Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Laluan juara cerah

Posted: 17 Jan 2014 09:31 AM PST

Kuala Lumpur: Chen Long tumbang! Itu drama yang berlaku pada suku akhir perseorangan lelaki Siri Super Premier Terbuka Malaysia semalam yang menyaksikan pemain ranking nombor dua dunia itu tewas mengejut kepada sensasi Jepun, Kenichi Tago 18-21, 21-9, 10-21.

Dilabel selaku musuh ketat serta penghalang Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan ke-10, pemain yang baru saja memenangi saingan Terbuka Korea itu dilihat beraksi di bawah tahap sebenar.

Chen Long mengaku tidak sihat sekali gus menjejaskan aksinya di atas gelanggang.

Selain aksi cemerlang di gelanggang, kejayaan Tago juga dibantu dengan sokongan padu rata-rata penyokong Malaysia dan bagi Chen Long ia sesuatu yang normal.

Foto

CHEN Long

Foto

TAGO


"Biasanya apabila pemain China turun beraksi, penyokong akan menyokong lawan kami. Bukan di Malaysia saja, malah di mana-mana negara pun sama.


"Bagi saya ia perkara biasa dan kami memahami situasi ini," kata Chen Long.

Sementara itu, Tago berasakan Chen Long tidak beraksi pada tahap sebenar sekali gus memberi kelebihan kepadanya.

"Jika Chen Long beraksi 100 peratus, saya rasa peluang agak tipis untuk menang. Tapi melihat dia tidak beraksi pada tahap sebenar, saya terus mencuba sebaik mungkin dan akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Giliran beregu England rebah di tangan Goh-Lim

Posted: 17 Jan 2014 09:29 AM PST

Kuala Lumpur: Tiga kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan beregu pilihan di pusingan kedua, memberi lebih keyakinan kepada pasangan Goh V Shem-Lim Khim Wah untuk memburu kejuaraan pertama pada tahun ini.

Semalam, pasangan yang baru digandingkan semula itu sekali lagi mempamer aksi mantap apabila mudah menewaskan Chris Langridge-Peter Mills dari England 21-16, 21-14 pada suku akhir.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan beregu yang tidak diberikan sebarang harapan itu bakal bertemu beregu Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra, hari ini.

"Sekarang kami sudah ke separuh akhir dan kami mahu teruskan rentak cemerlang ini untuk mendapatkan gelaran juara.

Foto

KHIM Wah (kiri) bersama V Shem meraikan kejayaan menewaskan pasangan England.


"Kami tidak mahu fikir keputusan sebelum ini yang mungkin agak kurang bagus. Sekarang kami hanya mahu fokus terhadap perlawanan seterusnya," kata Khim Wah.


Mengenai corak permainan mereka semalam, V Shem berkata, ia bukanlah aksi terbaik yang dipamerkan mereka berdua.

"Lawan tidak terlalu memberikan saingan sengit dan kami juga tak terlalu fokus pada perlawanan tadi (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Chong Wei buat Pengyu terus layu

Posted: 17 Jan 2014 09:25 AM PST

Kuala Lumpur: Kemenangan mudah 21-9, 21-15 ke atas Du Pengyu pada saingan suku akhir Siri Super Premier Terbuka Malaysia semalam, mungkin sudah dijangka dan menjadi cerita biasa, namun Datuk Lee Chong Wei tidak terlalu meraikan kejayaan mara ke separuh akhir hari ini, sebaliknya menyuarakan kebimbangannya dengan prestasi pemain perseorangan negara yang lain.

Seperti biasa, hanya Chong Wei yang mampu melangkah jauh dan menjadi penyuntik semangat penonton untuk hadir di stadium tatkala pemain lain terutamanya Chong Wei Feng dan Liew Daren terkandas lebih awal.

"Sebagai pemain senior, saya harap pemain muda boleh bangkit semula dengan cepat. Sekarang semua orang cakap hanya saya yang dapat teruskan saingan.

"Kalau boleh saya mahu pemain seperti Wei Feng dan Liew Daren yang mempamerkan prestasi menurun ketika ini dapat tingkatkan semula permainan mereka.


"Sebab seperti yang saya katakan sebelum ini, tahun ini sangat penting kerana kita ada acara berpasukan (Piala Thomas). Tak boleh harap saya seorang saja kerana ia memerlukan kerjasama berpasukan.


"Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah berlatih bersama dan memberi semangat kepada pemain muda," katanya.

Kebimbangan Chong Wei itu timbul selepas dia menyaksikan sendiri bagaimana pemain muda China seperti Pengyu umpamanya, semakin meningkat daripada semasa ke semasa.

"Hari ini (semalam) mungkin dia tidak bermain dengan baik, tapi saya tahu dia seorang pemain bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Harimau Selatan ramalan juara

Posted: 17 Jan 2014 09:18 AM PST

Kuala Lumpur: Pasukan dibarisi ramai pemain bintang Johor Darul Ta'zim (DT) menjadi pilihan utama untuk menjulang kejuaraan Liga Super musim ini namun ia sekadar ramalan awal berdasarkan kekuatan di atas kertas kerana di padang, pasti berbeza.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh beliau menganggap JDT yang tampil lebih hebat berbanding musim lalu dengan kehadiran jurulatih baru dari Sepanyol, Cesar Ferrando Jimenez dan pemain import terkenal dari Argentina, Pablo Aimar bukan saja mampu mendominasi saingan liga malah memiliki prospek untuk menyapu bersih Piala FA dan Piala Malaysia.

"Pada saya, Johor DT secara keseluruhannya memiliki skuad mantap berbanding tahun lalu kerana mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain bagus di setiap posisi. Persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan utama ini bakal membawa mereka ke tahap lebih baik.

"Kelebihan ramai pemain pilihan dalam pasukan ini akan menjadi jurang antara mereka dengan pasukan lain terutama apabila berdepan jadual padat ataupun jika belaku masalah kecederaan pemain," katanya semalam.


Bagaimanapun pengkritik bola sepak terkenal itu yang turut dikenali sebagai Shebbie berkata, laluan JDT untuk menebus kekecewaan tahun lalu bukan mudah kerana 11 lagi pasukan bersedia untuk mencabar kejuaraan apabila tirai saingan liga disingkap semalam.


Katanya, beberapa pasukan lain yang berpotensi untuk merebut gelaran yang dimenangi kelab dari Singapura, LionsXII tahun lalu membabitkan Pahang, PKNS FC dan Selangor selain menjangkakan jaguh Pantai Timur, Kelantan masih lagi dalam proses transformasi.

"Graf Pahang sedang meningkat dan mereka memantapkan jentera serangan musim ini dengan membawa masuk Dickson (Nwakaeme) kerana pada musim lalu mereka mempunyai sedikit kelemahan di bahagian itu.

"PKNS pula dibimbing jurulatih berpengalaman Wan Jamak (Wan Hassan) serta memiliki dua penyerang import berkualiti, Karlo Primorac dan Patrick Wleh yang sebelum ini sudah terbukti bagus.

"Selangor antara pasukan yang perlu diberi perhatian, memang mereka tidak mempunyai kekuatan istimewa di mana-mana bahagian tapi kekuatan mereka adalah bermain sebagai satu pasukan.

"Kenapa saya tidak memilih Kelantan kali ini? Bagi saya, pasukan ini masih dalam tempoh transisi selepas ramai pemain utama mereka keluar termasuk jurulatih. Saya tahu corak latihan dan pendekatan Steve Darby dengan jurulatih dulu Bojan Hodak berbeza," kata Serbegeth.

Ketika ditanya mengenai pendatang baru liga, Sarawak dan Sime Darby, beliau berkata: "Sarawak boleh mencabar kelompok lima pasukan teratas namun Sime Darby saya rasa sukar buat mereka dalam musim pertama ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Jimenez pentingkan aspek berpasukan

Posted: 17 Jan 2014 09:17 AM PST

Johor Bahru: "Mereka yang akan diturunkan malam ini harus beraksi sebagai satu pasukan dan berusaha memberi kemenangan untuk Johor".

Kata-kata yang hadir daripada pengendali Johor Darul Ta'zim (DT), Cesar Ferrando Jimenez itu jelas menggambarkan betapa beliau mengutamakan semangat berpasukan apabila berdepan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, tanpa semangat berpasukan, kemungkinan apa yang dirancang tidak akan menjadi, sebaliknya ia boleh menyebabkan pasukan lawan mudah mengatasi skuad Harimau Selatan dan harapan meraih tiga mata penuh terlepas dari genggaman.

"Tapi, saya yakin pemain sudah bersedia mengharungi aksi pertama. Begitupun, saya tidak mahu dedahkan siapa akan berada dalam kesebelasan utama kerana bagi saya, semua 29 pemain dalam skuad ini adalah barisan utama yang mampu menggalas tugas.


"Kami sudah mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, sekali gus memberi peluang kepada saya untuk mengesan setiap kelemahan manakala latihan sebelum saingan bermula tertumpu kepada memperbaiki apa jua kelemahan itu. Jelas sekali semua pemain memberi kerjasama untuk memantapkan Johor DT.


"Apa yang lebih diutamakan adalah persefahaman antara pemain dan saya cukup berpuas hati kerana aksi pertama menentang Perak amat penting bagi memastikan kami tidak tewas di depan penyokong sendiri," katanya.

Tanpa mendedahkan barisan utama skuad Harimau Selatan, bayangan pemain yang akan turun berdepan anak didik Abu Bakar Fadzim, kemungkinan membabitkan Norazlan Razali selaku penjaga gol dan gandingan Baihakki Khaizan serta kapten Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengemudi jentera pertahanan sambil dibantu pemain muda Mohd Fazly Mazlan di posisi bek kiri manakala Mahali Jasuli, kanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Kafando tekad sekat Aimar

Posted: 17 Jan 2014 09:16 AM PST

Ipoh: Tonggak benteng Perak, Martin Kafando akan melakukan segala yang terdaya untuk menyekat Pablo Aimar dalam pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (DT) di Stadium Tan Seri Hassan Yahya, Larkin, malam ini.

Bek tengah pasukan 'The Bos Gaurus' dari Burkina Faso itu berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan itu dan bertekad untuk memastikan benteng Perak tidak dibolosi terutama pemain handalan itu.

"Memang mereka mempunyai barisan hebat.

Namun saya dan rakan lain juga sudah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab menyekat lawan," kata Kafando sebelum berlepas ke Johor Bahru, semalam.

Pemain itu berkata setakat ini dia tidak menghadapi masalah bergandingan dengan pemain seperti Mohd Tuah Iskandar, Jamaluddin, Azmeer Yusof dan Haizal Faquan.

Begitupun benteng Perak akan terasa ketiadaan pemain yang mempunyai corak keras, Mohd Hisyamuddin Sha`ari yang mengalami kecederaan.

Pasukan Kejor Yob Sekor juga tidak dapat menurunkan Mohd Hardi Jaafar serta pemain skuad bawah 23 tahun negara, Mohd Basir Basharuddin yang turut cedera.

"Saya tidak kisah dengan siapa digandingkan kerana boleh menyesuaikan diri dengan semua pemain," katanya.

Kafando, 26, berharap rakan sepasukan akan turun dengan semangat juang kental dan cekal seperti dipamerkan dalam perlawanan persahabatan.

"Jika dalam perlawanan persahabatan mereka boleh bermain cemerlang, perkara sama juga dituntut daripada setiap anggota pasukan malam esok (ini).


Kami juga mahu membuat permulaan baik jika boleh.


Justeru kami pasti akan memberi tentangan kepada mereka.

"Berdasarkan setakat ini saya berkeyakinan kami mampu memberikan mereka cabaran sengit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Darby sedia turun pemain terbaik

Posted: 17 Jan 2014 09:16 AM PST

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Steve Darby bersedia menurunkan kesebelasan terbaiknya untuk melayani kunjungan Sime Darby dalam perlawanan pertama saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pertemuan kedua-dua pasukan yang boleh digelar sebagai 'Perang Darby' itu bakal menguji pemain kedua-dua pasukan berkenaan dalam perlawanan sebenar selain masing-masing mengejar tiga mata sebagai pembuka tirai musim ini.

Darby berkata, selepas bergelut dengan persediaan untuk mencapai keserasian di antara pemain The Red Warriors (TRW), gergasi Pantai Timur itu kini bersedia untuk menghadapi ujian sebenar selain mengharapkan anak didiknya mampu meraih tiga mata di gelanggang sendiri.

Katanya, perlawanan pertama yang beraksi di gelanggang sendiri memberi sedikit kelebihan kepada anak didiknya untuk beraksi dengan penuh keyakinan apabila bakal mendapat sokongan penyokong.

"Mungkin saya sudah menemui 16 pemain terbaik, namun hanya 11 yang akan beraksi dan saya bersedia menurunkan mereka.

Perlawanan malam esok (ini) ujian sebenar kepada mereka," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi berkata, dia menuntut rakan lain mempamerkan semangat berpasukan untuk menjinakkan Sime Darby selain tidak boleh memandang mudah keupayaan lain.

"Seperti biasa, kunci kejayaan Kelantan bermain secara berpasukan dan jika prinsip ini dikekalkan, tidak mustahil untuk kita tewaskan pasukan lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

DRB-HICOM FC mahu cipta kejutan

Posted: 17 Jan 2014 09:15 AM PST

Shah Alam: DRB-HICOM FC umpama langkah kiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila memulakan aksi menentang LionsXII dalam pusingan pertama Piala FA di tempat lawan pada Selasa depan.

Namun ia tidak melemahkan semangat skuad kendalian G Torairaju yang mahu mencipta kejutan pada perlawanan itu untuk dijadikan pembakar semangat bagi barisan pemainnya.

"Sudah pasti lawan memiliki pemain terbaik (bawah 23 tahun) di negara itu namun kita akan melakar sesuatu jika beraksi dengan baik kerana kami menyasarkan sekurang-kurangnya ke suku akhir Piala FA.

"Bagaimanapun sasaran utama sentiasa untuk menamatkan saingan Liga Perdana dalam kelompok empat tempat teratas sekali gus melangkah ke Piala Malaysia secara automatik. Jika ia mampu direalisasikan, pencapaian itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang hebat," katanya selepas majlis memperkenalkan pemain kelab berkenaan yang dulunya dikenali Pos Malaysia FC.


Menurut Torairaju yang sudah membimbing skuad berkenaan sejak 2012, seramai 12 pemain musim lalu dikekalkan dengan tiga pemain import memperkuatkan cabaran musim ini membabitkan dua pemain dari Nigeria, Ogunboye Iyanul Ezekiel (penyerang) dan Atapa Kazeem Adeolu (pemain tengah) serta seorang lagi pemain tengah dari Jepun, Hattori Shotaro.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

UiTM FC yakin mampu beri saingan

Posted: 17 Jan 2014 09:13 AM PST

Shah Alam: Walaupun menempuh pengalaman getir ketika melangkah aksi pertama Liga Perdana tahun lalu, skuad UiTM FC kini lebih bersedia untuk menempuh cabaran musim ini yang dijangka jauh lebih mencabar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Dr Abdullah Mohd Said yang juga presiden pasukan itu berkata, skuad yang diletakkan di bawah Projek Kecemerlangan Sukan (PKS) Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini mempunyai misi menggunung, tetapi beliau yakin mereka mampu memberikan saingan.

"Malah sasaran kami adalah untuk berada di kedudukan enam teratas Liga Perdana serta ingin mencatat sejarah melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenal barisan pemain UiTM FC musim ini, semalam.

Turun selaku institusi pengajian tinggi pertama melayakkan diri ke Liga Perdana dan mendapat khidmat jurulatih Azuan Zin, pasukan itu meletakkan sasaran realistik iaitu untuk terus bersaing dalam liga itu pada musim akan datang.

"Biarpun mereka semua ini pelajar, tapi mempunyai keinginan untuk pergi jauh.

Mereka ini berada di usia muda dan platform bersaing di Liga Perdana boleh digunakan untuk mempromosi diri bagi diintai pasukan luar apabila tamat pengajian nanti.

"Untuk memantapkan lagi skuad ini, UiTM FC buat julung kalinya menurunkan dua pemain import dari Nigeria dan Tanzania," kata Azuan.

Berpengalaman membimbing pasukan Johor FC dan NS Betaria, Azuan berkata cabarannya sebagai jurulatih skuad itu memang besar namun berbangga kerana dapat menyertai pasukan yang mempunyai pengurusan yang komited.

"Cabarannya banyak, apa lagi mereka ini masih menuntut.


Saya perlu menyusun jadual masing-masing untuk disesuaikan dengan latihan termasuk enam pemain yang bukan menuntut di UiTM," katanya.

Azuan berkata mereka mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan selama sembilan hari di Jogjakarta, Solo dan Semarang dengan pasukan profesional Indonesia bulan lalu dan gembira dengan perkembangan pemain bimbingannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

'Maaf saja tak cukup'

Posted: 17 Jan 2014 09:12 AM PST

Kuala Lumpur: "Ini bukan macam baju kotor yang boleh dicuci dengan sabun Fab. Apa yang beliau lakukan itu tidak boleh dimaafkan begitu saja. Perkara ini akan tetap dibawa ke mesyuarat untuk tindakan lanjut."

Itu kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail ketika diminta mengulas mengenai surat permohonan maaf yang dikeluarkan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (PESTAK) Lim Choo Hwa, semalam.

Dalam satu surat bertarikh 16 Januari dan menggunakan kepala surat PESTAK, Choo Hwa memohon maaf secara terbuka kepada Ahmad kerana sebelum itu mengeluarkan kenyataan meminta kepimpinan sedia ada badan induk kebangsaan itu dibubarkan atas pelbagai alasan.

Antara alasannya ialah PSM tidak pernah berbincang dan memberitahu semua ahli majlis tertinggi terlebih dulu mengenai pelantikan pegawai yang mewakili badan induk kebangsaan berkenaan ke kejohanan besar contohnya pengurus skuad negara ke Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.


Malah, surat berkenaan turut menyatakan kekecewaan serta malu apabila PSM yang pada mulanya bersetuju memberi mandat kepada PESTAK untuk menganjurkan Kejohanan Piala Emas Khir Johari ke-50 di negeri itu, menarik balik keputusan tanpa alasan munasabah.


Surat berkenaan ditandatangani Choo Hwa yang juga pemilik syarikat pengeluar peralatan sukan sepak takraw jenama Gajah Emas itu bertarikh 8 Januari meminta supaya pucuk pimpinan tertinggi PSM dibubarkan sekali gus mendedahkan dirinya dengan tindakan tatatertib kerana melanggar perlembagaan badan induk kebangsaan itu yang melarang setiap ahlinya daripada mengeluarkan kenyataan serta rasa tidak puas hati tanpa kebenaran.

Kelmarin, Setiausaha Agung PSM Datuk Arshad Yahaya ketika dihubungi berkata, tindakan Choo Hwa itu melanggar Artikel 44 Perlembagaan PSM dan beliau boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan.

Dalam surat terbarunya, Choo Hwa turut menyatakan sokongan terhadap Ahmad dan mengaku tidak tahu menahu bagaimana surat berkenaan boleh terlepas ke tangan media.

Ahmad berkata, apapun alasan yang diberikan Choo Hwa, perkara itu sudah menjejaskan imej badan induk berkenaan dan bagi memberi pengajaran serta bertindak adil, perbuatan Timbalan Presiden PESTAK itu akan tetap dibincangkan mesyuarat majlis dalam masa terdekat ini.

"Saya tidak ada kuasa untuk mengatakan beliau tidak akan dikenakan tindakan selepas mengirim surat permohonan maaf. Semuanya terletak di tangan majlis PSM. Saya juga tidak ada kuasa untuk menghukum kerana semua keputusan di bawah bidang kuasa majlis.

"Kerosakan sudah berlaku dan secara peribadi, saya tidak fikir perbuatannya itu boleh dimaafkan begitu saja. Bukan dengan sekeping surat permohonan maaf, beliau boleh menganggap perkara itu sudah selesai.

"Satu perkara lagi yang agak pelik bagi saya, mengapa surat permohonan maaf beliau itu tidak diberikan kepada semua presiden persatuan negeri sedangkan salinan surat pertama beliau yang meminta supaya kepimpinan PSM dibubarkan, dihantar ke semua persatuan negeri.

"Mengapa ketika ingin menimbulkan kontroversi, beliau mengharapkan sokongan persatuan negeri lain sedangkan untuk meminta maaf, beliau lakukan secara senyap saja?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

No comments:

Post a Comment