Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


MOM, MSN sependapat

Posted: 01 Jan 2014 08:16 AM PST

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut senada dengan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila berpandangan pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Komanwel dan Asia empat tahun lalu adalah sukar untuk diatasi namun pada masa yang sama peminat sukan tanah air boleh mengharapkan kejutan mampu dilakukan atlet negara dalam beberapa jenis sukan.

Sukan Komanwel di New Delhi menyaksikan kontinjen negara meraih 12 emas disusuli sembilan emas di Sukan Asia Guangzhou dengan cabaran kali ini dilihat lebih sukar oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong selepas terdapat sejumlah atlet senior yang sudah bersara dengan pihaknya perlu melakukan penelitian lanjut terhadap prestasi semasa atlet yang lain sebelum meletakkan sasaran yang sebenar. Namun ibarat patah tumbuh hilang berganti, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi menjangkakan kemunculan atlet baru dan sukan tertentu yang mampu menjulang nama negara pada dua temasya berkenaan apabila saingan sebenar bermula nanti.


"Pada saya sekiranya kontinjen negara mampu mencapai lapan hingga 10 emas, ia sudah boleh di anggap sebagai satu kejayaan walaupun tidak mampu menyaingi pencapaian empat tahun lalu. Terdapat acara yang tahapnya lebih rendah di Sukan Komanwel berbanding Sukan Asia, begitu juga sebaliknya, jadi saya melihat kita tetap mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu.

"Contohnya pada 2010, kita tidak pernah menjangkakan atlet gimnastik (Elaine Koon) mampu meraih emas di Sukan Komanwel namun dia berjaya melakukannya. Jadi kejutan sememangnya boleh terjadi termasuk pada edisi kali ini," katanya optimis.


Ditanya sukan yang diramal melakukan kejutan kali ini, Kok Chi melihat skuad hoki lelaki dan memanah mampu memenangi emas kali ini selepas sekadar meraih perak empat tahun lalu.


"Skuad hoki negara berpeluang cerah kali ini berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan dan seandainya berjaya memenangi emas di Sukan Asia, tiket ke Olimpik 2016 akan diperoleh secara automatik. Skuad memanah turut mempunyai peluang di Sukan Komanwel selain atlet wushu negara yang sememangnya bertaraf dunia, seandainya mampu menafikan dominasi China di Sukan Asia," katanya.

Foto

PRESTASI skuad hoki negara kini berada di tahap membanggakan.

Ditanya mengenai sukan yang bakal menyumbang emas di Sukan Komanwel Glasgow, Kok Chi berkata badminton, terjun, trek berbasikal, menembak, angkat berat, gimnastik dan skuasy antara yang terus mampu menyinar untuk kontinjen negara dengan tenpin boling, trek berbasikal, karate dan skuasy pula menjadi sandaran di Sukan Asia Incheon.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

City kukuh cengkaman

Posted: 01 Jan 2014 08:10 AM PST

London: Manchester City mencatat kemenangan 3-1 ke atas Swansea City di Stadium Liberty semalam sekali gus kemenangan ketujuh daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Meskipun beraksi di halaman lawan, City bermula baik apabila di depan seawal minit ke-14 hasil gol sumbangan Fernandinho.


Pemain antarabangsa Brazil itu merembat rendah menggunakan kaki kanan ke penjuru kiri gawang gol hasil sepakan sudut.

City terus menguasai permainan selepas itu, namun beberapa peluang terbaik disia-siakan begitu saja.


Ketika perlawanan dilihat memihak kepada City menjelang berakhir babak pertama, Swansea berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan kemas Wilfried Bony pada masa tambahan selepas menerima hantaran silang dari Jonathan De Guzmán.


Bersambung babak kedua, Yaya Toure kembali meletakkan City di depan apabila merembat deras pada minit ke-58 selepas berlaku keadaan kucar-kacir di dalam kotak penalti.

Aleksandar Kolarov mengukuhkan kedudukan City dengan gol ketiga selepas melakukan larian solo dari tengah padang sebelum merembat dari luar kotak penalti ke penjuru kanan gawang gol Swansea pada minit ke-66.


Wilfried bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada masa kecederaan tetapi gol kedua itu masih belum mampu menafikan kemenangan City. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Rodgers laung amaran

Posted: 01 Jan 2014 08:09 AM PST

Liverpool: Brendan Rodgers memberi amaran kepada mana-mana pencabar kejuaraan Liverpool untuk melalui tempoh "90 minit yang sukar" apabila mereka berkunjung ke Anfield.

Liverpool kehilangan cengkaman selepas dua kekalahan berturut-turut di Manchester City dan Chelsea sehingga merosot dari tangga teratas ke tangga kelima liga bagaimanapun semua pasukan pilihan kejuaraan masih perlu bertandang ke Anfield dan Rodgers percaya ia akan menjadi penentu.


Sejak kalah 1-0 kepada Southampton di Anfield pada 21 September lalu, Liverpool berjaya merekod enam kemenangan berturut-turut di laman sendiri dan menjaringkan 23 gol. Menurut Rodgers, ia bakal mencetuskan ancaman besar buat City, Chelsea dan Arsenal.

"Semua pasukan teratas kecuali United masih mempunyai perlawanan di Anfield dan kami hebat di sana," kata pengurus Liverpool itu. "Jika kami boleh memantapkan pasukan ini pada Januari ini, ia pasti memberi kelebihan kepada kami.


"Kami tidak berdepan masalah mencatat kemenangan di gelanggang sendiri. Saya mahu setiap pasukan yang datang ke sini merasai detik paling sukar selama 90 minit musim ini dan saya fikir kami dalam landasan tepat ketika ini," katanya. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Sinis Mourinho

Posted: 01 Jan 2014 08:09 AM PST

London: Jose Mourinho memulakan perang psikologi dengan Manuel Pellegrini apabila menyindir Manchester City sudah boleh membawa pulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

City ketika ini menduduki tangga kedua, satu mata ketinggalan berbanding Arsenal yang lebih dua mata di depan Chelsea yang menduduki tempat ketiga.


Namun di sebalik saingan yang dilihat lebih terbuka pada musim ini, Mourinho menegaskan hanya ada satu kelab saja yang layak dinobatkan sebagai juara pada Mei nanti.

"Sama-sama kita saksikan apa yang kami mampu lakukan dan lihat juga adakah City mampu menewaskan semua lawannya atau mereka hanya sekadar mampu merapatkan jurang dengan pasukan teratas," kata pengendali dari Portugal itu.


"Adakah saya cuba untuk memberi tekanan kepada mereka? Adakah anda rasa begitu juga? "Lihatlah skuad, pemain, jumlah jaringan serta barisan penyerang mereka.


"Edin Dzeko adalah penyerang ketiga City. Benar, kita bercakap mengenai Dzeko.

"Stevan Jovetic pula penyerang keempat. Adakah mereka perlu berasa tertekan? Saya rasa tidak.


"Saya rasa mereka sedar betapa bagusnya mereka dan tahu mereka adalah pasukan pilihan. Saya tidak rasa mereka akan merasai tekanan," katanya.

Mourinho bagaimanapun berkata, Blues masih berhak untuk dilabel sebagai pencabar kejuaraan.


"Tahun lalu pada peringkat sama, kami ketinggalan 12 atau 11 mata di belakang pendahulu liga, jadi sudah pasti tidak dapat memberi cabaran," kata Mourinho yang menegaskan tidak berminat untuk mendapatkan penyerang baru di sebalik kekurangan jumlah gol yang dapat dijaringkan barisan penyerangnya ketika ini.


"Kini kami ketinggalan dua mata. Jadi saingan tetap diteruskan.


"Kami perlu berada dalam kelompok empat terbaik kerana untuk musim ini, berada dalam kedudukan itu sudah satu kejayaan besar untuk kami.


"Saya rasa enam pasukan bersaing untuk kelompok empat terbaik itu. Everton dan Newcastle juga semakin hampir berada dalam kedudukan empat terbaik itu tetapi Tottenham, Manchester United juga sedang mengejar.


"Tiada bezanya jika berada dalam kedudukan empat terbaik dengan pasukan yang dinobatkan selaku juara liga," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Chelsea rugi RM268.2 juta

Posted: 01 Jan 2014 08:08 AM PST

London: Chelsea mencatatkan kerugian £49.4 juta (RM268.2 juta) pada penyata kewangan tahun lalu, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pendapatan yang berakhir 30 Jun 2013 merekodkan £255.8 juta (RM1.3 bilion) namun penyingkiran kelab berkenaan di Liga Juara-Juara menyumbangkan kepada kerugian dalam pendapatan itu.


Skuad kendalian Jose Mourinho bagaimanapun berjaya memuaskan hati peraturan kewangan Fair Play UEFA (FFP) yang memantau selama dua tahun termasuk keuntungan £1.4 juta (RM7.6 juta) yang diperoleh bagi musim 2011/12.

Kelab berkenaan turut meraih peningkatan 19 peratus dalam pendapatan komersil berbanding £67 juta (RM363.8 juta) kepada £79.6 juta (RM432.2 juta) apabila mereka memenangi Liga Europa.


Ketua eksekutif Chelsea Ron Gourlay berkata: "Bagi Chelsea FC melakar tahap pendapatan walaupun tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara membuktikan kami mempunyai struktur perniagaan yang bagus dan berkembang pada landasan yang tepat untuk mencapai kestabilan jangka panjang.


"Falsafah kami adalah membina kejayaan di padang dan walaupun kedudukan kewangan kami tidak mengulangi keuntungan pada tahun sebelumnya menerusi perpindahan pemain, kami percaya purata usia skuad ketika ini akan memberikan manfaat kepada pelaburan untuk tempoh yang mendatang," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Perlu tonik senior

Posted: 01 Jan 2014 08:08 AM PST

Seoul: Ketua jurulatih Hong Myung-bo berkata Korea Selatan memerlukan suntikan pemain senior untuk mengimbangi barisan pemain muda yang kurang berpengalaman pada saingan Piala Dunia di Brazil pertengahan tahun ini.

Gergasi bola sepak Asia itu akan memulakan kempen penyertaan Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut dengan bertemu Russia (17 Jun) yang menewaskan mereka 1-2 pada November lalu sebelum turun menentang Algeria (22 Jun) dan Belgium (26 Jun).


Myung-bo salah seorang bekas pemain yang Korea Selatan yang melangkah ke saingan separuh akhir Piala Dunia 2002 di halaman sendiri berkata, beliau semakin hampir memilih barisan pemainnya untuk menghadapi saingan tertinggi itu.

"Kami mempunyai ramai pemain muda bakat tetapi mereka kurang pengalaman di pentas antarabangsa.


"Tugas saya adalah untuk memilih yang terbaik. Barisan pemain utama kami di antara umur 22 hingga 25 tahun. Tapi kami memerlukan kemasukan pemain senior pada Piala Dunia nanti untuk mengimbangi kekuatan dalam pasukan," kata Myung-bo Bekas kapten Korea Selatan itu mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih selepas Choi Kang-hee meletak jawatan berikutan aksi kurang meyakinkan pada kempen kelayakan Piala Dunia.


Myung-bo menjadi pembantu kepada pengendali dari Belanda Guus Hiddink yang membawa Korea Selatan melangkah sehingga ke saingan separuh akhir 2002 di kelab Russia Anzhi Makhachkala.

Beliau mempamerkan prestasi cemerlang ketika dilantik sebagai jurulatih untuk pasukan Olimpik apabila memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012.


Korea Selatan bernasib baik pada undian Piala Dunia kali ini apabila tidak diletakkan dalam kumpulan maut sekali gus mencerahkan peluang untuk untuk melangkah lebih jauh di Brazil tetapi Myung-bo mempunyai pendapat tersendiri.

"Bukan kerana kami tidak bernasib baik dalam setiap undian tetapi kita perlu ingat tiada lawan yang mudah pada saingan Piala Dunia," "Tugas saya adalah untuk memastikan pemain hilang tumpuan dan membayangkan mereka sudah berada pada kedudukan selesa.


"Yang penting adalah untuk melepasi peringkat kumpulan dulu," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Toure tersenarai antara pemain terbaik Afrika Selatan

Posted: 01 Jan 2014 08:07 AM PST

Abuja: Pemain tengah Ivory Coast dan Manchester City, Yaya Toure dalam kedudukan terbaik untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Afrika CAF selepas dia disenaraikan dalam tiga pemain terbaik semalam.

"Dua pemain Ivory Coast Yaya Toure dan Didier Drogba antara tiga pemain dalam senarai akhir untuk tahun kedua berturut-turut dan akan bersaing merebut gelaran dengan John Obi Mikel dari Nigeria," kata Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menerusi laman web rasmi mereka.


Toure yang berusia 30 tahun memenangi anugerah itu pada 2011 dan 2012.

Rakan senegaranya Didier Drogba, 35, yang beraksi untuk kelab Galatasaray dari Turki itu turut meraih anugerah itu dua kali pada 2006 dan 2009.


Ini kali pertama buat pemain tengah Chelsea berusia 26 tahun Mikel berada dalam senarai akhir tiga pemain itu.


Pemenang anugerah 2013 itu akan diumumkan dalam satu majlis di Lagos, Nigeria pada 9 Januari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Yokohama juara Piala Maharaja

Posted: 01 Jan 2014 08:07 AM PST

Tokyo: Yokohama Marinos mengalahkan juara Liga-J Sanfrecce Hiroshima 2-0 untuk menjulang Piala Maharaja semalam sekali gus menebus kekecewaan dalam perebutan gelaran liga dengan hanya satu mata bulan lalu.

Manabu Saito membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dan bekas pemain pertahanan tengah Jepun Yuji Nakazawa menambah jaringan menerusi tandukan empat minit kemudian hasil sepakan penjuru bekas bintang Celtic Shunsuke Nakamura.


Ia kejuaraan pertama Yokohama sejak mereka memenangi gelaran liga pada 2004.

Mereka mengalahkan Hiroshima dua kali pada musim lalu namun masih gagal merangkul kejuaraan liga pada 7 Disember iaitu pada pusingan terakhir musim Liga-J pada Mac-Disember.


Hiroshima mengekalkan kejuaraan dengan menumpaskan Kashima Antlers 2-0 manakala Yokohama menyerahkan kedudukan teratas liga apabila kecundang 1-0 di tangan Kawasaki Frontale.


"Saya gembira dengan kemenangan ini tapi adalah lebih manis jika kami memenangi liga," kata Nakamura. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

'Paderi' jumpa Schumi

Posted: 01 Jan 2014 08:06 AM PST

Grenoble (Perancis): Legenda formula Satu, Michael Schumacher kekal 'stabil' selepas menghabiskan masa selama tiga malam di hospital akibat kecederaan otak yang serius yang dialaminya ketika bermain ski di Banjaran Alps di Perancis.

Pelumba hebat kelahiran Jerman itu memasuki tahun baru dalam keadaan koma dan kondisi kritikal dengan keluarganya dilihat berada di sampingnya di bandar Alpine Grenoble Perancis dengan doktor masih belum dapat memastikan keadaan masa depannya. Pemandu berusia 44 tahun itu bergelut untuk terus hidup selepas terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu ketika bermain ski di luar laluan meluncur Ahad lalu dengan berita itu mengejutkan bintang sukan dan peminatnya untuk terus melihat aksi berani matinya di atas litar perlumbaan.


"Pada ketika ini dia dalam keadaan stabil," kata pengurus juara dunia tujuh kali, Sabine Kehm kepada wartawan yang menunggu di luar hospital Grenoble bagi memaklumkan perkembangan terkini semalam.

Sabine berkata kepada wartawan Selasa lalu bahawa Schumacher bermain ski bersama 'sekumpulan kecil rakan-rakan' selain anak lelakinya Mick berusia 14 tahun.


Dia berkata, dia tidak meluncur pada kelajuan yang tinggi ketika kemalangan itu berlaku. "Dia dilihat terhantuk batu itu ketika mengambil selekoh. Ia adalah satu kejadian malang yang tidak diduga. Sabine berkata, kemalangan itu boleh berlaku walaupun berada di 10 kilometer sejam" dan boleh berlaku ketika mengambil selekoh dalam pergerakan yang biasa." Keadaan Schumacher menarik perhatian seluruh dunia dan beberapa orang cuba menyelinap masuk ke dalam hospital untuk melihat keadaan bekas pelumba itu," katanya. "Ada seorang yang berpakaian seperti paderi cuba menghampiri Michael. Saya meminta semua orang untuk membiarkan doktor bekerja dan membiarkan keluarganya berada dalam keadaan tenang bersama Michael." Ditanya sama ada paderi itu adalah wartawan dia berkata: "Seperti apa yang sudah saya maklumkan. Kita sudah jelas bahawa ramai orang cuba untuk melepasi bilik media di sini. Ia satu yang menjengkelkan pada pandangan saya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

Venus bangkit benam Yvonne

Posted: 01 Jan 2014 08:05 AM PST

Auckland (New Zealand): Venus Williams terselamat daripada prestasi tidak menentu untuk mara ke suku akhir ASB Classic apabila melakarkan kemenangan tiga set ke atas pemain Australia, Yvonne Meusburger, kelmarin.

Dalam perlawanan yang diganggu hujan, Venus berusia 33 tahun tewas di set pertama 4-6 sebelum bangkit untuk menang baki dua set seterusnya, 6-3, 6-2. Dia seterusnya akan berdepan dengan pemain Sepanyol, Garbine Muguruza yang juga mengalami nasib yang sama tewas di set pertama ketika menentang pemain kelayakan dari Kanada, Sharon Fichman namun bangkit mencatatkan kemenangan 1-6, 6-3, 6-3. Bagaimanapun Venus yang sebelum itu turut bergelut ketika bertemu pemain wildcard dari Republik Czech, Andrea Hlavackova pada pusingan pertama berkata, dia tidak akan mengambil pendekatan konservatif hanya untuk memenangi mata.


"Jika saya berhenti bertindak agresif dan mula bermain mengikut rentaknya, ketika itu saya berada dalam kesusahan," katanya. "Jadi lebih baik buat untuk saya keluar daripada pendekatan itu dan mula untuk mengawal permainan dan seterusnya memberi tekanan dan tidak bergerak ke depan." Biarpun bekas pemain nombor satu dunia yang terpaksa berhempas pulas di Auckland dan kedudukan rankingnya tergelincir ke tangga 47 namun pilihan kelima dan rakan senegara, Jamie Hampton berkata, dia masih kekal sebagai ancaman.

"Sebahagian daripada pemain sudah tewas tapi Venus masih lagi ada biarpun dia bukan pilihan tapi masih lagi antara yang sukar," kata Hampton satu-satunya pemain pilihan yang tinggal dalaman undian. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/02

No comments:

Post a Comment