Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi roboh Tembok Besar

Posted: 16 Jan 2014 12:05 PM PST

Kuala Lumpur: "Saya seorang kena lawan semua pemain China."

Demikian tekad Datuk Lee Chong Wei yang masih meneruskan perjuangan pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia dan bersedia menentang sesiapa saja, terutama lawan dari negara Tembok Besar itu.

Semalam, Chong Wei menewaskan pemain muda China, Wang Zhengming pada pusingan kedua dengan keputusan straight set 21-17, 21-18 sekali gus mara ke saingan suku akhir, hari ini.

"Saya sedar untuk menang kali ini, saya perlu menentang tiga pemain China termasuk esok (hari ini) dan mungkin Chen Long pada final, tapi saya tak kisah semua itu.

Foto

CHONG Wei mudah benam cabaran Zhengming.


"Yang penting, saya perlu fokus terhadap setiap perlawanan dan hanya memikirkan corak permainan sendiri. China mempunyai banyak pemain perseorangan, tapi saya perlu bertahan dan terus mempamerkan aksi terbaik," katanya.


Mengulas perlawanan semalam, Chong Wei mengaku tidak beraksi pada tahap terbaik dan melakukan beberapa kesilapan mudah.

"Hari ini (semalam) bukan permainan terbaik saya tapi yang penting menang. Saya akan terus fokus untuk perlawanan esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Jodoh Kenny dengan BAM tak panjang

Posted: 16 Jan 2014 12:02 PM PST

Kuala Lumpur: Desas-desus mengenai masa depan Kenny Goh bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terjawab juga apabila beliau sah sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengurus Besar badan induk sukan itu.

Kenny dikatakan menghantar surat peletakan jawatan pada 30 November tahun lalu dengan notis dua bulan, sekali gus bermakna beliau akan hanya memegang jawatan itu sehingga 30 Januari ini.

Difahamkan Kenny ditawarkan jawatan sama dalam Konfederasi Badminton Asia (BAC). Begitupun beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

Namun pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang umpama sudah mengetahui perkara itu lebih awal, berasa sedih dengan keputusan Kenny.


"Beliau sudah melakukan tugas yang bagus di BAM. Saya tak tahu sebab utama kenapa beliau meletakkan jawatan. Tapi saya harap Kenny akan kembali semula.


"Beliau menjaga setiap pemain seperti anaknya sendiri, malah akan cuba membantu sekiranya pemain mempunyai masalah.

"Tapi sebagai pemain, kami tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

V Shem-Khim Wah pukau penonton

Posted: 16 Jan 2014 12:02 PM PST

Kuala Lumpur: Goh V Shem-Lim Khim Wah terus mempamerkan permainan memukau di sebalik aksi hambar hampir keseluruhan pemain negara pada saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia apabila meraih kemenangan straight set 21-19, 25-23 ke atas pasangan Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech pada pusingan kedua semalam.

Selepas membenam pilihan kedua Mathias Boe-Carsten Mogensen kelmarin, V Shem-Khim Wah ternyata lebih yakin bertemu lawan yang pernah ditewaskan mereka di Terbuka Australia, tahun lalu.

Hanya pada penghujung set kedua saja mereka berdua nampak gugup tetapi masih tenang untuk menamatkan permainan.

"Kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada kami untuk beraksi pada suku akhir esok (hari ini)," kata Khim Wah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Ziyad, Krishna Kumar tambah emas negara

Posted: 16 Jan 2014 12:01 PM PST

Naypyitaw: Atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli membuka tirai kutipan pingat emas acara olahraga pada hari kedua temasya Sukan Para Asean ketujuh, semalam.

Dia meraih emas acara lempar cakera lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 38.37 meter manakala rakan sepasukan, Abdul Shukur Subari meraih perak dengan catatan 29.93m.

"Saya berpuas hati kerana dapat mengatasi catatan terbaik peribadi saya iaitu 33 meter," katanya.

Atlet balapan, Krishna Kumar Hari Das pula menyumbang emas kedua menerusi acara 400m lelaki T38 dengan masa 58.04 saat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Tujuh pemain remaja pikat Revington

Posted: 16 Jan 2014 12:00 PM PST

Kuala Lumpur: Tujuh pemain skuad remaja negara berjaya memikat hati Paul Revington untuk dipanggil kali pertama dalam senarai 35 pemain skuad kebangsaan bagi menghadapi sekurang-kurangnya lima kejohanan utama sepanjang tahun ini.

Mereka adalah Kavin Kartik, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Muhammad Azri Hassan, Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Shahril Saabah serta Shazril Irwin Nazli.

Kesemua mereka beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, Disember tahun lalu yang menyaksikan skuad bimbingan bekas jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah meraih tempat keempat.

Turut mendapat kepercayaan pengendali dari Afrika Selatan itu lima pemain remaja yang pernah dipanggil sebelum ini dan turut beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja.

Foto

DARI kiri: Hafizuddin, Muhammad Rashid, Kavin Kartik, Muhammad Azri dan Shazril Irwan dipanggil menyertai skuad senior.


Mereka membabitkan Faiz Helmi Jali, Meor Muhamad Azuan Hasan, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin, Muhammad Firhan Ashaari serta Fitri Saari sekali gus menyaksikan 12 pemain remaja berada dalam skuad senior ketika ini.


"Skuad negara akan menghadapi banyak kejohanan utama sepanjang tahun ini dan atas faktor itu, kami memerlukan satu kumpulan pemain yang besar.

"Semua mereka yang berada dalam senarai 35 pemain ini akan diberi peluang sama rata beraksi dalam kejohanan disertai skuad negara," kata Revington pada sidang media semalam.

Antara kejohanan utama yang akan disertai skuad negara sepanjang tahun ini ialah Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak (13 hingga 23 Mac), Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang (26 April hingga 4 Mei), Piala Dunia (31 Mei hingga 15 Jun), Sukan Komanwel (23 Julai hingga 3 Ogos) dan Sukan Asia (19 September hingga 4 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Tindakan bakal undang padah

Posted: 16 Jan 2014 11:58 AM PST

Kuala Lumpur: Padah menanti Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) Lim Choo Hwa apabila suratnya yang mendesak kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dibubarkan, bakal memakan diri sendiri.

Ini kerana, beliau melanggar Artikel 44 Perlembagaan badan induk kebangsaan itu apabila mengeluarkan kenyataan serta rasa tidak puas hati tanpa kebenaran Ahli Majlis sekali gus mendedahkan dirinya dengan pelbagai tindakan tatatertib termasuk penggantungan.

Difahamkan, PSM akan membawa surat berkenaan untuk dibincangkan pada mesyuarat majlis dalam tempoh terdekat ini dan Setiausaha Agung PSM Datuk Arshad Yahaya ketika dihubungi mengesahkan Choo Hwa berkemungkinan besar dikenakan tindakan tatatertib.

"Berdasarkan perlembagaan PSM, mana-mana pegawai di bawah naungan badan induk kebangsaan itu tidak dibenarkan membuat kenyataan serta meluahkan rasa tidak puas hati tanpa mendapat kebenaran terlebih dulu.

"Oleh itu, kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai tindakan beliau (Choo Hwa) sebelum memutuskan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadapnya.

Apa yang dilakukannya itu jelas bertentangan dengan Artikel 44 Perlembagaan PSM," katanya.

Arshad berkata, apa yang lebih menghairankan ialah mengapa surat desakan itu ditandatangani Choo Hwa dan bukannya Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya selaku Presiden PESTAK dan pihaknya bimbang sekiranya wujud agenda tertentu yang direncana pemilik syarikat peralatan sepaktakraw jenama Gajah Emas berkenaan di sebalik desakan berkenaan.

Kelmarin, Choo Hwa menandatangani surat yang turut dikirimkan kepada semua presiden persatuan sepaktakraw negeri untuk mendesak supaya pengurusan PSM sedia ada dibubarkan gara-gara dianggap tidak cekap sepanjang mentadbir badan induk kebangsaan itu.

Antara alasan dikemukakan PESTAK termasuk PSM tidak pernah berbincang dan memberitahu semua ahli majlis tertinggi terlebih dulu mengenai pelantikan pegawai yang mewakili badan induk itu ke kejohanan besar, contohnya pengurus skuad kebangsaan ke Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Malah surat berkenaan turut menyatakan mereka amat kecewa dan malu apabila PSM yang pada mulanya bersetuju memberi mandat kepada PESTAK untuk menganjurkan Kejohanan Piala Emas Khir Johari ke-50 di negeri itu, menarik balik keputusan berkenaan tanpa alasan munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Terpulang ahli gabungan buat pilihan

Posted: 16 Jan 2014 11:58 AM PST

Putrajaya: Kini terpulang kepada ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sama ada mahu mengubah kepimpinan badan induk berkenaan atau sebaliknya.

Ini kerana mesyuarat agung tahunan PSM pada tahun ini sepatutnya menjadi mesyuarat memilih kepimpinan baru selepas kali terakhir diadakan pada 2010, namun difahamkan untuk menjadi presiden PSM, individu berkenaan perlulah dipilih daripada kalangan presiden persatuan negeri.

Desakan untuk merombak pengurusan sedia ada semakin kencang apabila Arena Metro kelmarin mendedahkan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) sudah mengemukakan surat kepada Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail untuk memohon pembubaran pengurusan badan induk berkenaan dengan memberikan enam sebab dengan salah satunya tidak berbincang dan memberitahu semua ahli majlis tertinggi terlebih dulu mengenai pelantikan pegawai yang mewakili badan induk itu ke kejohanan besar, contohnya pengurus pasukan kebangsaan ke Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Malah Kelab Sukan Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia turut menyuarakan desakan yang sama apabila menamakan Ahmad, Setiausaha Agung Datuk Arshad Yahya yang mula memegang jawatan sejak 2003 serta Penolong Setiausaha Agung 1 Tengku Adnan Tengku Burhanuddin yang dilantik pada 2011 perlu berundur selepas gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Kelab berkenaan yang diwakili sejumlah bekas pemain negara kelmarin turut bertindak menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menerangkan pemasalahan yang berlaku sehingga mencetuskan kegagalan berterusan sukan tradisi berkenaan.

"Soal pemilihan presiden persatuan sukan termasuk PSM adalah terpulang kepada ahli gabungan untuk menentukannya.

Saya menerima kunjungan bekas pemain kerana saya mengamalkan "pintu terbuka", sesiapa boleh berjumpa saya.


Namun tidak semestinya saya bersetuju dengan semua pandangan.

"Saya tidak akan campur tangan dalam pemilihan persatuan, komen saya saya adalah berdasarkan kepada prestasi serta kelemahan yang datang dari aspek pengurusan, persiapan, pembangunan dan kejohanan.


PSM sudah menyatakan persetujuan untuk merombak sistem latihan bagi mewujudkan persaingan antara regu, latihan dan pembangunan.

Mereka juga berjanji untuk mengadakan lebih banyak kejohanan tempatan.

"Tapi memorandum yang disampaikan bekas pemain mempunyai asas dan menunjukkan analisa yang dilakukan mereka sama dengan apa dilaporkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia bukan memorandum yang umum tapi secara terperinci menunjukkan rungutan mereka dengan menyenarai beberapa kes secara terperinci menurut pandangan mereka.

Tidak semestinya apa yang mereka katakan 100 peratus betul kerana PSM mungkin mempunyai jawapan sendiri.

Namun saya harap PSM jangan buat tidak tahu terhadap pandangan bekas pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

'Pencapaian lima jenis sukan merisaukan'

Posted: 16 Jan 2014 11:57 AM PST

Putrajaya: Lima jenis sukan - olahraga, badminton, sepak takraw, gimnastik dan renang - menjadi kerisauan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila menyifatkan sukar untuk bergantung kepada sukan berkenaan bagi menjadi penyumbang pingat emas kepada negara.

Kebimbangan itu disuarakan Khairy selepas mempengerusikan mesyuarat "post-mortem' Sukan SEA Myanmar semalam dengan menyifatkan sesuatu perlu dilakukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kita pernah mempamerkan prestasi yang tinggi dulu dalam sukan ini namun hari ini (ketika ini) kita berdepan dengan satu keadaan di mana sukar untuk bergantung kepada mereka menyumbangkan pingat (emas), bukan saja untuk persiapan Sukan SEA 2017 namun saya membuat keputusan sesuatu perlu dilakukan, dengan menjalankan sesetengah program sukan berkenaan," katanya.

Bagi renang, Khairy berkata, mereka akan memperbaiki program pelapis kebangsaan dengan membawa masuk jurulatih antarabangsa untuk membantu Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) kerana masih terdapat kebergantungan terhadap perenang lama seperti Koo Chai Lin, Daniel Bego serta sesetengah pelapis tidak mencapai harapan kecuali Christina Loh yang meraih dua emas.

"Malah buat kali pertama di Myanmar, kedudukan kita lebih rendah berbanding Vietnam.

Bukan kita ketepikan renang sebelum ini dengan fokus kepada terjun namun perbelanjaan yang dilakukan berbaloi apabila meraih lapan emas," katanya.

Khairy turut mengumumkan pengarah teknikal untuk Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memberi fokus kepada atlet elit dan pelapis meningkatkan prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Siapa sebenarnya dalang?

Posted: 16 Jan 2014 11:52 AM PST

Kuala Lumpur: Siapa sebenarnya menipu? Persoalan itu dibangkitkan semula berhubung kemelut yang melanda Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berikutan kegagalan skuad lebuh raya negara pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember lalu.

Justeru, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, bagi memulihkan suasana yang semakin keruh, satu perjumpaan akan diadakan, membabitkan pengurus pasukan Amrun Misnoh, jurulatih Aminuddin Sulaiman, Exco PKBM dan semua pelumba yang beraksi di Myanmar.

"Perkara ini semakin rumit.

Saya sendiri belum membaca laporan doktor ISN (Institut Sukan Negara) itu.


Tapi dalam mesyuarat exco, kita dimaklumkan Zamri pergi berjumpa doktor dua kali.


Kali pertama dia berjumpa doktor Myanmar di Perkampungan Sukan dan dibekalkan ubat kerana demam dan ubat itu dilaporkan mempunyai steriod.

"Kali kedua, dia berjumpa dengan doktor ISN tapi pegawai perubatan itu menjelaskan Zamri tidak demam dan tidak menyentuh mengenai bahan terlarang.

"Banyak laporan diterima mengenai apa yang berlaku di Nay Pyi Taw.

Keadaan sekarang begitu keruh jadi kita tidak mahu perkara ini bertambah buruk.

Sekarang ini PKBM cuba untuk mencari jalan perdamaian.

Kita akan panggil semua yang terbabit untuk duduk semeja sebagai ahli keluarga bagi mengelakkan ia daripada berlaku pada masa depan.

"Perjumpaan itu akan cuba untuk mengenal pasti apa yang berlaku agar boleh dijadikan iktibar dan saya berjanji ia akan diselesaikan," katanya.

Tegasnya, keputusan memilih pelumba terletak di tangan Aminuddin sebagai jurulatih dan proses mendaftarkan pelumba pula tanggungjawab Amrun dan sekiranya mereka didapati bersalah, kedua-duanya perlu bertanggungjawab.

Bagaimanapun Naim berkata, keputusan hanya akan diputuskan selepas perjumpaan itu yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Permasalahan dalaman PKBM menjadi semakin rumit sehingga menyebabkan campur tangan Khairy, tercetus selepas kegagalan skuad negara gagal menghadiahkan pingat emas pada temasya dwi tahun, Sukan SEA yang lalu dan paling memalukan, tewas kepada pasukan tidak ternama dari Laos ketika skuad negara dibarisi lima pelumba profesional.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Khairy tak puas hati laporan belanja RM1.5j

Posted: 16 Jan 2014 11:51 AM PST

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak berpuas hati dengan laporan perbelanjaan RM1.5 juta program pembangunan lebuh raya yang dikemukakan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sekali gus mengarahkan juruaudit Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membuat penelitian.

Menurut Khairy, laporan perbelanjaan yang diberikan kepadanya oleh badan induk berbasikal negara itu terlalu umum.

"Akaun yang ditunjukkan tidak begitu teliti apabila membabitkan perbelanjaan kejohanan dan pembelian peralatan yang tidak dinyatakan secara terperinci, jadi saya memutuskan untuk mengarahkan juruaudit KBS membuat pemeriksaan terhadap perbelanjaan PKBM membabitkan peruntukan RM1.5 juta yang diberikan kepada mereka setiap tahun," katanya.

Peruntukan berkenaan disalurkan KBS kepada PKBM susulan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) namun ia dilihat semakin mendesak susulan kegagalan berterusan pelumba lebuh raya negara di pentas Sukan SEA dengan terbaru di Myanmar pada Disember lalu.

Malah Khairy sudah menetapkan syarat kepada PKBM agar meletakkan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang jelas bermula tahun ini dan 2015 selepas mereka enggan menjalankan program yang dirangka secara bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan peruntukan RM1.5 juta itu.

"Jika mereka gagal melakukannya, saya akan pastikan program selepas ini dijalankan secara bersama antara PKBM dengan MSN," katanya.

Beliau turut memberi peringatan akaun persatuan lain juga akan diaudit sekiranya terdapat aduan dan prestasi buruk berterusan bagi memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan KBS sentiasa dipantau dengan rapi.

"Kes ini (membabitkan PKBM) adalah tuduhan secara terus, jadi saya membuat keputusan untuk melihat secara terperinci dari masa ke semasa dan sekiranya ada keperluan, saya tidak akan teragak-agak agar ia diaudit kerana membabitkan duit rakyat yang sudah tentunya memerlukan akauntabiliti.

Kalau laporan diberikan terlalu umum, ia tidak cukup bagus kerana setiap pembelian perlu dilihat sama ada ia pembaziran atau sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

No comments:

Post a Comment