Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ditangkap setahun selepas 'bunuh diri'

Posted: 02 Jan 2014 10:41 AM PST

Georgia: Seorang pengurus bank yang diisytiharkan mati 18 bulan lalu selepas 'membunuh diri' berjaya ditahan bagi kes tipu membabitkan hampir AS$20 juta (RM65 juta) gara-gara menggunakan cermin kereta gelap yang melanggar peraturan lalu lintas.

Pihak polis berkata, Aubrey Lee Price, 47, memberi kenyataan palsu ketika ditahan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia dalam senarai orang dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI).


Price menghilangkan diri pada Jun 2012 selepas memaklumkan keluarganya mahu ke Guatemala atas urusan perniagaan.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian keluarganya menerima nota daripada Price yang mengakui memalsukan dokumen untuk menutup perbuatannya menipu kira-kira 115 pelabur sebelum menyatakan ingin terjun ke dalam laut di kawasan Fort Myers kerana rasa bersalah.


"Saya hidup dalam ketakutan, malu dan murung kerana membuat dokumen palsu untuk menutup kerugian ditanggung pelanggan.


"Saya tidak mampu hidup dengan menanggung rasa bersalah kerana menipu pelanggan yang meletakkan kepercayaan tinggi terhadap saya," katanya.

Foto

PENYIASAT membawa dokumen yang menjadi bahan bukti dalam kes membabitkan Price.

Mahkamah mengeluarkan pengisytiharan mengesahkan kematian Price.


Bagaimanapun, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menganggap suratnya itu sebagai satu pengakuan jenayah, tetap memburu Price malah meletakkan ganjaran AS$20 juta untuk penangkapannya.

Pihak pendakwa menganggarkan Price berjaya mengutip dana berjumlah AS$40 juta (RM131 juta) daripada pelabur di sekitar Georgia dan Florida sebelum menghilangkan diri dengan sekurang-kurangnya AS$17 juta (RM55.9 juta) milik mereka.


Hasil siasatan menunjukkan Price mengalihkan wang pelabur ke akaun dikawalnya di institusi kewangan lain serta menyediakan dokumen palsu untuk menutup perbuatannya.


Rekod pada kad kreditnya sejurus sebelum menghilangkan diri menunjukkan dia membeli tiket feri dan pemberat selaman.


Ejen Khas FBI Stephen Emmett berkata, dia tidak tahu sama ada isteri dan keluarga Price tahu dia sebenarnya masih hidup.


Menurutnya, penyiasat berjaya merampas semua kenderaan dimiliki Price kecuali sebuah bot gentian kaca berukuran 17 kaki yang dipercayai digunakan untuk melarikan diri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Saintis cipta suntikan halang barah payudara

Posted: 02 Jan 2014 10:39 AM PST

London: Ahli sains kini mencipta dadah yang boleh disuntik bagi menghalang barah payudara yang dilihat mampu memanfaatkan jutaan wanita di seluruh dunia. Ia disasarkan bagi penghidap barah peringkat awal dikenali sebagai karsinoma duktus in situ (DCIS).

Bagaimanapun, dadah itu tidak berkesan terhadap jenis barah payudara lain yang hanya boleh dikenal pasti selepas mencapai peringkat lanjut.


5,000 wanita di United Kingdom didiagnos dengan DCIS setiap tahun, namun hanya separuh kes berkenaan menjadi lebih agresif.

Malangnya, doktor tidak dapat meramalkan sejauh mana kesan DCIS terhadap setiap pesakit mengakibatkan kebanyakan mereka terpaksa melalui pembedahan, malah ada yang terus membuat mastektomi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Tahi judi wanita ditahan tinggal anak dalam kereta

Posted: 02 Jan 2014 10:38 AM PST

Hanover: Seorang ibu berusia 24 tahun ditahan kerana meninggalkan anak kecilnya terkunci di dalam kereta selama lapan jam ketika berjudi pada malam Tahun Baru.

Alicia Brown, 24, ditahan selepas pengawal keselamatan di Kasino Maryland Live! terdengar jeritan dan tangisan kanak-kanak sebelum menemui budak terbabit kesejukan di dalam kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta bangunan itu.


"Saya terkejut apabila menerima aduan kejadian.

"Kita tidak akan sampai hati untuk melakukannya kepada haiwan, apatah lagi seorang kanak-kanak," kata jurucakap polis. Anne Arundel County Leftenan T J Smith.


Menurut rakaman CCTV, Alicia memandu masuk ke kawasan parkir kasino itu pada jam 10 pagi sebelum menutup tingkap kenderaannya dengan selimut untuk menghalang orang ramai melihat anaknya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Nafi polis terbabit insiden tembakan

Posted: 02 Jan 2014 10:38 AM PST

Bangkok: Lelaki berpakaian hitam yang dilihat di atas bangunan Kementerian Buruh ketika pertempuran berdarah antara penyokong antikerajaan dan polis, 26 Disember lalu, disahkan anggota polis.

Bagaimanapun, Penasihat Pejabat Polis Diraja Thailand Jeneral Charumporn Suramanee berkata, siasatan forensik menunjukkan anggota polis berkenaan tidak mungkin penembak yang menyebabkan kematian Sarjan Mejar Narong Pitisit atau penunjuk perasaan, Wasu Suchantabut.


Beliau menjawab tuduhan dibuat ketua penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban bahawa lelaki berpakaian hitam di atas bangunan berkenaan dilihat menembak ke arah penunjuk perasaan di situ dan mereka adalah pegawai polis yang terlatih.

Sehubungan itu, Charumporn yang mendedahkan peta bangunan Kementerian Buruh dan kawasan sekitarnya dalam satu sidang media berkata, bangunan berkenaan hanya setinggi 12 meter selain dikelilingi bangunan lain yang lebih tinggi.


Sehubungan itu, katanya, berdasarkan sudut dan arah kedudukan mereka, anggota polis di atas bumbung berkenaan tidak mungkin dapat menembak dua mangsa itu.


Tambahnya, anggota berkenaan hanya bersenjatakan senapang gas pemedih mata dan senapang yang diisi peluru getah.

Sementara itu, Ketua Polis Kebangsaan Adul Saengsingkaew turut mengakui beberapa lelaki yang dilihat merosakkan sebuah kereta pada hari sama adalah polis.


Bagaimanapun, katanya, siasatan awal menunjukkan seorang penunjuk perasaan melepaskan tembakan terhadap polis terbabit dan melarikan diri ke arah sebuah kereta menyebabkan anggota polis berkenaan cuba memecah masuk ke kereta itu untuk menangkapnya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan disiplin jika mereka didapati melanggar sebarang peraturan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

'Tiada pertemuan dengan anggota SPR'

Posted: 02 Jan 2014 10:37 AM PST

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menetapkan pertemuan bagi membincangkan penyelesaian perbalahan politik Thailand.

Dalam tweetnya, semalam, Abhisit berkata: "Tiada pertemuan dengan SPR kerana gagal membuat pengaturan sewajarnya." Pesuruhjaya SPR Somchai Srisuthiyakorn turut mengesahkan tiada pertemuan dengan wakil Parti Demokrat dan Pheu Thai. Sebelum ini, Somchai dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan dua parti politik itu, semalam.


Antara lain, SPR dijangka memutuskan sama ada meneruskan dengan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 2 Februari depan memandangkan 28 kawasan di lima wilayah selatan tiada calon berikutan tindakan penunjuk perasaan berjaya menyekat proses pencalonan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Kahwin kerana diugut sebar gambar bogel

Posted: 02 Jan 2014 10:37 AM PST

Jakarta: Pelakon sinetron Aurelie Moeremans mengaku terpaksa mengahwini Roby Tremonti selepas diugut gambar bogelnya disebarkan.

Aurelie mengakui menghantar gambar bogel kepada Roby hampir setiap hari tanpa menyangka itu menjadi jaminan supaya dia tidak meninggalkan hubungan itu.


"Saya akui, memang tindakan saya itu terlalu bodoh.

"Hampir setiap hari dia meminta saya mengirimkan gambar 'panas' yang jelas menunjukkan wajah saya.


"Tanpa disangka, gambar itu kemudian dijadikan ancaman sekiranya saya memutuskan hubungan kami," katanya.


Aurelie berkata, beberapa gambarnya itu diambil di dalam bilik tidurnya.

"Semuanya dirancang Roby yang membuat rakaman ketika saya bercakap," katanya.


Sehubungan itu, dia mengakui menyesal kahwin lari malah mendakwa dikurung di rumah mentua selepas pernikahan mereka. Bagaimanapun, tuduhan dilemparkannya itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Roby. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Ayah sokong keputusan Ting Ting

Posted: 02 Jan 2014 10:36 AM PST

Jakarta: Ayah Ayu Ting Ting, Abdul Rozak berkata, anak perempuannya itu belum melahirkan bayi seperti digembar-gemburkan, namun tetap bersedia dalam proses untuk menceraikan suaminya Enji.

"Insya-Allah, kalau anaknya sudah dilahirkan nanti dia akan meneruskan dengan perancangannya untuk menuntut cerai dengan Enji.


"Sebagai ayah, saya hanya menyokongnya untuk melakukan yang terbaik demi masa depannya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dia menambah, pintu maaf sudah tertutup buat Enji, malah dia tidak mahu lagi bermenantukan lelaki berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Filipina teruskan rundingan

Posted: 02 Jan 2014 10:35 AM PST

Manila: Kerajaan Filipina akan meneruskan usaha rundingan damai dengan penentang komunis walaupun mereka berusaha menjatuhkan Presiden Benigno Aquino.

"Kami berusaha mencapai persetujuan damai komprehensif dengan Parti Komunis Filipina (CPP), Tentera Pembebasan Baru Filipina (NPA) dan Badan Demokratik Kebangsaan (NDF).


"Kerajaan masih positif dan belum putus asa untuk mencapai kedamaian,' kata ketua Pejabat Operasi Komunikasi Presiden herminio Coloma.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

27 maut bas masuk gaung

Posted: 02 Jan 2014 10:34 AM PST

Mumbai: Sekurang-kurangnya 27 orang maut dan 17 lagi cedera di barat India apabila sebuah bas semalam terjunam ke dalam gaung dari jalan di lereng gunung, kata polis.

"Pemandunya hilang kawalan selepas sebuah tempo (kenderaan beroda tiga) merempuh bas terbabit di selekoh tajam menyebabkan ia terhumban ke dalam gaung sedalam 80 meter," kata anggota polis bertugas, Sangram Singh Nishandar kepada media. Nahas berkenaan berlaku di lokasi perkelahan popular di daerah Thane, negeri Maharashtra, kira-kira 160 kilometer di timur laut Mumbai.


Kira-kira 140,000 orang terbunuh dalam nahas jalan raya di India pada 2012, dengan purata 16 orang dalam tempoh sejam, menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. Keadaan jalan raya yang kurang baik, memandu melebihi had laju dan pemanduan yang tidak berhemah antara faktor penyumbang utama nahas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Peguam adu diancam tinggalkan mahkamah

Posted: 02 Jan 2014 10:34 AM PST

Islamabad: Peguam yang mewakili bekas pemimpin tentera Pervez Musharraf semalam beredar daripada sesi perbicaraan di mahkamah selepas mengadu diancam dan diganggu.

Pervez, 70, dijangka menghadiri tribunal khas buat kali pertama selepas gagal muncul pada dua sesi sebelumnya ekoran ancaman keselamatan yang dihadapinya.


Peguamnya berkata, tuduhan dihadapi Pervez yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang darurat November 2007 berunsurkan politik dan peguamnya turut mencabar pihak berkuasa tribunal tiga hakim itu. Anwar Mansoor Khan, seorang daripada peguam yang mewakili bekas jeneral itu memberitahu mahkamah yang dia menerima ancaman dan tidak dapat tidur pada malam sebelum perbicaraan.

"Saya benar-benar tidak dapat tidur...dari jam 1 hingga 5 pagi. Seseorang mengetuk pintu rumah dan membunyikan loceng," katanya.


Ketika ditanya siapa yang mengancamnya, Anwar hanya menjawab ringkas: 'pihak kerajaan'. "Ini tidak pernah berlaku selama 40 tahun saya menjadi peguam dan saya akan beredar hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

No comments:

Post a Comment