Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rumah tangga Obama retak

Posted: 19 Jan 2014 09:19 AM PST

Washington: Rumah tangga Presiden AS, Barack Obama didakwa bergolak beberapa kali gara-gara dia disyaki menjalin hubungan dengan wanita lain.

Malah, beberapa pihak percaya Obama akan bercerai dengan isterinya, Michelle.


Sumber berkata, Michelle mengesyaki Obama mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Bekas editor The New York Times, Edward Klein berkata, Obama dan Michelle kini di ambang perceraian. Kenyataan itu dibuat Klein melalui bukunya, The Amateur.


Khabar itu bukanlah berita baru kerana pada 2000 Michelle dilaporkan pernah menulis surat tuntutan cerai selepas Obama gagal memenangi kerusi senat Illinois di Chicago. Kata Klein, ketika itu Michelle muak dengan Obama yang tidak mengendahkan peringatannya agar tak bertanding menentang penyandang Bobby Rush.


"Ketika mereka berada di tahun ke lapan perkahwinan, Obama kelihatan tertekan kerana menghadapi banyak masalah dengan Michelle. "Pada satu ketika rakan terdekat Obama bimbang dia akan membunuh diri kerana berdepan kekalahan memalukan itu, selain berdepan hutang," katanya. Bagaimanapun, kata Klein, Obama akhirnya berjaya melepas kegawatan rumah tangga itu dan hubungannya dengan Michelle kembali kukuh.

Foto

RUMAH tangga Obama - Michelle bergegar beberapa kali sebelum ini.

Kata Klein, hubungan pasangan suami isteri itu juga semakin dekat dengan anak mereka, Malia, 13, dan Sasha, 9. Namun, dugaan sekali lagi datang.


Klein berkata, Obama berdepan kemungkinan bercerai pada 2012 apabila Michelle - yang tidak mempercayai Obama - mencurigai wanita yang ada di sekeliling presiden itu. "Michelle sering menyemak aktiviti harian Obama kerana wanita itu dibayangi skandal presiden terdahulu, seperti John F Kennedy," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Hidup tak keruan lepas iklan cari isteri

Posted: 19 Jan 2014 09:15 AM PST

Berlin: Seorang petani Jerman mengakui hidupnya menjadi tidak keruan sejak menaikkan papan iklan mencari isteri di depan rumahnya di Freiburg.

Menurut Roland Geiger, dia dihujani panggilan daripada wanita yang menawarkan diri menjadi pasangannya. Sebelum itu, Geiger menaikkan papan tanda bertulis: "Petani tanpa haiwan peliharaan sedang mencari isteri" tidak menarik perhatian ramai. Namun, sejak berita "pencarian" Geiger dimuatkan dalam akhbar tempatan, jumlah wanita yang berminat tiba-tiba meningkat.


Disebabkan keadaan itu, Geiger kini dilaporkan hanya berminat memilih wanita muda sebagai bakal isteri. Geiger memiliki 20 hektar tanah, beberapa traktor dan sebuah rumah tetapi masih gagal menemui cinta sejati. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Filem American Hustle ungguli Anugerah SAG

Posted: 19 Jan 2014 09:14 AM PST

Los Angeles: Filem American Hustle memenangi hadiah utama di Anugerah SAG (Screen Actors Guild) semalam dan mengukuhkan lagi peluangnya untuk mendapat pengiktirafan tertinggi Oscar pada 2 Mac ini.

Pelakon Australia, Cate Blanchett memenangi anugerah Aktres Terbaik melalui peranannya dalam filem arahan Woody Allen, Blue Jasmine, manakala Matthew McConaughey mengungguli kategori Aktor Terbaik sebagai aktivis Aids dalam Dallas Buyers Club.


Jared Leto pula memenangi kategori Aktor Pembantu Terbaik melalui Dallas Buyers Club dan Lupita Nyong'o menerima pengiktirafan sebagai Aktres Pembantu Terbaik melalui filem 12 Years a Slave.

Untuk penerbitan televisyen, drama terbaik dimenangi siri Breaking Bad, manakala komedi terbaik diungguli Modern Family.


Anugerah SAG dianggap indikator terbaik untuk sesebuah penerbitan yang dicalonkan dalam Oscar. American Hustle adalah kisah berdasarkan operasi sulit FBI pada 1970-an dan dicalonkan untuk 10 kategori Golden Globe minggu lalu dan memenangi tiga daripadanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

23 kali ditahan dalam masa 10 tahun

Posted: 19 Jan 2014 09:14 AM PST

Tallahassee (Florida): Sejak 10 tahun lalu Sarah Wulchak (gambar) menjadi wanita yang "sangat sibuk" dan keadaan itu dapat disaksikan melalui perubahan fizikalnya dalam 25 gambar polis.

Sarah, 34, disabitkan dengan pelbagai kesalahan daripada mencuri kereta, menceroboh hingga menyebabkan kecederaan dan membawa kepada 23 tangkapan sejak 2003.


Semua kes itu berlaku di daerah Volusia.

Dalam gambar polis pertamanya, dia kelihatan berkaca mata dan sihat, tetapi 10 tahun kemudian imej itu hanya tinggal kenangan. Walaupun kebanyakan kesalahannya kecil, Sarah menjadi perhatian pada Januari 2013 selepas didakwa menggigit hingga putus telinga teman lelakinya di bilik tidur mereka. Keadaan itu memaksa mangsa, Steve Bolin, 53, mendapatkan bantuan polis untuk menyelamatkan diri.


Polis berkata, Bolin sedang memakan sepinggan spageti di rumah mereka di DeLand apabila berlaku pertengkaran. Keadaan kemudian menjadi tidak terkawal memaksa Bolin berlindung di dalam biliknya tetapi Sarah tetap menyerang dan menggigit - hingga putus - telinga mangsa. Sarah ditahan di sebuah hotel tempatan sejurus selepas kejadian. Dia turut ditahan empat kali atas kesalahan membabitkan insiden menggigit telinga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

28 cedera

Posted: 19 Jan 2014 09:13 AM PST

Bangkok: Beberapa kejadian letupan dan tembakan mencederakan hampir 28 orang, termasuk tujuh serius, dalam keganasan terbaru di Bangkok, semalam.

Ketua Pengarah Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok, Suphan Srithamma berkata, dua letupan terjadi di Monumen Kemenangan di tengah kota raya berkenaan.


"Seramai 28 orang cedera dalam dua letupan serta beberapa kejadian tembakan," katanya.

Bagaimanapun, Suphan berkata, butiran lanjut masih belum diperoleh.


Kumpulan antikerajaan masih meneruskan operasi "menutup Bangkok" dalam usaha mereka cuba menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra. Bantahan besar-besaran di beberapa lokasi penting di Bangkok bermula sejak 13 Januari lalu diketuai bekas timbalan perdana menteri Suthep Thaugsuban.


Sementara itu, penunjuk perasaan berkata, kecederaan dialami hasil dua letupan bom yang berselang hanya beberapa minit di dua lokasi berasingan. Saksi Theerayuth Utakaintanond, 52, berkata, penceramah sedang berucap di pentas apabila mereka terdengar satu letupan kuat. "Hampir dua minit kemudian, rasanya, saya dengar satu lagi letupan dan semua orang mula panik," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Tentera berkecuali

Posted: 19 Jan 2014 09:12 AM PST

Bangkok: Pegawai kanan tentera Thailand semalam menggesa kerajaan dan pembangkang menyelesaikan perbezaan masing-masing ketika protes jalanan dilihat mula hilang momentumnya.

Thanasak Patimapakorn berkata, semua pihak perlu saling membantu demi kepentingan negara. "Hubungan kerajaan dan tentera masih dalam keadaan normal kerana kita perlu saling menghormati undang-undang.


"Saya sendiri menghormati peraturan serta semua pihak.

"Justeru, saya rasa semua pihak perlu berbincang bagi mencari penyelesaian," katanya. Sementara itu, akhbar Bangkok Post memetik Thanasak sebagai berkata, dia tidak berniat menjadi perdana menteri serta bertindak sebagai orang tengah dalam konflik terbaru melanda Thailand. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Banjir dijangka tambah buruk

Posted: 19 Jan 2014 09:11 AM PST

Jakarta: Banjir yang melanda Jakarta sejak Rabu lalu dijangka akan lebih buruk apabila hujan lebat diramal berterusan hingga hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Jakarta (BPBD) dan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada penduduk bandar raya dan kawasan pinggirnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk dalam waktu terdekat. Laporan yang dikeluarkan BPBD menunjukkan peningkatan jumlah daerah kecil yang dilanda banjir kesan dari hujan lebat tanpa henti di Jakarta yang turut menyebabkan gangguan pada sistem janakuasa dan kesihatan serta melumpuhkan sistem pengangkutan dan perniagaan.


Hujan tanpa henti selama dua hari sejak Khamis menyebabkan air di beberapa sungai utama melimpah dan mengakibatkan 48 tempat di 27 daerah dinaiki air serta mengorbankan dua lagi nyawa, meningkatkan jumlah korban akibat bencana itu kepada tujuh.

Jurucakap BPBD, Edy Junaedi berkata, sekitar 20,000 orang menjadi mangsa banjir di 48 tempat yang dinaiki air sehingga paras enam meter setelah pintu empangan di Katulampa dan Manggarai dibuka kerana paras air empangan berkenaan mencecah tahap bahaya.


Kebanyakan tempat di Jakarta ditenggelami air manakala di Kepulauan Utara Sulawesi, angka korban akibat banjir dan tanah runtuh meningkat kepada 19 orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

China bina kapal angkut pesawat kedua

Posted: 19 Jan 2014 09:11 AM PST

Beijing: China dilaporkan dalam usaha membina kapal pengangkut pesawat tentera keduanya yang dijangka siap dalam tempoh enam tahun.

Media negara itu melaporkan, selepas dua dekad memperlihatkan peningkatan mendadak dalam bajet ketenteraan, pihak berkuasa tentera negara itu merancang untuk membangunkan tentera laut China yang diharap mampu mempertahankan pembangunan ekonomi dan wilayah yang dipertikaikan di timur dan selatan perairannya.


Kapal pengangkut pesawat pertama China, Lioning- pesawat era Soviet yang dibeli daripada Ukraine pada tahun 1998 dan diubah suai, menjadi simbol pembangunan tentera laut negara itu. Media dan pakar ketenteraan percaya, kejayaan mengendalikan Liaoning adalah langkah pertama dalam mendorong pembinaan kapal pengangkut pesawat sendiri menjelang 2020.

Dalam komennya yang ditulis dalam laman web berita China, Presiden Parti Komunis, Wang Min berkata pesawat kedua berkenaan sedang dibina di pelabuhan bandar Dalian.


Menurutnya, pembinaannya mengambil masa kira-kira 6 tahun dan pada masa akan datang China akan mempunyai sekurang-kurangnya empat buah kapal pengangkut pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Tandas diubah suai jadi rumah pelacuran

Posted: 19 Jan 2014 09:10 AM PST

Hong Kong: Penemuan pusat pelacuran rahsia yang diubah suai dari tandas dan sebuah kedai membawa kepada penahanan 86 orang oleh Polis Hong Kong.

Pusat pelacuran berukuran 15 kaki persegi itu temui di tingkat dua sebuah pasar raya di Jalan Wang Fat.


Turut ditemui sebuah lagi pusat pelacuran yang diubah suai daripada dua unit kedai di tingkat tujuh bangunan yang sama.

Jurucakap polis, Kwok-hoi berkata, pusat pelacuran itu telah beroperasi sejak 10 bulan lalu dan dikawal kumpulan kongsi gelap yang mengambil wanita dari tanah besar China untuk dijadikan pelacur.


"Ini kali pertama pihak polis menemui tandas awam yang diubah suai menjadi pusat pelacuran. Kumpulan kongsi gelap ini mengambil kesempatan menggunakan kemudahan sedia ada untuk kegiatan pelacuran mereka" kata Kwok-hoi.


Siasatan menerusi pengawasan kamera litar tertutup mendapati hampir 100 orang pelanggan mengunjungi pusat pelacuran berkenaan setiap hari dan membayar HK$250 (RM106) untuk perkhidmatan seks.

Polis menganggarkan kumpulan kongsi gelap terbabit mengutip RM127,528 sebulan hasil dari kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

Jumlah kematian taufan Lingling meningkat 40 orang

Posted: 19 Jan 2014 09:10 AM PST

Mindanao: Angka korban akibat ribut pertama yang melanda Filipina tahun ini meningkat kepada 40, semalam.

Sementara itu, agensi ramalan kaji cuaca mengeluarkan amaran, lebih banyak hujan lebat akan melanda wilayah ini. Taufan Lingling yang melanda Mindanao memberi kesan kepada 580,000 penduduk, mengakibatkan 161,000 orang kehilangan tempat tinggal dan dipindahkan ke pusat perlindungan sementara. Biro Kaji Cuaca Filipina menjangka hujan lebat akan melanda lebih banyak kawasan di Mindanao.


Amaran ribut taufan berkelajuan 60 kilometer sejam dikeluarkan di lapan wilayah kepulauan berkenaan.

"Ribut tropika Agaton di jangka membawa hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan seperti Bohol, Siquijor, Utara Mindanao dan seluruh daerah Caraga," lapor biro kaji cuaca.


Pengarah Jabatan Pertahanan Awam serantau Liza Mazo berkata, tanah runtuh yang menghalang laluan lebuh raya di Agusan melambatkan penghantaran bantuan kecemasan. Filipina dilanda ribut lebih kurang 20 kali setiap tahun dan banyak kawasan di Pantai timur Mindanao masih belum pulih dari kesan Taufan Bopha yang mengakibatkan 1,900 orang mati atau hilang pada Disember 2012. Ribut kali ini juga dijangka membawa hujan lebat dan ribut petir ke Manila, tempat jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Haiyan yang turut mengakibatkan banyak kemusnahan pada November lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/20

No comments:

Post a Comment