Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi tamat kemarau

Posted: 02 Jan 2014 10:20 AM PST

Kuala Lumpur: Kapten baru Selangor, Mohd Bunyamin Umar mahu membimbing barisan pemain Merah Kuning menamatkan kemarau tiga tahun tanpa sebarang kejuaraan.

Juara 32 kali Piala Malaysia itu yang pernah dilabel gergasi dalam kancah Liga-M mengharungi tempoh "gelap" sejak tiga musim lalu apabila gagal meraih sebarang piala selain terpaksa melepaskan sebahagian besar barisan pemain bintangnya yang menjadi tulang belakang dan kekuatan pasukan selama ini seperti Mohd Amri Yahyah, Norazlan Razali dan kaptennya musim lalu, Mohd Asraruddin Putra Omar.


Namun ia bukan alasan buat Bunyamin yang menjadi pilihan jurulatih Mehmet Durakovic untuk tampil mempamerkan kemampuannya mengemudi rakan sepasukan yang lain di atas padang untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala dalam saingan musim ini yang bakal bermula dua minggu lagi.

"Saya sasar satu piala musim ini selepas kemarau kejuaraan yang kami alami. Paling realistik adalah meraih Piala Malaysia atau Piala FA dengan saingan Liga Super dilihat lebih sukar berdasarkan persiapan mantap turut dilakukan pasukan yang lain," kata pemain kebangsaan berusia 26 tahun kelahiran Kedah itu.


Tambahnya, skuad Merah Kuning 2014 tetap dilihat berkualiti dan mempunyai kelebihan tersendiri walaupun kehilangan sejumlah tonggak utama musim lalu terutamanya dengan kelincahan pada bahagian sayap yang miliki mereka iaitu S Kunanlan, Andik Vermanshah, A Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri dan Raimi Md Noor.


"Malah hubungan sesama pemain semakin erat selepas menjalani latihan kira-kira sebulan yang lalu dan saya berharap situasi ini akan berkekalan sehingga hujung musim kerana ia bakal menjadi kunci utama kekuatan pasukan mengharungi cabaran," katanya yang pernah menjadi kapten skuad kebangsaan bawah 14 dan 17 tahun.

Semangat membara dan keazaman baru Selangor diterjemahkan dengan keputusan positif dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini apabila membenam kelab dari Australia, South Melbourne dengan kemenangan 4-0 dan 3-0 disusuli mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 dalam aksi persahabatan beberapa hari lalu.


Mengenai tanggungjawabnya sebagai kapten, Bunyamin berkata, ia tidak akan memberikan tekanan buat dirinya namun sebaliknya memberikan motivasi tambahan untuk mempamerkan konsisten di padang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Adebayor nadi Spurs

Posted: 02 Jan 2014 09:52 AM PST

Manchester: Pengurus Tim Sherwood yakin aksi penyerang yang kembali mendapat tempat Emmanuel Adebayor (tengah) tampak sukar dikekang selepas bintang Togo itu menjaringkan gol pembukaan kemenangan 2-1 di Manchester United untuk Tottenham Hotspur meneruskan kebangkitan.

Adebayor menyerlah di bawah kendalian Sherwood sejak beliau dilantik pada pertengahan Disember lalu berikutan pemecatan Andre Villas-Boas yang menyisihkan penyerang itu musim ini.


Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan Liga Perdana sejak kembali beraksi dan perlantikan Sherwood itu mula membuahkan hasil apabila mereka memungut 10 mata daripada perlawanan itu untuk memintas United di tangga keenam liga.

"Kami tahu dia salah seorang penyerang terbaik liga dan apabila dia berada di puncak prestasi seolah-olah dia tidak boleh disekat," kata Sherwood kepada pemberita ketika mengulas mengenai sumbangan Adebayor yang meletakkan Spurs di depan di Old Trafford pada minit ke-34.


"Saya fikir dia akan terus beraksi cemerlang, saya perlu berfikiran positif kerana tiada sebab kenapa dia tidak boleh melakukannya.


"Dia penyerang terbaik dan marilah kita berharap agar dia terus beraksi kerana dia cukup penting kepada pasukan." Walaupun bakat yang dimiliki sukar dinafikan namun sikapnya sering kali dipersoalkan sama seperti yang terjadi ketika dia bersama dengan Manchester City dan Arsenal sebelum ini.

Sherwood bagaimanapun lebih bimbang dengan misteri yang menyebabkan penyerang itu keluar padang pada minit ke-70 sebaik saja pemain perancang Denmark Christian Eriksen menggandakan jaringan pasukan pelawat.


"Dia gembira dan mahu bermain setiap minit tapi malangnya dia terpaksa diusung keluar," kata pengendali itu.

Biarpun kehilangan Adebayor, Spurs masih berjaya bertahan mengekalkan kemenangan di Old Trafford selepas Danny Welbeck menyumbat gol pada minit ke-67.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Janji pungut 3 mata

Posted: 02 Jan 2014 09:51 AM PST

Liverpool: Brendan Rodgers mengakui tidak kisah anak buahnya beraksi teruk untuk menang apabila Liverpool kembali berada dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana hasil kemenangan tipis 2-0 ke atas Hull City.

Skuad kendalian Rodgers itu memungut tiga mata penuh meskipun gagal beraksi cemerlang selepas Daniel Agger menanduk masuk gol pada babak pertama sebelum Luis Suarez menambah jaringan hasil sepakan percuma menarik selepas rehat.


Kemenangan itu membolehkan Reds kembali berada dalam kedudukan kelayakan Liga Juara-Juara menyingkirkan musuh Merseyside Everton.

Ia bukan persembahan terbaik Liverpool musim ini bagaimanapun selepas dua kekalahan berturut-turut Manchester City dan Chelsea pada tempoh sambutan Krismas lalu, pengurus Reds, Rodgers ternyata gembira melihat pasukannya kembali ke landasan kemenangan.


"Saya sudah memaklumkan kepada pemain-pemain bahawa saya fikir inilah kemenangan terbaik kami musim ini," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Semangat Gunners

Posted: 02 Jan 2014 09:50 AM PST

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger percaya pasukannya membuktikan mereka mempunyai kekuatan dan semangat untuk menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana.

Kali terakhir Arsenal memenangi trofi pada sembilan tahun lalu dan 10 tahun sejak mereka memenangi gelaran liga namun kemenangan 2-0 ke atas Cardiff City pada hari Tahun Baru mengesahkan kemampuan mereka mencabar kejuaraan.


Ketika Manchester City dan Chelsea terus memberi ancaman, Arsenal terus menafikan jangkaan bahawa mereka bakal tercicir.

Dalam aksi menentang Cardiff, mereka menjaringkan gol menerusi pemain simpanan Nicklas Bendtner dan Theo Walcott di penghujung permainan untuk memastikan mereka terus berada di puncak liga.


Melihat kepada situasi itu pada awalnya, Arsenal mungkin akan kalah atau seri tapi terbukti kali ini ia pasukan yang berbeza.


"Semangat berpasukan amat tinggi dalam pasukan ini," kata Wenger.

"Pemain-pemain masuk ke padang dengan sikap positif dan itulah yang memberikan perbezaan. Anda tahu bahawa jika anda tidak mempunyai kualiti itu dalam saingan kejuaraan ini, anda tidak ada peluang memenanginya. Kami mempunyai kualiti itu dalam pasukan ini. Kami perlu menjaga semangat ini dan mempamerkannya pada setiap perlawanan." Bendtner menjadi wira menentang Cardiff apabila memecahkan kebuntuan ketika perlawanan berbaki dua minit.


Jika sebelum ini dia diejek oleh penyokong Arsenal, penyerang Denmark itu mula memenangi hati penyokong itu semula dan menafikan segala kritikan selepas dua musim dipinjamkan ke kelab lain.

Bagaimanapun Wenger mendedahkan Bendtner mengalami kecederaan buku lali dan dijangka terpaksa berehat selama beberapa minggu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Oscar sengaja jatuh badan: Mourinho

Posted: 02 Jan 2014 09:50 AM PST

Southampton: Jose Mourinho mendedahkan Oscar mengakui sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan penalti dan berharap penjaga gol Southampton Kelvin Davis dibuang padang ketika Chelsea mencatatkan kemenangan 3-0 di St Mary.

Pemain tengah Brazil itu hanya berada di atas padang untuk beberapa saat selepas menggantikan Juan Mata apabila dia dilayangkan kad kuning kerana sandiwaranya itu dan pengurus Blues, Mourinho dengan jelas menyatakan pengadil Martin Atkinson membuat keputusan tepat.


Oscar kemudian membuka ruang buat Fernando Torres meledak jaringan pertama Chelsea dan menjaringkan gol ketiga untuk dirinya sendiri selepas rakan senegaranya, Willian menjadikan kedudukan 2-0.

Ditanya mengenai tindakan sengaja menjatuhkan badan yang dilakukan Oscar, Mourinho berkata: "Ia adalah kad kuning yang adil. Saya juga tidak menyukainya namun saya turut menerima penjelasannya.


"Dia berkata kepada saya; 'apabila saya melihat penjaga gol menerpa saya hanya berfikir tentang penalti, kad merah, selamat tinggal dan penjaga gol - dia berusia 35 atau 36 tahun (Davis berusia 37 tahun) dengan pengalaman luas - merasakan saya akan berhenti mara ke depan'.


"Oscar mendapati dirinya berada dalam situasi yang sukar dan kita bercakap mengenai tentang sesuatu yang berlaku dalam tempoh yang singkat - di mana dia berfikir mengenai sentuhan, penalti, kad merah dan sudah pasti tiada kekasaran berlaku.

"Oscar adalah pemain yang tidak bersalah menunggu penjaga gol untuk menerpa dan menjatuhkannya kerana ia adalah perkara yang biasa berlaku dalam keadaan itu." Mourinho dengan pantas memuji Oscar kerana corak permainannya apabila pemain Brazil itu membolehkan Chelsea mengawal permainan selepas mereka menghadapi kesukaran sebelum pemain gantian itu dimasukkan pada minit ke-53.


"Oscar dan Willian mengubah perlawanan," kata Mourinho. "Mereka hadir dan memberikan intensiti yang berbeza kepada perlawanan. Kami menjaringkan gol dan selepas itu lebih mendominasi.

"Kami menamatkan saingan dengan selesa dan berhak meraih kemenangan itu." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Jelmaan kerbau ganas

Posted: 02 Jan 2014 09:50 AM PST

Madrid: Lionel Messi pasti akan 'mengamuk' apabila kembali beraksi selepas dua bulan berehat akibat kecederaan paha, demikian jangkaan rakan sepasukannya di Barcelona Cesc Fabregas menjelang perlawanan La Liga bertemu Elche, Ahad ini.

Messi kembali semula ke kelab Catalan itu dari Argentina kelmarin dan menyertai Fabregas serta barisan pemain lain di bawah bimbingan Gerardo Martino pada sesi latihan.


Martino pasti tidak mahu terburu-buru untuk menggunakan khidmat Pemain Terbaik Dunia itu, sebaliknya mungkin akan memberi sedikit peluang kepada rakan senegaranya itu beraksi ketika bertemu Elche di Nou Camp.

Messi juga mungkin akan diturunkan pada pusingan kedua saingan Piala Raja-Raja, Rabu ini bertemu Getafe di tempat sendiri sekali gus dapat cergas sepenuhnya menjelang pertemuan dengan seteru utama Atletico Madrid pada 11 Januari ini di saingan La Liga.


"Dia masih perlu berehat kerana baru saja pulih daripada kecederaan yang serius dan tiada pilihan lain selain tidak perlu turun beraksi.


"Messi mengalami empat hingga lima kecederaan berturut-turut di bahagian paha.

"Dia perlu berehat tidak kira apa yang berlaku dan pastinya akan menjadi seperti kerbau yang ganas jika kembali semula beraksi." kata Fabregas.


Barcelona kini berkongsi 46 mata bersama Atletico Mardid selepas mengharungi 17 daripada 38 perlawanan tetapi masih mendahului Atletico dengan perbezaan gol.

Real Madrid ketinggalan lima mata di tempat ketiga dan akan bertemu Celta Vigo pada Isnin ini.


Barcelona beraksi hambar ketika ketiadaan Messi apabila tewas kepada Ajax Amsterdam pada saingan Liga Juara-Juara dan Athletic Bilbao di saingan La Liga.


Bagaimanapun penyerang antarabangsa Brazil, Neymar beraksi cemerlang apabila meledak hatrik ketika bertemu Celtic dan menyumbang dua gol ketika menentang Villarreal.


Fabregas berkata, gol yang dijaringkan Neymar itu pasti akan meningkatkan keyakinan pemain berusia 21 tahun itu.


"Jaringan yang dilakukan oleh Neymar akan memberi lebih keyakinan kepadanya, terutama di dalam kotak penalti," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

'Usah bimbang ancaman PSG'

Posted: 02 Jan 2014 09:48 AM PST

Doha: Presiden Paris Saint-Germain Nasser Al-Khelaifi menegaskan pesaing tidak perlu bimbang terhadap ancaman dicetuskan kelabnya dan bangkit mempertahankan negara kelahirannya, Qatar, kelmarin.

PSG kini berada di negara Teluk itu untuk kem latihan musim sejuk dan akan menentang Real Madrid dalam aksi persahabatan di Doha sebelum kembali ke Perancis untuk meneruskan saingan domestik.


Kelab yang berpusat di ibu negara Perancis itu muncul salah sebuah pasukan terkuat dalam bola sepak sejak dibeli Qatar Sports Investments pada 2011, dan kini ancaman utama kepada kelab seperti Madrid, Barcelona dan Bayern Munich di pentas Eropah.

Usaha mereka dibantu dengan perjanjian penajaan yang besar bersama pihak Pelancongan Qatar yang membolehkan mereka meraih pendapatan 200 juta euro (RM900.2 juta) setahun.


Perjanjian berkenaan mencetuskan kebimbangan UEFA yang cuba memperkenalkan peraturan kewangan Fair Play (FFP) namun Al-Khelaifi menegaskan PSG tidak melakukan sebarang kesalahan.


"Saya tidak faham. Adakah mereka bimbang mengenai pertandingan itu sendiri atau penajaan? Kadang-kala mereka bimbang terhadap PSG sebagai sebuah kelab," katanya.

Mungkin itulah sebabnya. Kami menghormati setiap kelab, kami tidak mencampuri hal atau urusan dalaman kelab lain. Ini adalah antara kami dan UEFA.


"Sudah pasti ini adalah kontrak yang sebenarnya, kami mempunyai mesyuarat dengan jawatankuasa kewangan Fair Play. Kami sangat telus, kami memberi jawapan kepada setiap soalan.

"Apa yang saya faham bahawa Qatar membuat pelaburan besar dalam sukan untuk mempromosikan negara itu. Ini adalah sebahagian besar pelaburan Qatar, melabur dalam PSG.


"Hari ini semua pihak bercakap mengenai PSG dan Qatar. Jadi saya ini ia adalah sesuatu yang memberikan pulangan yang besar. Ia membantu pelancongan dan ia adalah sesuatu yang kami jelaskan (kepada FFP)." Al-Khelaifi, bekas pemain tenis, turut mempertahankan dakwaan bahawa Qatar menyalahgunakan hak pekerja yang terbabit dalam projek pembinaan menjelang Piala Dunia 2022, di mana negara itu akan menjadi tuan rumah.


"Sudah pasti sebagai rakyat Qatar, ia membuatkan saya kecewa," katanya. "Sesetengah pihak melihat dengan negatif negara saya. Saya mengenali negara sendiri. Undang-undang sangat ketat. Tiada siapa di negara kami sama ada dari pihak kerajaan atau individu lain sanggup melihat syarikat asing melakukan kesalahan undang-undang.


"Secara jujur, saya fikir (kritikan terhadap Qatar) adalah tidak adil. Saya sendiri melakukan kesilapan... namun ia tidak bermakna apabila saya melakukan kesilapan, tidak semestinya negara saya teruk." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Petkovic bangga

Posted: 02 Jan 2014 09:47 AM PST

Rome: Vladimir Petkovic masih menganggap berasa 'bangga' dapat meneruskan tugas selaku jurulatih Lazio, demikian kenyataan Petkovic kelmarin ketika media heboh melaporkan bahawa Edoardo Reja sudah menggantikan tempatnya selepas turun pada sesi latihan sejak tiga hari lalu.

Switzerland pada 23 Disember lalu mengumumkan Petkovic sudah bersetuju untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih skuad kebangsaan untuk musim depan, menggantikan Ottmar Hitzfeld yang akan meletak jawatan selepas berakhir Piala Dunia 2014 di Brazil.


Media Itali melaporkan pelantikan itu mencetuskan rasa marah Presiden Lazio, Claudio Lotito yang bercadang untuk memecat jurulatih kelahiran Bosnia itu berbanding membenarkannya menghabiskan kontrak sehingga Jun.

Lazio yang akan bertemu Inter Milan di halaman sendiri pada 6 Januari, belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.


"Petkovic menganggap beliau masih berbangga kerana kekal sebagai jurulatih Lazio," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Petkovic, Paco D'Onofrio. "Beliau mahu tindakan yang adil serta bertemu dengan Lotito dalam usaha menyelesaikan salah faham yang berlaku, demi untuk penyokong, pemain dan terutamanya kelab.


"Petkovic berasa terkejut dan kecewa mengenai laporan yang tidak memihak kepadanya kerana beliau dikatakan akan bertugas di bawah Persekutuan Bola Sepak Switzerland pada musim depan.

"Selepas menandatangani kontrak itu pada 23 Disember lalu, beliau bercadang untuk memaklumkan terlebih dulu kepada Lotito sebelum ia tersebar di media. Beliau mahu menyatakan untuk kekal bersama Lazio sehingga hujung musim," katanya.


Petkovic mengambil alih tugas jurulatih Lazio pada awal musim ini menggantikan Reja yang meletak jawatan selepas mengemudi kelab itu selama dua musim.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

Cabaran getir menanti Maria

Posted: 02 Jan 2014 09:47 AM PST

Brisbane: Maria Sharapova bermain rali panjang menewaskan Kaia Kanepi bagi menempah tiket bertemu Serena Williams di separuh akhir kejohanan Antarabangsa Brisbane, sedar dia perlu mempamerkan peningkatan drastik untuk menamatkan badi kekalahan ke-13 berturut-turut menentang pemain nombor satu dunia itu.

Serena dengan mudah menewaskan Dominika Cibulkova 6-3, 6-3, dalam tempoh 61 minit, memenangi set pertama tanpa kehilangan sebarang mata ke atas servisnya, satu pencapaian yang tidak pernah dicapai sejak zaman remajanya.


Pada perlawanan itu, Maria terbabit dengan pertarungan sengit apabila dia terpaksa bangkit daripada kekalahan di set pertama kepada pemain Estonia, Kaia sebelum menang, 4-6, 6-3, 6-2, dalam tempoh dua jam.

Berbeza dengan permulaan Serena yang mendapat pujian ke atas servisnya ketika berada di luar musim, permainan Maria bermula dengan empat servis break berturut-turut dan melakukan 17 unforced error di set pertama. Perlawanan itu menghasilkan 66 kesalahan yang tidak sepatutnya dengan penganjur berharap pertemuan separuh akhir antara Maria-Serena menjadi lebih menarik. Bintang Russia itu mempamerkan peningkatan dalam permainan pada set ketiga, servisnya lebih tepat dan meningkat ke 84 peratus, usaha berganda berbanding dua set awal namun dia sedar corak permainannya perlu lebih banyak peningkatan.


"Anda akan bertemu juara yang hebat yang mempamerkan aksi permainan tenis yang terbaik ketika ini," kata Maria. "Anda sedar perkara itu dan perlu meningkatkan tahap permainan untuk menewaskannya. "Saya rasa tahap intensiti dalam permainan kami sentiasa tinggi. Saya berasa dia sudah bersedia dan mahu mempamerkan aksi terbaik menentang saya. "Tiada apa yang dirahsiakan kerana dia sudah mempamerkannya di atas gelanggang." Biarpun perlawanan antara kedua-dua pemain hanya memihak kepada sebelah pihak, Maria berkata dia perlu "menang beberapa kali untuk melabelkan pertarungan itu sebagai satu persaingan," hubungan dingin kedua-dua pemain itu di luar gelanggang memastikan pertembungan itu adalah yang terbesar dalam perlawanan wanita. Di tanya mengenai hubungannya dengan Serena selepas kemenangan ke atas Kaia, pemain Russia itu berkata: "Saya sudah bercakap apa yang perlu saya katakan mengenainya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

'Halangan sepanjang jalan'

Posted: 02 Jan 2014 09:46 AM PST

Doha: Juara Wimbledon Andy Murray sedar dia berdepan 'halangan sepanjang jalan' selepas kembali pulih dari kecederaan dan kata-katanya itu membuktikan segalanya apabila memulakan tahun baru dengan kekalahan pada pusingan kedua di Terbuka Qatar.

Murray mendahului set pertama dan 3-0 sebelum tewas 3-6, 6-4, 6-2 kepada Florian Mayer, pemain ranking ke-40 dari Jerman yang dilihat lebih terkejut berbanding orang lain selepas melakarkan kemenangan. Ia adalah perlawanan kedua Murray dalam siri jelajah selepas kembali daripada pembedahan belakang yang memaksanya berehat selama empat bulan namun sejam selepas itu dia yang dilihat masih kurang latihan berdepan dengan masalah untuk menangani lawan.


Mayer kemudiannya terus menyerang, Murray yang keletihan dan semuanya berubah.

"Ia satu yang menakjubkan," kata Mayer. "Secara jujur dalam fikiran saya, perlawanan sudah selesai. Saya tidak tahu bagaimana saya bangkit. Saya bermain tenis yang hebat. Di set ketiga dia mungkin cedera tapi saya bermain dengan baik." Terdapat beberapa aksi tidak menentu di awal musim membabit beberapa pemain seperti David Ferrer, pilihan kedua dari Sepanyol, rakan senegara Fernando Verdasco, pilihan kelapan dan Philipp Kohlschreiber, pilihan keenam dari Jerman apabila semuanya tewas.


Mereka ditewaskan oleh Daniel Brands dari Jerman, Victor Hanescu dari Romania dan Peter Gojowczyk dari Jerman.


Nadal yang tidak pernah memenangi gelaran sejak lima penampilan akan berdepan Ernests Gulbis, pilihan ketujuh dari Latvian.

Mereka antara pemain pilihan yang masih meneruskan perjuangan selepas pilihan kelima Richard Gasquet bergelut dengan kecederaan belakang tewas 6-2, 7-5 kepada rakan senegara dari Perancis Gael Monfils, bekas finalis di Doha. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/03

No comments:

Post a Comment