Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dominasi Messi lebur

Posted: 14 Jan 2014 07:44 AM PST

Zurich: Cristiano Ronaldo menamatkan dominasi empat tahun Lionel Messi apabila dinobat penerima anugerah Ballon d'Or di Zurich, awal pagi semalam.

Bintang Real Madrid dan Portugal berusia 28 tahun itu yang memenangi anugerah sama pada 2008 menjadi pilihan untuk mengetepikan Messi, jagoan Barcelona dan Argentina dan pemain Perancis, Franck Ribery, pemenang tiga gelaran bersama Bayern Munich pada 2013.

Ronaldo menang dengan undian 27.99 peratus mengatasi Messi (24.72 peratus) manakala Ribery di tangga ketiga dengan (23.36 peratus) menurut France Football, penganjur bersama anugerah itu dengan FIFA.

"Tiada perkataan yang menggambarkan perasaan saya," kata Ronaldo.

Foto

DETIK suka-duka Ronaldo menerima anugerah Ballon d'Or.

Foto

RONALDO memeluk ibunya, Maria Dolores dos Santos Aveiro.

Foto

RONALDO mencium trofi Ballon d'Or.


"Saya gembira, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan keluarga yang hadir.


"Mereka yang mengenali saya tahu begitu banyak pengorbanan dilakukan untuk memenangi anugerah ini.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang percayakan saya dan saya ingin memperkatakan lagi mengenai Eusebio dan Madiba (Nelson Mandela) serta memberikan penghargaan kepada mereka buat kali terakhir.

"Tidak syak lagi saya berhak memenanginya, begitu juga dengan Messi dan Ribery.

"Perasaannya berbeza setiap kali. Tapi saya ingin katakan Ballon d'Or kedua sungguh emosional kerana ibu dan anak saya (yang berada di pentas bersamanya) di sini."

Bagi Messi, yang menyarung jaket merah, kemenangan Ronaldo tidak memberi banyak perubahan.

"Saya suka jika menang, tapi ia tetap memberi motivasi yang sama buat saya untuk menjadi semakin dewasa, memperbaiki diri dan memenangi perlawanan," katanya menerusi laman Twitter Barcelona.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

RM8j bakar semangat

Posted: 14 Jan 2014 07:41 AM PST

Kota Bharu: Selepas berjaya membentuk pasukan yang 90 peratus baru, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini semakin selesa apabila menerima tajaan lebih RM8 juta bagi menampung perbelanjaan pasukan itu sehingga tamat musim Liga M 2014.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tajaan itu turut dipengaruhi peningkatan kos perbelanjaan pasukan yang meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, sebanyak sembilan syarikat menaja gergasi Pantai Timur itu dan jumlah tajaaan itu bergantung kepada keperluan perbelanjaan pasukan untuk sepanjang musim 2014.

"Bagi tajaan musim ini saya anggarkan jumlah tajaan melalui bajet perbelanjaan yang dilakukan dan saya percaya kita memerlukan kewangan tidak kurang daripada RM8 juta untuk menguruskan pasukan termasuk gaji dan insentif pemain.

Foto

PEMAIN Kelantan menggayakan jersi baru.


"Perbelanjaan musim ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu kerana kita memiliki lebih ramai pemain import selain beberapa persediaan lain untuk membentuk semula pasukan selepas ramai pemain lama berhijrah," katanya selepas majlis pelancaran jersi baru The Red Warriors (TRW) 2014 semalam.


Antara penaja utama TRW musim ini adalah Maxis Berhad menerusi Hotlink dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI) selain beberapa penaja lain seperti Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) yang dikekalkan dan UniKL sebagai penaja baru.

Dalam perkembangan lain, Annuar memberi amaran peniaga yang menjual jersi tiruan akan dikenakan tindakan daripada pihak berkuasa.

Katanya, ada kebocoran reka bentuk jersi sebelum ia dilancarkan namun menasihatkan penyokong supaya membeli jersi yang asli.

"KAFA tidak akan bertanggungjawab keatas peniaga yang ditahan kerana menjual jersi tiruan dan kepada yang mahu menjadi ejen jualan jersi, mereka boleh berhubung dengan pengurusan KAFA.

"Walaupun reka bentuk jersi kita sudah bocor namun ia tidak sama dengan yang asli kerana jersi yang asli ditenun khas dan menggunakan bahan lebih berkualiti berbanding jersi musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

PDRM tagih magis Dollah

Posted: 14 Jan 2014 07:39 AM PST

Putrajaya: Menteri Dalam Negeri merangkap penaung pasukan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan itu bangkit menjuarai Liga Perdana 2014 musim ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau menagih magis jurulatih PDRM, Dollah Salleh untuk mengemudi pasukan itu mempamerkan prestasi terbaik dan mencatat kejayaan cemerlang.

"Dalam setiap perlawanan kita perlu serius, kita mahu PDRM menjulang semula nama baik yang pernah terpahat pada 2007. Saya mahu lihat pasukan PDRM dapat masuk Liga Super," katanya selepas melancarkan skuad Liga Perdana PDRM musim 2014 semalam.

Beliau memberi amaran kepada semua pemain dan pegawai pasukan supaya tidak terlibat dengan masalah rasuah dan menegaskan tidak akan berkrompromi dengan sesiapa yang didapati terlibat.

Foto

ZAHID (kanan) berbual bersama pemain PDRM.


"Kalau ini berlaku (rasuah), jangan salahkan saya sekiranya pegawai atau pemain terlibat dikenakan tindakan sehingga kehilangan jawatan. Namun saya percaya kebajikan pemain dan pegawai PDRM (dijaga) baik dan perkara sedemikian tidak akan berlaku," kata Ahmad Zahid.


Sementara itu Dollah menyatakan keyakinan PDRM mampu menjadi pasukan mantap dan menuntut pemain segera mencapai keserasian untuk muncul juara Liga Perdana musim ini.

Dalam pada itu, beliau enggan memberi komen berhubung desas-desus beliau antara calon jurulatih skuad Harimau Malaya menggantikan Datuk K Rajagobal.

"Saya tidak menerima sebarang kenyataan rasmi, cuma ada terbaca dalam surat khabar sahaja. Saya tidak boleh komen apa-apa, tumpuan saya sekarang ini adalah untuk pasukan PDRM musim ini," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Irfan tekad lonjak FELDA

Posted: 14 Jan 2014 07:38 AM PST

Kuala Lumpur: Jurulatih FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim yakin dapat membawa pasukan Liga Perdana itu beraksi dalam kancah Liga Super pada 2015.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, gandingan muka baru dan berpengalaman mampu menghadirkan kejayaan kepada skuad 'The Settlers' dalam saingan Liga Perdana musim ini, meskipun sedar saingan hebat daripada beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor Darul Takzim II (DT II) dan Kedah.

"Rata-rata pemain kita adalah muka baru dan mereka tekad untuk mengembalikan maruah FELDA United FC iaitu kembali semula beraksi dalam saingan Liga Super pada 2015," katanya selepas majlis pengenalan pasukan berkenaan untuk musim 2014 di Dewan Perdana FELDA, kelmarin.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan berkenaan, Irfan Bakti yang mengendalikan Selangor muBsim lepas berkata, mereka telah mengadakan beberapa aksi persahabatan pramusim di Australia dan Singapura.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati corak persembahan yang dipamerkan tiga pemain importnya, Zah Rahan Krangar dan Edward Junior Wilson (Liberia) serta Yaroslav Krushelnitskiy dari Uzbekistan yang menepati kehendaknya dan pengurusan pasukan.

Ditanya mengenai pemilihan Mohd Shukor Adan selaku kapten pasukan Irfan berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman serta sifat kepimpinan berwibawa yang ada dalam bekas pemain pertahanan ATM itu.

"Saya yakin gandingan dia bersama penolong kapten, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Shahrulnizam Mustapa (Perak) dan Mohammad Khairul Ismail (JDT II) mampu membimbing pemain muda lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Yakin tetap bisa

Posted: 14 Jan 2014 07:37 AM PST

Kuantan: Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme yakin keserasiannya bersama pemain tempatan walaupun dalam tempoh tidak sampai sebulan mengikuti latihan akan membantunya merobek gawang lawan dalam usaha membawa lebih banyak kejayaan kepada skuad Tok Gajah musim ini.

"Saya yakin persefahaman lebih baik dan berkesan dapat dihasilkan apabila lebih lama kami bersama dalam satu pasukan seterusnya bersaing dalam kancah Liga Super yang akan bermula minggu depan.

"Pengalaman luas barisan pemain memberi kelebihan memahami corak permainan rakan sepasukan seperti diatur jurulatih," katanya yang musim pertama bersama skuad Tok Gajah selepas meninggalkan Kelantan.

Nwakaeme berkata, di bahagian serangan dia bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Matias Ruben Conti yang memiliki kebolehan menghasilkan gol dari semua sudut selain kemampuan menghasilkan umpanan menarik.

Beliau berkata, kelincahan pemain tempatan, Azamuddin Akil, R Gopinanthan dan R Surendren yang memiliki larian pantas serta kawalan bola yang baik turut menjadi senjata utama pasukan menjinakkan lawan musim ini.

"Walaupun gagal menyerlah pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, ia tidak seharusnya dijadikan ukuran sebenar prestasi Pahang musim ini yang ingin mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selain Liga Super dan Piala FA.

"Beri peluang kepada kami membuktikan kemampuan, beberapa kelemahan pasti dapat diperbaiki secara berperingkat hasil tunjuk ajar jurulatih Ronald Smith yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan," katanya.

Menurutnya, perlawanan merebut Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions Xll dari Singapura, Jumaat ini akan menjadi medan ujian pertama skuad Tok Gajah sebelum melangkah ke gelanggang sebenar.

Nwakaeme berkata, saingan Liga Super musim ini dianggap lebih mencabar terutama dengan persiapan rapi daripada semua pasukan yang menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka.

Justeru hanya pasukan yang mantap saja mampu bersaing memburu kejuaraan.

Sementara itu, bagi Conti kehadiran Nwakaeme dapat membantu Pahang mencatat kejayaan lebih gemilang musim ini seperti yang diinginkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

"Selepas hampir sebulan menjalani latihan bersama, saya sudah mula mendapat keserasian membentuk jentera serangan yang baik dan berkesan dalam usaha menghasilkan jaringan setiap kali perlawanan.

"Sokongan rakan sepasukan diharap memudahkan lagi usaha kami merobek gawang lawang sepanjang musim ini," katanya.

Foto

NWAKAEME giat berlatih bersama rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Bakar tenang tunggu detik tiupan wisel

Posted: 14 Jan 2014 07:33 AM PST

Ipoh: Selaku pengendali termuda, Abu Bakar Fadzim sedar tanggungjawab berat yang dipikulnya dalam penampilan pertama kempen Liga Super 2014 bermula Sabtu ini.

Bahang dirasakan bukan kepalang, namun Bakar tetap tenang menanti detik-detik tiupan wisel permulaan perlawanan antara anak buahnya dengan pasukan pilihan utama, Johor Darul Takzim (JDT) di gelanggang lawan.

"Memanglah kami menghadapi misi sukar apabila turun pada perlawanan ini.

Begitupun saya yakin pemain Perak juga turun dengan azam untuk melakukan yang terbaik.

"Kami akan bertemu lawan kuat, tetapi bagi saya tiada yang mustahil dalam bola sepak dengan syarat ada kesungguhan dan kemahuan.

"Lebih penting kami mahu buktikan gelaran baru yang diberikan kepada pasukan itu, `The Bos Gaurus' bertepatan," katanya.

Dengan tempoh persiapan memasuki fasa terakhir, beliau menumpukan aspek ketahanan mental dan fizikal serta meningkatkan persefahaman sepasukan bagi memastikan pemain berupaya bersaing dengan pasukan Harimau Selatan itu nanti.

"Kami turun selaku underdog menyedari Johor DT adalah barisan impian yang memiliki khidmat ramai pemain bintang termasuk Pablo Aimar.

"Bagaimanapun pemain saya juga bertekad memberi tentangan sengit kepada tuan rumah dan tidak akan menyerah dalam perlawanan itu," katanya.

Menurutnya, bagi menghadapi perlawanan sulung ini hanya pemain tengah berpengalaman, Mohd Hardi Jaafar belum pasti diturunkan kerana masih menjalani rawatan pemulihan hamstring yang dialami semasa perlawanan pra musim.

Manakala trio awang import, Martin Kafando, Kyaw Zayar Win (gambar) dan Zelemir Terkes mahupun Eliel Da Cruz Guardino mampu memainkan peranan untuk memacu The Bos Gaurus menebus maruah dan imej Perak selepas sekian lama dipandang sepi pencabar lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Empat pasukan buru tiket grand final

Posted: 14 Jan 2014 07:32 AM PST

Kuala Lumpur: Pemburuan satu slot bagi melengkapkan lapan pasukan terbaik Liga Futsal Kebangsaan FELDA-FAM 2013/2014 cukup menarik dengan peluang masih terbuka buat Selangor, KL KWSP FC, ATM dan Pulau Pinang MPPP.

Mereka memasang tekad itu mengiringi FELDA United, Selangor MPSJ, Kedah, Pahang, PKNS FC, Quilmes FC dan PBDKT/T Team yang sudah menempah tiket ke peringkat grand final sebaik berakhir saingan liga minggu lalu.

Selangor yang dibimbing Noraidiazhar Sulaiman kini menghuni tangga ke-8 dengan mengumpul 33 mata selepas 27 perlawanan.

KL KWSP FC pula di belakang dengan 28 mata dan berada di tangga ke-10 adalah ATM dengan 27 mata dan Pulau Pinang MPPP 26 mata di kedudukan ke-11.

Manakala Perak juga mengintai peluang walaupun mengumpul 25 mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan.

Aksi liga yang bersambung hujung bulan ini di Stadium Malawati, Shah Alam bakal menyaksikan Selangor menentang PBSMM/DNY.

Pertembungan Pulau Pinang MPPP pula bakal menentukan haluan pasukan The Red Giants dalam pemburuan tiket ke grand final Februari nanti.

"Walaupun kehilangan empat tonggak utama yang mengalami kecederaan, misi kami untuk meraih enam mata tetap diteruskan dan pemain berada dalam keadaan cukup bersedia," kata Noraidiazhar.

KL KWSP FC yang ketinggalan enam mata di belakang Selangor turut berpeluang, namun mereka wajib memenangi dua perlawanan menentang Negeri Sembilan dan PBSMM/DNY.

Manakala ATM juga mengharapkan sesuatu keajaiban, namun tugas sukar menanti mereka berdepan Pahang dan juara baru liga, FELDA United.

Wakil utara, Pulau Pinang MPPP pula mengharapkan kemenangan berdepan Perak dan Selangor bagi menghidupkan peluang mereka sambil berharap PBSMM/DNY mampu menewaskan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Red Giants sasar dua piala

Posted: 14 Jan 2014 07:27 AM PST

Shah Alam: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) boleh menarik nafas lega dalam usaha mengembalikan kegemilangan kancah bola sepak tempatan apabila Presidennya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji memberikan suntikan kewangan sekiranya diperlukan.

Ia disuarakan sendiri Menteri Besar Selangor itu selepas melihat persaingan semakin sengit untuk mendapatkan pemain tempatan terbaik terutamanya dengan apa yang berlaku pada musim ini.

Selangor yang pernah dilabel gergasi dalam kancah bola sepak Malaysia kemarau kejuaraan sejak tiga tahun lalu selain kehilangan sejumlah pemain tonggak yang memilih untuk berhijrah susulan tawaran lumayan yang diperoleh.

"Oleh kerana ada persaingan, dengan pembelian pemain membabitkan peningkatan ganjaran (gaji), sebab itu kita berjanji dengan FAS, jika mereka memerlukan sokongan kewangan kita akan melihat dan membantu.

Kita tidak semestinya berbelanja besar, namun kita sediakan kewangan yang cukup untuk latih, asuh dan laksana pasukan kita," katanya selepas pelancaran jersi baru Merah Kuning semalam.

Menurut beliau, walaupun negeri berkenaan mempunyai simpanan rizab kerajaan negeri RM3 bilion, namun ia adalah terlalu mahal kerana milik rakyat Selangor.

"Bola sepak membabitkan kos yang kecil, tetapi kita tidak mahu melampau, kalau kita perlu tambah kita akan lihat sama ada ia perlu tambah dengan keperluannya itu, dilihat berdasarkan kemajuan yang dilakukan," katanya.

Menteri Besar Incorporated (MBI) menjadi penyumbang terbesar Selangor musim ini apabila menaja RM8 juta dan Abdul Khalid berkata, beliau berharap skuad berkenaan akan dapat meraih sekurang-kurangnya dua piala.

"Itu sasaran kita, tetapi masih belum mengetahui saingan musim ini dengan tiga bulan awal akan diketahui kekuatan dan kelemahan kita," katanya.

Sementara itu pengendali Selangor Mehmet Durakovic ketika ditanya mengenai sasaran dua piala yang diinginkan Khalid menjelaskan pemain akan memberikan komitmen penuh dalam atau luar padang.

"Apa yang boleh saya katakan, pemain akan memberikan komitmen 100 peratus kepada pihak pengurusan memburu sasaran ditetapkan," katanya.

Foto

KHALID (tiga dari kanan) memakaikan lilitan kapten kepada Mohd Bunyamin Omar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Pening kepala cari pengganti Dharma

Posted: 14 Jan 2014 07:22 AM PST

Kuala Lumpur: Usaha untuk mencari pengganti Muhammad Dharma Raj Abdullah bukanlah sesuatu tugas yang mudah dengan peluang seimbang antara calon tempatan serta asing untuk dilantik selaku pengendali skuad hoki remaja negara.

Beberapa nama terutama calon tempatan disebut-sebut ditawarkan terlebih dulu untuk jawatan itu, namun pengurus pasukan Mirnawan Nawawi yang diberi amanah oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mencari calon terbaik, tidak menolak akan memberi peluang kepada jurulatih asing sekiranya tiada calon tempatan yang layak.

Mirnawan sendiri mengaku agak pening kepala untuk mencari pengganti Dharma yang pada anggapannya adalah antara pengendali tempatan yang terbaik.

"Perkara ini akan menjadi senang sekiranya Dharma terus mengendalikan skuad remaja, tetapi saya juga perlu faham perlantikannya selaku penolong jurulatih skuad senior adalah untuk kebaikan skuad negara juga.


"Sebab itu saya tidak membantah dengan perlantikannya dan terus memulakan usaha untuk mencari calon paling sesuai untuk membimbing skuad remaja.


"Benar, kita ada banyak calon tempatan yang berkaliber, tidak kurang juga calon asing. Tapi banyak faktor saya ingin lihat, antaranya adakah mereka yang dicalonkan ini sanggup berkorban masa dan tenaga untuk skuad remaja negara.

"Sebab tugas ini bukanlah mudah dan itulah juga yang dilalui oleh Dharma. Ditambah dengan reputasi skuad remaja ketika ini, sudah tentu kita hanya mahukan calon paling terbaik," katanya.

Sejak membimbing skuad remaja pada 2009, Dharma meletakkan pasukannya itu pada satu tahap lebih baik apabila meraih pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa, antaranya muncul juara Piala Sultan Johor pada 2011, juara kali pertama Piala Asia di Melaka dua tahun lalu serta menduduki tempat keempat saingan Piala Dunia Remaja di New Delhi, Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

Chong Wei intai kejuaraan ke-10

Posted: 14 Jan 2014 07:22 AM PST

Kuala Lumpur: Meskipun dihimpit rasa kecewa gagal mempertahankan kemenangan pada saingan Terbuka Korea baru-baru ini selepas tewas mudah kepada sensasi China Chen Long, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak pernah berganjak daripada sasarannya untuk merangkul kejuaraan ke-10 Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang bermula semalam.

Sedar saingan kali ini begitu penting untuk mencari kembali tahap keyakinan serta keluar daripada tekanan yang menghimpitnya ketika ini, Chong wei sama sekali tidak mahu mensia-siakan peluang terhidang di depan mata walaupun tahu Chen Long pasti akan menyukarkan impiannya itu.

Bagi pemain berusia 31 tahun itu, perkara pertama mahu dilakukan bagi menghadapi ranjau berduri bermula perlawanan pusingan pertama bertemu Hans Kristian Vittinghus dari Denmark hari ini adalah untuk fokus kepada dirinya sendiri tanpa mahu ambil pusing prestasi lawannya yang lain.

"Saya akui memang tak bermain pada tahap terbaik di Korea dan sebab itu saya mahu keputusan terbaik di Terbuka Malaysia.


"Meraih kejuaraan ke-10 memang sasaran saya dan untuk memenuhi impian itu saya perlu kekalkan semangat dalam diri sendiri.


"Saya tahu ramai yang mahu melihat saya menang di gelanggang sendiri, tetapi pada masa sama saya juga harap dapat mengatasi segala tekanan," katanya ketika ditemui semalam.

Mengenai Chen Long yang mungkin akan ditemui sekiranya berjaya mara ke pentas final, Chong Wei tidak mahu memikirkan perkara yang masih jauh.

"Saya tidak mahu komen perkara itu. Biar saya fokus kepada setiap perlawanan terlebih dulu, terutama pada pusingan pertama dan kedua," katanya.

Sementara itu tiada seorang pun pemain berseorangan negara yang beraksi pada pusingan kelayakan semalam layak beraksi pada undian utama hari ini.

Mohd Razif Abdul Latif-Muhammad Hafiz Hashim yang beraksi menerusi acara beregu lelaki berjaya mara ke undian utama hari ini selepas melepasi dua perlawanan kelayakan semalam.

Mengikut jejak langkah Mohd Razif-Muhammad Hafiz ialah Chooi Kah Ming-Teo Ee Yi.

Turut layak ke undian utama hari ini ialah dua beregu wanita iaitu Teoh Mei Xing-Too Shen Yee serta Joyce Choong-Yap Cheng Wen perseorangan wanita negara Tee Jing Yi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

No comments:

Post a Comment