pavlyuchenkova 5-7, 6-2, 6-2.

Pilihan kelapan dari Serbia Jelena Jankovic berada di prestasi terbaiknya untuk menewaskan Kurumi Nara 6-4, 7-5 yang juga lawan dari Jepun yang ketiga berturut-turut ditemuinya pada kejohanan kali ini.

Kemenangan itu membolehkannya bertemu pilihan ke-11 dari Romania Simona Halep yang menyingkirkan pemain Kazakhstan Zarina Diyas menerusi straight set.

Agneiszka yang mara ke suku akhir sejak tiga tahun lalu bakal berdepan Garbine yang berjaya mengetepikan pemain nombor satu dunia, Caroline yang sebelum ini yakin mampu mencipta impak pada edisi kali ini.

Pemain berusia 20 tahun dari Sepanyol itu bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Caroline, 4-6, 7-5, 6-3 untuk kemenangan ke-11 berturut-turut.

"Saya bekerja keras pada musim rehat dan inilah hasilnya," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

Cabaran Federer baru bermula

Posted: 18 Jan 2014 04:09 AM PST

Melbourne: Juara empat kali, Roger Federer mara ke kelompok 16 pemain terakhir Terbuka Australia semalam tetapi dia turut mengakui cabaran sebenarnya baru saja bermula.

Pemain pilihan keenam dari Switzerland itu mengenepikan pemain Russia Teymuraz Gabashvili 6-2, 6-2, 6-3 untuk mara ke peringkat berkenaan tanpa tercicir sebarang set untuk kali ke-27 sepanjang kariernya.

Federer, 32, akan berdepan Jo-Wilfried Tsonga yang pernah menewaskannya dalam perlawanan sengit lima set pada suku akhir di Melbourne tahun lalu atau berdepan seorang lagi pemain Perancis, Gilles Simon.

"Sudah tentu ia satu undian yang sukar," katanya kepada wartawan.

"Apa yang penting buat saya ketika ini adalah terus bermain dengan baik.

Saya tidak perlu risau pemain mana yang akan saya hadapi sekarang.

"Sekarang semuanya terpulang kepada saya untuk membawa cabaran ke pusingan seterusnya." Hanya dua daripada 17 rekod kejayaan Federer pada grand slam diraih sejak empat tahun lalu iaitu di Australia pada 2010 dan Wimbledon pada 2012.

Pemain Switzerland itu cenderung membenam lawan pada peringkat awal dan mengatakan perubahan daripada pilihan ke-16 kepada 32 banyak membantunya.

"Saya berdepan undian sengit sepanjang karier walaupun tidak selalu tetapi pada kebanyakan kejohanan.

Jadi, saya masih ingat undian sukar pada peringkat awal," katanya.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/19

No comments:

Post a Comment