Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perkasa kubu Reds

Posted: 13 Jan 2014 08:16 AM PST

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mahu pasukannya memperkemaskan benteng pertahanan selepas mereka merekod kemenangan 5-3 ke atas Stoke City, awal pagi semalam yang menyaksikan Daniel Sturridge kembali membentuk gandingan berbisa bersama Luis Suarez.

Sturridge meraikan penampilan pertama dalam tempoh tujuh minggu berikutan kecederaan buku lali dengan meledak gol terakhir pasukannya manakala bintang Uruguay, Suarez menjaringkan gol ke-21 dan ke-22 musim ini untuk membantu Reds menumpaskan Stoke di Stadium Britannia buat kali pertama dalam Liga Perdana.

Kemenangan itu kembali melonjakkan Liverpool ke kelompok empat teratas dengan mengumpul 42 mata, lima mata di belakang pendahulu Manchester City.

Namun Rodgers akui sekiranya mereka mahu kekal dalam slot Liga Juara-Juara, mereka perlu baiki pertahanan hingga membenarkan Stoke mengikat kedudukan 2-2 sebelum tamat babak pertama.

Foto

KAPTEN Liverpool, Steven Gerrard (dua dari kanan) kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.


Kerapuhan pertahanan memberi ruang kepada bekas pemain Anfield, Peter Crouch dan Charlie Adam memadam jaringan awal gol sendiri Ryan Shawcross dan Suarez.


"Ia sedikit mengecewakan," kata Rodgers. "Pada babak pertama saya menyatakan untuk tempoh 38 minit pertama, ia permainan di tempat lawan yang sempurna dengan kawalan bola, gerakan dan mampu menghasilkan lebih banyak gol.

"Tapi kami kehilangan tumpuan, kami tidak bersungguh-sungguh untuk mengekalkan permainan dan apabila anda bermain menentang pasukan yang bagus, mereka boleh menjaringkan gol dan itulah yang berlaku."- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

'Beri saya masa'

Posted: 13 Jan 2014 08:15 AM PST

Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Ahmad Shakir Ali meminta penyokong The Red Warriors (TRW) memberinya masa untuk mencari sentuhan jaringan selain tekad mengembalikan reputasinya meskipun dilabelkan sebagai pemain baru dalam pasukan itu.

Selepas melihat rakan satu posisi dengannya, Ahmad Fakri Saarani dan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghadaar sudah menemui sentuhah jaringan ketika perlawanan persahabatan, dia tekad untuk mengembalikan sentuhan penyudahnya.

"Penyerang lain sudah membuktikan kebolehan mereka apabila berjaya melakukan jaringan dan ia memberi semangat kepada saya untuk melakukan perkara sama. Saya sedang berusaha dan memerlukan sedikit masa.

"Walaupun masih baru dalam pasukan ini, saya mahu beraksi setiap kali diberi peluang jurulatih dan saya harap kelantan akan menjadi batu loncatan untuk saya cemerlang, " katanya.


Ahmad Shakir antara pemain paling muda dalam barisan serangan dan dia perlu bersaing dengan seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe sekali gus memaksa pemain itu bekerja keras bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.


Sementara itu Darby berkata, setiap penyerang perlu melakukan jaringan untuk mendapatkan keyakinan malah percaya jentera serangannya semakin berbisa selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Kita mempunyai ramai penyerang dan saya perlu membuat pilihan. Saya lihat semuanya mempunyai pengalaman dan persembahan mereka semakin meyakinkan selepas beberapa perlawanan persahabatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

PETEH redakan debaran pemain

Posted: 13 Jan 2014 08:14 AM PST

Kuala Terengganu: Terengganu yang bakal memulakan kempen Liga Super bertemu Selangor PKNS Sabtu ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, akan diraikan peminat setia skuad itu di Padang Bola Majlis Daerah Marang esok (Rabu) bermula jam 5.30 petang.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, program berkenaan adalah satu usaha kelab peminat bersama pemain bagi meredakan debaran sebelum aksi pembukaan Sabtu depan.

"Program yang dijangka dibanjiri peminat setia sekitar Marang dan kelab bola sepak yang lain adalah satu aktiviti beramah mesra antara pemain dan peminat setia skuad Terengganu serta bagi meningkatkan moral pemain sebelum sepak mula liga.

"Selain itu, program ini adalah aktiviti tahunan kelab bersama pemain dalam usaha menarik lebih ramai peminat berkunjung ke stadium setiap kali pasukan beraksi sama ada di laman sendiri ataupun lawan," katanya yang berharap peminat tidak melepaskan peluang bertemu pemain dengan lebih dekat lagi.

Musim ini Terengganu berjaya mengikat beberapa pemain ternama termasuk Zairo Anuar Zailani, Mohd Faiz Subri, Mohd Sharbinee Alawee Ramli, Nor Hakim Hassan, Azlan Zainal, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Nor Farhan Muhammad bagi memperkuatkan lagi skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu.

Selain pemain tempatan, empat tenaga import termasuk pemain musim lalu Vincent Bikana dari Cameroon, Marcio Souza (Brazil), Mario Karlovic (Australia) dan Mamadou Hady Bary dari Papua New Guinea turut menjadi harapan Terengganu memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Tok Gajah lebih utama

Posted: 13 Jan 2014 08:13 AM PST

Petaling Jaya: Jurulatih baru Pahang Ronald Smith menolak peluang untuk berada di Brazil sempena Piala Dunia Jun ini untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu dua kejuaraan musim ini.

Pengendali kelahiran England itu menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Tok Gajah pada 1 Januari lalu namun mempunyai klausa untuk menamatkan kontrak itu pada Mac ini bagi menjalankan tugas sebagai penganalisis taktikal skuad kebangsaan Australia.

Namun Smith, 64, sudah memberi bayangan awal bahawa beliau tidak akan 'lari' separuh jalan daripada tanggung jawabnya bersama Pahang sebaliknya bersedia untuk mengharungi musim penuh mencabar bersama skuad juara Piala Malaysia itu.

"Saya ambil keputusan tidak akan ke Brazil kerana sebelum ini saya pernah ke Piala Dunia sebanyak dua kali.

Dalam perbincangan awal, saya fikir jadual Liga Malaysia tidak bertembung dengan Piala Dunia, jadi saya menerima tawaran daripada Pahang tapi sebaliknya berlaku.

"Tapi saya fikir saya akan terus bersama pasukan ini kerana tugasan saya dengan skuad kebangsaan Australia itu bukanlah tugas tetap," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penajaan jenama sukan terkemuka Puma dengan pasukan Pahang semalam.

Smith yang menggantikan Dolllah Salleh musim ini bukanlah asing dalam kancah bola sepak tempatan kerana pernah membimbing Sabah (1995-1997) dan Johor FC (1998-1999) serta dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1999-2002.

"Saya masih baru dengan pasukan Pahang dan masih belum mengenali sepenuhnya pemain dalam pasukan ini.

Tapi saya percaya kami mempunyai pemain yang baik dan mampu menggalas misi disasarkan.

Foto

TENGKU Abdul Rahman (kanan) bersalaman dengan Smith.


Saya sudah biasa dengan tekanan, kerana ia adalah sebahagian dalam bola sepak," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang ditemui selepas menyaksikan tajaan Puma selama tiga tahun dengan Pahang tidak bimbang dengan tempoh tiga bulan yang ditetapkan untuk jurulatih baru itu.

"Ia (kontrak) memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak (Pahang dan Smith) kerana kami boleh menilai prestasinya dalam tempoh tiga bulan, tapi saya percaya beliau akan meneruskan tugasnya bersama Pahang.


Sasaran kami adalah untuk mempertahankan Piala Malaysia serta memberikan tentangan bagi menjuarai Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Idam gelaran Liga Perdana

Posted: 13 Jan 2014 08:11 AM PST

Seremban: "Kehadiran saya bersama pasukan Negeri Sembilan musim 2014 ini bukan sekadar ingin berubah angin dan mencari pengalaman tetapi mahu memberikan sumbangan terbaik dalam merealisasikan sasaran menjulang kejuaraan Liga Perdana sekali gus membawa pasukan layak ke Liga Super musim 2015," kata pemain berpengalaman, Sumardi Hajalan.

Pemain berasal dari Tawau Sabah itu berkata, dia mahu menjadikan musim ini sebagai detik kegemilangan dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Menurutnya, biarpun mengakui kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada kekuatan semua pemain, namun dia mahu memastikan sumbangan diberikan nanti dapat memberi kesan positif ke arah merealisasikan kejayaan itu.

Justeru, pemain berusia 28 tahun itu kini berusaha keras mencapai tahap prestasi bagi memastikan persembahannya kelak dapat memenuhi perancangan dan strategi dirangka ketua jurulatih, V Sundramoorthy.

"Sejak mendapat bimbingan Sundramoorthy, prestasi saya semakin meningkat dan kini lebih yakin memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan.

"Apa yang penting, kami perlu memberikan fokus kepada usaha memantapkan pasukan bagi memastikan kemenangan dapat dicapai sama ada dalam aksi liga, Piala FA mahupun Piala Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Sumardi membantu Johor FC selama lima musim dan kini dia mengakui begitu serasi bukan saja dengan rakan sepasukan malah dengan corak latihan yang dikendalikan Sundramoorthy.

Menurutnya, selepas sebulan dibimbing bekas pengendali Lions X11 itu, dia tampak yakin dengan prestasinya, malah sentiasa mendapat sokongan serta kerjasama baik pemain berpengalaman antaranya, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Fauzi Nan dan Abdul Halim Zainal.

Justeru itu, dia yang beraksi pada posisi pertahanan kiri, kini bersedia menggalas cabaran sebenar bertemu FELDA United dalam saingan Piala FA, 19 Januari ini.

"Saya tidak berdepan sebarang masalah sejak bersama pasukan ini, malah banyak ilmu bola sepak yang saya peroleh daripada ketua jurulatih yang begitu berpengalaman.

"Ini meningkatkan lagi keyakinan saya untuk memberikan aksi terbaik sebaik cabaran sebenar bermula nanti dan berharap tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Zali Bek Harimau Berantai tinggal kenangan

Posted: 13 Jan 2014 08:11 AM PST

Marang: Bekas pemain bola sepak Terengganu era 70-an, Ghazali Othman (gambar), 72, yang lebih dikenali Zali Bek Harimau Berantai meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira jam 7.30 malam kelmarin akibat darah tinggi dan kencing manis.

Ghazali yang pernah membarisi skuad kebangsaan dalam perlawanan pertunjukan bersama Raja Bola Malaysia Tan Sri Abdul Ghani Minhat bukan saja tonggak pertahanan kental skuad Terengganu bermula 1967 hingga 1974, malah arwah pernah melatih beberapa pemain tersohor skuad kebangsaan termasuk Abdul Mubin Mukhtar, Badrulhisham Abdullah dan Ahmad Syawal.

Selain itu, hasrat mendalam untuk membawa Terengganu muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali juga menyebabkan Allahyarham menyahut cabaran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menjadi jurulatih skuad negeri pada era 1980-an, namun gagal menjulang piala ketika itu.

"Ayah seorang yang berjiwa bola sepak dan sepanjang kehidupannya banyak menghabiskan masa dengan sukan itu termasuk melatih ramai anak muda bermain bola sepak, termasuk beberapa nama besar dalam skuad Terengganu," kata Rozani anak sulung bekas pemain skuad Penyu itu ketika ditemui di rumahnya di Taman Kurnia Jaya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Usah hampakan penyokong

Posted: 13 Jan 2014 08:09 AM PST

Kota Kinabalu: "Jangan hampakan harapan rakyat Sabah," Itulah amanat pertama Presiden Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman kepada pemain bola sepak negeri ketika menghadiri Majlis Pengenalan Pemain bagi Liga FAM 2014, semalam.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pemain terpilih mewakili negeri ini perlu menunjukkan mutu permainan terbaik bagi memastikan kejayaan pasukan seterusnya sebagai hadiah kepada penyokong setia tempatan.

"Saya melihat setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri apabila beraksi di atas padang.

Bagaimanapun perlu diingat sukan ini bukan untuk seorang pemain tetapi membabitkan kerjasama satu pasukan.

"Saya yakin berdasarkan barisan pemain yang ada, kita mampu membawa perubahan dan merancakkan semula arena bola sepak Sabah," katanya.

Selain memperkenalkan barisan pemain musim ini, majlis berkenaan turut menyaksikan sesi memperkenalkan jersi berwajah baru untuk setiap permainan sama ada di dalam atau di luar negeri.

Sementara itu, jurulatih pasukan, Milomir Seslija ketika ditemui, menyatakan keyakinan terhadap barisan skuad bimbingannya.

"Selain masalah gaji yang berjaya diatasi, semua pemain kini menunjukkan prestasi memberangsangkan, disiplin serta komitmen yang tinggi dalam setiap sesi latihan.

"Justeru, saya yakin pasukan Sabah mampu melakar kejayaan seterusnya berjaya ke Liga Super tahun depan," katanya.

Seperti pasukan lain, barisan pemain Sabah diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import iaitu Mitrivic Srecko, 30 (Serbia) sebagai pemain tengah, Pocuca Predrag, 28 (Croatia) di posisi pertahanan dan Marwan Sayedeh, 29 (Syria) sebagai penyerang dan akan bergandingan dengan pemain skuad Harimau Muda A, Rozaimi Abd Rahman, 22.

Terdahulu, Rozaimi berkata, walaupun menerima beberapa tawaran dari beberapa pasukan lain termasuk Kelab PKNS, Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim ini, dia masih mahu bermain bersama pasukan negeri kelahirannya.

"Saya masih terikat dengan kontrak selama selama satu tahun bersama pasukan Sabah.

"Saya berazam untuk membawa pasukan negeri bersaing semula di Liga Super tahun depan dan ini adalah cita-cita kami semua," kata anak jati Bongawan, Sabah ini.

Foto

SEBAHAGIAN pemain Sabah memperagakan jersi baru, selepas majlis pengenalan pemain, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

KFA pantau skuad Hijau Kuning

Posted: 13 Jan 2014 08:02 AM PST

Alor Setar: Penubuhan Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dijangka mampu memantapkan mutu permainan skuad Hijau Kuning pada saingan Liga Perdana musim ini, sekali gus memastikan pasukan bebas daripada akiviti mengatur perlawanan termasuk rasuah.

Difahamkan, jawatankuasa diketuai Naib Presiden KFA Datuk Shukri Hashim turut dibarisi empat individu berpengalaman dan berkemahiran dalam arena bola sepak.

Setiausaha Kehormat KFA Aminuddin Omar berkata, bermula musim ini, setiap perlawanan membabitkan skuad Liga Perdana dan Piala Presiden negeri akan dipantau jawatankuasa terbabit bagi membanteras dan mengekang sebarang gejala tidak sihat.

Katanya, setiap salah laku, mutu permainan termasuk disiplin pemain akan dipantau sepanjang perlawanan sebelum sebarang tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mereka.

"Sebelum ini jawatankuasa berkenaan hanya menfokuskan perlawanan tertentu sekiranya terdapat unsur mencurigakan, tetapi bermula musim ini setiap perlawanan akan dipantau kerana KFA tidak mahu sebarang aktiviti tidak sihat dikaitkan dengan pemain dan pasukan.

"Justeru, setiap laporan bedah siasat perlawanan akan dibentang dalam mesyuarat diadakan sehari selepas perlawanan bagi memastikan mutu persembahan pasukan sentiasa mantap dan berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis taklimat Liga Perdana dan Piala Presiden di Kompleks Belia dan Sukan di sini, semalam.

Aminuddin berkata, sekiranya terdapat bukti pemain mahupun pegawai terbabit melakukan aktiviti yang boleh mencalar dan merosakkan imej Kedah, pihak pengurusan juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Katanya, sebarang tindakan hanya akan diputuskan selepas mesyuarat bersama KFA dan ahli jawatankuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Justeru, pengurusan KFA mengharapkan mutu permainan pemain Kedah dapat ditingkatkan dan terus memantapkan pasukan sedia ada,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Singa Utara kenal pasti barisan utama

Posted: 13 Jan 2014 08:01 AM PST

Kangar: "Selepas mengharungi sesi perlawanan pemanas badan minggu lalu, secara dasarnya kita sudah mengenal pasti barisan pemain yang berupaya diturunkan dalam kesebelasan utama untuk membawa cabaran Perlis pada kempen Liga Malaysia musim ini."

Jurulatih Reduan Abdullah memberikan reaksi demikian kepada Arena Metro mengulas kedudukan terkini skuad jolokan Singa Utara itu menjelang bermulanya saingan Liga M khususnya Liga Perdana, 24 Januari ini.

Bekas pengendali FELDA United FC dan MPPJ itu berkata, barisan pemain bayangan berkenaan dikenal pasti selepas menamatkan lapan sesi perlawanan pemanas badan dengan yang terakhir menentang skuad The Red Warrios (TRW), minggu lalu.

Pada perlawanan dengan skuad TRW di Stadium Sultan Mohamed IV itu, Perlis tewas 1-3 dan sebelum itu turut tewas kepada Selangor PKNS (1-2) dan Perak, 0-1.

Sebelum itu, Perlis merekodkan keputusan memberangsangkan apabila mencatat keputusan menang ke atas Sungai Ara FC dua kali, 2-0 dan dan 4-0; Kuala Lumpur (2-1) dan seri dengan T-Team, 1-1.

"Melalui sesi perlawanan pemanas badan yang diharungi, kita dapat menilai barisan pemain iaitu gabungan tenaga muda dan berpengalaman selain diperkuatkan awang import yang dikira layak diberi kepercayaan untuk disenaraikan dalam skuad utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

Hapus 'badi' Chen Long

Posted: 13 Jan 2014 07:59 AM PST

Kuala Lumpur: Mampukah Datuk Lee Chong Wei (gambar) menamatkan kemarau kemenangan ke atas Chen Long pada saingan Terbuka Malaysia yang bermula hari ini?

Itu yang menjadi persoalan ketika ini selepas pemain nombor satu dunia itu tewas kali keempat berturut-turut kepada sensasi China itu pada final Siri Super Terbuka Korea kelmarin.

Deretan kekalahan bermula pada Terbuka Hong Kong dua tahun lalu, pasti mencetuskan resah sekali gus bakal mengancam hasrat Chong Wei untuk merangkul kejuaraan Siri Super Premier Terbuka Malaysia untuk kali ke-10.

Dengan kekalahan terbaru itu, Chen Long kini mendominasi lapan daripada 15 pertemuan antara mereka berdua.


Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock bagaimanapun tidak mahu ambil pusing dengan prestasi semasa pemain berusia 31 tahun itu, sebaliknya beliau tetap yakin Chong Wei mampu merangkul kejuaraan ke-10.


"Kita akan mengadakan perbincangan bersama Chong Wei dan buat analisis tahap permainannya sebelum ini.

"Peluang tetap ada untuknya memenangi gelaran ke-10 walaupun hakikatnya memang sukar kerana banyak pemain utama dunia beraksi pada saingan kali ini.

"Tapi dengan sokongan semua rakyat Malaysia, tiada yang mustahil," katanya.

Seu Bock juga yakin beraksi di gelanggang sendiri akan memberi kelebihan kepada Chong Wei yang sudah menyatakan hasrat untuk menebus kekecewaan di Terbuka Korea.

Mengulas peluang pemain perseorangan yang lain, antaranya termasuk Chong Wei Feng yang tewas seawal pusingan pertama di Terbuka Korea, Seu Bock mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada mereka.

"Kalau lihat kepada undian perlawanan, memang sukar bagi pemain negara tapi saya harap mereka tidak akan membuatkan orang memandang rendah kepada mereka.

"Undian yang sukar bukan alasan untuk gagal beraksi dengan baik. Yang penting ialah mereka perlu buktikan sesuatu di depan penyokong Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/14

No comments:

Post a Comment