Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ratu ditembak depan anak

Posted: 08 Jan 2014 08:28 AM PST

Caracas: Bekas ratu cantik dan pelakon telenovela Venezuela dan bekas suaminya mati ditembak di depan anak perempuan dalam kejadian dipercayai dirancang dengan teliti semalam.

Monica Spear Mootz, 29, bersama lelaki warga Britain Thomas Berry, 39, menemui ajal dengan disaksikan anak mereka, Maya, 5, yang turut cedera di kaki. Monica mencipta nama di Venezuela selepas memenangi gelaran Ratu Venezuela pada 2004 selain terkenal melalui wataknya dalam telenovela Forbidden Passions. Polis setakat ini menahan lima suspek, termasuk dua remaja berusia bawah 18 tahun berhubung kes itu.


Menurut laporan stesen televisyen kereta mangsa mengalami kerosakan apabila keempat-empat tayarnya pancit dipercayai terlanggar paku yang sengaja ditabur di laluan berkenaan. Pengarah siasatan Jose Gregorio Sirralta berkata, mangsa cuba menyorok dalam kereta ketika dihampiri perompak terbabit, namun mereka ditembak dari luar.

Sekurang-kurangnya enam tembakan dilepaskan dengan satu terkena pada dada Berry manakala mayat Monica menunjukkan beberapa kesan tembakan.


"Ketika kejadian, kereta itu sudah berada di atas trak penunda menyebabkan polis turut menahan dua pemandu trak tunda yang berada di tempat kejadian untuk siasatan," katanya.


Walaupun sudah berpisah dengan Berry, pasangan itu masih mempunyai hubungan baik dan bercuti bersama demi anak mereka. Monica turut banyak memuat naik beberapa gambar serta video sepanjang percutian itu. Kejadian rompakan seperti itu kerap berlaku di Venezuela sejak kebelakangan ini dengan perompak merosakkan kereta mangsa menggunakan pelbagai cara sebelum mengambil kesempatan menyamun mangsa.

Foto

POLIS memeriksa kenderaan mangsa yang dipenuhi kesan tembakan. Gambar kecil, Monica (kiri) dan Berry berkahwin pada 2008.

Ibu bapa Monica diterbangkan ke Venezuela dari Florida menaiki pesawat peribadi disediakan Presiden Venezuela.


Bapa Monica, Rafael berkata, keluarganya terlalu sedih dengan kejadian itu.

"Anak saya seorang yang baik dan disayangi semua.


"Dulu saya tidak membenarkan semua anak saya menonton telenovela, namun selepas dia menjadi pelakon saya sendiri pula menonton semua rancangan televisyen membabitkannya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Lampin dewasa keluarkan radioaktif

Posted: 08 Jan 2014 07:56 AM PST

Vienna: Syarikat pelupusan sampah terpaksa menghubungi pasukan pengurus bahan berbahaya Austria selepas sebuah lori menunjukkan bacaan radioaktif yang terlalu tinggi ketika tiba di pusat pembuangan.

Namun siasatan mendapati kesan 'radioaktif' itu datang dari bahan yang tidak disangka sama sekali - 24 lampin dewasa yang diangkut dari hospital.


Jurucakap polis berkata, lampin pakai buang itu sebelumnya sudah tercemar dengan iodin radioaktif.

"Bahan itu kadangkala diambil pesakit ketika mengikuti prosedur perubatan tertentu," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut jurucakap terbabit, radiasi dicatatkan ketika lori itu sampai lebih tinggi daripada tahap normal, namun tidak membahayakan sesiapa.


Pihak berkuasa Austria masih mengesan laluan diambil lori sampah berkenaan.

Lori berkenaan pula diletakkan di tempat khas selama lapan hari untuk menurunkan kadar radiasi ke tahap lebih selamat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Apabila niat baik lelaki budiman disalah erti

Posted: 08 Jan 2014 07:56 AM PST

Beijing: Seorang lelaki yang sepatutnya diberi penghargaan kerana membantu mangsa langgar lari, dilaporkan membunuh diri kerana dituduh bertanggungjawab menyebabkan kemalangan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit juga dituntut membayar pampasan kepada mangsa kemalangan itu.


Media tempatan semalam melaporkan Wu Weiqing, 46, dari Dongyuan di wilayah Guangdong, terlihat seorang lelaki warga emas yang cedera dilanggar ketika menaiki motosikalnya pada malam tahun baru lalu.

Isterinya berkata, Wu membantu mangsa malah membawa lelaki terbabit ke klinik berhampiran serta membayar yuran perubatan berjumlah 3,500 yuan (RM1,894).


"Wu terkejut apabila dia pula dituduh melanggar mangsa dan didesak membayar ganti rugi dalam jumlah yang tinggi," katanya.


Anak perempuannya, Wu Haiyan memberitahu bapanya memaklumkan keluarga mangsa menuntut wang untuk 'yuran perubatan.' "Ayah menghubungi saya mengatakan rasa tertekan dan lebih rela mati daripada terus diganggu.

"Ayah terkilan apabila orang yang dibantu menyusahkannya pula," katanya.


Dalam keadaan tertekan, kata Haiyan, Wu memilih untuk membunuh diri bagi membuktikan dia tidak bersalah," katanya. Mayat Wu ditemui dalam kolam berhampiran bandar itu beberapa jam kemudian.

Sementara itu, keluarga warga emas berkenaan menafikan mereka menuntut jumlah ganti rugi terlalu tinggi.


Anak sulung lelaki terbabit juga mempertikaikan mengapa Wu membawa bapanya ke hospital.


"Jika bukan dia yang mencederakan ayah saya, kenapa pula dia bersusah payah membawanya ke hospital dan membayar kos perubatannya?" soalnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Kejutan maut seorang suami

Posted: 08 Jan 2014 07:54 AM PST

Bangkok: Terkejut sebelum sempat mengejutkan itu yang berlaku ke atas seorang tukang cat yang pulang lebih awal untuk bertemu isterinya.

Lebih malang kepulangan Wisut Sahasamut, 25, yang bekerja di pelantar minyak itu membawa kepada tragedi. Wisut ditangkap kerana bakal menghadapi dakwaan membunuh kekasih isterinya.


Sebelum itu Wisut sengaja pulang diam-diam dan lebih awal daripada sepatutnya untuk membuat kejutan awal pagi semalam.

Namun apabila tiba di rumah Wisut terkejut kerana mendapati seorang lelaki lain, Noppadol Iamserm, 24, berada di kediaman mereka dekat daerah Klong Luang, Pathumthani.


Wisut mengenali Noppadol kerana lelaki terbabit pernah menjalin hubungan dengan isterinya. Kedua-dua lelaki terbabit kemudian bertengkar dan keadaan menjadi tidak terkawal apabola Wisut membelasah Noppadol hingga mangsa tidak sedarkan diri.


Jurucakap polis berkata, selepas melihat mangsa sudah tidak berdaya, Wisut segera menghubungi ambulans dan pihak berkuasa.

"Ketika petugas kecemasan tiba, mereka mendapati mangsa sudah tidak bernyawa," katanya.


Menurut jurucakap berkenaan Wisut mengakui membelasah Noppadol tetapi tidak berniat mahu membunuhnya. Polis kemudian menahan Wisut untuk siasatan lanjut dan mungkin mendakwanya atas tuduhan membunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

15,000 tentera halang 'penutupan' Bangkok

Posted: 08 Jan 2014 07:52 AM PST

Bangkok: Hampir 15,000 anggota polis dan tentera akan dikerah ke ibu negara Thai minggu depan bagi menangani rancangan "penutupan" Bangkok oleh penunjuk perasaan yang cuba menggulingkan kerajaan, kata pihak berkuasa semalam.

Protes besar-besaran itu dirancang bagi menggagalkan rancangan perdana menteri sementara Yingluck Shinawatra untuk mengadakan pilihan raya pada Februari ini. Penunjuk perasaan berikrar untuk menggagalkan pilihan raya itu kerana menganggapnya bakal melanjutkan dominasi politik keluarga bilionair Shinawatra. Penunjuk perasaan berkata, mereka akan menakluki ibu negara Thai itu mulai 13 Januari hingga mereka memenangi perjuangan untuk menyingkirkan kerajaan Yingluck.


Mereka merancang mengadakan demonstrasi di seluruh Bangkok, menghalang penjawat awam daripada bekerja dan memutuskan bekalan elektrik dan air ke bangunan kerajaan.

Jurucakap polis berkata, 14,880 anggota polis dan tentera ditugaskan mengawal protes berkenaan.


"Matlamat kami untuk menghalang sebarang keganasan atau pertempuran," katanya.


Pihak berkuasa Bangkok mengarahkan 146 sekolah ditutup hingga Isnin depan kerana insiden penutupan itu. Jika perlu, jurucakap kerajaan berkata, mereka bersedia untuk mengisytiharkan darurat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Juruteknik rakam aksi polis buang air

Posted: 08 Jan 2014 07:46 AM PST

Singapura: Seorang juruteknik mempunyai keberanian tersendiri melakukan jenayah apabila menjadikan seorang pegawai polis sebagai sasarannya.

Ling Jia Hui, 24, menggunakan telefon bimbitnya merakam aksi seorang anggota polis wanita membuang air dalam tandas di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri di New Phoenix Park.


Ling merakam aksi anggota polis berpangkat sarjan itu ketika dia melakukan kerja pemasangan kabel di bangunan berkenaan pada 6 Jun 2012. Ling berdepan tuduhan mencabul terhadap seorang wanita lain dengan menghubunginya di telefon dan bertanya mengenai saiz coli mangsa 7 Mei tahun sama. Semalam dia mengaku bersalah di mahkamah dan hakim mengarahkan dia dipenjara dua minggu.

Ling turut diletakkan di bawah pengawasan selama sembilan bulan.


Pemeriksaan mendapati Ling mengalami kecenderungan berfantasi seks membabitkan wanita yang tiada hubungan dengannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Jokowi pilihan utama menang pilihan raya

Posted: 08 Jan 2014 07:45 AM PST

Jakarta: Gabenor Jakarta yang semakin popular, Joko Widodo atau Jokowi tidak berdepan sebarang masalah untuk memenangi pilihan raya presiden Indonesia jika dicalonkan partinya.

Berdasarkan undian terbaru dijalankan, Jokowi memperoleh populariti empat kali lebih tinggi berbanding dengan pesaing terdekatnya. Bagaimanapun, sama ada Jokowi mahupun partinya belum ada yang tampil mengatakan secara terbuka bahawa dia akan bertanding dalam pilihan raya presiden Julai ini.


Parti diwakilinya, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P) sendiri belum pasti sama ada mahu memilih Jokowi sebagai calon kerana dia baru menceburi bidang itu lebih setahun lalu.

Pungutan pendapat dilakukan akhbar harian Kompas pada bulan lalu menunjukkan Jokowi memperoleh 43.5 peratus undian, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya. Undian untuk Jokowi meningkat sebanyak 11 peratus.


Bekas jeneral dan calon yang disebut akan menang, Prabowo Subianto mencatat undian 11.1 peratus, jatuh daripada 15.1 peratus. Hanya dua calon lain menyaksikan peningkatan sokongan dalam pungutan pendapat itu. Seorang daripadanya ialah ahli perniagaan kaya Aburizal Bakrie yang memimpin Parti Golkar, manakala seorang lain bekas pegawai kanan tentera zaman Suharto, Wiranto. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

'Adakah hujan masih lebat?'

Posted: 08 Jan 2014 07:44 AM PST

Jakarta: Ketika popularitinya semakin memuncak, Jokowi dilihat lebih fokus kepada tugasnya sebagai Gabenor Jakarta.

Tanpa memberikan reaksi jelas Jokowi malah meneruskan tabiatnya memberikan jawatan berkias ketika ditanya mengenai masa depan politiknya. Mengulas keputusan undian terkini dijalankan akhbar Kompas, Jokowi menjawab: "Cuba lihat di depan kita adakah hujan masih lebat?," katanya.


Menurut Jokowi, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya sebagai gabenor. Katanya, dia tidak mahu tugasnya terjejas dengan hasil kaji selidik atau yang seumpamanya. "Saya hanya mahu menguruskan masalah yang timbul di sekitar Jakarta," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Rakyat Mesir haram undi

Posted: 08 Jan 2014 07:41 AM PST

Dubai: Ulama terkenal dunia Dr Yusuf el-Qaradawi semalam mengeluarkan fatwa mengatakan haram untuk rakyat Mesir mengundi dalam pungutan suara mengenai perlembagaan negara itu kerana ia hanya akan mengesahkan kepemimpinan baru di situ.

Fatwa berkenaan dikeluarkan sehari sebelum rakyat Mesir di luar negara mengundi untuk menyokong atau menolak draf perlembagaan berkenaan.


Pengundian di Mesir dijadualkan pada 14 Januari ini.

Menurut Yusuf undian yang diberikan kepada pungutan suara berkenaan adalah sokongan kepada ketidakadilan serta penindasan yang dilakukan rejim disokong tentera Mesir. "Saya melihat penyertaan dalam pungutan suara atau pembabitan dalam apa cara sekalipun untuk mengukuhkan kuasa kerajaan Mesir sekarang adalah haram dari segi agama," katanya. Mesir kini ditadbir kerajaan sementara disokong tentera selepas presiden yang sah, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat disingkirkan secara paksa pada tahun lalu.


Gerakan itu diketuai menteri pertahanan negara itu yang juga Panglima Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. Yusuf berkata, pada pandangannya rampasan kuasa tentera tahun lalu bertanggungjawab terhadap pembunuhan serta penangkapan ribuan orang tidak bersalah. Justeru, katanya, sebarang pembabitan dalam pungutan suara anjuran kerajaan Mesir ketika ini adalah perbuatan zalim. Seramai 681,000 warga Mesir mendaftar sebagai pengundi luar negara dan daripada jumlah itu kira-kira 42,000 tinggal di Qatar. Fatwa Yusuf itu dikeluarkan ketika ketegangan antara Mesir dan Qatar semakin memuncak. Qatar yang sebelum ini menyokong kuat Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

16 ketua polis dipecat terbabit kes rasuah

Posted: 08 Jan 2014 07:40 AM PST

Ankara: Seramai 16 ketua polis yang bertugas di wilayah Turki dipecat dalam skandal rasuah yang menggegarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, lapor media semalam.

Kementerian Dalam Negeri melucutkan jawatan ketua polis di 16 bandar raya besar dan wilayah, termasuk Ankara, Izmir, Antalya dan Diyarbakir. Timbalan Ketua Keselamatan Kebangsaan negara itu turut dipecat.


Sebanyak 350 pegawai polis di Ankara, termasuk ketua jabatan utama dipecat dalam tempoh 24 jam kerana pembabitan mereka dalam skandal rasuah berprofil tinggi terhadap penjawat awam.

Pegawai terbabit dipecat oleh undang-undang kerajaan yang dikeluarkan pada tengah malam.


Pada 4 Januari lalu, Recep menyifatkan skandal itu sebagai rancangan menentang "kestabilan dan masa depan negara itu" dan mengatakan pihak yang disokong kuasa asing di Turki merancang untuk menggulingkan kerajaannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

No comments:

Post a Comment