Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nicol teruja jinak Laura

Posted: 25 Jan 2014 09:51 AM PST

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David sekali lagi melakar pencapaian gemilang di pentas antarabangsa apabila menjuarai Kejohanan Juara-Juara di New York dengan menewaskan pemain England, Laura Massaro.

Nicol menjinakkan Laura 11-4, 13-11, 11-8 dalam tempoh hanya 45 minit untuk kejuaraan pertamanya tahun ini dan kejuaraan sulungnya dalam kejohanan terbabit.


"Saya memang inginkan gelaran ini," kata Nicol sebaik menjuarai kejohanan terbabit. Paling membuatnya teruja adalah peluang bermain dalam kejohanan sehebat Kejohanan Juara-Juara.

"Ia hebat. Ada sesuatu yang istimewa mengenai suasana di sini. Setiap kali saya melangkah ke Grand Central Terminal, hati saya berdebar-debar," katanya.


"Pada awalnya kami tidak tahu bagaimana pergerakan bola di gelanggang ini. Sebaik bermain, ia bergerak semakin pantas dan saya berupaya melakukan pukulan dengan baik."


Kemenangan itu memberikan gelaran ke 72 dalam Jelajah Persatuan Skuasy Wanita, sekali gus melebarkan penguasaan tanpa kalah kepada 35 perlawanan, sebelum ini tewas pada Mei 2013 juga kepada Laura di Terbuka Britain.

Foto

NICOL bergambar bersama Amr Shabana juara kateagori lelaki.

Ia juga membolehkan Nicol terus berada di puncak sebagai pemain nombor satu dunia selama 89 bulan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Wenger puji impak Podolski

Posted: 25 Jan 2014 09:42 AM PST

London: Arsene Wenger percaya persembahan Lukas Podolski dan Alex Oxlade-Chamberlain dalam kemenangan Piala FA ke atas Conventry membuktikan impak yang mampu dicetuskan mereka menjelang penghujung kempen ini.

Podolski menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 4-0, semakin cergas sebaik pulih daripada kecederaan hamstring.


Oxlade-Chamberlain pula menyerlah di bahagian tengah dalam aksi pertamanya selepas pulih daripada kecederaan lutut pada hari pertama musim ini.

Ancaman gol Podolski khususnya menggembirakan pengurus Arsenal itu yang masih ingin membawa masuk seorang lagi penyerang pada musim perpindahan untuk membantu Olivier Giroud.


"Podolski boleh menjaringkan gol dan bila anda mempunyai peluang menjaringkan gol, anda mahu pemain sepertinya melakukannya. Gaya penyudahnya tepat," kata Wenger.


"Dia boleh menjaringkan gol sebaik mula bermain dan sentiasa berbahaya jika mendapat peluang." Pengurus berkenaan turut memuji aksi Oxlade-Chamberlain dan menyifatkan gandingan pemain remaja itu dengan Jack Wilshere mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Saya suka apa yang dilakukannya di bahagian tengah, ketika kami menguasai bola. Dia bekerja keras untuk bertahan tetapi saya suka dengan serangannya," kata Wenger.


"Gandingannya dengan Jack di bahagian tengah, sudah pasti ia berkesan buat England pada masa depan." Wenger masih berdiam diri berhubung laporan mengaitkan Arsenal dengan cubaan mendapatkan pemain Schalke, Julian Draxler tetapi dia menafikan yuran perpindahan untuk pemain Jerman itu sudah dipersetujui.

"Ia satu ilusi. Tiada apa yang berlaku. Secara jujurnya tidak. Kami tidak perlukan pemain di bahagian sayap. Chamberlain sudah kembali dan kami mempunyai 17 pemain di bahagian itu.


Ditanya sama ada beliau memerlukan penyerang, Wenger berkata: "Kami tidak menolaknya tetapi pada masa ini saya tidak boleh mengumumkan apa-apa." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Mourinho tumpu aksi Piala FA

Posted: 25 Jan 2014 09:41 AM PST

London: Fokus pengurus Chelsea, Jose Mourinho akan kembali terarah dari pasaran perpindahan pemain ke misi memburu kejuaraan apabila Stoke bertandang ke Stamford Bridge dalam aksi pusingan keempat Piala FA malam ini.

Suasana di kelab barat London itu didominasi perbincangan perpindahan berikutan kemenangan ke atas Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris.


Keputusan Mourinho untuk menyokong penjualan pemain tengah Sepanyol, Juan Mata pada harga £37 juta (RM203.4 juta) mengejutkan ramai terutamanya penyokong Chelsea yang kecewa dengan pemergian pemain yang menjadi pemain terbaik kelab itu sejak dua musim lalu.

Pengurus kelahiran Portugal itu bagaimanapun menegaskan penjualan itu disebabkan kejayaan mendapatkan pemain sayap Basel dari Mesir, Mohamed Salah, yang dikatakan hampir menyertai Liverpool sebelum Chelsea campur tangan.


Mourinho tidak menjangkakan Chelsea akan aktif dalam musim perpindahan Januari tetapi sebaik kepulangan Nemanja Matic ke kelab itu dari Benfica pada harga £21juta (RM115.4 juta), usaha bekas pengurus Real Madrid itu untuk membentuk kembali skuadnya dilihat semakin ketara.


Perpindahan itu dijangka bakal disempurnakan tidak lama lagi tetapi semua itu perlu diketepikan ketika skuad Mourinho berdepan Stoke yang pernah menewaskan mereka 3-2 sewaktu kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Brittania dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Ketika itu, Chelsea menerima padah kerana hanya beraksi cemerlang pada separuh masa pertama dan Mourinho memberi amaran kepada pasukannya mengenai cabaran anak buah Mark Hughes meskipun Stoke hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir.


"Kami tewas kepada pasukan ini dan ia berlaku tidak lama dulu. Mereka pasukan yang mencabar," kata Mourinho.

"Semua orang tahu mengenai Stoke, mereka memberi cabaran fizikal, kuat di bahagian set piece dan mereka datang semata-mata untuk bertanding. Saya jangkakan perlawanan yang sukar." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Juara tertua Terbuka Australia

Posted: 25 Jan 2014 09:40 AM PST

Melbourne: Pemain China, Li Na menjulang gelaran kedua Grand Slam selepas mengenepikan cabaran pemain bukan pilihan, Dominika Cibulkova 7-6 (7/3), 6-0 sekali gus menjadi pemain wanita tertua memenangi Terbuka Australia.

Pemain berusia 31 tahun itu, beraksi selaku pilihan keempat ditabalkan sebagai juara Melbourne Park dalam percubaan ketiganya selepas kecundang pada final 2011 dan 2013 untuk menambah gelaran Terbuka Perancis dimenangi tiga tahun lalu.


Kejayaannya itu meletakkannya sebagai pemain tenis wanita tertua mengatasi Margaret Court bergelar juara ketika berusia 30 pada 1973.

Bintang China itu turut menyertai senarai ekslusif tujuh pemain lain memenangi gelaran Grand Slam pada usia melebihi 30 tahun, dengan namanya sekarang terukir dalam sejarah bersama Martina Navratilova, Billie Jean King, Chris Evert dan Serena Williams.


Kemenangan itu melonjak kedudukannya naik satu anak tangga dalam ranking ketiga dunia, hanya ketinggalan 11 mata di belakang Victoria Azarenka di tangga kedua di belakang Serena Williams.


Persembahan menarik oleh pemain bintang China itu yang mengekang tekanan tewas dua kali sebelum ini sebelum merealisasikan harapan seramai 1.3 bilion penduduk negaranya.

Cibulkova yang memiliki fizikal lebih kecil, dengan gelaran 'pocket rocket' berada dalam prestasi terbaiknya tetapi Li Na yang diletakkan selaku pilihan, menggunakan sepenuhnya pengalaman dimiliki membenam pemain Slovakia itu dalam pertarungan sengit set pertama memakan masa selama 70 minit.


Li memiliki permulaan terbaik, ketinggalan 1-0 ketika Dominika melakukan servis sebelum pemain Slovakia itu mensia-siakan permainan melakukan double-fault pada break point kedua.

Bintang China itu beraksi dengan baik membuatkan pemain Slovakia berusia 24 tahun itu bergelut membalas setiap pukulan penting dilakukannya.


"Akhirnya saya mendapat trofi ini, selepas hampir melakukannya pada dua final sebelum ini," kata Li Na pada majlis penyampaian trofi. "Tahniah kepada Dominika, dia menikmati kejuaraan yang hebat. Terima kasih kepada ejen saya, Max kerana menjadikan saya kaya. Terima kasih kepada Carlos yang sentiasa yakin saya mampu melakukannya. Kami bekerja keras pada musim sejuk.


"Terima kasih kepada suami saya, sekarang begitu masyhur di China, rakan pemukul bola, yang menyediakan minuman dan membaiki raket. Anda melakukan banyak kerja. Anda semua insan menarik, anda bertuah berjumpa saya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Peluang Nadal tambah rekod

Posted: 25 Jan 2014 09:39 AM PST

Melbourne: Rafael Nadal mempunyai peluang untuk menambah satu lagi rekod pencapaiannya dan sudah pasti mencetuskan perdebatan baru seandainya dia berjaya menewaskan Stanislas Wawrinka di final Terbuka Australia.

Kemenangan akan menjadikan pemain kidal dari Sepanyol itu, pemain ketiga memenangi empat grand slam dua kali menyertai dua pemain Australia, Rod Laver dan Roy Emerson, juga meletakkan sebaris dengan Pete Sampras dengan 14 gelaran kejohanan utama.


Dia juga akan menghampiri rekod rakan senegara Wawrinka, Roger Federer yang ditewaskannya di suku akhir kepada tiga gelaran lagi dan sudah pasti akan menjadi topik perbualan, siapa sebenarnya pemain terbaik sepanjang zaman.

"Benarkah ada pemain terhebat sepanjang zaman?" balas Sampras apabila ditanya sama ada Nadal atau Federe layak memegang gelaran itu.


"Saya percaya, jika anda melihat sejarah sukan ini, setiap dekad ada pemainnya.


"Mari hargai apa yang kita lihat. Memang sukar untuk membandingkannya berdasarkan nombor dan era." Nadal yang bermain dalam kejohanan ini dengan tangan kiri berbalut akibat luka, hanya fokus terhadap cabaran yang diberikan Wawrinka, 28.

"Dia bermain lebih baik daripada sebelumnya. Seorang pemain yang sedia untuk menang menentang sesiapa pun," kata Nadal.


"Jika saya tidak bermain dengan baik, saya tidak berpeluang menewaskannya." Nadal memegang rekod kemenangan 12-0 ke atas Wawrinka tetapi dia turut bimbang dengan ancaman pemain Switzerland itu yang kini semakin konsisten dan yakin dan mampu mencapai kemuncak dalam tenis lelaki.

Menurut Wawrinka, dia tidak pernah terfikir mengenai rekod lalu dan dia menuju ke final pertama grand slam dengan penuh keyakinan.


"Saya tidak melihat kepada rekod. Begitulah keadaannya ketika menentang Rafa dan saya tidak kisah jika kalah 14 kali," katanya.


"Begitupun saya melalui perlawanan yang sengit dengannya tahun lalu dan saya lebih yakin terhadap diri sendiri." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Jersi seksi makan diri

Posted: 25 Jan 2014 09:39 AM PST

Chris Froome berdepan kesan sampingan daripada falsafah Team Sky apabila kulitnya terbakar teruk akibat sinaran matahari ketika berlatih di Afrika Selatan menggunakan jersi baru daripada kain jaring yang lebih ringan.

Tunang Froome, Michelle Cound menghantar gambar belakang juara Tour de France yang terbakar Rabu lalu bersama ayat ini: "Bahayanya memakai jersi jaring. Ouch!" Froome mengejutkan peminat berbasikal awal bulan ini apabila menghantar gambar dirinya dengan jersi baru Team Sky yang lebih seksi. Dia turut memuat naik gambarnya memakai pakaian berkenaan di Twitter.


Team Sky memang popular kerana sentiasa cuba untuk memberikan kelebihan kepada pelumba mereka menerusi pendekatan yang diambil jurulatih Dave Brailsford.

Justeru, pasukan yang berpangkalan di Britain itu mencuba sut jaring yang lebih ringan seperti ditunjukkan Froome menerusi gambar berkenaan. Dia mungkin menyarungnya untuk mempertahankan gelarannya musim ini tetapi kulitnya yang terbakar akibat sinaran matahari menunjukkan kelemahan pakaian baru itu.


Bagaimanapun Team Sky enggan memberi komen berhubung perkara itu tetapi difahamkan bahan membuat sut berkenaan sama seperti digunakan Team Sky ketika Tour de France tahun lalu. Bagi pasukan itu, apa yang berlaku kepada Froome bukannya membabitkan sut baru itu tapi lebih kepada kesilapan menggunakan krim pelindung matahari yang betul.


Bagaimanapun, pengurus pasukan lawan Jonathan Vaughters dari Garmin-Sharp berseloroh apabila mengatakan pencabar Team Sky sudah menemui kelemahan Froome.

"Aha! Kami sudah menemui kelemahannya," kata Vaughters menerusi Twitter. "Selepas ini kami akan menggunakan pancaran senapang ultra ungu ke atasnya."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

'Siku Emas' puas julang imej negara

Posted: 25 Jan 2014 09:34 AM PST

Kuala Lumpur: Masih terbayang di ingatan Mohd Faizal Ramli, 25, mengenai malam yang menyaksikannya dinobatkan sebagai penyumbang pingat emas ke-43 - kilauan pingat terakhir negara di Sukan SEA Myanmar.

Sokongan padu penyokong tuan rumah di pentas final menerusi jagoan mereka Aung Myint Win langsung tidak menggentarkan anak keempat daripada 11 beradik itu.


"Saya ambil semangat penyokong mereka dan letak dalam diri saya," katanya yang bangga menjadi anak Malaysia dengan menyumbang emas menerusi acara itu selepas menewaskan lawannya 3-0.

"Sebaik memenangi perlawanan itu, saya menangis. Bukan kerana gembira tapi mengenangkan perjalanan yang saya lalui untuk sampai ke tahap ini.


"Menerusi kemenangan ini, saya rasa muay thai di Malaysia mampu pergi jauh. Meskipun kami sasarkan satu emas tapi kami pulang dengan dua dan bukan calang-calang sukan mampu berbuat demikian.


"Sebelum ini mungkin ada yang memandang rendah muay thai kerana ini kali pertama kami bertanding di Sukan SEA tapi kami membuktikan sesuatu." Kini kenangan itu menjadi sebahagian daripada catatan sejarah hidupnya dan meskipun kejayaan itu sedikit sebanyak menaikkan namanya di pentas sukan negara, ia tidak langsung mengubah jiwa atlet yang dikenali dengan jolokan 'Siku Emas'.

"Mungkin orang pandang tinggi tapi saya hidup susah. Saya menyertai sukan ini dengan niat mahu menyara keluarga dan membantu adik ke sekolah," katanya ketika ditemui ketika sesi fotografi Kejohanan Dunia yang bakal diadakan Mei ini - kejohanan yang turut menjadi fokusnya.


"Apa yang saya harapkan kejayaan ini dapat memberi contoh kepada remaja dan mereka yang ingin menceburi sukan ini supaya dapat membantu melonjakkan sukan ini pada masa depan.

"Meskipun sudah sampai ke tahap ini, saya masih seperti biasa. Masih ada perasaan rendah diri dan ingin menjadi contoh kepada yang lain. Saya sedar semua ini hanya sementara." Apa yang penting baginya membahagiakan ibu bapanya, pasangan Faridah Ishak, 51, dan Ramli Yusof, 56, malah menyifatkan tanpa restu mereka, dia tidak mungkin mencapai kejayaan seperti sekarang.


"Sebelum ke Sukan SEA, mereka menasihati saya supaya tidak meninggalkan solat, buat yang terbaik dan akan bersolat hajat untuk saya sehingga habis bertanding," katanya.


"Mungkin berkat doa mereka serta doa rakan, saudara-mara dan rakan di Persatuan Muay Thai Malaysia memberikan kejayaan kepada saya." Namun apa yang menarik, sukan pertama yang dicintainya bukannya muay thai, tetapi bola sepak.


Menurutnya segala-galanya bermula tanpa diduga dan menganggap ia rezeki baginya untuk bergiat dalam sukan berkenaan.


"Saya sendiri tidak sangka dengan menyertai muay thai boleh membawa saya ke tahap ini," katanya yang meminati pasukan Kelantan dan Chelsea.


Faizal yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi mengakui dia gemar mengisi masa terluang dengan bermain bola sepak dan sepak takraw.


Ditanya apa pesanan terhadap mereka yang ingin menceburi sukan mencabar itu, Faizal menjelaskan betapa pentingnya mempunyai sifat sabar dan sanggup belajar.


"Jangan malu mendapatkan nasihat daripada mereka yang ada nama dan sentiasa merendah diri supaya rezeki datang dengan baik. Anda juga perlu berlatih bersungguh-sungguh menguatkan fizikal, menjadi lebih cergas dan sedia untuk bertarung."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Perjalanan masih jauh

Posted: 25 Jan 2014 09:32 AM PST

Kuala Lumpur: Kejayaan Goh V Shem-Lim Khim Wah (gambar) merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka Malaysia hujung minggu lalu sedikit sebanyak merungkai kekusutan membabitkan aksi beregu negara yang selama ini banyak tertumpu kepada kelemahan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Mereka dilihat sebagai 'jawapan' ketidaktentuan prestasi Kien Keat-Boon Heong, meskipun gandingan V Shem-Khim Wah pernah dipisahkan gara-gara tidak sehaluan di gelanggang.


Namun masih terlalu awal untuk meletakkan segunung harapan buat mereka, apatah lagi ini kejuaraan Siri Super pertama buat gandingan terbabit dan menurut bekas beregu kebangsaan, Jalani Sidek, perjalanan mereka masih jauh, apatah lagi untuk berada setanding beregu utama terbabit.

"Satu permulaan yang baik selepas mereka dipisahkan kita berjaya mendapatkan satu gandingan yang bagus sebaik digandingkan kembali," kata Jalani.


"Apa yang penting mereka mempunyai karakter untuk menjadi juara meskipun buat masa ini aspek serangan dan kecergasan mereka masih belum cukup konsisten." Justeru menurut beliau, tiada salahnya jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merombak mana-mana beregu jika itu dirasakan mampu membawa kebaikan kepada negara.


"Tiada gunanya membuat pelaburan jika tiada hasilnya. Mereka harus berani menyahut cabaran ini." Beliau mengakui krisis pasti wujud dalam setiap beregu malah pernah dialami beliau dan abangnya Razif.

Apatah lagi jika ada yang menganggap dirinya lebih bagus daripada yang lain tetapi pada masa sama ia perlu dibendung supaya tidak menjejaskan persefahaman di gelanggang dan akhirnya menjadi punca kekalahan demi kekalahan.


Dalam soal ini menurutnya, jurulatih memainkan peranan penting untuk menyatukan mereka kerana jurulatih lebih 'nampak' apa yang terbaik untuk gandingan terbabit.

"Jika ada salah seorang menganggap dirinya bagus, tolak ketepi soal ego dan semua itu perlu dikawal agar tidak menjadi semakin teruk." Namun menurutnya dalam kes Kien Keat-Boon Heong, sudah tiba masanya mereka dipisahkan kerana mereka bagaikan hilang nafsu untuk mencapai kemenangan.


"Terlalu banyak alasan yang diberikan mereka. Keinginan mereka sudah tiada. Mereka hanya tidak mahu ranking terjejas tetapi keinginan mereka untuk bergelar juara sudah tiada." Malah Jalani berpendapat, V Shem-Khim Wah serta Hoon Thien How-Tan Wee Kiong perlu diberi tugas lebih mencabar di Sukan Asia kerana kedua-dua beregu ini mempunyai semangat membara untuk mencapai kejayaan.


"Setidak-tidaknya kita kini mempunyai tiga beregu yang boleh diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

MSN sudah ada perancangan

Posted: 25 Jan 2014 09:31 AM PST

Kuala Lumpur: Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Goh V Shem-Lim Khim Wah dengan menjuarai Terbuka Malaysia sedikit sebanyak melegakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mulai sekarang boleh mengharapkan kedua-dua pemain terbabit untuk menghadapi tugasan berikutnya yang tidak kurang mencabar.

Sukan Asia Incheon dan Sukan Komanwel Glasgow yang bakal berlangsung tahun ini dianggap pentas terbaik untuk menilai sejauh mana kemampuan mereka menyumbang pingat untuk negara selepas melakar kejuaraan pertama dalam Siri Super. Sudah tentulah MSN dengan tangan terbuka mahu memastikan yang terbaik untuk mereka, tidak terkecuali beregu lain termasuk gandingan nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.


Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani berkata, pencapaian yang diraih V Shem-Khim Wah memberi lebih peluang kepada negara untuk meraih pingat menerusi acara beregu selain gandingan Kien Keat-Boon Heong.

"Daripada kejayaan itu kita sudah dapat rasakan mereka mampu memberikan sesuatu kepada negara," katanya.


Malah beliau tidak menolak kemungkinan V Shem-Khim Wah bakal berada dalam program Road to Rio untuk Sukan Olimpik 2016 asalkan mereka mengekalkan konsistensi dan berusaha keras sepanjang tempoh itu.


Menurutnya, kedua-dua pemain terbabit pastinya akan dibantu memandangkan kedua-duanya berada di dalam program atlet elit MSN.

"Satu perkembangan positif buat negara untuk persediaan Sukan Komanwel dan Sukan Asia kerana kita menang lima emas di Sukan Komanwel India," katanya.


"Secara tidak langsung mereka berpeluang menyumbang pingat buat negara. Apatah lagi mereka masih muda." Di Sukan Asia Guangzhou empat tahun lalu, Malaysia hanya meraih dua perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dan gandingan Kien Keat-Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment