Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ketua sami merajuk

Posted: 15 Jan 2014 09:21 AM PST

Bangkok: Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam mencetuskan kemarahan sami Buddha selepas dia memungkiri janji untuk melawat semua pusat protes di Bangkok.

Di sebalik janji itu Suthep membatalkan lawatan ke dua lokasi atas alasan ia terletak terlalu jauh dari pusat bandar raya.

Keputusannya mengecewakan ketua sami Wat Or Noi, Luang Pu, dari wilayah Nakhon Pathom yang mengendalikan dua stesen protes itu di Chaeng Wattana.

Disebabkan berang dengan sikap Suthep, Luang Pu mengancam untuk mengakhiri protes berkenaan.

Foto

SUTHEP (tengah) mengadakan perbincangan dengan Luang Pu (kiri) bagi meredakan kemarahan pemimpin sami itu.


"Sudahlah saya terpaksa mengendalikan segala-galanya di lokasi ini, memang melampau jika Suthep tidak datang," katanya.


Luang Pu berkata, Suthep menyisihkan lokasi itu kerana tidak menganggapnya penting.

Ini berikutan Suthep sudah melawat semua pentas demonstrasi utama sejak melancarkan kempen untuk 'tutup' Bangkok Isnin lalu dalam usahanya menggulingkan perdana menteri sementara Yingluck Shinawatra.

Sehubungan itu, Suthep memendekkan tempoh lawatannya di pusat protes di Lat Phrao untuk menemui Luang Pu bagi mengambil hati sami itu semula.

Jurucakapnya berkata, Suthep memohon maaf atas kesilapannya.

Luang Pu berkata, Suthep sudah berjanji untuk melawat mereka seperti sepatutnya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

'Usirlah kami dengan undi'

Posted: 15 Jan 2014 09:17 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam menggesa penunjuk perasaan antikerajaan "melepaskan kemarahan" mereka terhadapnya melalui proses pilihan raya yang dianggap cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negara itu.

Sebelum itu Yingluck mengadakan pertemuan dengan agensi pengendali pilihan raya Thailand untuk membincangkan cadangan supaya pengundian ditangguhkan.

Pertemuan itu tidak dihadiri pembangkang.

Walaupun tidak menafikan kemungkinan pilihan raya ditangguhkan, Yingluck menegaskan peruntukan perlembagaan tidak membenarkan perubahan tarikh ditetapkan, iaitu 2 Februari.

Foto

SEORANG wanita memakai kemeja-T bertulis 'Shutdown Bangkok' (Tutup Bangkok) dalam sebuah kereta api di Bangkok, semalam.


"Jika rakyat bencikan kerajaan ini usirlah kami dengan undi anda," katanya.


Pembangkang pula mahu pilihan raya tidak diadakan sehingga tuntutan mereka supaya reformasi menyeluruh diadakan.

Pembangkang menganggap pilihan raya akan datang membuka jalan untuk keluarga Yingluck, terutama abangnya Thaksin kembali berkuasa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

4 ditahan ganggu pembangkang

Posted: 15 Jan 2014 09:15 AM PST

Bangkok: Polis Bangna menahan seorang wanita dan tiga lelaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa serangan terhadap tunjuk perasaan diadakan golongan antikerajaan, termasuk kejadian letupan bom di rumah pemimpin Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva, kelmarin.

Pegawai kanan penunjuk perasaan Thaworn Senneam berkata, suspek kini ditahan di Balai Polis Bangna.

"Mereka dipercayai menyeludup serta membekalkan senjata termasuk bom bertujuan menimbulkan kekacauan ketika perarakan di Bangkok," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serangan bom di rumah Abhisit, bekas perdana menteri dan keluarganya terselamat kerana mereka tiada di rumah ketika itu.


Bagaimanapun insiden berkenaan mengakibatkan kerosakan pada bumbung dan dinding rumah itu.


Sementara itu, pihak polis sudah mengenal pasti mercun besar yang digunakan dalam serangan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Penyelamat disyaki rogol, bunuh wanita

Posted: 15 Jan 2014 09:15 AM PST

Bangkok: Seorang pekerja penyelamat ditahan polis selepas seorang wanita yang sepatutnya dikejarkan ke hospital ditemui mati dalam sebuah parit di Samut Prakan.

Thawatchai Sae Sim, 32, ditahan berikutan penemuan mayat seorang pekerja firma pembangunan hartanah, Chananchita Suasew, 29.

Menurut polis, Thawatchai mengaku cuba merogol dan merompak mangsa namun menafikan membunuhnya.

Thawatchai pula berkata, keadaan menjadi tidak terkawal apabila wanita terbabit tersedar ketika dia cuba merogolnya.


Suspek berkata, keadaan berkenaan menyebabkan dia berasa panik dan melarikan diri.

Thawatchai berdepan dakwaan cuba merogol dan merompak mangsa.

Namun polis kini menunggu hasil laporan forensik sebelum memutuskan sama ada perlu mengemukakan tuduhan tambahan terhadap suspek itu.

Hasil ujian turut mendapati dia positif dadah.

Kejadian berlaku Isnin lalu ketika mangsa pengsan ketika berada di sebuah pusat beli-belah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Disaman ambil gambar bogel

Posted: 15 Jan 2014 09:14 AM PST

New York: Gara-gara merakam gambar separuh bogel di Bangunan Empire State seorang jurugambar berdepan saman AS$1.1 juta (RM3.6 juta) daripada pemilik bangunan kemegahan AS itu.

Semalam media melaporkan jurugambar fesyen Allen Henson menjadikan bangunan 381 meter itu untuk sesi fotografi membabitkan model Shelby Carter.

Sesi itu dilakukan di dek pemerhatian bangunan itu.

Menurut Henson gambar itu bukan untuk tujuan komersial, sebaliknya hanya sebagai koleksi peribadi.


"Malah saya hanya menggunakan kamera pada telefon bimbit.


"Kami tidak menyakiti sesiapa malah memastikan tiada kanak-kanak ketika mengambil gambar," katanya.

Bagaimanapun, ESRT Observatory dan ESRT Empire State Building memfailkan saman di mahkamah kerana mendakwa tindakan Henson itu berbahaya, selain tiada mendapatkan permit bagi membuat rakaman.

Mereka menegaskan perbuatan Henson kerana tempat itu banyak dikunjungi pelawat berkeluarga.

Berdasarkan dokumen mahkamah, plaintif mendakwa Henson menggugat keupayaan mereka memastikan tempat pelancongan itu selamat dan sesuai bagi pelancong serta golongan berkeluarga.

Henson - seorang veteran perang Iraq - mengambil gambar rakannya itu di tingkat 86 menara berkenaan pada 9 Ogos tahun lalu.

Tarikh berkenaan juga adalah waktu puncak bagi lawatan pelancong.

Melalui gambar itu jelas dilihat beberapa pelancong lain ada di situ untuk menikmati pemandangan dari bangunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Percintaan Hollande jadi bahan jenaka

Posted: 15 Jan 2014 09:12 AM PST

Paris: Tidak cukup dengan pendedahan mengaibkan, skandal curang Presiden Perancis Francois Hollande kini dieksploitasi pihak tertentu yang mencipta permainan video parodi berdasarkan kisah cintanya.

Sejak diperkenalkan beberapa hari lalu permainan video berkenaan dilaporkan semakin popular.

Melalui permainan video itu peserta perlu mengawal perjalanan "Hollande" yang menaiki skuter dari Istana Elysee untuk melawat buah hatinya, Julie Gayet, di sebuah rumah tempat mereka bermadu kasih.

Namun "Hollande" perlu melalui pelbagai halangan termasuk paparazzi, wartawan, bekas kekasihnya Segolene Royal dan Wanita Pertama Perancis - setakat ini - Valerie Trierweiler.

Pemain perlu mengawal menggunakan tetikus untuk mencari jalan paling mudah tanpa bertembung dengan sesiapa dan mendapat markah bagi setiap halangan dilepasi.

Walaupun menggunakan seni grafik asas dan melalui halangan sama berulang kali, permainan itu kini amat popular malah dikongsikan 73,000 kali sejak beberapa hari lalu.

Hollande melawat Julie di sebuah apartmen sejak awal tahun lalu dengan menggunakan skuter dan memakai topi keledar untuk menutup identitinya.

Seorang pengawal peribadi yang bertugas di unit elit polis Perancis turut ditugaskan membawa sarapan untuk pasangan itu selepas mereka bersama semalaman.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Wanita tuntut sperma kekasih nazak

Posted: 15 Jan 2014 09:11 AM PST

London: Seorang wanita menuntut hak menyimpan sperma kekasihnya yang nazak untuk membolehkannya hamil serta melahirkan waris anak lelaki terbabit.

Kes yang difailkan di mahkamah tinggi itu - dilihat mempunyai kesan perundangan penting - membabitkan seorang lelaki kaya yang kini hidup bergantung kepada mesin perubatan selepas mengalami serangan jantung beberapa kali.

Lelaki terbabit kini dianggap boleh meninggal dunia bila-bila saja.

Wanita yang dirujuk sebagai 'AB' dalam dokumen mahkamah berkata, pasangannya - dikenali sebagai P - pasti memberi persetujuan bertulis sebelum jatuh sakit jika dia tahu nasibnya kini.

Menurut peguamnya, AB boleh dianggap "isteri" kepada P kerana mereka tinggal bersama sejak beberapa tahun lalu dan pernah membincangkan untuk berkahwin serta beberapa kali.

"Tahun lalu, P melamar AB dengan memberinya cincin sebagai tanda pertunangan dan lamaran itu diterima wanita berkenaan.

"Malangnya, P terkena serangan jantung dan menerima rawatan intensif awal bulan lalu," katanya.

Sepanjang tempoh itu sehingga malam sebelum Krismas dia mengalami empat serangan jantung manakala hospital meletakkan P dalam kategori "Tidak Boleh Dipulihkan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Pelancong sesat dirogol di India

Posted: 15 Jan 2014 09:11 AM PST

New Delhi: Seorang pelancong Denmark yang tersesat menjadi mangsa terbaru serangan seksual berkumpulan di India, kata pihak berkuasa semalam.

Mangsa - berusia 51 tahun - dilaporkan sedang mencari jalan kembali ke bilik hotelnya di Paharganj apabila dia gagal dikesan pada Isnin lalu.

Wanita terbabit melancong bersendirian dan tiba di New Delhi pada Isnin lalu.

Sehari kemudian dia pergi melawat sebuah muzium apabila dia tersesat ketika pulang.

Jurucakap polis berkata, mangsa cuba bertanya arah kepada beberapa lelaki tempatan tetapi diperdaya dan dirogol beramai-ramai oleh enam lelaki.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku di tempat yang sangat hampir dengan pusat bandar New Delhi dan sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan wanita di negara yang mempunyai penduduk kedua teramai dunia itu.

Sementara itu Pesuruhjaya Khas Polis, Deepak Mishra berkata, sejumlah suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Mishra tidak mendedahkan jumlah tangkapan tetapi media menjangkakan 15 orang sudah disoal siasat.


Katanya, mangsa turut dirompak.


Sementara itu pekerja hotel tempat mangsa menginap berkata, wanita terbabit kelihatan tenang ketika pulang ke hotel kira-kira jam 8.30 malam tetapi memberitahu tentang kejadian berkenaan kepada pelancong lain.

"Dia datang menemui saya di kaunter hotel dan meminta 200 rupee (RM10) untuk membayar tambang teksi kerana dia telah dirompak," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Warga Filipina juara X Factor Israel

Posted: 15 Jan 2014 09:10 AM PST

Manila: Penduduk Filipina semalam meraikan kemenangan seorang warga negara itu dalam pertandingan nyanyian televisyen, X Factor edisi Israel.

Rose Fostanes yang juga jururawat peribadi di Israel memenangi pertandingan itu dengan mendendangkan lagu Frank Sinatra, My Way.

Sejak kemenangannya diumumkan stesen televisyen, portal berita dan media sosial tempatan dipenuhi dengan pujian serta kekaguman terhadap Rose.

Rose, 47, masih bujang dan bekerja di luar negara sejak lebih dua dekad lalu untuk menyara keluarganya.

Jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda berkata, kerajaan berbangga dengan pencapaian Rose mengharumkan nama negara melalui bakatnya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Harga senjata api meningkat

Posted: 15 Jan 2014 09:09 AM PST

Amman: Harga senjata api di Jordan naik mencanak sehingga 10 kali ganda sejak Syria dilanda krisis perang pada 2011.

Namun ketika harga senjata terus meningkat tinggi, kadar jualan produk berkenaan pula tetap tidak terjejas, sebaliknya semakin ramai orang awam membelinya sebagai langkah keselamatan.

Data kerajaan menunjukkan jumlah lesen dikeluarkan untuk pemilikan senjata api kekal 120,000 unit tetapi dipercayai kadar sebenar jauh lebih tinggi - sehingga lebih sejuta - di negara didiami tujuh juta penduduk berkenaan.

Kajian Persatuan Politik Dan Sains Jordan menunjukkan, kira-kira 25 peratus penduduk negara itu memiliki senjata api, sama ada secara sah atau tanpa kebenaran.


Sementara itu, seorang Profesor Sains Sosial di Universiti Jordan, Seri Nasser berkata konflik di Syria menyebabkan orang ramai berasa tidak selamat.

"Mereka tertanya-tanya apa yang bakal berlaku pada masa depan.

"Justeru mereka membeli senjata api untuk perlindungan kerana masyarakat tempatan berpendapat pasukan keselamatan tidak boleh diharapkan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Di samping itu, krisis perang di Syria setakat ini sudah menyebabkan Jordan terpaksa menerima lebih 500,000 pelarian dengan kebanyakannya berlindung di utara negara.

Keadaan itu juga menyebabkan penduduk Jordan berasa mereka kini adalah penduduk minoriti di negara sendiri.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

No comments:

Post a Comment