Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tawar RM433j untuk kahwini anak lesbian

Posted: 23 Jan 2014 03:14 PM PST

Hong Kong: Seorang jutawan tempatan menggandakan jumlah tawaran wang kepada mana-mana lelaki yang berjaya menambat hati anak perempuannya yang lesbian untuk berkahwin.

Tawarannya sebanyak HK$500 juta (RM215 juta) yang dibuat tahun lalu sudah menarik minat 20,000 calon dua tahun lalu.


Cecil Chao, 77, mengikut laporan The Edge Malaysia, menggandakan tawaran itu kepada RM433.1 juta kepada lelaki yang berjaya menawan hati anaknya, Gigi.

"Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi kehidupan anak saya. Saya cuma mahu dia berkahwin dengan baik dan mendapat anak yang bakal mewarisi perniagaan saya," kata Chao Tetapi tindakan Chao membuat tawaran untuk mencari jodoh buat anaknya menyebabkan Gigi dan "pasangannya" Sean Eav kecewa.


"Saya tidak yakin tawaran itu akan menemukan saya dengan lelaki idaman saya," kata Gigi kepada sebuah media tempatan.


"Saya lebih gembira dan berbaik dengan lelaki yang sanggup menderma kepada badan kebajikan saya dan yang penting, mereka tidak kisah saya sudah mempunyai 'isteri'. "Terakhir sekali, terima kasih ayah, saya sayang ayah juga," katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Foto

CHAO dan anaknya, Gigi dalam gambar yang dirakam beberapa tahun lalu.

Gigi dilaporkan hampir mengahwini Eav - pasangannya selama sembilan tahun - dalam satu majlis di Perancis pada awal 2012, kerana perkahwinan sesama jantina tidak diiktiraf di Hong Kong.


Tawaran Chao yang mendapat perhatian seluruh dunia sebelum ini gagal mengubah pendirian Gigi mengenai cara hidupnya.

Gigi memberitahu media, tindakan ayahnya itu melambangkan betapa besar kasih sayang ayahnya terhadapnya.


Pengarah filem dari Britain, Sacha Baron dilaporkan sedang menyiapkan sebuah filem berdasarkan kisah Chao dan Gigi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Arca arnab dalam 'telinga' Mandela

Posted: 23 Jan 2014 10:57 AM PST

Pretoria: Tugu peringatan Nelson Mandela setinggi 9 meter menimbulkan kemarahan pihak berkuasa Afrika Selatan apabila terdapat arca arnab kecil pada telinga tugu berkenaan.

Tugu peringatan gangsa yang diletakkan di pekarangan kompleks kerajaan di Pretoria selepas pengebumian Mandela pada 16 Disember di catatkan sebagai tugu terbesar mewakili pejuang antiaparteid itu. Pihak berkuasa mengarahkan arca arnab kecil itu dibuang daripada tugu berkenaan dan menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap Mandela dan perjuangannya.


Jabatan Kesenian dan Kebudayaan negara berkenaan berkata mereka tidak sedar pembina tugu itu -Andre Prinsloo dan Ruhan Janse van Vuuren- menambah arca arnab sebagai simbol kerja mereka. "Ia tidak sepatutnya berada di situ," kata jurucakap jabatan berkenaan, Mogomotsi Mogodiri "Tugu itu menjadi lambang kebanggaan seluruh warga Afrika Selatan," katanya dalam satu kenyataan. Patung arnab itu hanya disedari minggu lalu, sebulan selepas tugu itu dirasmikan di Bangunan Kesatuan.

Pembinaan tugu Mandela dengan tangan terbuka itu melambangkan pengiktirafan terhadap perjuangannya -Agensi

Foto

ARCA arnab berkenaan dianggap penghinaan terhadap Mandela dan perjuangannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Polis dedah cara seludup dadah melalui Twitter

Posted: 23 Jan 2014 10:56 AM PST

Madrid: Polis Sepanyol diselar hebat apabila mendedahkan cara berkesan menyeludup dadah menerusi laman Twitter rasmi mereka.

"Sembunyikan dadah yang ingin diseludup di tempat yang tidak dapat dihidu anjing pengesan." Itu adalah tweet yang dihantar menerusi akaun rasmi Polis Sepanyol pada laman Twitter pada Selasa lalu selepas ditanya mengenai cara terbaik untuk menyeludup ganja di atas kapal terbang pergi ke luar negara.


"Lebih baik bungkus dadah berkenaan di tempat yang tidak dapat dihidu anjing pengesan (mungkin dalam kotak rokok?)," katanya melalui laman Twitter yang mempunyai 715,000 pengikut itu apabila menjawab pertanyaan majalah JotDown.

Tweet tersebut mencetuskan kemarahan aktivis antidadah negara itu dan mengatakan polis seolah-olah menggalakkan penyeludupan. Polis bagaimanapun kemudiannya memohon maaf selepas memadamkannya. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Mahkamah kaji tunda pilihan raya

Posted: 23 Jan 2014 10:55 AM PST

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam menangguhkan keputusan sama ada pilihan raya umum ditetapkan pada 2 Februari ini boleh ditangguhkan.

Jurucakap mahkamah Pimol Thampithakpong berkata, mahkamah perlu meneliti fakta serta isu perundangan.


"Jika bukti mencukupi, mahkamah mungkin mengumumkan keputusannya esok (hari ini)," katanya.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra kelmarin mengumumkan tempoh darurat selama 60 hari di Bangkok dan kawasan sekitarnya dengan harapan dapat meredakan tunjuk perasaan penentangnya yang kini masuk bulan ketiga. "Pengumuman darurat ini bagi memudahkan tugas polis dalam menjaga keamanan.


"Bagaimanapun, saya berharap pihak polis mengambil iktibar apa yang berlaku pada 2010 dan mengelak daripada bertindak luar daripada bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang," katanya.


Pihak tentera masih belum bertindak, sebaliknya polis ditugaskan menguatkuasakan darurat.

Foto

MURID dibawa ke tempat selamat apabila penunjuk perasaan antikerajaan berarak berhampiran sekolah mereka di Bangkok, semalam.

Sementara itu, Panglima Tentera Thai Jeneral Prayuth Chan-ocha mengakui pihaknya akan bertindak jika keadaan bertambah ganas sehingga tahap luar kawalan.


Suruhanjaya Pilihan Raya menganggap keadaan di Thailand bergolak terlalu teruk untuk membolehkan pilihan raya diadakan, malah beberapa isu teknikal akan mengakibatkan jumlah ahli parlimen terlalu rendah untuk membentuk korum.

Bagaimanapun, kerajaan sementara pimpinan Yingluck menganggap tarikh pilihan raya itu tidak boleh diubah kerana sudah dipersetujui raja. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Suthep tak hirau perintah darurat

Posted: 23 Jan 2014 10:54 AM PST

Bangkok: Ketua penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam mengetuai ribuan pengikutnya berarak, membuktikan keengganan tunduk dengan perintah darurat diumumkan, Rabu lalu.

Perarakan itu bermula di pentas demonstrasi di Asoke pada jam 10 pagi yang turut melihat pengawal keselamatan membuat tiga lapisan perisai manusia untuk melindungi Suthep dan pengikut kanannya.


Orang ramai berpusu-pusu cuba bersalam dengannya sepanjang perarakan itu malah ada yang menyerahkan wang.

Terdahulu, Suthep berkata keadaan belum cukup teruk sehingga memerlukan darurat diisytiharkan.


Dia turut menyuarakan kebimbangan kerajaan menggunakan keganasan terhadap penunjuk perasaan termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.


Katanya, pihak kerajaan sentiasa berusaha menyakiti penunjuk perasaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Lima polis maut ditembak

Posted: 23 Jan 2014 10:54 AM PST

Kaherah: Lima anggota polis terbunuh selepas sekumpulan lelaki bertopeng yang menunggang motosikal melepaskan tembakan di satu sekatan jalan raya di tengah bandar raya ini, semalam.

Dua lagi anggota polis cedera dalam serangan berkenaan.


Sehingga ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Mesir menyaksikan peningkatan serangan yang menyasarkan anggota polis dan tentera sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi Julai tahun lalu.


Serangan paling buruk ialah cubaan membunuh menteri dalam negeri di Kaherah September lalu dan pengeboman berani mati pada Disember yang menyasarkan ibu pejabat keselamatan di Mansoura di Delta Nil yang meragut 16 nyawa, kebanyakan anggota polis.


Dalam serangan semalam, penyerang bertopeng yang menunggang dua motosikal dan dilengkapi senjata automatik melepaskan tembakan ke arah sekatan polis di daerah el-Wassta di wilayah Bani Suief, selatan Kaherah, menurut kenyataan pihak berkuasa. Kumpulan lelaki bersenjata itu kemudian melarikan diri, kata dua pegawai keselamatan.

Foto

PENDUDUK Mesir, seorang memakai topeng Guy Fawkes membakar bendera Amerika Syarikat ketika penyokong Ikhwanul Muslimin menunjuk perasaan di Kaherah semalam.

Serangan itu berlaku beberapa hari sebelum rakyat Mesir meraikan ulang tahun ketiga kebangkitan 25 Januari yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak. Mesir me yaksikan beberapa siri keganasan politik sejak penyingkiran Hosni pada 2011 tetapi serangan yang menyasarkan anggota polis dan tentera kian meningkat selepas rampasan kuasa menggulingkan Mursi.


Kerajaan disokong tentera menyalahkan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dicopnya pengganas bertanggungjawab terhadap kebanyakan serangan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Iran runding pulih hubungan dengan AS, Eropah

Posted: 23 Jan 2014 10:53 AM PST

Davos (Switzerland): Iran masih berunding dengan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada langkah untuk memulihkan hubungan dengan masyarakat antarabangsa.

Bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Davos, pemimpin pragmatik yang menja di presiden pada Ogos tahun lalu berkata, hubungan dengan Eropah juga dalam proses pemulihan. Berucap di depan kira-kira 2,500 pemimpin politik dan pemimpin perniagaan dunia, beliau turut mengundang syarikat Eropah terutama syarikat tenaga agar merebut peluang ekonomi di Iran.


"Republik Islam Iran bersedia untuk terbabit dalam kerjasama untuk mempromosikan keselamatan tenaga dunia, berpandukan pada sumber minyak dan gasnya yang meluas.

Hassan berjanji menjalankan dasar luar secara "berhati-hati dan sederhana" bagi memulihkan keadaan ekonominya yang terjejas.


Beliau mahu mengadakan lerjasama dengan semua jiran Iran tetapi tidak menyebut musuh ketatnya di Teluk, Arab Saudi secara khusus.


Pemimpin itu juga enggan menyenaraikan Israel sebagai negara yang menjadi sasaran Iran untuk memperkukuhkan hubungan. "Teheran mahu menjalin kerjasama dan persahabatan dengan semua negara yang diiktiraf Republik Islam Iran," katanya.

Hassan mengulang rayuan Iran agar masyarakat antarabangsa tidak menimbulkan lagi isu senjata nuklear.


Menurutnya. Teheran bersedia menerima semua pemeriksaan dan kawalan agensi nuklear PBB, dengan syarat ia tidak didiskriminasi. Negara Barat percaya projek nuklear Iran bertujuan untuk meningkatkan kemampuan ketenteraannya.

"Kami tidak menghasilkan dan tidak akan menghasilkan senjata nuklear. Saya mengisytiharkan yang senjata nuklear tiada tempat dalam strategi keselamatan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

China jalani latihan misil jarak jauh

Posted: 23 Jan 2014 10:52 AM PST

Beijing: Tentera China semalam menyiarkan gambar latihan peluru berpandu balistik antara benua dengan jarak yang mampu menjejaki Amerika Syarikat.

Langkah menyiarkan gambar itu dibuat ketika Beijing terbabit dengan beberapa perbalahan dengan Washington.


Gambar tentera China menguji tembakan peluru berpandu Dongfeng-31 yang dikatakan pakar mampu membawa peledak nuklear sejauh 8,000 kilometer, disiarkan akhbar harian Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) semalam. Satu lagi gambar menunjukkan tentera mengenakan pakaian pelindung, membuktikan peluru berpandu yang dilancarkan itu dilengkapi peledak, disiarkan di satu portal berita. Sohu.com melaporkan, ini kali pertama imej latihan ketenteraan sedemikian didedahkan.

Gambar itu bagaimanapun tidak ditemui di laman web PLA. China terbabit dalam perbalahan dengan jirannya di Laut China Selatan dan saling bertegang urat dengan Jepun mengenai kepulauan di Laut China Timur yang ditadbir oleh Tokyo, tetapi turut dituntut Beijing. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Berlusconi disiasat cuba rasuah saksi

Posted: 23 Jan 2014 10:52 AM PST

Rome: Bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi yang disiasat kerana menyogok saksi dalam perbicaraan menyaksikan dia dipenjarakan kerana melakukan seks dengan pelacur bawah umur, dedah mahkamah semalam.

Berlusconi, peguamnya dan beberapa wanita muda termasuk pelacur terbabit yang bergelar "Ruby si pencuri hati" disiasat berikutan keputusan pada Julai tahun lalu yang dirayu taikun media itu. Bilionair itu menafikan melakukan seks dengan Ruby ketika parti erotik yang diadakan di kediaman mewahnya di luar Milan.


Skandal yang melanda bilionair berusia 77 tahun itu kini disiasat kerana mempunyai saksi yang boleh dibeli, termasuk membayar beberapa wanita di parti bulanan terbabit agar memberi keterangan mengatakan majlis itu hanya acara makan malam biasa.

"Sudah terbukti bahawa Berlusconi melakukan seks dengan Ruby, penari eksotik yang berusia 17 tahun ketika itu yang nama sebenarnya ialah Karima El-Mahroug sebagai pertukaran dengan wang atau barangan berharga lain," kata hakim yang mengendalikan kes itu.


Perdana Menteri sebanyak tiga kali itu bukan orang asing di mahkamah sepanjang karier politiknya. Berlusconi pernah dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana memalsukan cukai tahun lalu yang mendorong dia disingkirkan dari parlimen dan perlindungannya daripada undang-undang dilucutkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Pelajar bertempur, seorang terbunuh

Posted: 23 Jan 2014 10:51 AM PST

Kaherah: Seorang penuntut di sebuah universiti di Iskandariah terbunuh apabila dua kumpulan pelajar yang berbeza fahaman politik bertempur.

Polis berkata, mereka tidak campur tangan dalam pergaduhan itu, sebaliknya hanya mengepung kawasan di luar universiti itu.


Pergaduhan itu membabitkan penyokong presiden yang digulingkan Mohamed Mursi dengan kumpulan pelajar yang menyokong kerajaan sementara Mesir.

Penyokong Mursi menggunakan kampus sebagai tempat selamat untuk menunjuk perasaan selepas polis bertindak ganas ke atas pergerakan Ikhwanul Muslmin hingga menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh selepas beliau digulingkan Julai lalu.


Polis berulang kali menafikan pembabitan mereka dalam beberapa kematian di kawasan kampus. Bagaimanapun penyokong Mursi menuduh mereka menggunakan kekerasan melampau. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment