Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kait pakaian guna rambut

Posted: 29 Jan 2014 09:46 AM PST

Beijing: Seorang pesara guru yang tinggal di Chongqing menghabiskan 11 tahun mengait baju sejuk dan topi yang diperbuat daripada rambutnya sendiri.

Ia sebahagian daripada usaha menyimpan kenangan zaman mudanya.

Menurut laporan media tempatan, wanita bernama Xiang, 60, itu mengumpul kira-kira 110,000 helai rambutnya yang gugur sejak berusia 34 tahun sebelum mengait baju sejuk seberat 382 gram.

Dia turut mengait sehelai topi seberat 119 gram untuk suaminya.

Foto

XIANG memakai baju sejuk dan topi yang dikait menggunakan rambutnya.


Xiang berkata, dia menyimpan semua rambutnya yang melekat di sikat setiap hari dan mula menggunakan rambut itu untuk mengait pada 2003.


Setiap helai rambut yang dikaitnya sepanjang 70 hingga 80 sentimeter, manakala 15 helai rambut digunakan untuk membuat satu gumpalan benang bulu.

"Kaedah ini tidak sukar dilakukan. Rahsianya ialah kesabaran dan kesungguhan," katanya.

Xiang juga ingin mengambil bahagian dalam rancangan "China's Got Talent" bagi mempamerkan hasil baju sejuk yang siap dikaitnya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Wartawan ubah muka

Posted: 29 Jan 2014 09:43 AM PST

Seoul: Seorang wanita Korea Selatan dituduh merosakkan mukanya selepas prosedur mengenai pembedahan plastiknya tersebar di Internet.

Wanita yang didakwa sebagai wartawan di sebuah stesen televisyen Korea Selatan berkenaan menjalani pembedahan rahang bagi memperoleh wajah berbentuk bujur sirih yang diimpikan kebanyakan wanita Asia Timur.

Masyarakat Korea Selatan lebih banyak menjalani pembedahan plastik berbanding dengan masyarakat negara lain, menurut angka terkini dengan golongan sasaran berusia 19 hingga 49 tahun.

Prosedur itu menghasilkan dagu yang runcing secara luar biasa hingga beberapa pengguna forum Internet Jepun sangat terkejut.

Foto

FOTO sebelum (kiri) dan selepas wanita itu menjalankan pembedahan.


Seorang pengguna menulis: "Tolong beritahu saya ini adalah hasil Photoshop, manakala seorang pengguna menulis: "Nampaknya kamu boleh membajak sawah dengan dagu seperti itu", lapor RocketNews24.


Seorang pengguna bertanya: "Adakah dagu seseorang benar-benar boleh diruncingkan sebegitu? Dia tidak tahu apakah makna sebenar kecantikan asli."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Gigi rayu henti cari suami untuknya

Posted: 29 Jan 2014 09:40 AM PST

Beijing: Aktivis lesbian Gigi Chao menulis surat terbuka kepada bapanya, bilionair hartanah Cecil Chao Sze-tsung, merayu agar berhenti mencarikan seorang suami untuknya.

Minggu lalu, kisah antara Chao dan anak perempuannya Gigi menjadi tajuk akhbar sekali lagi apabila taikun hartanah itu menggandakan "mas kahwin" HK$500 juta (RM215 juta) kepada HK$1 bilion (RM429 juta) dalam usaha mencarikan suami buat anaknya.

"Saya tidak fikir berapa banyak pun tawaran dibuat bapa mampu membuat saya tertarik pada mana-mana lelaki," kata Gigi dalam wawancara dengan akhbar South China Morning Post, semalam.

Gigi yang bekerja sebagai pengarah eksekutif di syarikat pembangunan hartanah bapanya, menjelaskan, tawaran berkenaan tidak menjejaskan hubungan dengan bapanya, tetapi menyebabkan pasangannya selama sembilan tahun, Sean Eav tidak selesa.

Foto

CHAO (kiri), manakala Gigi (kanan) bersama pasangannya, Sean Eav.


Chao dilaporkan percaya belum terlambat untuk mengubah corak pemikiran anak perempuannya itu kerana Gigi baru berusia 33 tahun.


Bagaimanapun, Gigi menjelaskan dalam surat terbuka yang dihantar kepada bapanya itu, memang terdapat ramai lelaki yang baik tetapi mereka bukan untuk dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Nenek mencuri kerana bosan

Posted: 29 Jan 2014 09:35 AM PST

London: Seorang nenek mencuri ketika membeli-belah selama empat tahun kerana bosan dengan usia yang semakin tua.

June Humphreys, 76, menggunakan pas bas percuma untuk ke bandar berdekatan dan mengambil barangan, menyembunyikannya di dalam troli sebelum menyelinap keluar dari kedai tanpa membayar barangan berkenaan.

June akan melakukan demikian di dua daerah ketika menjalani rawatan untuk kanser payudara dan osteoarthritis.

June dari Crewe, Cheshire mempunyai kesalahan jenayah mencuri pada 2011, 2012, 2013 dan Januari tahun ini.

Dalam kejadian terbaru, dia mengaku bersalah mencuri alat tulis dari Iceland yang berharga £2 (RM11), pakaian bayi dan pam payudara berharga £69 (RM381).

Foto

JUNE


Pegawai mahkamah Darren Vernon memberitahu majistret North Staffordshire, June mempunyai rekod ketagihan heroin ketika remaja.


Dia sering membuat perjalanan dengan pengangkutan awam dan melakukan jenayah.

"Dia tahu dia melakukan kesalahan.

Dia kata dia bosan dan tinggal sendirian.

Dia ada tujuh anak tetapi satu-satunya yang dihubungi June tinggal di atas kediamannya." June dipenjarakan sebulan tetapi hukuman ditunda selama setahun.

Dia juga diberi amaran akan dipenjarakan jika melakukan kesalahan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

10,000 kawal pilihan raya

Posted: 29 Jan 2014 09:31 AM PST

Bangkok: Seramai 10,000 anggota polis akan ditugaskan menjaga keamanan ketika pilihan raya Ahad ini berikutan penunjuk perasaan antikerajaan mengugut mengganggu proses itu dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra.

Perkara itu disahkan Menteri Buruh sementara Chalerm Yoobamrung semalam yang turut menggesa orang ramai keluar mengundi pada tarikh berkenaan.
"Pihak polis akan menjaga keselamatan.


"Sesiapa bercadang menutup pusat mengundi pada pagi itu patut membatalkan hasrat itu kerana mereka akan dihalang polis," katanya.

Foto

PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Thailand ketika berarak di sekitar Bangkok, semalam.

Sebelum ini, proses pengundian awal turut diganggu penunjuk perasaan, Ahad lalu.

Walaupun kemenangan nampak bakal memihak kepada Yingluck, jumlah calon yang mendaftar tidak mencukupi bagi memastikan korum diperlukan untuk persidangan Parlimen baru nanti.

Sehubungan itu, pilihan raya kecil perlu diadakan kelak untuk mengisi kekosongan berkenaan. Ini bermakna hanya kerajaan sementara yang kurang berkuasa di bawah pimpinan Yingluck boleh dibentuk.

Sementara itu, penunjuk perasaan terus berarak semalam, namun jumlahnya lebih kecil dengan hanya kira-kira 500 orang.

Ia juga tidak disertai pemimpin mereka Suthep Thaugsuban yang dipercayai mengambil langkah berhati-hati berikutan keganasan kelmarin yang melihat seorang penunjuk perasaan cedera ditembak.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Yingluck hadapi tuduhan rasuah

Posted: 29 Jan 2014 09:31 AM PST

Bangkok: Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) pencegah rasuah Thai kini mengumpul maklumat bagi memfailkan tuduhan rasmi terhadap Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra.

Jurucakap NACC Vicha Mahakun berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat NACC kelmarin berhubung dakwaan Yingluck cuai melaksanakan tugasnya dalam satu skim pembelian beras.

Menurutnya, Yingluck akan dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu minggu depan bagi membolehkannya menyiapkan pembelaan di depan panel NACC.

Pada 16 Januari lalu, NACC melancarkan siasatan rasmi terhadap 15 suspek berhubung skim pembelian beras antara kerajaan membabitkan dua syarikat China.

Suspek termasuk bekas Menteri Perdagangan Boonsong Teriyapirom dan bekas timbalannya Poom Sarapol.

Siasatan NACC menunjukkan perjanjian terbabit palsu dan tiada bukti Guangdong Stationery & Sporting Goods Import & Export Corp serta Hainan Grain & Oil Industrial Trading Co diberi kebenaran kerajaan China untuk membeli beras mengikut skim berkenaan.

Siasatan juga gagal menemui bukti beras yang 'dijual' itu dieksport ke China.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Tentera bunuh 37 gerila

Posted: 29 Jan 2014 09:30 AM PST

Manila: Sekurang-kurangnya 37 militan terbunuh dalam pertempuran dua hari membabitkan kumpulan yang menentang perjanjian damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah Islam utama.

Jurucakap tentera daerah Kolonel Dickson Hermoso berkata, identiti 12 orang yang maut sudah dikenal pasti dengan bantuan beberapa ketua kampung, manakala selebihnya ditemui dikebumikan berhampiran sebuah perkampungan di Maguindanao.

Menurutnya, seorang anggota tentera maut dan empat lain cedera akibat letupan beberapa bom yang disorok di kawasan masjid, kelmarin.

Bagaimanapun, jurucakap puak penentang Abu Misry menafikan dakwaan itu, malah menegaskan hanya tujuh pejuangnya cedera selain tiada maut dalam serangan pihak tentera.

Sementara itu, Presiden Benigno Aquino III berkata, pihak tentera bertindak untuk melindungi ratusan penduduk kampung yang lari menyelamatkan diri selepas Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) melancarkan serangan di wilayah Maguindanao.

- AFP Kumpulan terbabit menentang rundingan damai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Malaysia, hujung minggu lalu berikutan menganggapnya gagal mewujudkan kerajaan asing bagi golongan minoriti Islam di selatan Filipina.

Aquino berkata, kejayaan rundingan damai itu bererti kerajaan dan kumpulan penentang Moro mampu berganding bahu melawan penjenayah yang selama ini meraih keuntungan daripada konflik terbabit.

Foto

ABU Misri (tengah) ketika menjawab soalan wartawan di tempat persembunyiannya, semalam.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Jakarta 'tenggelam' lagi

Posted: 29 Jan 2014 09:28 AM PST

Jakarta: Bandar raya ini sekali lagi banjir akibat hujan lebat sepanjang malam, malah turut melanda kawasan yang sebelum ini tidak terkesan.

Air Sungai Ciliwung yang melimpah awal pagi Selasa mengakibatkan lalu lintas terhenti malah Detik.com turut melaporkan air naik setinggi 0.8 meter di depan pengkalan tentera laut.

Sementara itu, Polis Jakarta melaporkan banjir berlaku di utara ibu kota itu dengan air naik setinggi 0.5 meter di WTC Mangga Dua selain air naik tinggi di Ancol.

Laman web rasmi kerajaan tempatan Jakarta BeritaJakarta.com berkata, warga kota akan berdepan gangguan sistem pengangkutan dan jalan raya.

Foto

SEORANG lelaki meredah banjir di sebuah kuil Cina di Jakarta, dua hari menjelang Tahun Baru Cina.


Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BPBD) Bambang Surya berkata, laporan sementara menunjukkan puluhan jalan di Jakarta ditenggelami air.


"Tahap banjir di kawasan perumahan mungkin semakin meningkat.

"Mungkin lebih ramai penduduk perlu dipindahkan, namun kami masih mengumpul maklumat," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

Perang bukan caranya

Posted: 29 Jan 2014 09:26 AM PST

Washington: Presiden AS semalam membuat rayuan bersungguh-sungguh supaya semua pihak memberi peluang kepada saluran diplomasi bagi menyelesaikan kebuntuan isu program nuklear Iran yang berlanjutan sejak sedekad lalu.

Kenyataan itu dibuat diiringi ikrarnya untuk menggunakan veto terhadap sebarang usul sekatan baru ke atas negara berkenaan.

Berucap di majlis tahunan mengenai dasar luar, Barack Obama juga memberi amaran ancaman bahaya dari Iran "tetap wujud" dan AS perlu "sentiasa berjaga-jaga" ketika berdepan dengan ancaman perubahan global.

"Ketika kita meletakkan kepemimpinan teras al-Qaeda di ambang kekalahan, ancaman bertukar bentuk kerana sekutu gerakan itu serta pelampau lain bertapak di bahagian lain dunia.

Foto


"Namun saya sangat yakin kepemimpinan dan keselamatan kita tidak boleh bergantung kepada tentera semata-mata," katanya.


Menurut Obama, sebagai pemimpin tertinggi angkatan tentera dia sudah menggunakan apa yang perlu bagi melindungi rakyat AS dan tidak teragak-agak untuk melakukannya lagi selagi dia menjadi presiden.

Namun, katanya, dia tidak akan menghantar tentera untuk membahayakan mereka kecuali ia benar-benar diperlukan.

Iran dan enam kuasa besar dunia menandatangani perjanjian sementara pada November lalu bagi mengurangkan proses pengayaan uranium.

Sebagai balasan Teheran pula menikmati kelonggaran sekatan berbanding sebelum ini.

Obama berkata, kemajuan program nuklear Iran berjaya dihalang melalui diplomasi dan disokong oleh tekanan.

"Ia dicapai untuk kali pertama dalam tempoh sedekad," katanya.

Melalui perjanjian itu Iran mula menghapuskan simpanan uranium diperkata, bersetuju untuk menerima pemeriksaan harian dan tidak memasang pengempar baru.

"Melalui sekutu dan rakan AS, kita akan menyertai rundingan untuk melihat jika matlamat kita menghalang Iran memiliki senjata nuklear tercapai," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

AS dalang serangan ala pemberontak?

Posted: 29 Jan 2014 09:24 AM PST

Washington: Presiden Afghanistan Hamid Karzai mengesyaki AS mungkin mendalangi serangan ala pemberontak bagi melemahkan kerajaan tetapi mengakui tidak mempunyai bukti menyokong teori itu.

Memetik sumber kerajaan Afghanistan, akhbar Washington Post semalam melaporkan, Hamid menyenaraikan puluhan serangan yang disyaki didalangi AS.

Hamid turut mengesyaki rakyat AS terbabit dalam serangan terhadap sebuah restoran Lubnan yang sering dikunjungi warga asing di Kabul.

Kenyataan berkenaan dipetik Washington Post semalam melalui seorang pegawai Istana Presiden Afghanistan.

Namun, Kabul tidak memiliki bukti terhadap pembabitan AS dalam mana-mana serangan yang didakwa.

Hamid menduduki jawatan presiden selepas AS dan tentera asing menggulingkan kerajaan Taliban pada tahun 2001 kerana anggota militan terbabit menyokong al-Qaeda.

Pandangan Hamid berkenaan memberi bayangan mengapa dia enggan menandatangani perjanjian keselamatan dengan AS seperti diharapkan Washington.


Hamid juga mungkin mahu menonjolkan dirinya bukan boneka Rumah Putih atau sekadar memujuk Taliban supaya dapat berunding dengan kerajaannya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/30

No comments:

Post a Comment