Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tuah Bahagiamu Deritaku

Posted: 26 Jan 2014 10:47 AM PST

Bukit Jalil: Satu lagi sejarah baru tercipta menerusi penganjuran Anugerah Juara Lagu apabila edisi ke-28 pertandingan yang menghimpun lagu-lagu terbaik tempatan itu menyaksikan lagu Bahagiamu Deritaku diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Dipilih kerana kekuatan melodinya juga secara keseluruhan, Bahagiamu Deritaku adalah hasil ciptaan LY dan Baiduri disampaikan oleh Hafiz Suip. Juara lagu menerima wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Tempat kedua yang menawarkan RM15,000 juga beserta trofi dimenangi lagu Hanya Aku ciptaan Hyper Act dan Frozen.

Manakala tempat ketiga memihak kepada lagu Kalau Aku Kaya hasil ciptaan Audi Mok dan Omar K serta lirik Altimet yang disampaikan oleh Awi Rafael dan Altimet. Mereka membawa pulang RM12,000 juga trofi kemenangan.

Foto

HAFIZ menjulang trofi AJL28.

Foto

JACLYN Victor memenangi kategori Vokal Terbaik.


Selain tiga anugerah utama itu, satu lagi kategori yang sering menjadi perhatian iaitu Vokal Terbaik menyaksikan kejayaan Jaclyn Victor yang mempertaruhkan lagu Ikut Rentakku. Jaclyn membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.


Kesemua hadiah pemenang-pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd Ahmad Izham Omar.

Dihoskan AG HotFM dan Scha AlYahya, AJL28 menampilkan konsep 'Game On' tahun ini dan diserikan persembahan selingan hebat antaranya Mus (May), Shila Amzah, W.A.R.I.S, Datuk M. Daud Kilau, Ziana Zain, Ahli Fiqir dan One Nation Emcees.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Dasar mat rempit tiada otak

Posted: 26 Jan 2014 10:42 AM PST

Shah Alam: Akibat bimbang ditahan pihak berkuasa yang mengadakan operasi, sekumpulan mat rempit yang cuba melarikan diri sebaik menyedari terdapat sekatan jalan oleh anggota polis bersama agensi penguatkuasaan lain bertindak memandu secara berbahaya sebelum merempuh seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam kejadian itu, mangsa Shahrizan Sajari, 35, mengalami kecederaan akibat dilanggar sebuah motosikal dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Ketika ditemui di tempat kejadian, Shahrizan berkata, keadaan ketika itu kelam-kabut menyebabkannya tidak menyedari seorang daripada lima penunggang motosikal yang cuba melarikan diri itu melanggarnya hingga cedera di kaki.

"Akibat panik apabila pihak berkuasa cuba menahan mereka di Jalan Pesiaran Dataran Shah Alam, kumpulan penunggang motosikal itu terus memecut motosikal dalam keadaan tidak tentu arah menyebabkan saya yang berada di tepi jalan turut dilanggar," katanya.

Foto

DUA penunggang motosikal cuba melarikan diri sebaik melihat sekatan jalan raya, tengah malam kelmarin.

Foto

DUA anggota penguat kuasa menahan penunggang motosikal yang merempuh sekatan jalan raya.

Foto

SHAHRIZAN (kiri) cedera di kaki dirempuh penunggang motosikal.


Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik hanya cedera ringan di kaki kanan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Dua pengutip kereta curi kantoi

Posted: 26 Jan 2014 10:39 AM PST

Puchong: Tindakan pantas penduduk menghubungi Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 selepas melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri Taman Kinrara di sini, membawa kepada penahanan mereka, kelmarin.

Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki berusia 20-an itu mendapati mereka terbabit dengan sindiket curi kereta sekitar Lembah Klang dan datang ke kawasan perumahan itu untuk mengambil dua kereta curi yang disimpan sementara di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, dalam kejadian jam 7.15 malam kelmarin, seorang penduduk pangsapuri itu yang terlihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan bertindak menghubungi MERS 999 dan memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat kemudian bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek yang ketika itu mahu mengambil dua kereta Volkswagen dan PERODUA Myvi.

"Hasil siasatan lanjut polis berjaya menemui sebuah lagi kereta PERODUA Kancil di Klang dan semua kenderaan itu dirampas dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati suspek bertindak sebagai pengutip kereta curi yang diletakkan di sesuatu tempat oleh sindiket sebelum diambil semula," katanya.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada masyarakat kerana prihatin dan bertindak pantas menghubungi polis sehingga tertangkap kedua-dua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Merayau di Chow Kit tanpa arah

Posted: 26 Jan 2014 10:38 AM PST

Raub: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan melarikan diri dari rumah dengan ditemani bapa saudaranya berusia 16 tahun kerana takut dimarahi selepas mengetahui gurunya akan memaklumkan kesalahan disiplin yang dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya, didapati bersembunyi di sebuah bilik sewa seorang lelaki yang menumpangkan mereka sepanjang lima hari berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Muhammad Alif Nazmi Zalmi dan Muhammad Aidil Ahmad, yang juga pelajar tingkatan dua dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gali, di sini, ditemui selamat selepas pemuda berusia 28 tahun itu menghantar mereka ke pondok polis di Chow Kit, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Lelaki itu bertindak demikian selepas membaca berita mengenai kehilangan remaja terbabit yang disiarkan Harian Metro, kelmarin.

Difahamkan, sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak melarikan diri dari rumah di Kampung Pintu Padang, di sini, Selasa lalu, dua bersaudara terbabit tidak keluar dari bilik sewa berkenaan dan memaklumkan kepada pemuda yang bekerja sebagai juruteknik itu bahawa mereka datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.

Menceritakan kejadian itu, ibu kepada Muhammad Alif, Nor Hayazi Shahdan, 39, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anggota polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam yang memaklumkan anak kedua dan sepupunya itu berada di pondok polis di Chow Kit.

Katanya, mendengarkan perkara itu, dia dan suaminya, Zalmi Bahudin, 42, bergegas ke Kuala Lumpur untuk mengambil remaja terbabit.

"Setibanya di sana, kami dimaklumkan seorang lelaki menghantar anak dan sepupu saya ke pondok polis Chow Kit apabila mengetahui remaja yang ditumpangkan itu sebenarnya lari dari rumah selepas dia terbaca berita itu di Harian Metro.

"Saya tidak sempat bertemu lelaki itu kerana difahamkan dia terus ke tempat kerja selepas menghantar Muhammad Alif dan Muhammad Aidil ke pondok polis pagi tadi (semalam).

"Saya berterima kasih atas keprihatinan dan budinya yang menumpangkan anak serta sepupu saya di bilik sewanya sepanjang berada di Kuala Lumpur dan jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, Muhammad Alif memberitahu dia melarikan diri kerana takut dimarahi akibat kesalahan yang dilakukannya di sekolah, namun kami sekeluarga ingin melupakan perkara itu.

Nor Hayazi berkata, anaknya itu juga memaklumkan ketika tiba di Kuala Lumpur pada Selasa lalu, mereka merayau-rayau di sekitar Chow Kit sehingga tengah malam tanpa arah tujuan sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang kemudian mempelawa mereka tinggal di bilik sewanya berhampiran Chow Kit.

"Namun, selepas terbaca laporan di Harian Metro kelmarin, baru dia tahu yang anak dan sepupu saya itu sebenarnya lari dari rumah menyebabkan pemuda itu mengambil keputusan menyerahkan mereka kepada polis," katanya.

"Syukur, kini semuanya selamat dan saya berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan panik mengetahui guru akan memaklumkan kesalahan disiplin dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya, seorang remaja berusia 14 tahun nekad melarikan diri dari rumah dengan memberikan alasan pergi bermain bola sepak bersama rakan dalam kejadian di Kampung Padang Pintu, pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

Pemuda tak mengaku aib ibu

Posted: 26 Jan 2014 10:38 AM PST

Kota Bharu: Seorang pemuda berusia 20 tahun yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan hendak mengaibkan kehormatan ibu kandungnya, menukar pengakuan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohammed Nor Alief Abdul Maleq Ab Manan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya dengan menggunakan sebatang kayu penyapu bentuk bulat bersalut plastik warna merah berukuran kira-kira 57 sentimeter panjang, di Taman Intan, Lorong LPP, Lundang, di sini, pada jam 6.30 petang, 21 Disember 2013.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan ke atas ibunya sambil menyebut perkataan dan menunjukkan aksi lucah dengan maksud perkataan itu didengar dan aksi itu dilihat ibunya di tempat sama pada jam 8 malam, 20 Disember 2013.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding semalam, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan iaitu gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta pegawai polis untuk pemeriksaan di alamat sama pada jam 8 malam, 21 Disember 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/27

No comments:

Post a Comment