Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dipayungi kongsi gelap

Posted: 23 Jan 2014 10:13 AM PST

Klang: Sindiket mengedar mercun dan bunga api dipercayai menggunakan khidmat kongsi gelap untuk melindungi kegiatan haram mereka daripada disabotaj atau dihidu pihak berkuasa, malah ada menempatkan pengawal bersenjata berikutan penemuan sejumlah senjata tajam dalam satu serbuan di sebuah premis di Pandamaran, di sini awal pagi semalam.

Senjata tajam iaitu tiga bilah parang panjang itu ditemui dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pandamaran diketuai Ketua Polis Balai berkenaan Inspektor Mohd Rushdam Mohd Yusoff dalam sebuah premis di deretan bangunan yang terletak hanya beberapa meter dari Balai Polis berkenaan hasil maklumat orang ramai.

Ketika pasukan berkenaan melakukan serbuan, beberapa lelaki dipercayai 'ulat air' yang sering berlegar sekitar bangunan itu dipercayai diupah sindiket terbabit didapati hilang sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa menyebabkan kawasan berkenaan lengang, sekali gus memaksa polis mengetuk pintu premis beberapa kali untuk mengarahkan penghuninya membuka pintu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas beberapa minit mengetuk, tiada sebarang jawapan diperoleh menyebabkan pasukan berkenaan bertindak memecahkan pintu sebelum menemui sejumlah besar mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM100,000.

Foto

ANGGOTA polis memunggah kotak mengandungi mercun yang dirampas.

Foto


Selain pelbagai jenis bahan letupan itu katanya, pihak berkuasa berkenaan turut menemui tiga parang yang dipercayai digunakan pekerja yang ditugaskan mengawal bahan letupan terbabit daripada ancaman pelbagai pihak sama ada ancaman sindiket lain mahupun kemungkinan persiapan menghalang pihak berkuasa.


"Serbuan adalah hasil maklumat awam dan bahan larangan berkenaan dipercayai disimpan untuk diedarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina menjelang 31 Januari ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan premis yang menempatkan bahan letupan terbabit adalah milik Majlis Perbandaran Klang (MPK), sekali gus memudahkan pihak berkuasa mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk mengenal pasti identiti penyewanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Ugut bunuh angkara 'penceroboh berbulu'

Posted: 23 Jan 2014 10:09 AM PST

Ampang: Angkara kucing, sepasang suami isteri berusia 29 tahun diugut bunuh oleh jiran mereka dalam kejadian di Taman Mulia, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, jirannya yang berusia 30-an dikatakan mengugut pasangan terbabit selepas mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya.

Sumber berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu sedang tidur sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu selain bunyi bising di luar rumahnya.

"Sebaik membuka pintu, seorang lelaki yang juga jirannya sudah berdiri di luar sambil memegang penyapu.

"Lelaki itu kemudian memaki hamun pasangan suami isteri itu dan mendakwa kucing peliharaan mereka menceroboh rumahnya," katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit kemudian menerangkan kucing peliharaan mereka tidak pernah dilepaskan daripada sangkar dan memberitahu, kemungkinan kucing liar yang masuk ke rumah jirannya itu.

"Bagaimanapun, penjelasan itu tidak diterima sebaliknya lelaki terbabit terus memarahi mereka," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian mengarahkan pasangan suami isteri itu supaya membuka jeriji rumah, namun mangsa enggan berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Tidak berpuas hati, lelaki itu mengugut untuk membunuh pasangan terbabit sebelum melontar penyapu dipegangnya ke arah mangsa.

"Lelaki itu beredar dari rumah mangsa selepas pasangan terbabit menutup pintu rumahnya," katanya.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang kerana bimbang dengan ugutan berkenaan.

Harian Metro difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Hilang RM6,000 dijerat 'pelabur' Afrika

Posted: 23 Jan 2014 10:09 AM PST

Kuala Lumpur: Niat mencari ejen pelaburan dalam kalangan lelaki 'Awang Hitam' membawa padah buat seorang pesara dan anak buahnya yang juga seorang pegawai polis apabila mereka disamun tiga lelaki warga Afrika ketika urus niaga dijalankan di sebuah hotel di Jalan Galloway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 63 dan 30 tahun itu kerugian RM6,000 selain suspek melarikan beberapa harta milik kerajaan yang berada dalam simpanan pegawai polis terbabit.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa pada mulanya mengatur pertemuan dengan seorang lelaki warga Afrika, namun lelaki itu sebenarnya sudah merancang untuk menyamun mangsa apabila meminta dua lagi rakannya datang ke hotel berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa menunggu di lobi sebelum ke bilik hotel untuk berbincang sebaik lelaki warga Afrika terbabit muncul.

"Namun, kira-kira 10 minit berada di bilik, pintu bilik dibuka dua lelaki yang difahamkan rakan senegara lelaki Afrika berkenaan yang meluru masuk dan seorang daripada mereka memegang pisau.

"Kedua-dua mangsa diheret sebelum kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat.

Mulut mereka turut dilekat dengan pita pelekat sebelum semua suspek menggeledah bilik berkenaan dan melarikan barang berharga milik mangsa," katanya.

Katanya, antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai berjumlah RM1,000, dua telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, peralatan komputer dan cakera keras serta cakera padat milik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Akhirnya dapat habuan

Posted: 23 Jan 2014 10:08 AM PST

Seremban: Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu.

"Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu.

Foto


"Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri," katanya.


Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri.

"Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka," katanya.

Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan.

Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan.

"Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Berniaga atas nama si mati

Posted: 23 Jan 2014 10:06 AM PST

Melaka: Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu.

"Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama.

Foto

MUHABIR menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan.


"Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia," katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan.

"Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh.

"Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment