Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Osama Russia' sasar penonton Olimpik

Posted: 05 Jan 2014 11:03 AM PST

Moscow: Atlet dan penonton dari Britain akan menjadi sasaran 'Osama bin Laden Russia' dalam temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk yang dijadual berlangsung di Sochi, Russia bulan depan.

Maklumat itu diperoleh sumber Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada dan sudah dikongsi dengan agensi rahsia Britain.


Berdasarkan rancangan asal, Doku Umarov menggesa pengikutnya melancarkan serangan itu ketika "sukan syaitan" berkenaan berlangsung.

Justeru agensi keselamatan Kanada dan Britain menganggap Umarov sebagai berpotensi membawa ancaman keganasan dalam temasya sukan berkenaan. Umarov, 49, adalah pemimpin jihad Chechen yang didakwa bertanggungjawab dalam dua serangan pengebom berani mati di Volgograd pada Krismas lalu.


Dia memimpin Imarat Kavkaz, iaitu kumpulan bersenjata yang berjuang untuk melaksanakan pemerintahan Islam di Caucasus Utara Russia.


Wilayah bergunung-ganang itu terletak bersempadan dengan Sochi. Umarov digelar sebagai Osama Russia kerana mengikut ideologi al-Qaeda dalam perjuangannya. Sumber keselamatan berkata, menurut perspektif Umarov, setiap kepentingan Israel, AS dan Britain halal untuk dijadikan sasaran. "Kepemimpinan Umarov semakin kukuh tetapi wujud keraguan setakat mana pengikutnya mampu melaksanakan perintah itu kerana sesetengah daripada mereka adalah muka baru yang kurang berpengalaman," katanya. Sementara itu sumber keselamatan Britain berkata, perisik MI6 sedang bekerjasama erat dengan agensi Russia untuk menghadapi ancaman berkenaan. - Agensi

Foto

UMAROV

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Separuh bogel buru baju percuma

Posted: 05 Jan 2014 10:17 AM PST

Rom: Ratusan pembeli yang hanya berpakaian dalam sanggup beratur berjam-jam lamanya dengan harapan mendapat baju percuma dan diskaun daripada rangkaian pakaian kasual Sepanyol, Desigual.

Parti Separa Bogel dianjurkan Desigual itu menjanjikan pakaian percuma untuk 100 pelanggan pertamanya bagi jualan murah yang bermula jam 8 pagi di Turin dan Rome.


Ada yang mula beratur sejak malam sebelumnya, malah mereka yang tiba pada jam 3 pagi sekali pun tidak berjaya mendapat tempat dalam kalangan 100 pertama dijanjikan pakaian percuma.

Bagaimanapun, semua yang hadir tetap diberi diskaun separuh harga.


Parti seumpama itu yang pertama kali dianjurkan Desigual pada 2005 pernah diadakan di Madrid, Barcelona dan bandar lain di Sepanyol, selain bandar raya lain di Eropah seperti London, Berlin, Paris Amsterdam serta Lisbon.


Parti sedemikian juga pernah diadakan di Jepun dan New York.

Lebih 10,000 orang menyertai semua parti itu.


Parti Separa Bogel Desigual juga akan diadakan minggu depan di Paris.

Untuk mendapatkan pakaian percuma, peserta bukan saja perlu hadir dalam keadaan separuh bogel, malah dikehendaki menyertai lumba lari sejauh 100 meter. Ketika parti sama di London pada 2011, ada peserta mula beratur sejak jam 11 malam semata-mata mahu menjadi antara 100 pelanggan pertama pada jam 9 pagi keesokannya, malah sanggup meredah hujan dan angin sejuk untuk acara yang diadakan pada musim panas itu.


Peserta parti 2011 itu turut dihiburkan kumpulan Australia Set Sail selain diberi beg hadiah sepanjang mereka beratur.


Hasilnya, 100 yang pertama mendapat baju dan seluar percuma manakala yang lain mendapat diskaun 50 peratus bagi koleksi musim panas Desigual. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Pelancong Poland dirogol di India

Posted: 05 Jan 2014 10:17 AM PST

New Delhi: Seorang wanita Poland menjadi mangsa rogol terbaru membabitkan pelancong ketika menjelajah India, semalam.

Jurucakap polis Rajan Bhagat berkata, kejadian berlaku ketika wanita berusia 33 tahun itu menaiki teksi bersama anaknya dari kediaman mereka di Mathura, Khamis lalu, sebelum dirogol pemandu teksi terbabit.


Katanya, anak mangsa berusia dua tahun. Difahamkan, pemandu itu memberi mangsa dadah ketika mereka menempuh perjalanan sejauh 150 kilometer berkenaan.

Pemandu teksi terbabit dipercayai melakukan serangan seksual sebaik saja mangsa tidak sedarkan diri.


Bhagat berkata, selepas tersedar beberapa jam kemudian wanita itu mendapati dirinya berada di luar sebuah stesen kereta api di New Delhi manakala anaknya menangis di sisinya.


"Kes masih disiasat namun setakat ini nampaknya walaupun wanita itu menaiki teksi berkenaan secara sukarela, dia kemudian diberi dadah dipercayai disembur ke mukanya menyebabkannya pengsan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Seagal mahu jadi gabenor Arizona

Posted: 05 Jan 2014 10:16 AM PST

Phoenix: Pelakon filem aksi Steven Seagal, 61, bercadang mengikut jejak langkah Arnold Schwarzenegger untuk meyertai politik dengan bertanding bagi jawatan gabenor di Arizona.

Pelakon filem Under Siege itu berkata dia ada membincangkan perkara itu dengan Syerif Maricopa County, Joe Arpaio ketika perbincangan membabitkan rancangan realiti mereka, Steven Seagal Lawman: Maricopa County.


Jika berjaya, Seagal akan mengikut contoh Schwarzenegger yang memegang jawatan gabenor di California dari 2003 hingga 2011.

Dalam rancangan berkenaan, Seagal pakar seni mempertahankan diri Aikido - berganding bahu dengan Arpaio yang mendakwa dirinya syerif paling gagah di Amerika.


Mereka menentang penjenayah bersama 3,000 sukarelawan terdiri daripada orang awam.


Seagal sebelum ini turut membantu pejabat syerif di New Mexico, Texas dan Louisiana selain berazam mempertingkatkan keselamatan di sempadan Amerika.

Setakat ini, Seagal belum menyatakan parti mana bakal diwakilinya, namun Arizona secara umumnya dipegang Parti Republikan.


Malah gabenor sedia ada, Jan Brewer adalah dari parti berkenaan dan dilantik pada 2009. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

'Acara pembuka' Suthep

Posted: 05 Jan 2014 10:16 AM PST

Bangkok: Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan kembali berarak di tengah Bangkok semalam dalam langkah dilihat sebagai permulaan kepada perancangan besar mereka menutup ibu negara Thailand minggu ini, sekali gus menggagalkan pilihan raya umum Februari depan.

Penunjuk perasaan terbabit yang menganggap Perdana Menteri Yingluck Shinawatra orang suruhan abangnya Thaksin yang kini dalam buangan menuntut majlis rakyat ditubuhkan untuk memantau perubahan merangkumi pembaharuan terhadap proses pilihan raya, pengagihan kuasa dan mewujudkan pasukan polis sukarelawan dalam tempoh 12 bulan sebelum proses pemilihan dilakukan.


Krisis itu bermula sejak November lalu dan semakin memberi kesan negatif terhadap ekonomi Thailand dengan nilai mata wang baht berada pada tahap terendah Jumaat lalu berbanding dolar sejak Februari 2010.

Penunjuk perasaan berarak dari Monumen Demokrasi di Bangkok semalam manakala pemimpin mereka Suthep Thaugsuban dilihat dirai penyokongnya yang berjabat tangan serta menyerahkan wang kepadanya.


"Kami akan terus berarak tanpa henti. "Kami akan berarak sehingga menang dan tidak sekali-kali menyerah kalah," kata Suthep.


Mereka merancang menutup pejabat kerajaan pada 13 Januari ini dalam usaha membantutkan pentadbiran Yingluck, namun berjanji tidak mengganggu orang awam atau lapangan terbang.

Yingluck sendiri enggan tunduk dengan desakan penunjuk perasaan berkenaan, sebaliknya menegaskan pilihan raya adalah penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut politik negara itu. "Saya akui pilihan raya mungkin tidak akan terus menghapuskan segala masalah kita, namun proses itu memang 'ubat' terbaik bagi menyelesaikan konflik ini mengikut sistem demokrasi.


"Saya tidak mahu melihat krisis ekonomi atau keganasan seperti yang berlaku pada 2010.

"Tidak adil kita meninggalkan konflik seperti ini sebagai warisan anak cucu kita," katanya dalam laman Facebook miliknya, semalam. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Silap besar tayang bini kedua

Posted: 05 Jan 2014 10:15 AM PST

Jakarta: Sama ada ia satu gimik politik atau sebaliknya, keputusan Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Anis Matta mendedahkan amalan berpoligami mungkin menjejaskan populariti parti Islamik itu dalam pilihan raya akan datang.

Malah, beberapa mesej dimuat naik ke Twitter oleh Timbalan Setiausaha Agung PKS Fahri Hamzah berhubung perkahwinan kedua Anis dengan Szilvia Fabula semakin memburukkan imej parti itu apatah lagi sebelum ini digemparkan dengan skandal rasuah membabitkan pengerusi terdahulu, Luthfi Hasan Ishaaq.


Beberapa pengundi di Jakarta berkata mesej yang dimuat naik di Twitter dan gambar Anis bersama isterinya yang berasal dari Hungary itu membuatkan mereka tidak lagi berminat mengundi PKS.

"Sikap menayangkan kehidupan berpoligami bukan strategi baik.


"Ini pasti semakin membuatkan PKS terkebelakang dalam arena politik, tambahan pula bekas pengerusinya kini dipenjara kerana kes rasuah," kata Dyah Pamela, pekerja syarikat swasta di Jakarta. Katanya, dia sendiri menyenarai hitamkan parti itu dan berazam tidak mengundi mana-mana wakil PKS kelak.


Pendiriannya itu dipersetujui penulis Sophia Moeljono yang beranggapan rasuah serta poligami memang 'resipi' untuk memusnahkan kepercayaan penyokong. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Kian ramai remaja Thai hamil

Posted: 05 Jan 2014 10:15 AM PST

Bangkok: Thailand kini menjadi negara kedua di ASEAN memiliki ibu muda paling ramai di kalangan remaja.

Pengarah Institut Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja, Mathurada Suwannapho berkata, dengan kadar kehamilan 54 daripada setiap 100,000 remaja perempuan di bawah usia 18 tahun, Thailand kini hanya setapak di belakang jirannya Laos.


Jumlah itu yang diperoleh daripada laporan Pejabat Statistik Kebangsaan 2013 jauh lebih tinggi daripada standard ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 15 daripada 100,000 remaja.

Laos merekodkan nisbah seramai 56 ibu muda. Merujuk satu laporan dikeluarkan Biro Kesihatan Reproduktif Jabatan Kesihatan pada 2012, Mathurada berkata, 3,725 gadis di bawah usia 15 tahun melahirkan anak manakala 15,443 di bawah usia 20 tahun mengandung serta melahirkan anak berulang kali.


"Isu ini hanya boleh diselesaikan dengan bantuan pelbagai pihak kerana kehamilan tidak matang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, berikutan laporan 2012 itu, institut berkenaan melancarkan projek 'Love Say Play' pada 2012 untuk menyediakan maklumat tepat berhubung seks di sekolah menengah dan universiti.

Ia juga menekankan risiko lain yang turut dihadapi golongan itu.


Kira-kira 723,268 remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun minum arak manakala sembilan peratus remaja Thailand berusia 15 hingga 18 tahun adalah perokok.

Selain itu, 1.5 juta remaja berusia lebih 12 tahun juga gemar bermain permainan dalam talian yang boleh mengakibatkan mereka terjebak pelbagai tabiat buruk.. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

'Ini jalan datuk kamu?'

Posted: 05 Jan 2014 10:09 AM PST

Singapura: Kira-kira 20 penduduk serta sukarelawan dari Tiong Bahru bersama ahli parlimen, Indranee Rajah melakukan demonstrasi secara aman semalam untuk mendidik pemandu dan pelawat supaya tidak meletakkan kereta sesuka hati di jalan raya.

Kempen 'Is this your grandfather's road' ('Ini Jalan Datuk Kamukah?') adalah sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Penduduk Seng Poh yang mahukan pelawat ke kawasan itu meletakkan kenderaan mereka di 600 lot parkir yang disediakan.


Kumpulan itu meletakkan risalah yang menyenaraikan tempat letak kereta berkenaan pada cermin kenderaan yang diparkir secara haram.

Ini berikutan aduan diterima daripada penduduk mengenai pemandu luar yang tidak bertanggungjawab selain kesesakan di kawasan berkenaan sejak tiga tahun lalu apabila pelbagai kafe mula dibuka di situ.


Penduduk Donald Wyatt, 78, berkata, kempen itu diadakan tepat pada masanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Larikan kertas undi

Posted: 05 Jan 2014 10:09 AM PST

Dhaka: Ribuan penunjuk perasaan menyerang pusat pembuangan undi dan melarikan kertas undi dalam keganasan merebak di seluruh Bangladesh ketika pilihan raya umum negara itu diboikot pembangkang.

Kata polis sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 200 pusat pembuangan undi dibakar atau dirosakkan penunjuk perasaan dalam usaha pembangkang menggagalkan pilihan raya sebelah pihak itu. Dua daripada mangsa yang terbunuh meninggal dunia akibat dibelasah ketika mengawal pusat pengundian di utara Bangladesh. Ketua Polis Daerah Bogra, Syed Abu Sayem berkata ribuan penunjuk perasaan menyerang pusat pengundian serta anggota keselamatan di beberapa lokasi.


Kata Syed Abu Sayem, perusuh menyerang menggunakan koktail Molotov serta bom petrol.

"Situasi sangat panas dan ribuan kertas undi dibakar perusuh," katanya. Kebanyakan mangsa yang maut adalah aktivis pembangkang yang ditembak polis, selain seorang pemandu terbunuh akibat kecederaan terkena serangan koktail Molotov ketika dia dalam kenderaannya. Ketua Polis Parbatipur, Mokbul Hossain berkata pihak keselamatan terpaksa melepaskan tembakan selepas perusuh cuba menyerang mereka dengan "senjata api dan bom kecil." Katanya, ia adalah serangan terancang.


"Mereka berjaya merampas sejumlah kertas undi dan cuba pula mencuri senjata polis," katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini ribuan tentera dikerah berkawal di seluruh negara selepas kira-kira 150 orang maut dalam keganasan menjelang pilihan raya.


Parti Liga Awami menuduh pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh mendalangi keganasan dan meletakkan pemimpin kumpulan itu di bawah tahanan rumah. Pegawai pilihan raya pula mengesahkan peratusan pengundi yang keluar jauh lebih rendah daripada biasa. Pilihan raya kali ini hanya mempertandingkan 147 daripada 300 kerusi parlimen kerana selebihnya sudah dimenangi Liga Awami atau sekutunya tanpa bertanding. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

No comments:

Post a Comment