Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kami makin serasi'

Posted: 21 Jan 2014 10:33 AM PST

Kuala Lumpur: Lim Khim Wah mengaku krisis lama membabitkan dirinya dengan Goh V Shem sudah berakhir dan buktinya, kemenangan mereka berdua pada final Siri Super Premier Terbuka Malaysia, baru-baru ini.

Kedua-dua mereka pernah berpisah sebanyak dua kali atas kehendak sendiri, tetapi digandingkan semula buat kali ketiga selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggap gandingan V Shem-Teo Kok Siang dan Khim Wah-Ow Yao Han sebelum ini tidak membuahkan hasil diharapkan.


Selain itu ia juga merugikan negara kerana mereka berdua kehilangan kedudukan ranking dunia.

Kali terakhir mereka dipisahkan pada Oktober tahun lalu sebelum baru di gandingkan semula tahun ini dengan saingan antarabangsa yang disertai di Terbuka Korea.


"Memang sekarang hubungan kami berdua bertambah baik. Apabila turun pada sesi latihan, kami kerap bercakap dan mengadakan perbincangan.


"Jurulatih pun banyak menolong kami untuk menjadi lebih baik dan menambahkan persefahaman antara kami berdua," kata Khim Wah.

Foto

GANDINGAN V Shem (kanan) dan Khim Wah semakin mantap.

Kedua-dua mereka mempamer aksi cemerlang pada Terbuka Malaysia, Ahad lalu apabila muncul juara acara beregu lelaki sekali gus menamatkan kemarau kemenangan gandingan negara yang kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2010.


Sementara itu jurulatih beregu negara Pang Cheng Chang berkata, tindakan untuk menggandingkan mereka berdua satu keputusan yang tepat.

"Sebagai pemain yang masih muda, memang ada gangguan dalam melalui tahap kematangan mereka. "Tapi selepas berbincang sebelum ini, mereka berdua dapat menerimanya. BAM melakukan semua ini untuk kebaikan mereka juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Piala Liga pengubat United

Posted: 21 Jan 2014 08:55 AM PST

London: Usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana semakin tipis dan kini Manchester United menyedari perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Sunderland awal pagi esok mampu menyelamatkan musim domestik mereka.

Kecundang 1-3 di tangan Chelsea menyaksikan anak buah David Moyes ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga serta tersingkir awal pada saingan Piala FA kepada Swansea City.


Situasi itu menyebabkan United pasti mahukan kejayaan pada saingan Piala Liga, tidak seperti yang sering diabaikan sebelum ini.

Moyes sedar dengan situasi tidak menentu kini dan beliau tidak boleh terlalu memilih ketika penyokong mereka sudah semakin hilang sabar.


"Kami akan cuba dan melakukan yang terbaik untuk melangkah ke final. Saya mahu memberikan sedikit keceriaan kepada penyokong kami," katanya.


Bagaimanapun dalam usaha mereka melangkah ke pentas final dan dijangka bertemu Manchester City, anak buah Moyes perlu mengatasi defisit jaringan 1-2 pada perlawanan pertama.

Selepas keputusan mengecewakan di Stadium of Light pada 7 Januari lalu, United sudah tewas empat daripada lima perlawanan dan pemain tengah Michael Carrick berkata, rakan sepasukannya begitu terdesak untuk kembali mencatat kemenangan.


"Kami mahu beraksi semula secepat mungkin.

"Esok (hari ini) adalah perlawanan yang cukup penting. Ia perlawanan yang cukup besar untuk kami dan berpeluang untuk ke final.


"Kami tidak boleh memandang mudah perlawanan ini. Kami perlu lupakan kekalahan sebelum ini dan bersedia sepenuhnya bagi perlawanan menentang Sunderland," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Lugano buat Mel lega

Posted: 21 Jan 2014 08:55 AM PST

London: Perlawanan sulung Liga Perdana membabitkan pengurus dari Sepanyol, Pepe Mel bersama West Brom berakhir keputusan seri 1-1 dengan Everton di Hawthorns awal pagi semalam, namun apa yang mengejutkan kontroversi melanda Nicolas Anelka mencetus episod baru.

Gol pertama Diego Lugano dalam kancah bola sepak Inggeris menerusi tandukan padu pada minit ke-75 membolehkan West Brom berkongsi satu mata selepas pasukan pelawat Everton yang boleh berada dalam kelompok pasukan Liga Juara-Juara jika menang, mendahului pada babak pertama hasil jaringan Kevin Mirallas.


Keputusan itu menyaksikan West Brom berjaya menjarakkan diri empat mata dari zon penyingkiran dan Everton pula lima mata di depan juara bertahan Manchester United yang dikendalikan bekas pengurus mereka, David Moyes.

Mel dibawa masuk bagi menggantikan Steve Clarke yang dipecat. Beberapa jam sebelum perlawanan bermula timbul perkembangan terbaru mengenai isu Anelka yang membuat isyarat 'quenelle' ketika meraikan gol.


Penaja jersi West Brom, Zoopla pagi semalam mengumumkan mereka tidak akan membaharui kontrak lumayan selepas kontroversi yang dicetuskan bekas penyerang Perancis itu apabila membuat isyarat 'quenelle' yang dianggap sebagai anti-Yahudi oleh segelintir pihak.


Anelka yang berusia 34 tahun mempamerkan aksi bertenaga pada awal permainan, namun gagal menghasilkan gol dan dia kemudian dikeluarkan sebaik pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan.

"Saya tidak tahu. Saya cuma ketua jurulatih," kata Mel ketika ditanya mengenai kedudukan Anelka. "Dia mempunyai personaliti yang baik. Dia mahu menjaringkan gol dan dia akan berusaha keras untuk saya." Sementara itu, Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris akan mendakwa Anelka berikutan isyarat 'quenelle' itu. Dia mungkin berdepan penggantungan perlawanan jika didapati bersalah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Swansea panggil polis lerai pertengkaran

Posted: 21 Jan 2014 08:54 AM PST

London: Swansea mengesahkan mereka terpaksa memanggil polis ke padang latihan Jumaat lalu berikutan insiden pertengkaran antara pemain pertahanan Garry Monk dan Chico Flores.

Kedua-dua pemain itu bertengkar ketika Swansea membuat persiapan sebelum perlawanan di laman sendiri yang menyaksikan mereka tumpas 1-3 kepada Tottenham, sekali gus melebarkan rekod lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan kini hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.


Laporan mendakwa Flores cuba memukul dengan menggunakan batu-bata ketika insiden itu bagaimanapun kelab itu menafikannya.

Jurucakap Swansea berkata: "Chico Flores dan Garry Monk bertengkar dan ia sesuatu yang biasa berlaku antara pemain ketika berlatih, tapi tidak ada ancaman atau kekerasan dilakukan antara kedua-dua pemain.


"Difahamkan ada orang awam menghubungi polis yang kemudian mengesahkan tiada tindakan lanjut perlu dilakukan. Kelab ini mengesahkan tiada sesiapa yang diancam menggunakan batu-bata. Perkara itu diselesaikan dengan cara baik." Bekas kapten Monk tidak bermain sejak September lalu selepas mengalami kecederaan lutut manakala Flores yang menyertai kelab itu dari Genoa pada musim panas 2012 bergelut untuk berada di prestasi terbaiknya dalam beberapa bulan kebelakangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Bilbao pintas Villarreal

Posted: 21 Jan 2014 08:53 AM PST

Madrid: Athletic Bilbao kembali melonjak ke tangga keempat mengatasi Villarreal dalam La Liga selepas Ibai Gomez menyumbat dua gol ketika menang 4-2 ke atas Real Valladolid, awal pagi semalam.

Oscar Gonzalez menampan bola masuk dari jarak dekat untuk membolehkan pelawat mendahului pada minit ke-15 dalam cuaca hujan di San Mames dan penjaga gol Valladolid, Diego Marino bertindak cemerlang hingga pertengahan babak kedua dengan beberapa tindakan penyelamat.


Pemain remaja Sepanyol berusia 23 tahun itu, pemain dari akademi Villarreal, bagaimanapun gagal menghalang Gomez daripada menyamakan kedudukan berikutan penyudah klinikal dari sudut sukar pada minit ke-65.

Pemain gantian, Oscar De Marcos meletakkan Bilbao di depan menerusi tandukan jarak dekat 10 minit kemudian sebelum Gomez menambah gol keduanya pada minit ke-82 menerusi rembatan leret dan Ander Herrera menanduk masuk gol keempat empat minit sebelum tamat.


Pemain gantian Valladolid, Valdet Rama kemudian merembat bola kencang pada masa kecederaan. selepas pantas memecah benteng pertahanan tuan rumah.


Bilbao yang berkunjung ke Atletico Madrid bagi suku akhir Piala Raja Sepanyol awal pagi Jumaat ini, menang sembilan daripada 11 perlawanan liga di stadium baru mereka itu musim ini selain seri dua kali.

Kemenangan semalam melonjakkan mereka kembali mengatasi Villarreal, yang menang 2-0 di laman sendiri ke atas Almeria Ahad lalu, ke tangga keempat, kedudukan yang mencerahkan peluang mereka layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.


Kelab Basque itu meraih 39 mata daripada 20 perlawanan dan Villarreal di tangga kelima dengan 37. Real Sociedad yang seri 2-2 dengan Getafe Ahad lalu, di tangga keenam dengan 33 mata manakala Valladolid ketiga tercorot dengan 16 mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Semua berjalan lancar: Valcke

Posted: 21 Jan 2014 08:53 AM PST

Sao Paulo: Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke yakin tuan rumah Piala Dunia, Brazil mampu menyiapkan prasarana tepat pada masanya di sebalik kebimbangan mengenai kelewatan pembinaan stadium.

"Kami amat yakin semuanya berjalan lancar," kata Valcke yang melawat Arena Corinthians di Sao Paulo yang akan menjadi gelanggang perlawanan pembukaan pada 12 Jun ini.


Kerja-kerja di stadium itu lewat susulan kemalangan maut hujung November lalu yang menyaksikan kren terbalik ke tempat duduk penonton dan menghempap dua pekerja binaan.

Kemalangan itu memaksa FIFA mengubah tarikh akhir pembinaan 31 Disember lalu bagi semua 12 gelanggang dan Sao Paulo akan menganjurkan kejohanan ujian pada pertengahan April ini.


"Banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan di kawasan kemalangan," jelas Valcke.


Namun beliau menegaskan, beliau percaya Brazil akan mampu menangani cabaran itu sebelum menganjurkan Piala Dunia pertama sejak 1950. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Tolak idea bina stadium baru

Posted: 21 Jan 2014 08:52 AM PST

Madrid: Presiden Barcelona, Sandro Rosell menolak idea membina satu stadium baru di bandar Catalunya sebaliknya mencadangkan kelab Sepanyol itu membina stadium di kawasan Nou Camp.

"Lembaga kelab bersetuju sebulat suara membina stadium baru di struktur Nou Camp," kata Rosell.


"Cadangan membina stadium baru di lokasi baru ditolak, kos operasi pembinaan boleh menjejaskan kelab," jelasnya.

"Kos pembinaan di lokasi baru terlalu tinggi," katanya.


Pembinaan stadium baru itu membabitkan kos kira-kira 400 juta euro (RM1.8 bilion). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Bisa Wawrinka

Posted: 21 Jan 2014 08:50 AM PST

Melbourne: Stanislas Wawrinka bertindak cemerlang menamatkan penguasaan tiga tahun Novak Djokovic di Melbourne Park semalam, memenangi perlawanan klasik lima set di Arena Rod Laver sebelum menyingkirkan pemain Serbia itu pada suku akhir Terbuka Australia.

Dikecewakan Djokovic dalam dua perlawanan epik lima set di Melbourne dan Terbuka AS tahun lalu, pilihan kelapan dari Switzerland itu beraksi luar biasa mengejutkan musuhnya itu 2-6, 6-4, 6-2, 3-6, 9-7 dalam masa empat jam.


Wawrinka tetap tenang pada set penentuan yang dipenuhi ketegangan, memastikannya apabila pukulan bekas pemain nombor satu dunia itu tersasar jauh ketika mata penamat.

Kemenangan itu membuka kembali perebutan kejuaraan, menempah pertemuan separuh akhir dengan pemain Republik Czech, Tomas Berdych selain menamatkan rentetan 28 kemenangan berturut-turut bintang Serbia itu.


"Dia seorang juara menakjubkan, dia tidak pernah berputus asa. Saya teramat gembira," kata Wawrinka.


"Saya amat fokus mata demi mata. Saya perlu kekal agresif, tidak berputus asa. Saya letih, saya mengalami kekejangan sedikit, saya juga gementar. Tapi selepas ini saya akan mandi ais.

"Tahun lalu terlalu sukar, tahun ini adalah tahun baru buat saya." Terdahulu, Berdych mengatasi kebangkitan lewat David Ferrer untuk layak ke separuh akhir sulungnya pada Terbuka Australia selepas menang 6-1, 6-4, 2-6, 6-4.


"Saya tidak ada sebarang rungutan langsung," kata pemain berusia 28 tahun itu selepas mara ke separuh akhir pada penampilan ke-11 di Melbourne Park. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Eugenie mampu gugat hajat Li Na

Posted: 21 Jan 2014 08:49 AM PST

Melbourne: Li Na berdepan halangan pemain remaja Eugenie Bouchard dalam laluannya ke final Terbuka Australia kedua berturut-turut selepas bintang China itu menyingkirkan Flavia Pennetta untuk layak ke separuh akhir semalam.

Pilihan keempat itu mengetepikan pemain Itali itu 6-2, 6-2 sekali gus menempah pertemuan dengan pemain Kanada yang muda 12 tahun berbandingnya, selepas lawan mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia Ana Ivanovic dalam tiga set.


Li Na, 31, finalis di Melbourne dua kali, namun belum pernah muncul juara kalah kepada Kim Clijsters pada 2011 dan ditundukkan Victoria Azarenka tahun lalu.

"Saya fikir setiap orang mahu memenangi Grand Slam. Tapi anda perlu layak ke separuh akhir dulu," katanya apabila ditanya mengenai peluangnya ketika Serena Williams dan Maria Sharapova kedua-duanya sudah tersingkir.


"Tapi saya amat gembira hari ini. Sekurang-kurangnya esok (hari ini) saya tidak bermain. Saya boleh berbincang dengan jurulatih (Carlos Rodriguez), boleh bersembang dengan pasukan dan bersedia bagi pusingan berikutnya." Perlawanan berikutnya sukar dijangka buat Li Na dengan Eugenie tampil tanpa diduga ke separuh akhir Grand Slam pertamanya pada percubaan pertama.


Eugenie bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan juara Terbuka Perancis 2008, Ana dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain muda paling berbakat.

Pemain Kanada berusia 19 tahun itu, pemain rookie terbaik WTA tahun lalu, mempamerkan keazaman tinggi mengejutkan pemain Serbia di ranking ke-14 itu 5-7, 7-5, 6-2. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Kobayashi, Ericsson nadi baru Caterham

Posted: 21 Jan 2014 08:49 AM PST

Leafield, England: Pasukan Formula Satu, Caterham membuat rombakan apabila mengumumkan kembalinya pemandu popular Jepun, Kamui Kobayashi dan kehadiran pemandu rookie Sweden, Marcus Ericsson dalam barisan pemandu 2014, semalam.

Pengumuman yang dinanti-nantikan itu melengkapkan 22 pemandu musim ini yang bermula di Australia Mac ini dan menandakan permulaan baru bagi pasukan itu yang masih belum meraih sebarang mata dalam tempoh empat tahun.


Dua pemandu itu menggantikan Charles Pic dari Perancis dan Giedo van der Garde dari Belanda.

Kobayashi yang membuka laman web bagi membantunya meraih dana untuk kembali ke F1 selepas diketepikan Sauber pada 2012, bertanding buat Ferrari dalam perlumbaan sportscar tahun lalu.


Dia berkata, satu perasaan hebat untuk kembali dan berterima kasih kepada peminatnya yang menyumbang wang.


"Sumbangan dan sokongan mereka memberikan saya kekuatan untuk kembali bertarung dan saya amat gembira wang yang dikumpul bukan saja membantu saya tapi juga perkembangan Caterham tahun ini," jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment