Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Parah dua kali langgar

Posted: 24 Jan 2014 03:26 PM PST

Rembau: Seorang lelaki parah selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang van sebelum merempuh sebuah kereta di Kilometer 19.5 Jalan Seremban-Tampin berhampiran simpang Sepri, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumah di Pedas dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban akibat parah di kaki dan badan.

Pemandu van Yeoh Kim Lian,63, berkata, ketika kejadian dia yang dalam perjalanan dari Rembau menuju Pasar Awam Pedas memberhentikan kenderaan untuk ke simpang kanan Sepri sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat dari belakang van.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya terkejut apabila mendapati seorang penunggang motosikal terbaring atas jalan dan motosikalnya hampir hancur," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Foto

KEADAAN motosikal yang berlanggar dengan sebuah van dan kereta, semalam.


Menurutnya, dia keluar dari van dan pergi menghampiri mangsa yang ketika itu mengerang kesakitan dengan kaki dipenuhi darah.


"Orang ramai yang menyaksikan kejadian terus menghubungi ambulans dan polis untuk bantuan. Saya bersyukur kerana tidak cedera, namun terkejut kerana pertama kali terbabit kemalangan," katanya.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati motosikal dari arah Rembau ke Seremban itu melanggar belakang van yang berhenti untuk masuk ke simpang kanan jalan.

"Pada masa sama sebuah kereta jenis PROTON Prevé dari arah bertentangan gagal mengelak menyebabkan mangsa melambung ataskereta itu," katanya.

Kes siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Kaya tak jadi

Posted: 24 Jan 2014 11:30 AM PST

Tanjong Karang: Impian 14 lelaki menjadi 'orang kaya segera' menjelang Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila mereka ditahan pihak berkuasa ketika leka berjudi dalam sebuah pondok di tepi pantai Bagan, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki tempatan berusia antara 35 dan 60 tahun itu terperangkap selepas 'port' yang sering dijadikan tempat untuk berjudi diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor jam 2.30 pagi.

Difahamkan, aktiviti perjudian jenis 'pai kau' menggunakan cip bernilai antara RM50 dan RM500 dan ia dikesan mula aktif sejak seminggu lalu, namun hanya dibuka pada hari tertentu kerana bimbang dikesan pihak berkuasa.

Antara yang ditahan adalah penduduk tempatan di daerah berkenaan dan mereka akan bertaruh antara RM500 hingga RM100,000 dan jumlah taruhan semakin lumayan jika lebih ramai pemain yang mencuba nasib.

Foto

BEBERAPA individu yang leka bermain judi dicekup dalam serbuan di sebuah pondok.


Berdasarkan risikan, ada juga pemain judi yang datang dari Banting dan Kuala Lumpur, namun hanya individu tertentu saja dibenarkan bermain kerana bimbang 'rahsia' pondok berkenaan diketahui umum.


Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM15,230 yang dipercayai wang taruhan selain pelbagai peralatan perjudian seperti dadu, piring dan cawan.

"Siasatan mendapati aktiviti perjudian ini bermula sejak seminggu lalu, namun waktu operasinya tidak konsisten kerana penganjur dan pemain bimbang ditahan pihak berkuasa.

"Ini kerana kawasan berkenaan sudah diserbu beberapa kali tahun lalu, namun penganjurnya masih berdegil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

'Rujuk peniaga Aceh pegang kerakyatan'

Posted: 24 Jan 2014 11:28 AM PST

Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenyataannya sebelum ini berhubung peranan yang boleh dimainkan peniaga Aceh dalam membantu kerajaan mengawal harga barangan merujuk kepada peniaga Aceh yang mempunyai kerakyatan negara ini saja.

Sehubungan itu katanya, kenyataan dibuat Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Kesederhanaan Malaysia (IKHLAS) kononnya beliau seolah-olah melindungi dan memberi sokongan kepada kewujudan peniaga asing di negara ini tidak menjelaskan maksud sebenar menteri itu.

"Ingin ditegaskan peniaga Aceh yang saya maksudkan adalah peniaga Aceh yang memegang kad pengenalan berwarna biru iaitu mempunyai kerakyatan negara ini.

"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Presiden IKHLAS itu adalah tidak menjelaskan maksud sebenar peniaga Aceh yang dimaksudkan oleh saya semasa memberikan kenyataan ini Sabtu lalu," katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Sabtu lalu, Tengku Adnan ketika menghadiri Majlis Maulidur Rasul Masyarakat Aceh di Pasar Jalan Raja Bot dilaporkan meminta peniaga Aceh memainkan peranan dalam membantu kerajaan mengawal harga barangan.

Bagaimanapun, Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah, Rabu lalu pula membidas kenyataan Tengku Adnan dan menggesa menteri itu menarik semula kenyataannya berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh peniaga Aceh dalam membantu kerajaan mengawal harga barangan.

Mohd Ridzuan turut mendakwa kenyataan Tengku Adnan dilihat seolah-olah beliau melindungi dan memberi sokongan kepada kewujudan peniaga asing di negara ini.

Dalam laporan itu juga IKHLAS memberi tempoh seminggu untuk Tengku Adnan membetulkan semula kenyataan berkuat kuasa Selasa lalu dan sekiranya beliau gagal berbuat demikian, IKHLAS bersama lima badan pertubuhan kerajaan kerajaan (NGO) lain akan membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Suami bersalah

Posted: 24 Jan 2014 11:27 AM PST

Kota Kinabalu: Pengurus restoran yang menggemparkan negara selepas menikahi kanak-kanak perempuan bawah umur berusia 12 tahun selepas merogolnya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad menetapkan Isnin depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Riduan Masmud, 40, sebaik menerima hujahan bertulis daripada pendakwaan.

Dalam prosiding itu, Riduan yang memakai kemeja ungu dan berjaket hitam hanya tunduk di kandang pesalah sebaik mahkamah membacakan keputusannya.

Terdahulu, Ummu Khaltom ketika membacakan penghakimannya berkata, walaupun kes itu sudah diputuskan dan mendapati tertuduh bersalah, namun mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk hukuman selepas meneliti hujahan bertulis selain tempoh jaminan tertuduh dilanjutkan.

Foto

RIDUAN didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur.


Pihak Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan hujahan bertulis termasuk kesan kejadian itu terhadap mangsa bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.


Riduan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Tertuduh dituduh melakukan perbuatan itu ketika mangsa berusia 12 tahun 6 bulan di dalam kereta miliknya di tepi jalan di Inanam, jam 10 pagi pada 18 Februari tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Jejak entiti di Kellie's Castle

Posted: 24 Jan 2014 11:20 AM PST

Batu Gajah: Istana Inggeris lama Kellie's Castle, di sini, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai kisah misteri bakal menjanjikan pengalaman mencabar kepada penggemar aktiviti pelancongan paranormal berikutan cadangan menjadikannya pusat pelancongan malam pertama yang menawarkan pakej menjejaki entiti di Perak.

Berikutan itu juga, baru-baru ini, pengurusan istana berkenaan menjemput sekumpulan pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Aura Maarifat bagi membongkar rahsia yang tersembunyi di sebalik struktur berusia 100 tahun itu.

Kisah mengenai pelbagai 'jelmaan' misteri istana lama itu yang sebelum ini menjadi buah mulut penduduk sekitar mula mendapat perhatian apabila pihak berkenaan mendakwa berjaya merakam pelbagai objek aneh menggunakan telefon bimbit dan kamera infra merah.

Pelbagai kisah misteri yang tersimpan di istana itu kini dibongkar satu persatu hasil usaha kumpulan penjejak entiti itu bagi mengesan dakwaan kehadiran bunyi aneh, penampakan objek orbs serta pengakuan lisan entiti ditemui.

Foto

LALUAN balkoni serambi utama Kellie's Castle yang dikatakan sering menjadi lokasi kemunculan roh pemiliknya.

Foto

PENGUNJUNG melihat salah sebuah bilik di Kellie's Castle.

Foto

BILIK Helen yang dikatakan masih 'berpenghuni' sehingga kini berdasarkan penyelidikan kumpulan Penyingkap Fakta.


Pengalaman menjejaki entiti paranormal sejak tiga bulan lalu turut dilalui sendiri Pengurus Kellie's Castle Zamari Muhyi bagi memperolehi jawapan sama ada pelbagai cerita mistik yang didengar sebelum ini benar ataupun rekaan semata-mata.


Menurutnya, dia sebelum ini kerap mendengar kewujudan roh pemilik istana itu William Kellie Smith yang sering dilihat merayau-rayau di sekitar istana itu.

"Bagi mengukuhkan pelbagai dakwaan ini, saya menjemput pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Aura Maarifat, Oktober lalu. Seramai 13 orang tampil dalam usaha merungkai jenis entiti yang berlegar di istana ini.

"Dalam penjelajahan jam 1 pagi itu, semua mereka dibawa ke lokasi 'panas' yang dikatakan menjadi lubuk entiti ini termasuk di bilik Helen (anak Kellie Smith), bilik Linen (bilik menyimpan pakaian), bilik simpanan arak serta di sekitar laluan serambi yang dikatakan kerap berlaku kemunculan makhluk halus," katanya.

Zamari berkata, ketika proses menjejaki entiti itu dijalankan, seorang sukarelawan wanita digunakan bagi memujuk entiti memasuki tubuhnya sebagai medium pengantara bagi berkomunikasi.

"Pada awalnya, kami hanya menemui entiti luar yang berkemungkinan hanya melalui istana berkenaan. Namun, selepas beberapa minit dijalankan, kami akhirnya mengesan entiti asal di bilik Helen dan di bilik Linen sejam berikutnya.

"Di situ, kami menerima kunjungan entiti yang menggelarkan dirinya sebagai Gopal. Dengan loghat Inggeris India yang cukup pekat, ia mungkin roh salah seorang pekerja Kellie," katanya.

Menurutnya, entiti yang memasuki tubuh sukarelawan itu memberitahu dia adalah seorang tukang cuci yang berasal dari India, malah dia turut memberitahu mempunyai isteri di sana.

"Selain itu istana ini turut dikunjungi lapan ahli Kumpulan Penyingkap Fakta yang turut memburu entiti menggunakan pelbagai peralatan canggih di istana ini kira-kira tiga minggu lalu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

No comments:

Post a Comment