Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


TRW laung amaran

Posted: 12 Jan 2014 01:00 PM PST

Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Steve Darby mengakui sudah menemui kombinasi pemain terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan kelab dari Thailand, Phattalung FC 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Darby tidak menafikan kehebatan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang berjaya meledak hatrik malah mempamerkan gandingan mantap dengan penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut menyumbang satu jaringan.

Beliau berkata, kombinasi pemain terbaik yang dimaksudkan tidak diukur melalui keputusan perlawanan sebaliknya melihat keserasian yang dipamerkan pemain malah menyifatkan anak didiknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan sebenar musim ini.

Katanya, gandingan mantap yang dipamerkan Ghaddar dan Ahmad Fakri meyakinkan jurulatih berusia 58 tahun dari England itu untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai pencabar kuat musim ini.

Foto

MOHAMED Shawky (kiri) diasak pertahanan Patthalung FC di Kota Bharu, kelmarin.


"Pemain begitu cemerlang malam ini (kelmarin) malah Ghaddar dan Ahmad Fakri begitu serasi berada di barisan hadapan apabila masing-masing mampu menjaringkan gol.


"Mereka juga menunjukkan kesungguhan dan mengawal posisi masing-masing dengan baik sekali gus memberi keyakinan kepada saya membina satu kombinasi pemain terbaik," katanya.

Bagaimanapun pada perlawanan itu, seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Perlis 6 Januari lalu.

Darby berkata, selain berharap Forkey Doe cepat pulih, beliau juga memuji pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri yang beraksi cemerlang di posisinya meskipun baru bersama pasukan selepas bercuti panjang kerana isterinya sakit.

"Forkey Doe mengalami sedikit kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya. Nwaneri pula membuktikan prestasinya tidak terjejas meskipun bercuti panjang sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Bukan lagi tiket automatik

Posted: 12 Jan 2014 12:58 PM PST

Kuala Terengganu: Jika musim lalu jentera serangan sering menjadi milik Abdul Manaf Mamat, musim ini posisi itu tidak lagi menjadi milik automatik pemain berusia 27 tahun itu terutama dengan kehadiran empat muka baru termasuk pemain import.

Pemain kelahiran Kampung Nibong Kuala Terengganu itu mengakui tiada jalan mudah baginya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini kerana perlu berada dalam kelas tersendiri untuk disenaraikan sebagai pemain utama.

"Saya akui saingan untuk berada dalam skuad semakin sengit dengan kehadiran dua penyerang import, Mamadou Hady Bari dari Papua New Guinea dan pemain Brazil Marcio Souza selain bekas pemain Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan Nor Farhan Muhammad.

"Bagaimanapun, saya melihat perkembangan itu secara positif demi kejayaan pasukan dan saya berazam untuk melipat gandakan usaha bagi memastikan kehadiran saya dalam skuad Penyu musim ini bukan sebagai pelengkap sebaliknya memberi impak berguna kepada pasukan," katanya yang mengidam kasut emas musim ini selepas pernah menjadi penjaring terbanyak Sukan Malaysia (SUKMA) 2006.

Musim lalu, bekas pemain kebangsaan itu sering digandingkan dengan pemain import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona dan pemenang kasut emas 2010 Mohd Ashari Shamsuddin di bahagian serangan.

Namun, musim ini, jurulatih baru Terengganu Abdul Rahman Ibrahim mempunyai banyak pilihan dan sudah pasti pemain yang menunjukkan prestasi terbaik selain mempunyai kebolehan tinggi menjaring gol, pasti menjadi perhatian jurulatih berasal dari Terengganu itu.

Abdul Manaf yang diintai tiga pasukan musim ini mula menyarung jersi Terengganu bermula 2007 dan dua tahun kemudian pemain berbakat ini mula mendapat tempat dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan dan berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA Laos pada tahun sama.

Pada 2011 jaringan ketika menang ke atas Selangor 2-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia terus diingati peminat setia skuad itu yang mengharapkan pemain lincah itu terus menyinar musim ini biar pun diwarnai penyerang import.


"Dalam karier saya sebagai penyerang, jaringan menggunakan tumit ketika bertemu Selangor adalah paling manis pernah dilakukan sehingga peminat menggelar jaringan `ekor penyu," katanya.

Dalam pada itu, Terengganu akan mengadakan majlis memperkenalkan pemain serta jersi baru skuad itu esok di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Pada majlis itu juga, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan turut memperkenalkan penaja selain perlawanan persahabatan dengan T-Team yang bakal dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Kesebelasan utama JDT dikenal pasti

Posted: 12 Jan 2014 12:58 PM PST

Johor Bahru: Selepas mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Cesar Ferrando Jiminez mengesahkan sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang akan membawa cabaran saingan Liga Super musim ini.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, barisan kesebelasan utama mantap akan membawa cabaran pada aksi pertama berdepan Perak di Stadium Larkin, Sabtu ini dan pastinya taruhan terletak kepada sentuhan `magis' bintang Argentina, Pablo Aimar untuk mengemudi jentera tengah skuad Harimau Selatan.

Pada aksi terakhir persahabatan menentang juara Piala Singapura, Home United, kelmarin, yang berkesudahan seri 2-2, anak didik Jiminez memperagakan corak permainan bertenaga biarpun kesebelasan pemain yang diturunkan di anggap barisan kedua pasukan itu.

"Saya tidak menurunkan pemain utama pada babak pertama kerana mahu menilai tahap sebenar pemain yang jarang diturunkan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan mereka begitu konsisten walaupun adakalanya masih belum mantap sepenuhnya.


"Saya sudah ada senarai pemain utama yang akan memulakan saingan Liga Super dan misi utama Johor DT mahukan kemenangan pertama apabila beraksi di tempat sendiri. Saya tahu semua pemain sudah beri komitmen tinggi dan ia cukup membanggakan.


"Walaupun ada kelemahan namun bagi saya ia tidak ketara kerana semuanya mampu diatasi pada sesi latihan yang menerapkan corak permainan berpasukan malah pemain sendiri tahu tugas yang harus mereka laksanakan," katanya.

Beliau menambah 29 pemain yang tersenarai mengharungi kempen Liga M adalah yang terbaik dan setiap pemain harus berada pada tahap memuaskan untuk bersedia diturunkan pada bila-bila masa.

"Setiap pemain ada tanggungjawab yang dipikul, mereka perlu sentiasa bersedia kerana saya akan menurunkan siapa saja dalam pasukan itu mengikut kesesuaian corak permainan. Apa pun ada beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan dan saya sedang pantau tahap kecergasan mereka," kata Jiminez.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Seladang kini The Bos Gaurus

Posted: 12 Jan 2014 12:58 PM PST

Ipoh: Penjenamaan semula pasukan Liga Super Perak diharap menyemarak semangat kebangkitan pasukan negeri itu dalam kancah Liga M 2014 bermula Sabtu ini.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selepas majlis pelancaran pasukan Perak 2014 di Stadium Perak, semalam.

Perak yang selama ini dikenali sebagai pasukan Seladang kini mahu dikenali sebagai The Bos Gaurus iaitu nama saintifik bagi haiwan yang menjadi maskot sukan negeri Perak.

"Penjenamaan semula ini bertujuan memberi suasana baru dalam usaha membawa perkembangan kepada bola sepak Perak.

"Perak dalam proses pembentukan semula pasukan dengan menampilkan pemain anak negeri dalam menghadapi cabaran musim baru.

"Sebenarnya kita hanya memperkukuhkan nama pasukan Seladang dan mengekalkan identiti maskot Perak itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata nama The Bos Gaurus itu adalah pilihan Menteri Besar Perak sendiri yang menaruh minat mendalam terhadap perkembangan pasukan Perak.

"PAFA bernasib baik kerana mendapat sokongan padu pemimpin utama negeri yang sentiasa member sokongan padu kepada persatuan ini.

"Malah nama Bos Gaurus ini adalah atas kehendak beliau yang melakukan pencarian melalui Internet semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru lalu untuk mendapatkan nama sesuai bagi pasukan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Tok Gajah tekad aksi lebih cemerlang

Posted: 12 Jan 2014 12:58 PM PST

Kuantan: Membariskan keseluruhan pemain musim lalu menjadi kelebihan utama skuad Tok Gajah untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan musim ini di bawah bimbingan jurulatih Ronald Smith.

Pelengkap kepada kebangkitan Pahang selaku juara bertahan Piala Malaysia ialah apabila menyenaraikan dua tonggak import baru iaitu Zeshan Rehman dan Dickson Nwakaeme yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Smith berkata, tidak dinafikan barisan yang sama musim lalu menjadi senjata utama pasukan untuk mempertahankan Piala Malaysia seterusnya mengintai peluang merangkul Piala Liga Super dan Piala FA.

"Keserasian pemain yang dibentuk jurulatih (Dollah Salleh) musim lalu dilihat masih lagi berkesan dan diharap dapat terus kekal membentuk pasukan yang mantap seterusnya mampu melakar kejayaan.

"Saya yakin dengan prestasi beberapa pemain seperti Azamuddin Akil, Matias Ruben Conti, R.Gopinanthan, Dickson Nwakaeme dan R.Surendren, kemampuan mereka akan menjadi senjata skuad Tok Gajah menjinakan lawan," katanya yang mendapat bantuan Zainal Abidin Hassan.

Bagaimanapun sebagai jurulatih katanya, dia tidak menafikan masih terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu segera diperbaiki terutama persefahaman masih longgar.

Menurutnya, baki masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk dia mencari formula terbaik dalam usaha membentuk persefahaman terbaik terutama di beberapa posisi penting.

Beliau berkata, prestasi kurang membanggakan pada tiga siri perlawanan persahabatan di Hong Kong minggu lalu mendedahkan kepincangan kelemahan persefahaman di kalangan pemain Pahang musim ini.

"Saya yakin tempoh masa yang ada ini memberi peluang kepadanya membaiki kelemahan itu, kesungguhan pemain membentuk persefahaman dapat dilihat sepanjang latihan diadakan.

"Jentera tengah yang menjadi pencetus kepada kejayaan menghasilkan gol dilihat masih longgar berbanding benting pertahanan dan serangan semakin serasi dan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Skuad T-Team kena serbu

Posted: 12 Jan 2014 12:58 PM PST

Kuala Terengganu: Hujan lebat tidak menghalang ratusan penyokong setia T-Team bersama pemain pada majlis ramah mesra skuad T-Team dan peminat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Peminat yang hadir bukan saja dari daerah Kuala Terengganu tetapi dari Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.

Mereka bukan saja dapat bermesra dengan pemain malah membawa pulang pelbagai hadiah seperti payung, kopi super jantan, bola dan kalendar.

Majlis ramah mesra Titans itu turut mendapat kerjasama daripada Hot FM Terengganu, CVE Sport, Syarikat GLE Centre Enterprise (kopi super jantan) dan Permai Hotel.

Turut hadir memeriahkan majlis itu adalah pasukan sorak Titans Cheerleaders yang membantu menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan laman rasmi T-Team melalui Facebook.

Biar pun dikecam dan dikritik hebat dalam laman sosial, ia tidak mematahkan semangat pasukan sorak yang disertai 15 gadis bagi meneruskan matlamat utamanya untuk memberi sokongan padu kepada skuad T-Team musim ini.

Malah, rata-rata penyokong yang hadir turut menyokong sepenuhnya penubuhan pasukan sorak Titans Cheerleaders itu dan yakin ia mampu menaikkan semangat pasukan kendalian Azraai Khor Abdullah ketika beraksi.

Sementara itu, Azraai berkata, persiapan pasukan sedikit terganggu apabila beberapa pemain termasuk dua awang import T-Team, Evaldo Goncalves dan Nelson Sam Martin mengalami kecederaan menjelang perlawanan pembukaan Liga Super menentang Selangor pada 18 Januari ini.

Bagaimanapun, pengendali berusia 62 tahun itu masih menyimpan harapan agar kedua-dua pemain impot yang beraksi di posisi tengah dan penyerang itu dapat diturunkan nanti.

"Saya harap dapat menggunakan khidmat Goncalves dan Martin nanti kerana saya dimaklumkan tahap kecederaan mereka tidak begitu serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Forum PKBM bak 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu'

Posted: 12 Jan 2014 11:03 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas pelumba kebanggaan negara, Nor Effandy Rosli menyifatkan forum yang akan dianjurkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 25 Januari ini sebagai 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dan tiada manfaatnya.

Ia kerana tiada guna untuk bekas-bekas pelumba meluahkan pendapat sekiranya tampuk pimpinan masih sama dan idea yang dilontarkan mungkin hanya sia-sia ataupun pandangan itu mungkin hanya akan dipertimbangkan ataupun diperbaiki.

Cukup berpengalaman dan mengetahui selok belok arena basikal negara, Effandy nyata kecewa dengan apa yang berlaku dalam PKBM malah persatuan itu masih lagi berada di takuk lama apabila tidak mengambil sebarang tindakan atau memperbaiki kelemahan yang sudah terang berlaku di depan mata.

Memberi contoh kenyataan yang pernah dikeluarkan Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab berkata, beliau selepas ini memberi kuasa penuh kepada jurulatih, Aminuddin Sulaiman untuk memilih pelumba sudah menunjukkan bahawa ada percanggahan di situ.

"Jika itulah yang dikatakan, sudah pastinya sebelum ini jurulatih tidak mempunyai kuasa.

Mereka tidak diberi kuasa sepenuhnya melihat pelumba sebelum ini.


Mungkin jurulatih nak jaga periuk nasi sendiri dan ikut telunjuk di situlah bermulanya masalah.


"Berbeza dengan zaman saya ketika berlatih bersama (Datuk) Ng Joo Ngan.

Jika dia kata A yang akan naik maka A lah yang akan mewakili negara.

Tapi senario itu kini sudah berbeza," katanya yang mengulas mengenai pengguguran Mohd Zamri Salleh ketika di Sukan SEA Myanmar Disember lalu.

Tegasnya, jangan ada yang membandingkan kejayaan Azizulhasni Awang dan Josiah Ng kerana pelumba trek berada dalam kelas berbeza dan alihkan pandangan anda kepada nasib yang menimpa pelumba lebuh raya.

Effandy yang pernah membantu skuad lebuh raya negara muncul juara Asia keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 1999 berkata, pelumba lebuh raya pada era ini tidak ke mana-mana malah mereka dilihat terus dihantui kegagalan biarpun peruntukan yang diberikan kerajaan cukup besar, RM1.5 juta setahun.

"Pelumba raya ini tidak mempunyai apa-apa.

Sepatutnya dengan jumlah peruntukan jutaan ringgit itu mereka seharusnya sudah berjaya tapi Sukan SEA pun kalah.

Lebih memalukan tewas kepada pelumba Laos.

"Kita patutnya lebih maju dengan bajet jutaan ringgit itu tapi sekarang ini tiada apa yang boleh dibanggakan.

Rekod saya menang di ACC (Kejohanan Berbasikal Asia) pada 1993 hingga kini masih belum dipecahkan.

Pingat perak di Sukan Komanwel juga masih belum apa pelumba yang berjaya mengulanginya.

"Ke mana RM1.5 juta itu.

Saya lihat elaun pelumba juga hanya RM500 sebulan.

Mana mungkin di zaman sekarang ini mereka boleh hidup dengan jumlah itu.

Zaman semakin moden.

Bandingkan dengan gaji pemain bola yang dapat ribuan ringgit sebulan dan mungkin sebab itulah pelumba kita gagal.

"Melatih pelumba untuk menjadi kuat memang mudah tapi untuk menjadi juara susah," katanya.

Permasalahan yang berlaku dalam PKBM bermula dengan kegagalan skuad lebuh raya negara di Myanmar mengundang PKBM untuk menganjurkan forum secara terbuka dengan menjemput bekas atlet, pelumba dan jurulatih bagi membincangkan permasalahan dalam usaha memperbaiki prestasi atlet dalam acara itu di masa depan yang akan berlangsung di Majlis Olimpik Malaysia 25 Januari ini jam 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Chen Long sekat Chong Wei

Posted: 12 Jan 2014 11:02 AM PST

Kuala Lumpur: Pemain China, Chen Long memusnahkan impian Datuk Lee Chong Wei untuk memulakan langkah kanan pada permulaan tahun 2014 apabila mudah menewaskan pemain nombor satu dunia itu dengan keputusan straight set 14-21, 15-21 pada aksi final Siri Super Terbuka Korea di Seoul, semalam.

Kekalahan itu mencatat satu lagi detik hitam untuk Chong Wei kerana ia adalah kali keempat berturut-turut dia tunduk di tangan Chen Long yang kini dilihat menjadi pencabar utamanya.

Namun yang lebih mengecewakan ialah, Chen Long meleburkan hasrat Chong Wei untuk muncul juara buat kali keempat di Terbuka Korea selepas memenanginya pada edisi 2010, 2012 dan tahun lalu.

Chong Wei mengakui banyak melakukan kesilapan, terutama pada awal set pertama yang terus mematikan langkahnya untuk bangkit semula.

"Mungkin kerana tidak sabar dan mahu melakukan serangan dengan pantas saya banyak buat kesilapan mudah pada set pertama.

"Tapi selepas ketinggalan 1-11, saya terus menukar strategi dan ia sedikit sebanyak mengubah rentak permainan.

"Di set kedua, ketika saya bermula dengan baik dan dapat mengatasi Chen Long, dia mula tukar strategi semula dan ia berhasil.

Secara keseluruhan Chen Long memang bermain dengan bagus," katanya.

Jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek turut mengakui Chen Long mempamer aksi lebih baik serta kurang melakukan kesilapan berbanding Chong Wei.

"Permainan Chen Long nampak lebih kemas dengan hantaran jauh yang susah untuk Chong Wei membuat banyak serangan dan terpaksa bermain lebih banyak rali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Kewangan jadi penentu

Posted: 12 Jan 2014 11:01 AM PST

Kuala Lumpur: Faktor kewangan bakal menjadi penentu sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu memenuhi permintaan gaji tinggi jurulatih dari Perancis, Philippe Troussier bagi membimbing skuad Harimau Malaya menggantikan Datuk K Rajagobal.

Difahamkan FAM kini dalam penilaian terakhir kontrak dengan bekas jurulatih Jepun itu namun jika ia gagal mencapai persetujuan kemungkinan calon lain yang menjadi pilihan badan induk itu ialah bekas pengendali AS Roma Zdenek Zeman.

Menurut sumber rapat FAM, perbincangan dengan beberapa beberapa calon jurulatih bersama ejen masing-masing diadakan di London baru-baru ini ketika Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin berada di sana.

"Troussier sudah bertemu dengan Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) di London.

Namun keputusannya kita akan tahu sehari dua lagi sama ada Troussier atau jurulatih lain yang akan dipilih," katanya.

Mengikut laporan awal, FAM dikatakan akan menawarkan Troussier gaji cukup lumayan iaitu sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun namun berdasarkan reputasi yang dimiliki jurulatih berusia 58 tahun itu kemungkinan bayaran itu dijangka bakal meningkat memandangkan FAM terpaksa bersaing dengan Persekutuan Bola Sepak Tunisia yang turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain Troussier yang berpengalaman luas mengendalikan pasukan kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi.

FAM juga dilaporkan berminat dengan jurulatih kelahiran Republik Czech Zeman, bekas jurulatih Liverpool Alex Miller, bekas pemain skuad juara Piala Dunia 1998 Perancis Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton.

"Untuk membawa Troussier ke sini bukan mudah, pasti memakan belanja yang mahal, adakah FAM sudah bersedia untuk mengeluarkan duit yang besar demi seorang jurulatih? Jika Troussier bersetuju, dia pasti akan membawa bersama beberapa pembantu dan perbelanjaan pasti lebih tinggi.

"Pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM yang lalu, nama Troussier ada disebut tapi Timbalan Presiden, Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah) kemudian terus membangkitkan soal kewangan FAM.


Jika bukan Troussier mungkin bekas jurulatih AS Roma antara calon pilihan ketika ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

FAM terus berteka-teki mengenai pengganti Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu apabila Hamidin minggu lalu menyatakan bahawa pengumuman jurulatih baru skuad kebangsaan hanya akan diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan.

Seandainya masih belum ada kata putus, jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee yang turut dikaitkan sebagai antara calon pilihan akan mengendalikan skuad senior buat sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Alberts sedia pikul tugas

Posted: 12 Jan 2014 11:00 AM PST

Petra Jaya: Belum pun ada kata putus daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung siapa layak membimbing skuad kebangsaan namun jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang tersenarai antara lima calon terakhir menyatakan kesediaan untuk menerajui kerusi panas itu sekiranya namanya terpilih.

Jawatan itu kosong selepas badan induk bola sepak negara tidak menyambung kontrak Datuk K Rajagobal berikutan prestasi hambar skuad senior dan terbaru apabila gagal melangkah 16 kelompok pasukan terakhir beraksi pada Piala Asia 2015 di Australia.

Biarpun FAM dilihat sedang berusaha mendapatkan sentuhan jurulatih berpengalaman dari Perancis Philippe Troussier, FAM perlu berdepan Tunisia apabila dikhabarkan turut memburu jurulatih berusia 58 tahun itu.

"Saya sudah bersedia seandainya mereka (FAM) memilih saya.

Ramai menelefon saya dan bertanya mengapa saya tidak memohon jawatan itu.

"Melihat lima nama terakhir termasuk saya, ia sesuatu yang mengejutkan dan sekiranya anda bertanyakan mana-mana jurulatih, mereka pasti gembira.

Walaupun tugas itu berat, tapi sekurang-kurangnya saya cuba untuk memperbaiki kedudukan bola sepak negara.

"Saya amat menghargai sokongan mereka dan bersedia sekiranya khidmat diperlukan.


Kontrak saya berbaki dua tahun dan untuk itu, saya tidak berdepan masalah untuk menerima tawaran itu," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan Sarawak menentang Kuala Lumpur SPA di Stadium Negeri, malam kelmarin.

Alberts, 60, pernah menerajui skuad bawah 19 tahun negara pada 2007 ketika Kejohanan Piala Remaja sebelum kontrak ditamatkan berikutan FAM berdepan masalah kewangan untuk membayar gajinya.

Setahun kemudian, jurulatih kelahiran Belanda ini dilantik menerajui Sarawak sebelum membimbing dua kelab Indonesia iaitu Arema Indonesia dan PSM Makassar bermula 2009 sehingga 2011.

Bekas Pengarah Teknikal FAM 2005 hingga 2008 itu sekali lagi diberi kepercayaan membimbing Sarawak pada 2012 sehingga sekarang, untuk menaikkan kembali semangat skuad Bujang Senang dalam Liga M.

Selain Alberts dan Troussier, tiga lagi jurulatih import tersenarai adalah bekas jurulatih AS Roma Zdenek Zeman; bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic dan bekas jurulatih Liverpool Alex Miller.

Dua jurulatih tempatan pula adalah Dollah Salleh yang kini membimbing Polis selain jurulatih Harimau Muda Datuk Ong Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

No comments:

Post a Comment