Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


LionsXII ikat Johor DT

Posted: 28 Jan 2014 09:10 AM PST

Johor Bahru: Pengalaman melatih lebih separuh pemain Johor Darul Takzim (DT) musim lalu membolehkan jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad, merangka strategi terbaik untuk membawa pulang satu mata dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Walaupun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, pemain Lions XII dilihat lebih garang untuk memenangi perlawanan berbanding pemain Johor DT yang dibarisi pemain kebangsaan dan bekas pemain kebangsaan Argentina.

Sebaik wisel separuh masa kedua ditiup, pemain Lions XII bijak mengatur serangan untuk menghidu kelemahan pasukan tuan rumah.

Buktinya, Khairul Amri Mohd Kamal berjaya menjaringkan gol pertama pasukan pelawat pada m-65 menerusi tandukan di dalam kotak penalti.

Foto

AIMAR (tengah) cuba lepasi kawalan pemain LionsXII.


Ketika pemain Johor DT masih tergamam melihat kebangkitan pelawat, Khairul Amri sekali lagi menjaringkan gol hanya selang tiga minit kemudian.


Terdahulu, Johor DT bermula garang dengan menjaringkan gol pertama m-20 menerusi Liciano Figueroa dan mendahului 2-0 selepas Pablo Aimar menjaringkan gol m- 41 menerusi sepakan percuma cantik menewaskan penjaga gol Lions XII, Mohd Izwan Mahbud.

Keputusan itu menyaksikan Johor DT hanya sekadar mengutip 4 mata daripada tiga perlawanan selepas tewas kepada T-Team dan menewaskan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Selangor hela nafas lega

Posted: 28 Jan 2014 09:06 AM PST

Kelana Jaya: Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic menarik nafas lega apabila Merah Kuning mempamerkan persembahan bertenaga untuk kembali mencapai kemenangan selepas menewaskan Pahang 1-0, petang semalam.

Jaringan tunggal penyerang importnya dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-55 memastikan tiga mata berharga buat Selangor, kemenangan kedua dalam tiga perlawanan Liga Super, yang juga jaringan keempatnya buat Selangor secara keseluruhan termasuk satu gol ketika pusingan pertama Piala FA.

"Beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu bukanlah sesuatu yang mudah dengan pemain cuba mempamerkan permainan bola sepak dengan baik. Kami berhak untuk meraih kemenangan dan saya gembira dengan persembahan yang dipamerkan.

"Saya turut lega kerana saingan akan berehat seketika, memberikan masa untuk kami memulihkan tahap kecergasan bagi menghadapi Sarawak pada pusingan kedua Piala FA (4 Februari) nanti," kata Durakovic selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, petang semalam.

Foto

PEMAIN Selangor, Mohd Bunyamin Umar (kanan) merampas bola daripada pemain Pahang, Martias Conti pada perlawanan Liga Super di Stadium MPPJ.


Selangor dan Pahang berlangsung sengit petang semalam dengan Selangor seharusnya mendahului menerusi pemain tengahnya dari Brazil, Junior Aparecido selepas kesilapan dilakukan pertahanan Pahang, Zesh Rahman namun rembatan lemahnya gagal menewaskan Mohd Khairul Azhan Khalid walaupun berada dalam situasi satu lawan satu.


"Jika keadaan padang lebih baik saya janji dia akan menjaringkan gol namun ketika mahu melakukan rembatan bola melambung kerana padang tidak rata. Keadaan padang memberikan kesukaran kepada pemain untuk mempraktikkan corak permainan yang saya ingini namun mereka tetap cuba memberikan permainan yang menarik," katanya.

Namun sumbangan pemain tengah berkenaan sememangnya besar terutamanya pada babak kedua apabila bijak menguasai bahagian tengah untuk mengatur serangan dengan jaringan Rangel adalah hasil lambungan yang dilakukannya pada minit ke-55 sebelum ditanduk Rangel.

"Namun secara keseluruhannya saya gembira dengan cara kami bermain seperti ketika menentang LionsXII tempoh hari." kata Durakovic.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Kelantan gagal terus rentak kemenangan

Posted: 28 Jan 2014 09:04 AM PST

Kota Bharu: Kelantan gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 1-2 di gelanggang sendiri kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Bermula babak pertama Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang, Ahmad Fakri Saarani berjaya menanduk masuk hantaran lintang kapten Mohd Badri Radzi.

Tuan rumah bagaimanapun seakan tidak berpuas hati dengan jaringan pembukaan berkenaan malah terus mengatur gerakan seminit kemudian, namun penyerang sensasi TRW, Mohamad Ghaddar mensia-siakan lorongan cantik Mohd Badhri apabila gagal menolak masuk ke gawang PKNS meskipun hanya berdepan penjaga gol, Mohd Remezey Che Ros.

Tertekan dengan dengan asakan bertali arus tuan rumah, anak didik Wan Jamak Wan Hassan mempamerkan kebangkitan apabila berjaya menyamakan kedudukan m-40 menerusi jaringan Mohd Fauzan Dzulkifli.

Foto

GADDAR (tengah) cuba melarikan diri dari kawalan pemain PKNS.


Kelantan yang masih terkejut dengan jaringan penyamaan itu terus dihukum seminit kemudian apabila pemain sayap kanan, Mohd Aminuddin Mohd Noor meletakkan PKNS di depan apabila berjaya menyudahkan hantaran lintang daripada Patrick Ronaldinho.


Tuan rumah cuba bangkit dengan melakukan asakan bertali arus namun gagal mencari gol yang dicari-cari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Penyu kekal 'kelas pertama'

Posted: 28 Jan 2014 09:02 AM PST

Kuala Terengganu: Terengganu mengekalkan status sebagai pasukan 'kelas pertama' negeri apabila berjaya menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu semalam.

Corak hambar dan berhati-hati yang dipamerkan kedua-dua pasukan pada permulaan babak membosankan kira-kira 6,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Bagaimanapun Terengganu yang menguasai babak pertama nyaris mendapat gol pertama pada minit ke-7 dan 9 melalui pemain import Mamadou Hady Baryy (gambar) yang hanya berdepan dengan penjaga gol Mohd Shahril Sa'ari namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Jaringan yang dicari Terengganu akhirnya terhasil apabila hantaran Nor Farhan ditanduk cantik pemain import Marcio Souza sekali gus menewaskan ketangkasan penjaga gol pada minit ke-45.


Mohd Ashari Samsuddin membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol kedua Terengganu m-58.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Empat gol belum cukup

Posted: 28 Jan 2014 09:02 AM PST

Alor Setar: Baru dua perlawanan Liga Perdana, penyerang Kedah, Billy Mehmet Osman sudah berjaya menjaringkan empat gol bagi memastikan Kedah mengekori rapat PDRM di kedudukan kedua carta liga.

Kedua-dua pasukan mengutip enam mata cuma dibezakan dengan jaringan gol.
Dua gol Osman dijaringkan ketiga Kedah menewaskan DRB Hicom di Stadium Hang Jebat.


"Walaupun sudah menjaringkan empat gol, saya anggap ia bantuan rakan lain.
"Pada saya siapa yang menjaringkan gol tidak penting kerana keutamaan adalah pasukan mencatat kemenangan," katanya.

Foto


Menurut Osman lagi, pada perlawanan Piala FA dia membantu Khyril Muhymeen Zambri mencatatkan nama sebagai penjaring dan kelmarin pemain kebangsaan itu pula membuka laluan buatnya meledak gol.


"Siapa yang tidak teruja dapat menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan pembukaan liga dan saya perlu konsisten menjaringkan gol," katanya.

Keputusan itu adalah permulaan terbaik Osman bersama pasukan baru dengan misi pengurusan membawa Kedah kembali ke saingan elit Liga Super tahan depan.

"Alhamdulillah percaturan saya memilih Kedah musim ini sudah mula membuahkan hasil dan apa yang penting rakan sepasukan perlu bekerja keras memburu kemenangan," katanya.

Menurut Osman, pasukan kini fokus menghadapi perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Perlis di Stadium Drulaman pada 4 Februari ini.

"Walaupun kami berjaya menewaskan mereka 4-1 dalam aksi liga, saingan Piala FA amat berlainan kerana ia kalah mati.

"Untuk itu kami tidak memandang mudah cabaran Perlis dan akan serius memburu kemenangan mutlak," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Penyokong Sabah diharap bersabar

Posted: 28 Jan 2014 09:00 AM PST

Kota Kinabalu: Penyokong Sabahawks diminta memberi sokongan terhadap pasukan dan perlu bersabar dengan aksi hambar pasukan dalam saingan Liga Perdana musim ini yang mengalami kekalahan kedua kepada FELDA United di Stadium Likas, malam kelmarin.

Pengurus pasukan Abd Rahman Zakaria berkata, prestasi ditunjukkan pemain menampakkan episod sama seperti perlawanan pertama menentang Pulau Pinang.

"Kita cuba mengetengahkan pemain muda kerana sasaran adalah untuk terus kekal dalam Liga Perdana dan mahu ke Liga Super musim depan.

"Namun, saya sebagai pengurus pasukan masih yakin dengan kemampuan pemain sedia ada kerana kita memiliki ramai pemain muda," katanya.

Rahman berkata, sokongan padu penyokong juga amat diperlukan dalam setiap aksi Sabah, tidak kira di tempat sendiri atau lawan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana hadir ke stadium semalam (kelmarin) kerana pasukan sangat memerlukan sokongan.

"Bagaimanapun, saya menyeru mereka bersabar kerana saingan baru sahaja bermula," katanya.

Katanya, sikap penyokong yang sentiasa positif sepanjang aksi perlawanan dengan tidak melemparkan kata-kata kesat terhadap pasukan atau pihak lawan patut dipuji.

Terdahulu, Sabah terus malang apabila kecundang 1-3 kepada FELDA United.

Sabah terlebih dahulu di hadpaan apabila penyerang Harimau Muda Rozaimi Abdul Rahman membuka jaringan pada minit ke-19, namun lawan bangkit meledak tiga gol menerusi Zah Rahan Krangar m-45 manakala gol kedua dan ketiga dijaringkan Edward Wilson (m-50 dan 77).

Sabah akan bertemu Kelantan dalam saingan Piala FA pusingan kedua pada 4 Februari ini sebelum bertemu PDRM di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana, 7 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Torairaju tidak tertekan aksi hambar

Posted: 28 Jan 2014 09:00 AM PST

Melaka: Jurulatih DRB Hicom, G Torairaju tidak merasakan sebarang tekanan walaupun tewas kali kedua berturut-turut pada aksi Liga Perdana dengan kekalahan terbaru kepada Kedah 0-2 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin.

Sebaliknya beliau masih menaruh keyakinan kepada barisan pemainnya untuk memberikan yang terbaik dalam memas tikan mata kemenangan berjaya diraih pada perlawanan ketiga berdepan KL SPA, 7 Februari depan.

Menurutnya, pemain berusaha gigih namun akur dengan kealpaan benteng pertahanan dan ketumpulan jentera serangan meletakkan pasukan kempunan meraih sebarang mata di gelanggang sendiri.

"Apa yang diharapkan, pemain tidak lagi melakukan kesilapan berdepan SPA bagi memastikan pasukan tidak tercicir dalam saingan pusingan pertama ini.

"Saya masih menaruh kejakinan tinggi kepada barisan pasukan yang mampu beraksi agresif dalam mencatat kemenangan walaupun SPA turut memiliki semangat tinggi menidakkan usaha pasukan itu.

"Pada saya sasaran menduduki sekurang-kurangnya di tangga keempat liga mampu direalisasi walaupun selepas dua kekalahan ini," katanya.

Bekas pemain kebangsaan era 80-an itu berkata, semua pemain diberi ruang secukupnya untuk membuktikan keupayaan dan beliau hanya akan 'bertindak' jika mereka gagal melakukan yang terbaik mengikut arahan.

Menurutnya, beliau akan memastikan pemain mengurangkan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan matlamat pasukan dan mengintai ruang mencipta kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

MHC nafi Pakistan tarik diri saingan Piala Sultan Azlan Shah

Posted: 28 Jan 2014 08:53 AM PST

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menafikan khabar angin bahawa Pakistan mungkin akan menarik diri daripada menyertai saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 13 hingga 23 Mac depan berikutan masalah kewangan.

Sebaliknya badan induk itu mengesahkan gergasi Asia itu sudah mengesahkan untuk hadir ke Malaysia menerusi surat yang diterima daripada Persekutuan Hoki Pakistan (PHF) pada minggu lalu.

"Setakat ini tiada sebarang perubahan.

Pakistan memang akan beraksi pada kali ini.

"Kini kami cuma menunggu satu lagi jawapan iaitu daripada Afrika Selatan saja.

Yang lain tiada perubahan," kata Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abdul Aziz.

Menerusi satu laporan yang dipetik daripada laman web dailytimes.com.pk baru-baru ini, Setiausaha PHF Rana Mujahid dilaporkan berkata pihaknya tidak mempunyai dana kewangan untuk menyertai Piala Sultan Azlan Shah pada tahun ini.

Dengan kehadiran Pakistan, bermakna enam pasukan sudah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini iaitu pasukan ranking kedua dunia Australia, Korea Selatan, Kanada, Perancis serta Malaysia selaku tuan rumah.

Johari bagaimanapun berkata, sekiranya Pakistan menarik diri pada saat akhir selepas menyatakan kesediaan untuk hadir, ia adalah satu tindakan yang tidak profesional.

Malah beliau berkata, terdapat beberapa tindakan boleh dilakukan ke atas Pakistan, termasuk menghantar surat aduan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Tapi kami tetap yakin Pakistan akan hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Belum terima laporan

Posted: 28 Jan 2014 08:51 AM PST

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) masih perlu menanti untuk mengetahui sama ada mereka ternyata bersih atau sebaliknya berhubung perbelanjaan peruntukan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara berkenaan selepas mengarahkan Ketua Audit Dalam KBS, Rokiah Sahat untuk menyemak perbelanjaan yang dilakukan badan induk berbasikal negara itu.

"Saya belum mendapat laporan dan dimaklumkan audit sedang dijalankan. Perkara ini hanya boleh dianggap selesai apabila saya mendapat laporan dan berpuas hati namun sehingga kini proses itu masih belum siap sepenuhnya," katanya.

Difahamkan tiga pegawai yang diketuai Rokiah Sahat hadir di pejabat PKBM di Melaka pada Isnin dan Selasa lalu bagi menjalankan audit seperti diarahkan Khairy.

Foto

WAKIL- WAKIL pelumba profesional yang pernah menyertai Sukan SEA Myanmar berbincang selepas bertemu Khairy untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap PKBM, minggu lalu.


KBS dilaporkan menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta setiap tahun kepada PKBM bagi menjalankan program pembangunan lebuh raya namun kegagalan berterusan menimbulkan persoalan sama ada ia dibelanjakan dengan cara betul atau sebaliknya.


Ditanya mengenai kemungkinan PKBM mendapat peruntukan yang lebih berbanding RM1.5 juta seperti yang dilaporkan, Khairy berkata, beliau turut diberitahu mengenai maklumat berkenaan dan akan meminta laporan audit berhubung jumlah sebenarnya yang disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

PKBM senarai pelumba percubaan

Posted: 28 Jan 2014 08:50 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas diselubungi kontroversi rentetan kegagalan di Sukan SEA Myanmar, ketua jurulatih Aminuddin Sulaiman akan menampilkan barisan percubaannya di Ronda Pilipinas 2014, 1 Februari ini.

Perlumbaan itu sebagai pemanas badan menjelang Le Tour de Langkawi 2014 (LTdL 2014).

Sudah pasti kudrat Loh Sea Keong - pelumba Pro Tour Giant Shimano ditagih dan Aminuddin kini berdepan masalah apabila seorang lagi tonggak, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti disahkan masih mengalami kecederaan kronik bahagian belakang.

Justeru, Aminuddin kini hanya mampu mempertaruhkan Muhammad Rauf Nur Misbah, Suhardi Hassan, Mohd Nor Rizuan Zainal, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Mohd Ekbar Zamanhuri dan Amirul Anuar Jafri bagi menghadapi kejohanan 14 peringkat sejauh 1,776 kilometer yang melibatkan kawasan pergunungan di sekitar Baguio.


Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan keputusan untuk menyertai Ronda Pilipinas 2014 adalah bagi mengukur kekuatan semasa kombinasi pelumba berpengalaman dan muda.


"Walaupun dibelenggu kontroversi kerana gagal di Sukan SEA 2013, kita masih terus merancang perjalanan skuad lebuh raya negara.

"Antaranya ialah dengan menyertai Ronda Filipinas 2014.Awalnya kami mahukan Sea Keong turut serta ke Filipina. Namun pasukannya mengesahkan dia akan mulakan kempen di Eropah.

"Penyertaan di Ronda Pilipinas 2014 membuktikan kami masih berada di landasan terbaik untuk menampilkan skuad terbaik di LTdL 2014 nanti. Kita masih ada tiga pelumba yang kuat mendaki iaitu Muhammad Rauf Nur, Suhardi dan Nik Mohd Azwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

No comments:

Post a Comment