Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Hukum macam lembu

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

Sungkai: Seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, bertindak melampaui batas apabila memperlakukan dua muridnya seperti lembu dengan menggantungkan loceng di leher dan memberi rumput sebagai makanan, Khamis lalu.

Hukuman tidak masuk akal itu dikenakan terhadap murid tahun empat itu hanya kerana mereka gagal menyiapkan kerja sekolah diberi.


Terkejut selepas mengetahui mengenai kejadian itu, ibu seorang daripada mereka membuat laporan di Balai Polis Sungkai, kelmarin. Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata, anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan dikutuk dengan panggilan 'lembu' oleh murid lain, terutama rakan sekelas serta turut takut untuk ke sekolah.

"Ketika buat laporan polis, guru Bahasa Inggeris itu bersama guru besar turut hadir dan mereka mengaku mengenakan hukuman tidak masuk akal itu dan meminta maaf.


"Bagaimanapun, lebih memeranjatkan kami, guru besar terbabit mengakui, hukuman menggantung loceng di leher beberapa kali dikenakan terhadap beberapa murid lain sebagai denda tidak membuat kerja sekolah," katanya dalam sidang media di Surau Awamiah, Taman Permai, di sini, semalam.


Yarnis berkata, guru besar itu mendakwa hukuman menggantung loceng di leher tidak mendapat bantahan ibu bapa lain.

Foto

DUA murid yang mendakwa diberi rumput sebagai makanan.

"Saya kesal dengan tindakan pihak sekolah. terutama guru Bahasa Inggeris yang baru tahun lalu dipindahkan ke sekolah itu. Saya bukan hantar dia ke sekolah tentera hingga perlu didenda sedemikian rupa.


"Harap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenakan hukuman setimpal terhadap guru berkenaan, termasuk memindahkannya. kerana anak kami 'takut' ke sekolah lagi untuk berdepan dengannya," katanya.

Ibu seorang lagi murid yang turut dikenakan hukuman sama, Siti Aisyah Hashim, 32, kecewa kerana tidak menyangka guru berkenaan sanggup melakukan perbuatan seumpama itu.


Katanya, memang guru terbabit dan guru besar menemui mereka di balai polis selepas laporan dibuat serta meminta maaf, namun ia seperti tidak ikhlas.


"Sejurus selepas berbincang di balai polis dan memohon maaf, mereka terus berlalu pergi tanpa menemui atau berkata apa-apa kepada kami. Malah, kami pula diberi cadangan oleh PPD untuk memindahkan anak ke sekolah lain.


"Kami terpaksa menghantar anak ke sekolah sama kerana berdekatan rumah. Anak kami mengikuti pelajaran aliran Cina sejak tadika lagi, lebih baik pindahkan guru itu, bukan anak kami," katanya.


Anak Siti Aisyah yang hadir sama dalam sidang media berkenaan, turut menceritakan apa berlaku dan melakonkan semula bagaimana dia dan rakan sekelasnya didenda dengan hukuman memakai loceng serta diberi rumput.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Guru minta maaf, kes selesai

Posted: 25 Jan 2014 10:23 AM PST

Sungkai: Polis menganggap kes hukuman tidak masuk akal terhadap dua murid tahun empat sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, di sini, yang leher mereka digantung loceng dan diberi makan rumput ketika sesi persekolahan pagi Khamis lalu, selesai selepas semua pihak terbabit berbincang.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mengenai kes itu sehari selepas kejadian dan siasatan dijalankan sejurus laporan diterima.


"Dalam laporan yang kami terima, ibu seorang murid berkenaan, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, mendakwa anak lelakinya berusia 10 tahun bersama seorang rakan sekelasnya didenda dengan dipakaikan loceng di leher oleh seorang guru Bahasa Inggeris kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.

"Ibu murid terbabit turut mendakwa, kedua-dua murid itu juga diberi rumput sambil guru berkenaan mengatakan 'lembu tak buat kerja rumah mesti kena makan rumput' dan merakam gambar mereka untuk dimuatnaik ke Facebook," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, hasil laporan diterima di Balai Polis Sungkai itu, ketua balai memanggil semua pihak yang terbabit dalam kejadian itu, termasuk kedua-dua murid itu.


"Perjumpaan itu turut dihadiri guru besar dan dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah. Dalam perbincangan itu, guru berkenaan mengaku mengenakan hukuman menggantung loceng di leher, tapi tidak memberi kedua-dua murid itu makan rumput.

"Guru itu mengaku memberi hukuman berkenaan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah selama dua minggu, sedangkan murid terbabit berpotensi dalam subjek berkenaan dan dia memohon maaf," katanya.


Som Sak berkata, ibu bapa dan sekolah kemudian bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik serta menyerahkan tindakan lanjut terhadap guru itu kepada PPD.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Perak Muhamad Roli Hassan ketika dihubungi pula berkata, siasatan mengenai kes itu dijalankan PPD Batang Padang untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan tatatertib.


Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Ahli Parlimen di kawasan kejadian berkata, hukuman dikenakan terhadap murid itu adalah tidak wajar.


Menurutnya, semua guru tanpa mengira jenis sekolah perlu lebih berhati-hati ketika mengajar dan mengenakan hukuman terhadap murid.


"Apabila menghukum, guru mesti melihat pantang larang dan sensitiviti masyarakat serta tidak boleh menghukum dengan cara yang akan dilihat sebagai memalukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Polis, KPDNKK pantau harga

Posted: 25 Jan 2014 10:21 AM PST

Bagan Datoh: Polis akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau harga barang keperluan khususnya makanan di pasar borong dan premis perniagaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata PDRM akan membantu menangani tindakan peruncit dan pemborong yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.


"Kita tidak akan menghantar pasukan berpakaian seragam untuk memantau tetapi anggota (polis) yang berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ramah mesra rakyat bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) semalam.

Ahmad Zahid berkata PDRM mempunyai mekanisme mengenai harga barang di peringkat pemborong sebelum ia dijual kepada peruncit. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Anak jadi pendiam sebelum lemas bersama rakan

Posted: 25 Jan 2014 10:20 AM PST

Machang: "Kali terakhir makcik menghubunginya sehari sebelum kejadian, dia memesan makanan seperti biskut dan kami sekeluarga sepatutnya ke asramanya untuk menghantar makanan itu hari ini (semalam) tetapi tidak sempat," kata Naimah Saad, 55, selepas anaknya Ahmad Izzat Zakaria, 19, ditemui lemas bersama rakan karib Wan Khairul Ariffin Abdullah,19 dalam kejadian di Jeram Linang, Machang, petang kelmarin.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar tahun pertama jurusan perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang.


Sebelum kejadian kira-kira 6.40 petang itu berlaku, kedua-dua mangsa dikatakan mengunjungi kawasan perkelahan itu bersama lima lagi rakan sekampus mereka untuk bermandi-manda.

Menurut Naimah, dia sebenarnya tidak tahu anak kedua daripada empat beradik itu mengunjungi ke tempat terbabit kerana jika tidak dia pasti akan melarangnya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.


Katanya, arwah sempat pulang ke rumah pada Rabu lalu tetapi cuma seketika untuk mengambil barang saja sebelum beredar ke asrama menaiki kereta bersama rakannya.


"Sejak dia mengikuti pengajian, makcik tidak pernah lupa menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar tetapi tidak sempat berbuat demikian pada pagi sebelum kejadian.

"Rabu lalu dia cuma pulang sekejap saja dan terus beredar. Bagaimanapun, pagi sebelum kejadian juga makcik sempat melihat gambarnya yang dimasukkan di laman facebook sebelum menerima berita buruk apabila dihubungi polis pada jam 8.30 malam," katanya.


Manakala nenek kepada Wan Khairul Ariffin, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya adalah pada Selasa lalu namun arwah dilihat lebih pendiam.

"Arwah nampak lebih pendiam, selain rakannya memberitahu dia berkelakuan pelik apabila meminta maaf daripada semua kenalan," katanya.


Jenazah Ahmat Izzat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol manakala jenazah rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Durian Rendang, Ketereh.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.55 petang sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemui jam 8.36 malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Parah ditetak kerana cemburu

Posted: 25 Jan 2014 10:20 AM PST

Shah Alam: Disebabkan cemburu, seorang lelaki parah di kepala selepas ditetak dua individu dalam kejadian di Alam Megah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 31 tahun itu ditetak menggunakan objek tajam dipercayai berpunca gara-gara berebut seorang wanita yang dikenali mangsa dan suspek.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kedua-dua suspek kini diburu polis berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada saksi kejadian.

"Kami belum lagi merakam percakapan mangsa dan perlu menunggu laporan penuh daripada doktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment