Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Padah bantu budak

Posted: 01 Jan 2014 08:26 AM PST

New York: Seorang pembantu perubatan kecemasan digantung kerja selepas melanggar peraturan majikannya kerana membawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang sawan ke hospital menggunakan ambulans.

Stephen Sawyer, 20, dianggap melakukan kesalahan apabila memandu ambulans sedangkan peraturan menyatakan pemandu perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.


Dia menerima panggilan kecemasan ketika berada di ibu pejabat skuadnya di Ellenville bersama seorang rakan setugas dan pemandu ambulans.

Akhbar Times Herald-Record melaporkan, panggilan itu dibuat paramedik yang berada di rumah mangsa.


Selang dua minit kemudian, satu lagi panggilan diterima membabitkan lelaki warga emas yang cedera akibat jatuh.


Sawyer mengarahkan pemandu ambulans yang ada bersamanya memberi bantuan kepada pemanggil kedua tanpa menyedari tiada kenderaan lain untuk dihantar ke rumah mangsa pertama.

Foto

Stephen Sawyer

Berikutan itu, Sawyer menghabiskan 15 minit menghubungi empat perkhidmatan ambulans lain untuk meminta bantuan namun semuanya sibuk atau berada terlalu jauh.


Sawyer kemudian memutuskan untuk memandu sendiri ambulans ke rumah mangsa dan membawa kanak-kanak itu bersama ibunya serta paramedik terbabit ke hospital.

"Jiwa saya pasti tak tenteram jika tidak mempedulikan nasib kanak-kanak sekecil itu," katanya yang juga bomba sukarelawan serta anggota polis bantuan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Budak jatuh tersembam dalam telaga

Posted: 01 Jan 2014 08:23 AM PST

Georgia: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bernasib baik apabila diselamatkan selepas terjatuh lebih 15 meter ke dalam telaga sempit.

Megan Winters terjatuh ketika melompat di atas penutup telaga yang sudah reput.


Dia terperangkap lebih sejam di dalam telaga itu di Carroll County, Isnin lalu sebelum pasukan penyelamat berjaya menyelamatkannya.

Ibunya berkata, Megan patah tangan, kaki dan tulang pinggul selain mengalami pendarahan dan lebam pada otaknya.


Usaha menyelamatkan Megan berjaya dirakam stesen televisyen WSB-TV dari helikopter.


"Megan dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

"Kami menggunakan tali dan menghantar seorang anggota bomba ke dalam telaga itu untuk mengeluarkannya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Gaji pertama artis terkenal Bollywood

Posted: 01 Jan 2014 08:23 AM PST

New Delhi: Mereka kini bergelar selebriti kelas A malah ada antara mereka disenaraikan bintang paling kaya India. Namun tahukah anda berapa gaji pertama diterima mereka?

Ada yang mendapat gaji terlalu menyedihkan pada awal karier, namun tetap menyimpan gaji pertama itu sebagai kenangan.


Rohit Shetty mula bekerja pada usia 16 tahun sebagai pembantu pengarah filem Kuku Kohli dengan gaji 31 rupee (RM1.64) sehari - sekadar cukup untuk membeli makanan kudapan setiap hari.

Sementara itu, Sonam Kapoor juga menjadi pembantu pengarah pada usia 18 tahun dengan pendapatan 30 rupee (RM1.58), sehingga terpaksa berjalan puluhan kilometer ke tempat kerja untuk menjimatkan wang.


Seorang lagi pelakon, Emran Hashmi pertama kali dikenali sebagai bintang cilik iklan jenama Goodnight dengan bayaran 2,493 rupee (RM132).


Dia yang kini antara bintang paling menyerlah Bollywood bagaimanapun tidak pernah mendedahkan berapa bayaran yang kini diterimanya bagi setiap filem dilakonkan.

Aktres jelita Priyanka Chopra pula mendapat gaji pertama berjumlah 4,987 rupee (RM264). Bagaimanapun, disebabkan berasal daripada keluarga berada, dia menyerahkan sepenuhnya gaji itu kepada ibunya yang masih disimpan sebagai kenangan.


Pelakon kacak John Abraham mendapat bayaran 12,215 rupee (RM647) namun tidak langsung dibelanjakan, sebaliknya di simpan di bank sehingga kini.

Seorang lagi pelakon tampan, Hrithik Roshan kali pertama berlakon dalam filem Aasha pada 1980 ketika masih kecil manakala bayaran diterimanya sebanyak 96 rupee (RM5) - yang semuanya dihabiskan dengan membeli kereta mainan.


Aktor Akshay Kumar pula pelayan restoran di Bangkok, Thailand sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, malah mendapat gaji 1,526 rupee (RM81), jauh kecil daripada pendapatannya sekarang yang meletakkannya sebagai antara 10 selebriti terkaya India. Pelakon veteran Amitabh Bachchan pula hanya mendapat bayaran 458 rupee (RM24) ketika pertama kali bekerja di Bird & Co di Kolkata.


Nyata kehidupannya sebagai bintang seni membuahkan hasil jauh lebih lumayan.


Dharmendra pula mendapat bayaran pertama 51 rupee (RM2.70) sehari bagi lakonan dalam filem Dil Bhi Tera Hum Bhi Tere pada 1960 - jumlah yang mungkin dikira cukup besar ketika itu.


Akhir sekali, bintang terkenal Shah Rukh Khan hanya menerima 50 rupee (RM2.70) sehari ketika menjadi pekerja di lokasi konsert di Delhi.


Walaupun terlalu kecil, dia memilih menghabiskan gajinya untuk bercuti ke Taj Mahal di Agra. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

6 suspek militan mati ditembak

Posted: 01 Jan 2014 08:22 AM PST

Jakarta: Skuad elit antipengganas Indonesia menembak mati enam suspek militan dan menahan seorang lagi dalam insiden berbalas tembakan ketika sambutan tahun baru malam kelmarin, kata jurucakap polis.

Maklumat yang diperoleh daripada penahanan sebelum ini mendorong polis menyerbu tempat persembunyian suspek di Ciputat di pinggir Jakarta. Jurucakap polis Indonesia Boy Raffli Amar berkata ia adalah sebahagian daripada siasatan terhadap rancangan untuk mengebom Kedutaan Myanmar dan kuil Buddha, Insiden berbalas tembakan selama sembilan jam itu bermula lewat kelmarin ketika kebanyakan rakyat Indonesia bersedia untuk menyambut tahun baru. Boy Rafli berkata, mereka yang terbunuh enggan menyerah diri sebaliknya terus menembak dan membaling bom buatan sendiri ke arah pasukan keselamatan hingga mencederakan seorang anggota polis. Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit disyaki anggota kumpulan yang lebih besar terbabit dalam rompakan untuk membiayai kegiatan pengganas.


Mereka juga dikaitkan dengan kumpulan pengganas diketuai Abu Wardah Santoso yang turut berada dalam senarai dikehendaki polis di Poso, pusat pengganas di Sulawesi Tengah.

Boy Rafli berkata, polis menemui enam bom buatan sendiri di kediaman itu.


"Terdapat bukti kukuh menunjukkan mereka terbabit dalam beberapa siri pembunuhan anggota polis," katanya dalam satu kenyataan.


Polis turut merampas lima pistol revolver dan wang tunai 200 trilion rupiah (RM54,100) serta bahan untuk membuat bom.

"Kami turut menemui 20 hingga 30 cetakan alamat kuil Buddha yang dipercayai nakal menjadi sasaran serangan," katanya.


Polis juga masih memastikan sama ada lelaki yang terbunuh dalam serbuan itu mempunyai kaitan dengan rancangan pengeboman Kedutaan Myanmar pada Mei tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan umat Islam di negara itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

2 budak maut dalam kolam air pancut

Posted: 01 Jan 2014 08:21 AM PST

Jakarta: Dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia Isnin lalu selepas lemas dalam kolam air pancut di Masjid Istiqlal di bandar raya ini.

Ketua Polis Sawah Besar, Shinto Silitonga berkata, kanak-kanak itu, Abdul Hadi Esa dan Ahmad Nur Alam pergi memancing bersama 15 lagi kanak-kanak lain di situ. Media melaporkan kedalaman kolam itu dianggarkan antara empat hingga lima meter.


Shinto berkata, mangsa berenang di dalam kolam itu, manakala rakan mereka yang lain hanya memancing.

"Rakan mangsa cuba menyelamatkan mereka tetapi gagal.


"Mayat kedua-duanya dibawa keluar kira-kira jam 2.10 petang," katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Cipto Mangunkusumo untuk bedah siasat walaupun keluarga mereka tidak membenarkan berbuat demikian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Enam terbunuh letupan dekat gereja

Posted: 01 Jan 2014 08:21 AM PST

Manila: Enam orang terbunuh dan 10 lagi cedera dalam letupan lewat malam kelmarin berhampiran sebuah gereja selepas upacara keagamaan sempena tahun baru di Basilan.

Laporan Polis Kebangsaan Filipina berkata, letupan di kampung dekat Barangay, Sumisip itu membunuh Linebel Cisneros, Lourdes Ablong, Rey Limben, Khadic Kitarol, Elbert Gumuba dan seorang kanak-kanak yang belum dikenali. Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 10.20 malam berkenaan berlaku di kediaman anggota militia Manuel Cisneros berhampiran gereja San Vicente Ferrer. Menurut laporan polis, empat orang cedera tetapi jurucakap tentera Ramon Zagala berkata, serangan itu menyebabkan 10 orang cedera.


Dalam satu kejadian berasingan, lima orang cedera apabila beberapa lelaki mencampakkan bom tangan di sepanjang lebuh raya di Arangay Ugalingan, Carmen, utara Cotabato kira-kira jam 8 malam.

Mangsa, seorang wanita dan tiga anaknya serta seorang lagi kanak-kanak perempuan berada di luar gereja apabila tiga suspek yang menaiki dua motosikal melemparkan bahan letupan itu.


Mangsa baru hendak memasuki gereja apabila letupan berlaku. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

57 maut dalam sempena kedatangan 2014

Posted: 01 Jan 2014 08:20 AM PST

Bangkok: Seramai 57 orang terbunuh, manakala 571 cedera dalam 537 kes nahas jalan raya di seluruh Thailand sepanjang lima lima daripada tujuh "hari berbahaya" setiap awal tahun, lapor Pusat Operasi Keselamatan Jalan Raya semalam.

Jumlah kematian nahas jalan raya pada lima hari pertama 2014 meningkat kepada 266 daripada 209 seperti yang dilaporkan kelmarin, manakala bilangan kecederaan bertambah daripada 1,931 kepada 2,502.


Wilayah yang paling banyak mencatat kematian ialah wilayah timur laut Nakhon Ratchasima dengan 15 kematian. Memandu dalam keadaan mabuk dan memandu melebihi had laju pula menjadi punca utama nahas yang membawa kepada kematian.

Kempen "tujuh hari berbahaya" mulai 27 Disember hingga 2 Januari itu dilancarkan Kementerian Dalam Negeri bertujuan untuk mencegah serta mengurangkan nahas jalan raya menjelang sambutan tahun baru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Pergaduhan di terminal bas ragut 3 nyawa

Posted: 01 Jan 2014 08:20 AM PST

Bangkok: Satu pergaduhan di terminal bas Mor Chit 2 di Bangkok awal pagi semalam menyebabkan tiga orang maut dan 10 lagi cedera, kata polis.

Pergaduhan yang tercetus itu membabitkan kumpulan remaja bermotosikal dengan penduduk yang tinggal berhampiran terminal bas terbabit kira-kira jam 12.20 tengah malam. Kedua-dua kumpulan yang dilengkapi pelbagai senjata, termasuk pistol dikatakan saling berbalas tembak menyebabkan tiga remaja bermotosikal maut, manakala 10 yang lain, termasuk orang awam, cedera.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

'Ikhwan bukan pengganas'

Posted: 01 Jan 2014 08:19 AM PST

Gaza: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menolak label pengganas diberi Mesir terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin malah menegaskan pihaknya tidak akan memutuskan hubungan dengan organisasi itu.

"Tiada siapa pun boleh memaksa Hamas menafikan fahaman atau sejarahnya sendiri.


"Kami yakin Mesir yang juga selamat bagi orang Palestin dan perjuangan kami juga tidak mungkin memandang Hamas sebagai sebuah organisasi keganasan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Hamas yang berkuasa di Semenanjung Gaza adalah sekutu Ikhwanul Muslimin di Palestin.


Pihak pendakwa dan polis Mesir turut mendakwa Ikhwanul Muslimin mempunyai kaitan dengan puak militan Sinai. Ikhwanul Muslimin diselar sebagai pengganas Rabu lalu, sehari selepas bom meletup di sebuah balai polis.


Bagaimanapun, kumpulan yang mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu tiada kaitan dengan Ikhwanul Muslimin sebaliknya ada hubung kait Al-Qaeda. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Dubai 'bakar' RM20j cipta rekod dunia

Posted: 01 Jan 2014 08:18 AM PST

Dubai: Dubai memecah rekod dunia Guinness bagi persembahan piroteknik dan bunga api terbesar sempena sambutan malam Tahun Baru, semalam.

Laman sesawang Rekod Dunia Guinness menyatakan, hasil perancangan 10 bulan, lebih 500,000 bunga api digunakan dalam persembahan selama enam minit itu.


"Pengadil Guinness turut hadir bagi mengesahkan bahawa rekod baru berjaya dicipta," katanya.

Persembahan itu membabitkan bunga api yang diletakkan di sepanjang 94 kilometer sepanjang pesisir pantai Dubai dengan berlatarbelakangkan gugusan kepulauan buatan manusia serta bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.


Ketika minit pertama saja persembahan bunga api ditonjolkan berjaya memecahkan rekod terdahulu yang dicipta Kuwait pada 2011 dalam persembahan selama sejam dengan kira-kira 77,282 bunga api.


Persembahan utama semalam dilakukan di Burj Khalifa dan hotel mewah Atlantis di Palm Jumeirah.

Ia direka firma Amerika Syarikat, Fireworks by Grucci menggunakan 100 komputer dan 200 juruteknik bagi menyelaraskan persembahan piroteknik itu membabitkan kos dipercayai sekitar AS$6 juta (RM19.7 juta).


Sebelum ini, Dubai mencatatkan rekod baru Mei tahun lalu apabila Princess Tower direkodkan Guinness sebagai bangunan residensi paling tinggi dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

No comments:

Post a Comment