Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Beregu longlai!

Posted: 15 Jan 2014 08:43 AM PST

Kuala Lumpur: Apa sudah jadi? Itu yang boleh dirangkumkan mengenai persembahan dua beregu utama negara semalam yang tewas seawal pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Malaysia selepas mempamerkan persembahan di bawah tahap sebenar dan cukup mengecewakan.

Bagaimanapun, gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah menghadirkan berita gembira apabila mengejutkan pilihan kedua, Mathias Boe-Carsten Mogensen dengan 24-22, 17-21, 21-18.

Terdahulu, gandingan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang menjadi pilihan kelapan kejohanan, tewas kepada Chris Langridge-Peter Mills dari England 21-18, 19-21, 20-22.

Pilihan ketujuh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mudah dijinakkan gandingan China, Chai Biao-Hong wei 21-17, 21-14.

Foto

KIEN Keat (kanan) dan Boon Heong kecewa selepas tewas kepada beregu China.


Aksi mengecewakan kedua-dua beregu negara itu turut mencetuskan kemarahan penyokong yang ternyata tidak dapat menerima kekalahan mereka.


Thien How-Wee Kiong hampir menamatkan permainan ketika mendahului lawan 20-15 pada set ketiga, tetapi akhirnya membenarkan Langridge-Mills meraih tujuh mata berturut-turut sekali gus meraih kemenangan mutlak.

"Saya sendiri tak tahu bagaimana hendak jelaskan. Terlalu banyak perkara bermain di fikiran ketika itu.

"Kami terlalu yakin dapat melangkah ke pusingan seterusnya sehingga tidak bermain pada tahap sebenar," kata Wee Kiong.

Sementara itu, Kien Keat pula kelu dan hanya memberitahu kekalahan semalam berpunca daripada kesilapan sendiri.

"Lebih banyak saya bercakap, orang akan sentiasa berkata mengenai saya. Saya rasa segala-galanya membabitkan kami berdua. Bukan saya mengatakan kami mempunyai masalah, tapi saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu jelaskan.

"Tapi secara jujur, saya memang berasa sangat sedih ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Chong Wei mara

Posted: 15 Jan 2014 08:39 AM PST

Kuala Lumpur: Seperti dijangka, pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Malaysia selepas mudah menewaskan Hans Kristian Vittinghus dari Denmark 21-7, 21-13 semalam.

Chong Wei yang memburu kejuaraan ke-10 Siri Super Premier Terbuka Malaysia, hanya memerlukan masa 35 minit untuk menewaskan Vittinghus.

"Lawan saya hari ini (semalam) tidaklah begitu kuat. Tapi selepas ini saya perlu beraksi lebih baik kerana bakal bertemu lawan dari China pada pusingan kedua," katanya.

Mengulas mengenai persembahan hambar rakan senegara pada saingan kali ini, Chong Wei mengakui mereka perlu beraksi lebih baik.

Foto

CHONG Wei hanya perlukan 35 minit untuk singkir Vittinghus.


"Saya juga tahu ramai mengharapkan saya menang di sini dan sebab itu saya perlu beraksi pada tahap terbaik," katanya.


Hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain muda China, Wang Zhengming yang menewaskan Anand Pawar 21-12, 21-11 pada pusingan pertama semalam.

Hanya Chong Wei muncul pemain perseorangan lelaki negara yang melangkah ke pusingan kedua selepas pemain lain tewas kepada lawan masing-masing.

Liew Daren tewas mudah 14-21, 13-21 kepada pemain nombor tujuh dunia dari China Du Pengyu manakala Chong Wei Feng tunduk di tangan pemain Jepun, Sho Sasaki yang menang 21-13, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Liu Ying 'lawan' kesakitan

Posted: 15 Jan 2014 08:37 AM PST

Kuala Lumpur: "Saya sentiasa memikirkan kecederaan dan pada masa sama perlu berusaha meraih mata."

Demikian gambaran diberikan Goh Liu Ying (gambar) yang mengalami kesukaran ketika bergandingan bersama Chan Peng Soon, tetapi masih mampu menundukkan beregu campuran Indonesia, Muhammad Rijal-Vita Marissa 23-21, 17-21, 21-10 meskipun beraksi dalam kesakitan pada pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Malaysia semalam.

Liu Ying yang mengalami kecederaan lutut ketika menyertai Grand Prix Final Sirkit Kebangsaan baru-baru ini dan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan, tetapi menangguhkannya beraksi cemerlang sepanjang perlawanan semalam meskipun dilihat agak bergelut.

"Oleh kerana situasi saya yang belum pulih sepenuhnya, kami melakukan pertukaran taktikal dengan Peng Soon lebih banyak bergerak manakala saya sekadar membantunya. Ini baru perlawanan pertama dan saya tidak pasti sama ada dapat beraksi pada tahap terbaik juga sekiranya kami berjaya melangkah lebih jauh. Tapi saya harap tiada apa-apa yang berlaku," katanya.


Peng Soon yang turut beraksi cemerlang berkata, dia tidak berasa terlalu dibebani dengan terpaksa bekerja lebih keras bagi menutup ruang ditinggalkan Liu Ying.


"Saya faham situasi dihadapinya, bukan satu masalah bagi saya.

"Cuma pada perlawanan tadi (semalam), saya hilang tumpuan sedikit kerana terlalu memikirkan keadaan Liu Ying di set pertama dan kedua," katanya.

Liu Ying-Peng Soon akan bertemu pasangan Indonesia Praveen Jordan-Debby Susanto pada pusingan kedua, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Hemala Dewi sumbang emas pertama negara

Posted: 15 Jan 2014 08:36 AM PST

Naypyitaw, Myanmar: Atlet wanita negara, Hemala Devi Enny Kutty menjadi penyumbang pingat emas pertama Malaysia selepas memenangi acara merejam lembing pada temasya Sukan Para Asean 2014, semalam.

Bukan saja merangkul emas, Hemala Devi turut memperbaharui rekod Sukan Para Asean miliknya dalam merejam lembing F11/F12 dengan catatan 23.78m, sekali gus memadamkan rekod 21.23m pada edisi 2011 di Solo, Indonesia.

Perak dimenangi atlet Brunei, Dayang Nor Hensan dengan jarak 15.20m manakala gangsa milik atlet Filipina, Jeanette Gonzalez, 14.50m.

"Ini adalah pencapaian terbaik selepas sering melakukan catatan antara 21 dan 22 meter sebelum ini.

Semasa melakukan rejaman, saya hanya memikirkan untuk mencipta catatan peribadi terbaik," katanya.

Catatan rekod pada percubaan ketiga itu turut menjadi rekod kebangsaan.

Bagi Hemala Devi, kejayaan kali ini berbeza sedikit kerana kategori kecacatan digabungkan untuk acara merejam lembing wanita (cacat penglihatan).

Pada edisi keenam di Solo, Indonesia, dia turut menjadi pemenang emas pertama melalui acara sama.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Piya mahu 3 mata

Posted: 15 Jan 2014 08:23 AM PST

Kota Bharu: Kapten Mohd Badhri Radzi mahu Kelantan memperoleh tiga mata mutlak ketika berdepan Sime Darby pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

Mohd Badhri atau Piya berkata, kemenangan aksi pertama itu amat penting dalam memberi keyakinan kepada barisan The Red Warriors (TRW), khususnya meningkatkan moral pemain muda yang bakal diberi tanggungjawab menentukan hala tuju gergasi Pantai Timur itu musim ini.

Sehubungan itu, katanya, rakan sepasukan dinasihatkan supaya tidak memandang mudah keupayaan Sime Darby meskipun berstatus kelab.

"Perlawanan sebenar akan bermula beberapa hari lagi dan kita perlu memulakan saingan dan langkah kanan dengan mendapatkan tiga mata penuh sebagai suntikan semangat.

Foto

BADHRI (dua dari kiri) menyerahkan jersi baru TRW kepada Annuar.


"Kita perlu sedar musim ini banyak pencabar di luar jangkaan, malah saya menasihatkan pemain muda supaya jangan mengambil mudah ketika berdepan Sime Darby," katanya selepas majlis pelancaran jersi baru kelmarin.


Menurut Badhri, Kelantan musim ini hanya meletakkan sasaran menjulang sekurang-kurangnya satu trofi, sasaran yang disifatkannya lebih realistik berikutan perubahan besar dalam pasukan itu.

Katanya, walaupun sebelum ini Kelantan mampu menjulang tiga piala dalam satu musim, namun keadaan itu pasti sukar dilakukan sebaliknya mahu berpijak di bumi nyata.

"Saya tidak memperkecilkan pasukan sendiri, tapi sasaran satu piala itu lebih realistik jika melihat kekuatan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

'LionsXII akan masuk perangkap kami'

Posted: 15 Jan 2014 08:22 AM PST

Kuantan: Pengendali Pahang, Ronald Smith percaya pemainnya mampu melakar kemenangan ke atas LionsXII pada aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Biarpun baru saja mengambil alih tugas pengendali terdahulu, Dollah Salleh, beliau mengharapkan prestasi cemerlang dipamerkan anak buahnya musim lalu mampu mencapai kesinambungan pada 2014.

Justeru menurutnya, aksi Sumbangsih menjadi detik terbaik buat skuad Tok Gajah untuk melengkapkan prestasi kerana skuad itu baru dinobatkan juara Piala Malaysia.

"Walaupun ada tekanan sebagai jurulatih yang baru mengendalikan skuad ini kira-kira dua bulan lalu, saya percaya pemain dapat beraksi dengan baik.

Mereka sudah pasti mahu meneruskan aksi cemerlang dan pertemuan dengan LionsXII nanti menjadi detik permulaan buat Pahang," katanya semalam.

Sejak Isnin lalu, Temerloh menjadi destinasi Pahang menjalani latihan sebagai persiapan bertemu LionsXII.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sudah pasti meletakkan Pahang pilihan, tetapi prestasi cemerlang lawan tidak harus dipandang rendah.

Smith berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan komitmen semua pemain termasuk empat import, Dickson Nwakaeme, Matias Conti, Zeshan Rehman dan Damion Stewart.

Namun, persoalan timbul siapa tiga pemain import yang bakal mengisi tempat dalam kesebelasan utama berdasarkan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya belum membuat sebarang keputusan mengenainya dan percaya pemain import yang akan beraksi mampu menjalankan tugas diamanahkan," kata Smith.

Foto

SMITH (kanan) memberi arahan kepada tiga pemain importnya pada sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

50 alat pengimbas sekat tiket palsu

Posted: 15 Jan 2014 08:20 AM PST

Kuantan: Sebanyak 50 alat pengimbas tiket akan digunakan bagi perlawanan Pahang menentang LionsXII di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzeimi Ibrahim berkata, penggunaan alat berkenaan diharap dapat menyekat penjualan tiket palsu seperti dalam saingan Piala Malaysia musim lalu.

Menurutnya, pihaknya menggunakan alat pengimbas kerana tidak mahu kejadian penonton melebihi kapasiti stadium berulang.

"Justeru, kita menasihati penonton supaya membeli tiket dijual PBNP dan bukannya mengambil kesempatan menggunakan tiket palsu untuk masuk ke stadium.

Bagi mengelakkan kesesakan, 10 pintu masuk akan dibuka pada jam 6 petang kerana ini kali pertama kami menggunakan alat pengimbas," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pengurusan perlawanan, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, seramai 500 anggota keselamatan termasuk polis akan berada di dalam dan luar stadium.

Menurutnya, kawalan keselamatan diberi keutamaan kerana pihaknya menjangkakan perlawanan sengit lantaran aksi itu pembuka tirai Liga Super musim ini.

"Bagi memberi peluang lebih ramai menyaksikan aksi Sumbangsih itu, hanya lima tiket dihadkan setiap individu dan PBNP juga meminta peminat supaya tidak membeli tiket daripada ulat tiket," katanya.

Pada aksi Sumbangsih yang menemukan juara Piala Malaysia dan Liga Super musim lalu, 31,000 tiket dijual di Stadium Darulmakmur dan Stadium Temerloh bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, 26,000 tiket dijual di Kuantan manakala 5,000 lagi di Temerloh dengan harga RM25 bagi grand stand, berbumbung (RM15), terbuka (RM12) dan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun (RM8).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

'Bukan tugas mudah'

Posted: 15 Jan 2014 08:20 AM PST

Kuala Terengganu: Jika sebelum ini rumah mantan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh pernah dibaling batu peminat fanatik kerana tidak puas hati terhadap prestasi skuad negeri, kini presiden baru PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid sudah membayangkan cabaran hebat bakal menantinya.

"Saya akui bukan tugas mudah untuk membawa cabaran Terengganu musim ini menjulang sekurang-kurangnya satu trofi, namun saya tekad dan akan berusaha merealisasikan matlamat itu apatah lagi ia turut menjadi sasaran kerajaan negeri," kata Wan Ahmad Nizam ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan barisan pemain sedia ada selain mempunyai ketua dan penolong jurulatih berpengalaman yang pernah melatih kelab luar negara.

"Sebahagian besar pemain skuad ini pernah menempa kejayaan, begitu juga dengan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim serta pembantunya Ahmad Yusof, jadi kombinasi pemain dan jurulatih ini ia menjadi aset berharga kebangkitan Terengganu musim ini," katanya.

Foto

ISMAIL Faruqi (kanan) aset kebangkitan Terengganu.


Selain nama besar seperti Mohd Ashari Shamsuddin, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Manaf Mamat dan Muhamad Zuber Mohd Azmi, Terengganu turut mengikat 11 pemain baru termasuk empat import yang membabitkan Vincent Bikana (Cameroon), Marcio Souza (Brazil), Mario Karlovic (Australia) dan Mamadou Hady Bary (Guinea).


"PBSNT yakin gandingan pemain tempatan dan import itu semakin serasi dan mampu membentuk pasukan mantap untuk memberi cabaran dan membawa pulang piala," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu bercakap besar sebaliknya mengakui ia bukan tiket mudah memburu kejayaan.

"Namun jika pemain beraksi dengan penuh komitmen selain sokongan padu penyokong, tidak mustahil ia mampu dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Skuad T-Team makin bagus, mantap

Posted: 15 Jan 2014 08:18 AM PST

Marang: T-Team semakin bagus dan mantap. Itu komen ringkas Yunus Alif terhadap bekas pasukannya itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jurulatih Perbadanan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu juga menyifatkan pasukan yang terkenal dengan jolokan The Titans itu mampu menjadi pencabar utama dalam saingan Liga M yang membuka tirai Sabtu ini.

Pengendali berusia 56 tahun berkata, beliau melihat pasukan kendalian Azraai Khor Abdullah musim ini semakin mantap dengan kehadiran empat pemain import berkualiti.

Menurutnya, bekas pasukannya itu sudah banyak berubah apabila dibarisi ramai pemain pengalaman seperti kapten Marzuki Yusof dan Faizal Mohammad selain diperkuatkan awang import, Fabio Flor de Azevedo (Brazil); Nelson San Martin (Chile); Patrich Wanggai (Indonesia) dan Alvedo Goncalves (Brazil).

"Saya tidak mahu komen lebih-lebih, tapi saya lihat pasukan T-Team musim ini cukup mantap dengan gandingan pemain import dan tempatan terbaik," katanya yang pernah membimbing The Titans pada 2012.

Beliau ditemui selepas perlawanan persahabatan pasukan kendaliannya dengan T-Team kelmarin yang berkesudahan skuad kendalian Azraai menang 1-0 hasil jaringan penyerang, Azlan Ismail.

Ditanya persiapan pasukannya yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim ini, Yunus berkata, beliau tidak mengharapkan kejayaan tinggi sebaliknya akan memberikan persembahan terbaik.

Pengendali kelahiran Terengganu itu berkata, biarpun pasukan gelaran The Waterboys bermain tanpa awang import beliau tetap percaya gabungan pemain muda dan beberapa bekas pemain Liga Super mampu membantu pasukan menghuni kedudukan terbaik dalam liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

Tiada tolak ansur isu rasuah

Posted: 15 Jan 2014 08:17 AM PST

Kuala Terengganu: "Saya tidak akan berkompromi dengan pemain yang didapati bersalah mengatur perlawanan dan hukuman berat akan dikenakan selain tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan ini buat selama-lamanya," itulah peringatan tegas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said kepada pemain Terengganu dan T-Team yang bakal memulakan cabaran dalam saingan Liga Malaysia pada Sabtu ini.

Beliau yang juga peminat bola sepak nombor satu negeri ini turut memberi amaran keras kepada pemain kedua-dua pasukan yang gagal memperagakan aksi konsisten serta tidak berdisiplin sama ada ketika perlawanan ataupun sesi latihan.

"Bukan saja mereka terbabit dengan rasuah akan digugurkan, pemain yang gagal menunjukkan komitmen tinggi, terbabit dengan publisiti negatif serta tidak berdisiplin juga akan dikenakan hukuman berat termasuk digantung," katanya selepas majlis menandatangani kontrak pemain dan memperkenalkan jersi baru pasukan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan wakil penaja kedua-dua pasukan.

Ahmad berkata, pelaburan besar kerajaan negeri terhadap kedua-dua pasukan itu selain penajaan pihak luar menuntut pemain beraksi penuh semangat kesukanan tinggi selain mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi.

"Jika kerajaan negeri sanggup berbelanja besar musim ini untuk membentuk pasukan mantap, pemain perlulah mempunyai sasaran termasuk memberi trofi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/16

No comments:

Post a Comment