Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kita bincang dulu'

Posted: 31 Dec 2013 12:05 PM PST

Kuala Lumpur: Suka atau tidak Amrun Misnoh dan Omar Saad perlu meletakkan jawatan sekiranya barisan exco Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan keputusan mereka perlu berbuat demikian, tegas Presdiennya, Datuk Abu Samah Wahab.

Amrun adalah pengurus pasukan pada temasya Sukan SEA Myanmar yang menjadi punca berlakunya perbalahan pada malam sebelum perlumbaan lebuh raya.


Bagaimanapun Abu Samah berkata beliau tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru dan semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat exco yang akan berlangsung awal bulan ini sama ada dua individu itu perlu dikenakan tindakan atau meletakkan jawatan.

Katanya, orang luar tidak boleh menghukum kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di tempat kejadian, justeru siasatan terperinci akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibuat.


"Saya akan memanggil semua yang terbabit termasuk pengurus (Amrun), penolong pengurus, jurulatih (Aminuddin Sulaiman) untuk memberi peluang kepada mereka menjawab segala pertuduhan yang dilemparkan.


"Sementara itu semua pelumba kebangsaan yang terbabit di Sukan SEA juga akan dipanggil hari ini ditanya pendapat masing-masing berhubung masalah di Nyi Pyi Taw itu.

Foto

PELUMBA negara akan dipanggil berhubung masalah di Myanmar.

"Mungkin perkara ini timbul kerana rasa tidak puas hati yang bersarang dalam hati jadi kita perlu mendapat penjelasan terlebih dahulu khususnya daripada Amrun," katanya.


Begitupun perlu ditegaskan keputusan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat exco dan kedua-dua individu itu perlu akur terhadap sebarang keputusan yang dicapai.

Namun Abu Samah berharap permasalahan itu dapat diselesaikan dengan segera kerana apa yang sudah terjadi adalah sejarah dan ia tidak lagi mungkin boleh diubah.


Katanya, semua yang terbabit dalam PKBM perlu memandang ke depan kerana mereka akan menempuh jadual padat pada 2014 bermula dengan Le Tour de Langkawi (LTdL), Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Benteng mantap

Posted: 31 Dec 2013 11:34 AM PST

London: Penyerang Arsenal Theo Walcott berkata, aksi kemas di benteng pertahanan semakin memberi keyakinan bahawa kelab bimbingan Arsene Wenger itu mampu merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Gunners menamatkan tirai 2013 apabila kembali berada di tangga teratas liga selepas mencatatkan kemenangan ke atas Newcastle United dan berharap dapat memulakan tahun baru dengan kejayaan sama ke atas Cardiff City di Stadium Emirates, hari ini.


Di sebalik menerima kritikan berikutan kekalahan pada perlawanan pertama di halaman sendiri ke atas Aston Villa, separuh saingan pertama membuktikan Arsenal sememangnya berhak dilabel sebagai pencabar kejuaraan. Walcott yang turut mewakili England percaya kunci kepada kejayaan mereka tertumpu di bahagian pertahanan yang menyaksikan Arsenal sudah dibolosi sebanyak 18 kali daripada 19 perlawanan liga.

"Saya rasa anda dapat lihat daripada 10 perlawanan terakhir tahun lalu benteng pertahanan kami cukup bagus. "Setiap pemain yang berada dalam pasukan ini juga beraksi pada tahap terbaik sepanjang tahun.


Walcott juga percaya kemenangan 1-0 di Newcastle diikuti 3-1 di West Ham United membentuk karakter baru di dalam skuad.


"Kami melalui dua perlawanan sukar di tempat lawan. Saya rasa ramai yang meragui kemampuan kami untuk meraih keputusan terbaik.

"Apapun keputusan positif ini menunjukkan kami lebih kuat pada setiap minggu. Setiap orang saling mempercayai antara satu sama lain yang sebenarnya elemen itu cukup penting," katanya.


Kehadiran semula Lukas Podolski, Laurent Koscielny dan Tomas Rosicky selepas pulih daripada kecederaan minggu ini menyaksikan Wenger mempunyai banyak pilihan meskipun tidak dapat menggunakan khidmat Aaron Ramsey dan Mesut Ozil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

'United dahaga kemenangan'

Posted: 31 Dec 2013 11:33 AM PST

Manchester (United Kingdom): Patrice Evra percaya Manchester United sudah kembali dahagakan kemenangan dengan juara Liga Perdana itu mahu mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut dalam liga apabila menentang Tottenham awal pagi esok.

United berada di kedudukan keenam liga dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Norwich pada Sabtu, menandakan pungutan mata separuh saingan Liga Perdana untuk musim yang tidak konsisten buat juara bertahan itu, yang masih cuba menyesuaikan keadaan di bawah pengurus baru David Moyes.


Mereka kini akan berdepan Spurs kendalian pengurus baru Tim Sherwood di Old Trafford, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal dalam saingan yang memasuki fasa kedua dan tiga mata ketinggalan kepada pasukan keempat, Everton yang kini sedang bersaing untuk tiket kelayakan Liga Juara-Juara.

Namun pertahanan Perancis, Evra percaya rakan sepasukannya sudah kembali dahagakan kemenangan dan tidak sabar untuk mengharungi cabaran 2014 dalam usaha mengekalkan gelaran.


"Saya melihat situasi yang berlaku ketika ini," katanya.


"Pasukan kini beraksi dengan lebih baik, kami mempunyai mentaliti kemenangan dan semangat United yang hilang sejak permulaan musim ini.

"Saya dapat melihat keinginan kami sudah kembali, jadi saya yakin namun saya tidak mahu bercakap mengenai kejuaraan," katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Rodgers lega

Posted: 31 Dec 2013 11:33 AM PST

Liverpool: Pengurus Brendan Rodgers menarik nafas lega apabila kapten Liverpool Steven Gerrard dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan bakal disenaraikan dalam skuad menentang Hull City pada aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri.

Pemain tengah England berusia 33 tahun itu mengalami hamstring ketika menang 4-1 ke atas West Ham United pada 7 Disember lalu dan kehadirannya semula memberi perkhabaran gembira buat Rodgers selepas menyaksikan pasukannya berdepan krisis kecederaan.


"Steven kembali menjalani latihan jadi kami akan lihat bagaimana tahap kecergasan untuk diturunkan menentang Hull," kata Rodgers pada sidang media semalam.

"Kami akan memantau perkembangan itu dalam tempoh 24 jam ini," tambahnya ketika ditanya mengenai kemungkinan Gerrard bakal berada dalam kesebelasan utama pasukan.


Liverpool kini berada di tangga kelima liga selepas tumpas 2-1 kepada Chelsea pada Ahad lalu yang menyaksikan pemain tengah Joe Allen dan pertahanan Mamadou Sakho mendapat kecederaan.


"Joe mungkin terpaksa diketepikan beberapa minggu akibat kecederaan pangkal paha. Kami pula masih menunggu tahap kecederaan hasmtring Sakho. Glen Johnson dibawa keluar namun ia adalah disebabkan taktikal permainan dan bukannya kecederaan," kata Rodgers.

"Jordan Henderson dalam keadaan baik. Dia menjalani pemulihan hari ini (semalam). Dia masih berasa sakit tapi dia akan pulih semula.


"Ada seorang atau dua lagi pemain yang akan kami pantau dalam tempoh 24 jam ini.

Dibantu dengan prestasi memuncak penyerang Luis Suarez, Rodgers membimbing Liverpool menduduki tangga teratas liga pada Hari Krismas sebelum keciciran enam mata di belakang pendahulu Arsenal berikutan kekalahan 2-1 di Manchester City dan Chelsea.


Jadual perlawanan dilihat tidak terlalu menekan Liverpool selepas ini walaupun bakal memulakan kempen semula menentang Hull yang menewaskan mereka 3-1 pada 1 Disember sebelum aksi di laman sendiri Piala FA bagi pusingan ketiga dengan Oldham Athletic.


Mereka bakal berkunjung ke Stoke City pada 12 Januari dan Rodgers berharap melihat kembali kelibat penyerang Daniel Sturridge, pertahan Jose Enrique dan Jon Flanagan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Tonik tahun baru pemangkin City pintas Arsenal

Posted: 31 Dec 2013 11:32 AM PST

Swansea, United Kingdom: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya aksi meyakinkan anak buahnya sepanjang Disember meletakkan mereka kembali menjadi pencabar utama perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

City memenangi enam daripada tujuh perlawanan liga sepanjang Disember, hanya tercicir mata ketika seri bertemu Southampton dan kini hanya ketinggalan satu mata berbanding Arsenal selaku pendahulu menjelang aksi pertama tahun baru bertemu Swansea City.


Juara 2012 itu pernah berada di tangga kelapan dan dilihat sukar untuk menjadi pencabar kejuaraan, tetapi mereka pantas mengurangkan segala defisit itu.

"Saya kami melalui bulan yang cukup hebat.


"Pada saingan Liga Perdana Inggeris, daripada tujuh perlawanan kita mencatatkan enam kemenangan.


"Amat penting untuk kami meraih mata semula. Arsenal di depan kami dengan kelebihan enam mata, jadi adalah amat penting untuk menamatkan saingan musim ini seperti yang disasarkan oleh kami pada awal saingan.

"Untuk kembali mengejar semula enam mata bukan sesuatu yang mudah. Kami terpaksa bersaing pada saingan Piala Liga dan juga Liga Juara-Juara.


"Saya fikir enam bulan pertama tahun ini sangat bagus untuk kami. Kini memasuki separuh saingan lagi kami berada di landasan tepat untuk terus melakar keputusan lebih baik," kata Pellegrini.

Penjaga gol Joe Hart berdepan kecederaan di bawah mata ketika City mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace pada Sabtu lalu, tetapi dia dijangka akan diturunkan apabila bertemu Swansea.


Hart berada pada prestasi terbaik sejak kembali dalam barisan kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris selepas sering memanaskan bangku simpanan kerana melakukan kesilapan mudah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

'Lupakan kejayaan lalu'

Posted: 31 Dec 2013 11:31 AM PST

Madrid: Kebimbangan utama Vicente del Bosque menjelang pusingan akhir Piala Dunia tahun ini adalah pemainnya mungkin hilang rasa rendah diri susulan kejayaan yang diraih sebelum ini, menurut jurulatih Sepanyol itu semalam.

Del Bosque mengemudi Sepanyol untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia pertama mereka di Afrika Selatan pada 2010 dan dua tahun kemudian mereka mempertahankan kejuaraan Eropah selepas memenanginya pada 2008 ketika dibimbing Luis Aragones.


Sejumlah pemain yang menjulang tiga kejuaraan itu masih kekal dalam skuad kebangsaan termasuk kapten dan penjaga gol Iker Casillas, pemain tengah Xavi, Andres Iniesta, Xabi Alonso dan Cesc Fabregas serta pertahanan tengah Sergio Ramos.

Del Bosque menerusi temuramah dengan akhbar As yang disiarkan semalam berkata, adalah sesuatu yang getir untuk mereka dan rakan sepasukan yang lain tidak terus dibuai dengan kejayaan lampau di Brazil pada Jun nanti.


"Mereka adalah pemain yang sudah hampir memenangi segala-galanya dan mereka melihat perkara ini menerusi sudut yang berbeza berbanding tempoh lima atau enam tahun dulu," kata Del Bosque.


"Hanya inilah yang mencetuskan kebimbangan saya," kata pengendali berusia 63 tahun yang pernah bergelar pemain dan jurulatih Real Madrid itu. "Adalah bagus untuk merendah diri, menghormati lawan dan pemain yang baik serta bagus.

"Kami perlu melupakan tentang masa lampau dan tidak bergantung kejayaan yang kami menang beberapa tahun kebelakangan ini.


"Kami akan ke pentas Piala Dunia yang lain, kejohanan yang berbeza, di negara dan benua yang berbeza namun kami perlu ke sana dengan semangat yang sama seperti di Afrika Selatan.

"Itu yang paling penting." Sepanyol memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang pencabar Kumpulan B, Belanda di Salvador pada 13 Jun, lawan sama yang mereka tewaskan 1-0 di final 2010.


Mereka akan menentang Chile di Rio De Janeiro pada 18 Jun dan Australia lima hari kemudian di Curitiba.


"Sepanyol mempunyai skuad kebangsaan yang bagus dan tidak tewas kepada mana-mana pasukan namun kami perlu berwaspada.


"Kami adalah pasukan yang ingin ditewaskan dan terdapat lawan yang kuat terutamanya dari Amerika Selatan termasuk Brazil, Columbia, Argentina dan Chile.


"Kemudian terdapat pasukan Eropah yang lain seperti Jerman, Belanda atau Portugal. Ia bukan mudah dan kami perlu hormat kepada semua lawan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Messi tak sabar kembali beraksi

Posted: 31 Dec 2013 11:31 AM PST

Barcelona: Penyerang Barcelona Lionel Messi berharap tiada lagi masalah kecederaan akan menghimpit dirinya pada musim 2014 selepas dia kini semakin hampir untuk pulih daripada kecederaan paha.

Pemain Terbaik Dunia itu berada di negara kelahirannya Argentina bagi mendapatkan rawatan kecederaan paha yang dialaminya pada 10 November lalu iaitu kecederaan terbaru dalam beberapa siri kecederaan otot sepanjang 2013.


Ketika ketiadaannya, Barca tumpas dua perlawanan berturut-turut kepada Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Juara-Juara dan Athletic Bilbao bagi aksi La Liga dan kelabnya amat berharap dapat menggunakan khidmatnya secepat mungkin selepas tamat cuti musim sejuk.

"Selepas bercuti pada hujung tahun bersama keluarga dan rakan-rakan, saya akan pulang ke Barcelona Rabu ini dan apabila kembali, saya berharap dapat beraksi semula," kata Messi menerusi laman web rasmi Barca (www.fcbarcelona.es).


"Objektif saya sekarang ialah untuk kembali cergas dan mengadakan latihan bersama rakan sepasukan sebelum beraksi," katanya.


Skuad kendalian jurulatih Gerardo Martino itu kini sedang bercuti sempena Tahun Baru dan akan kembali menjalani latihan semula esok.

Barca bakal melayan kunjungan Elche dalam perlawanan La Liga pada Ahad ini sebelum turun beraksi di laman sendiri menentang Getafe pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terakhir Piala Raja Sepanyol Rabu depan.


Messi mungkin akan diberi peluang beraksi sekejap dalam kedua-dua perlawanan itu namun Martino tidak mahu terburu-buru untuk menurunkannya kerana beliau mahu pemain itu benar-benar cergas bagi pertembungan La Liga dengan Atletico Madrid pada 11 Januari.

Barca dan Atletico kini berkongsi 46 mata di tangga teratas liga selepas 17 perlawanan dengan Real Madrid lima mata di kedudukan ketiga.


Pemain pertahanan Barca Gerard Pique tanpa berselindung mengakui betapa kehadiran Messi cukup penting bersama pasukan juara Sepanyol itu.


"Leo pemain terbaik dunia," katanya pada sidang media sempena aksi persahabatan Catalonia menentang Cape Verde.


"Jika dia bermain atau tidak pasti ada banyak perbezaannya," tambah pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

'Schumi masih dalam bahaya'

Posted: 31 Dec 2013 11:30 AM PST

Grenoble, Perancis: Legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher yang mengalami kemalangan sehingga mengancam nyawanya, akan menjalani pembedahan kedua, demikian menurut doktor yang menjaga kesnya sambil mengesahkan pelumba itu "masih berada dalam situasi berbahaya".

Pakar bedah itu berkata, kondisi pelumba itu "menunjukkan kemajuan" yang membolehkan mereka melakukan pembedahan kedua ke atas juara dunia tujuh kali pada malam Isnin.


Keluarganya berada di hospital di bandaraya Alpine, Perancis iaitu di Grenoble, lokasi kemalangan yang menyebabkan pelumba itu koma ketika menjalani aktiviti luncur salji, Ahad lalu.

Berita mengenai kemalangan ngeri bintang pelumba Formula Satu itu dikongsi Canselor Jerman, Angela Merkel dan ribuan peminat yang mendoakan dia pulih.


Pembedahan kedua pada Isnin adalah bertujuan membuang darah beku yang meningkatkan tekanan dalam otak.


Pakar bedah hanya memutuskan untuk melakukan pembedahan selepas menerangkan kepada keluarga Schumacher yang terpaksa mengambil "keputusan sukar" untuk bersetuju dengan prosedur baru itu.

Foto

SIDANG media yang diadakan oleh pasukan perubatan yang merawat Schumacher di CHU Hospital, Grenoble.

Bagaimanapun, ketua unit rawatan rapi, Jean-Francois Payen berkata, nyawa Schumacher masih dalam keadaan genting.


"Kami tidak mampu meramal masa depan," katanya.

Begitupun, para doktor mengakui yang mereka "terkejut" dengan kemajuan yang ditunjukkan Schumacher namun pelumba itu masih "kritikal" dan kekal "genting".


Doktor berkata bahawa Schumacher yang akan menjengah usia 45 tahun pada 3 Januari ini, memiliki tahap kecergasan yang baik namun mereka menegaskan terlalu awal untuk mengatakannya berada di tahap yang selamat.


Schumacher dibiarkan koma bagi mempercepatkan proses pemulihan. Situasi koma akan mengurangkan suhu badan pesakit kepada sekitar 35 darjah selsius sekali gus mengurangkan bengkak.


Berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, otak juga akan diasingkan daripada bunyi-bunyian, cahaya dan pencetus lain sekali gus membolehkan organ otaknya menggunakan sepenuh oksigen sebagai proses stimulasi.


Sumber rapat dengan siasatan mendapati bahawa resort mewah luncur salji Meribel dilaporkan sebagai berkata, topi keledar yang dipakai Schumacher, menyelamatkan nyawanya biarpun kepalanya terhantuk dua kali.


Akhbar Jerman, Bild pula memetik, pihak penyelamat memberitahu mereka bahawa topi keledar yang dipakai Schumacher terbelah dua dan "berlumuran darah".


Keluarga Schumacher pula dalam satu kenyataan, berterima kasih kepada doktor dan menganggap mereka melakukan "segala-gala yang termampu untuk membantu Michael" dan berterima kasih kepada peminat di seluruh dunia yang mendoakan keselamatannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Itali cerah peluang ke Final

Posted: 31 Dec 2013 11:30 AM PST

Perth: Itali kembali menghidupkan semula harapan pada Piala Hopman apabila melakarkan kemenangan 2-1 ke atas Australia, semalam.

Selepas perlawanan perseorangan mengikat kedudukan, pasangan Itali, Flavia Pennetta dan Andreas Seppi menewaskan Samantha Stosur dan Bernard Tomic dalam perlawanan penentuan beregu campuran. Itali perlu menewaskan Kanada esok dengan mengharapkan Australia melakukan perkara yang sama menewaskan pasukan Poland yang masih belum kalah bagi menghidupkan peluang mereka untuk mara ke final Sabtu ini ketika pasukan tuan rumah sudah pun terkeluar daripada saingan selepas tewas kedua-dua perlawanan peringkat Kumpulan A. Dalam perlawanan perseorangan wanita, Flavia yang menduduki ranking ke-31 dunia meneruskan dominasi ke atas Samantha apabila menewaskan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat dan pemain ke-18 dunia dengan kemenangan straight set 6-4, 6-4.


Flavia memenangi kesemua lima pertemuan mereka sebelum ini bijak menggunakan kesempatan di atas kelemahan servis pihak lawan.

Samantha di anggap antara pemain yang mempunyai servis terbaik dalam tenis wanita namun dia juga mempunyai tabiat memulakan saingan agak pelahan di awal musim.


Flavia mematahkan servis pemain Australia itu sebanyak empat kali dan paling ketara ketika Samantha melakukan tiga kesalahan double fault pada permainan kesembilan di set kedua. Tidak menghairankan apabila Flavia meneruskan rentak kemenangan berturut-turut ke atas Samantha menjelang Terbuka Australia di Melbourne bulan depan. "Kami sentiasa berdepan dengan perlawanan yang bagus dan kemudiannya saya sentiasa menang," katanya. "Satu perlawanan yang baik hari ini buat penonton dan satu persediaan yang bagus untuk minggu depan (Terbuka Australia)." Tomic bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Seppi, 4-6, 6-3, 6-2.


Pada perlawanan set kedua, pemain ranking ke-51 dunia dari Australia itu dilihat bergelut dengan tahap kecergasan menentang Seppi yang menghuni ranking ke-25.

Bagaimanapun Tomic berkata kemenangan itu berpunca daripada latihan keras beberapa hari lalu termasuk dua jam berlatih di dalam gelanggang sebelum turun bertemu Seppi. "Fokus utama adalah untuk beraksi dengan sebaik mungkin di Terbuka Australia dan di Sydney," katanya yang merujuk kepada kejohanan Antarabangsa Sydney sebelum Grand Slam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Perunding tak bawa faedah?

Posted: 31 Dec 2013 11:16 AM PST

Kuala Lumpur: "Bukan saya seorang saja yang cakap, namun semua orang berpandangan sama. Prestasi pemain bukan makin baik malah makin teruk".

Itu pandangan bekas pemain sepak takraw negara Suhaimi Yusof berhubung kehadiran dua perunding dari Thailand, Prawet Intar dan Taweet Wongkaen sejak April 2011 yang ditugaskan untuk membantu meningkatkan kemampuan pemain elit negara.


Kedua-dua bekas pemain kebangsaan Thailand itu memulakan perkhidmatan sejak dua tahun lalu bergandingan bersama jurulatih tempatan yang diketuai Jamaluddin Hassan, namun berdasarkan keputusan yang diraih pemain negara di pentas antarabangsa termasuk pernah diaibkan Korea Selatan di final Siri Super India pada September lalu, tiada perubahan ketara dilihat mampu diterjemahkan mereka.

"Anda boleh nilai sendiri keputusan yang dicatatkan skuad negara di Sukan SEA Myanmar. Bayangkan kita boleh tewas kepada semua tiga pasukan (Thailand, Myanmar dan Indonesia) yang bersaing dalam acara berpasukan.


"Sebab itu dari dulu lagi saya menegaskan khidmat dua perunding ini tidak diperlukan. Pada pandangan saya, jurulatih tempatan juga mempunyai kemampuan yang diperlukan untuk mencipta kejayaan cuma disebabkan masalah tertentu dalam Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menjadi penghalang," katanya.


Nasib Prawet dan Taweet yang mempunyai kontrak selama empat tahun (dua tahun tetap dan dua tahun pilihan untuk dikaji semula) bagaimanapun masih belum diputuskan PSM dengan perkara berkenaan mungkin akan dibincangkan badan induk berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Skuad Elit PSM pada Jumaat nanti.

Namun khidmat jurulatih tempatan yang lain masih diperlukan apabila Penolong Setiausaha Agung PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin kelmarin menjelaskan menerusi perbincangan dengan Presidennya, Datuk Ahmad Ismail di Myanmar baru-baru ini, membayangkan sentuhan mereka tetap ditagih untuk sekurang-kurangnya sehingga Sukan Asia di Incheon pada September nanti.


Skuad sepak takraw negara mengharungi tahun 2013 amat mengecewakan dengan kegagalan meraih sebarang kejuaraan pada Siri Super Istaf sehingga mencetuskan rasa kurang senang Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kemuncaknya adalah diaibkan pada Sukan SEA Myanmar baru-baru ini dengan sekadar membawa pulang sebutir pingat perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

No comments:

Post a Comment