Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tentera Thai belum mahu berpihak

Posted: 10 Jan 2014 01:33 PM PST

Bangkok: Ketua Angkatan Tentera Thai, Prayuth Chan-ocha semalam berkata, pasukan itu tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dalam konflik politik dan menafikan menunggu masa sesuai untuk melancarkan rampasan kuasa seperti didakwa sesetengah pihak.

Prayuth turut memberi amaran kepada rakyat agar tidak memaksa tentera menunjukkan sokongan kepada mana-mana pihak. "Perubahan amat penting seperti juga mengekalkan undang-undang," katanya.


Dalam mesej yang dimuat naik di laman Facebook, Prayuth berkata, dia semakin bimbang terhadap perkembangan konflik yang berlaku khususnya selepas beberapa individu atau parti merujuk kepadanya dan tentera. "Tentera masih menjalankan tugas mengikut undang-undang. "Jangan beri tekanan kepada tentera untuk memihak kepada mana-mana kumpulan kerana tanggungjawab kami menjaga keselamatan rakyat dan negara.

"Dalam hal konflik politik atau melanggar undang-undang, agensi terbabit perlu bertanggungjawab. Sama ada salah atau betul, semua parti perlu mematuhi undang-undang," katanya. Katanya, apa yang menjadi pegangan tentera ialah kepentingan negara, agama, raja dan rakyat. "Jika kumpulan bertelingkah tidak berhenti memusnahkan musuh masing-masing tentera bersedia mengorbankan nyawa untuk melindungi negara," katanya. - Agensi

Foto

ANGGOTA tentera Thai menyusun kereta kebal di kem tentera dekat Bangkok menjelang pameran Hari Kanak-Kanak Kebangsaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

'Kunyah' kereta lepas marah

Posted: 10 Jan 2014 01:31 PM PST

Cardiff: Seorang wanita mengejutkan orang ramai apabila bertindak menggigit bumbung kereta mereka selepas terbabit dalam pergaduhan.

Perbuatan Rhian Jeremiah, 26, menggigit bumbung kereta Fiat 500 itu tidak ubah seperti watak penyangak dalam filem James Bond yang dikenali sebagai Jaws. Selina Day, 23, memberitahu Mahkamah Majistret Aberystwyth semalam, dia dan dua rakannya terkejut apabila terdengar bunyi besi dikerkah Rhian yang dipercayai mabuk ketika itu.


Katanya, mereka bertiga sebelum itu meletakkan kereta di luar sebuah restoran makanan segera sebelum tiba-tiba dihampiri Rhian yang kelihatan agresif dan marah.

"Wanita itu cuba membuka pintu sambil memaki hamun namun saya tidak faham apa dikatakannya kerana dia terlalu mabuk.


"Berlaku sedikit pertengkaran sebelum dia tiba-tiba menggigit bumbung kereta. "Memang kami terdengar bunyi besi dikerkah," katanya ketika memberi keterangan.


Pihak polis menemui bekas gigitan pada kenderaan itu malah kerosakan itu menelan belanja lebih £200 (RM1,073) untuk diperbaiki.

Mahkamah diberitahu, Rhian sebelum itu minum arak ketika majlis memperingati hari lahir teman lelakinya Simon Jones yang mati lemas, baru-baru ini.


Rhian dihukum melakukan kerja khidmat masyarakat selama 12 bulan dan menghadiri 20 sesi kaunseling bagi penyalahgunaan alkohol selepas didapati bersalah menyebabkan kerosakan jenayah dan menyerang dua pegawai polis yang dipanggil memberi bantuan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Tuah kasanova beranak banyak

Posted: 10 Jan 2014 01:30 PM PST

London: Seorang pengedar dadah terlepas daripada hukuman penjara apabila hakim membenarkan permohonannya untuk menjaga seorang daripada 22 anaknya di rumah. Lelaki dari Cumbria, Raymond Hull, 58, sepatutnya menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas ditahan bersama sejumlah ganja.

Bagaimanapun, seorang hakim menggantung hukuman itu selepas dimaklumkan Hull terpaksa membantu teman wanitanya Emma McNeil, 26, menjaga anak mereka Barry berikutan kekasihnya itu perlu kembali bekerja.


Mahkamah juga diberitahu Hull mempunyai 22 anak hasil hubungannya dengan 11 wanita berbeza.

Hakim turut mengarahkan Hull menjalani perintah berkurung dari jam 6 malam hingga 6 pagi selama enam bulan selain membayar denda £200 (RM1,073).


Hull sebelum itu mendakwa memerlukan ganja berkenaan untuk masalah pernafasan dialaminya.


Dia yang mempunyai 19 cucu dan tidak bekerja sejak 10 tahun lalu.

Menjelaskan jumlah anak dan kekasih yang menjalin hubungan dengannya, Hull berkata, ia berlaku secara semula jadi. "Saya sering menjadi buruan wanita," katanya.


Anak pertama Hull - kini berusia 42 tahun dilahirkan satu-satunya wanita yang pernah dikahwininya.

Ketika itu Hull baru berusia 16 tahun.


Malah Hull hanya ingat tarikh lahir seorang daripada anaknya itu, manakala ramai daripada mereka juga tidak mengetahui dia ayah mereka.


"Saya tidak pernah mengejar wanita, sebaliknya mereka yang mencari saya.


"Tidak tahu apa yang mereka minati, namun saya tidak pernah kekurangan teman," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Presiden Perancis curang?

Posted: 10 Jan 2014 01:29 PM PST

Paris: Sebuah majalah Perancis semalam mendedahkan Presiden Francois Hollande menjalin hubungan sulit dengan aktres Julie Gayet dan menyokong dakwaan itu dengan beberapa gambar untuk mengesahkan khabar angin yang tersebar sejak berbulan lamanya.

Majalah Closer edisi Jumaat itu menyiarkan laporan tujuh halaman mengenai presiden berusia 59 tahun itu yang didakwa curang dengan tajuk "Francois Hollande dan Julie Gayet cinta rahsia presiden." Tindakan majalah mingguan itu dicemuh Hollande berulang kali dan dia menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pendedahan itu yang disifatkan sebagai serangan hak privasi.


Closer mengulang laporan diterbitkan di pelbagai laman web sejak beberapa hari lalu berkata, Hollande menunggang skuter di sekitar Paris setiap hari untuk menghabiskan malam bersama kekasihnya yang berusia 41 tahun itu.

Hollande dalam satu kenyataan dikeluarkan secara eksklusif kepada media berkata, dia masih meneliti tindakan yang mungkin diambil, termasuk tindakan undang-undang terhadap majalah mingguan berkenaan.


Berita mingguan L'Express bulan lalu melaporkan perkhidmatan keselamatan Istana Presiden semakin bimbang dengan tindakan Hollande yang sering "menghilangkan diri." Hollande tinggal bersama pasangannya, Valerie Trierweiler, seorang wartawan selepas meninggalkan ahli politik Sosialis, Segolene Royal yang menjadi ibu kepada empat anaknya.


Julie yang muncul dalam satu daripada iklan pilihan raya Hollande pada 2012, membuat aduan Mac tahun lalu mengenai khabar angin hubungan sulit itu yang dikatakannya melanggar hak peribadinya. Julie, ibu kepada dua anak ialah aktres terkemuka Perancis yang sudah membuat lebih 50 penampilan dalam filem. Dia membawakan peranan utama dalam "Quai d'Orsay," filem satira pada tahun lalu yang memfokuskan pada Kementerian Luar Perancis. Dia turut muncul dalam filem Shall We Kiss?" dan "My Best Friend". Jika khabar angin hubungan sulit mereka benar, ia hanya satu lagi amalan tradisi Presiden Perancis dan ahli politik kanan negara itu yang kaki perempuan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Kolam air panas jadi 'port' bunuh diri

Posted: 10 Jan 2014 01:29 PM PST

Jakarta: Kewujudan kolam air panas sepatutnya menjadi kelebihan kepada sesebuah tempat kecuali mungkin di Semurup, Kerinci di Jambi.

Berbanding tempat lain yang menyaksikan kolam air panas sebagai pusat rekreasi, 'kelebihan' dimiliki kampung itu mendatangkan masalah kerana ia menjadi tumpuan untuk seseorang ingin membunuh diri.


Sejak dua hari lalu, polis berjaya menggagalkan dua percubaan bunuh diri di situ membabitkan dua wanita.

Mereka diselamatkan sebelum sempat melompat ke kolam berkenaan. Jurucakap polis berkata, kes pertama berlaku awal pagi Rabu apabila seorang wanita cuba terjun ke dalam kolam air panas itu. "Polis mengambil masa empat jam untuk memujuk dan menyelamatkan wanita terbabit," katanya.


Menurut jurucakap berkenaan, wanita itu kecewa kerana suaminya tidak pulang selama tiga bulan sehingga mendorong dia cuba membunuh diri Mangsa dikatakan mengirimkan mesej pesanan ringkas kepada suaminya memaklumkan yang dia ingin membunuh diri di kolam air panas berkenaan.


Suami mangsa kemudian menghubungi polis, selain turut bergegas ke lokasi itu untuk mencegah isterinya daripada berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua balai polis Semurup, Ipda Supardinnur berkata, anggota polis sudah dikerah ke lokasi berkenaan sebelum mangsa tiba. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Ahok suka jika lebih banyak kereta

Posted: 10 Jan 2014 01:28 PM PST

Jakarta: Tidak perlu penjelasan lanjut untuk menerangkan masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta, tetapi Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama mempunyai 'cara' tersendiri' menguruskan isu itu.

Bagi Basuki atau lebih dikenali dengan panggilan Ahok penduduk Jakarta tidak seharusnya dihalang memberi kenderaan baru.


Pada ketika sama, katanya, kerajaan akan meningkatkan jumlah pengangkutan awam, terutama bas.

"Untuk jangka panjang, kerajaan tidak bercadang mengehadkan bilangan kenderaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan. "Malah, orang ramai digalakkan membeli seberapa banyak kenderaan yang diingini asalkan mereka mempunyai kemampuan," katanya. Namun, katanya, pengguna perlu bersedia berdepan dengan peraturan ditetapkan, seperti membayar tol. Basuki berkata, menerusi "Jika ada pengguna yang masih ingin melalui jalan berkenaan, maka bayaran akan dinaikkan. "Jika masih ramai pengguna dikesan melalui jalan yang mengenakan bayaran Rp50,000 (RM13), maka kami akan menaikkan bayaran hingga Rp100,000 (RM26)," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Mangsa serangan MNLF ditahan mencuri

Posted: 10 Jan 2014 01:27 PM PST

Zamboanga City: Tiga penduduk yang dipindahkan berikutan insiden kepungan oleh anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada September lalu ditahan kerana mencuri pelbagai barangan di sekolah menengah tempat mereka berlindung.

Ketua Polis Zamboanga City, Diomarie Albarico berkata, suspek yang ditahan Isnin lalu itu ialah Michael Lukman, 37, Almutiah Angkaya Maharan, 30, dan Myrna Hepe Omar, 24.


Kata Albarico, tiga lelaki terbabit menceroboh masuk ke makmal sekolah berkenaan dengan memotong jeriji besi sebelum mencuri sembilan unit komputer, puluhan kamera, pencetak, skrin LCD dan pemacu keras komputer dari makmal sekolah berkenaan.

"Siasatan menunjukkan suspek mencuri barangan berkenaan secara berperingkat-peringkat," katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

No comments:

Post a Comment