Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Samba Brazil menyengat

Posted: 22 Jan 2014 10:00 AM PST

Kelana Jaya: Sentuhan dua pemain Brazil, Paulo Rangel dan Junior Aparecido membantu Selangor melangkah ke pusingan kedua Piala FA untuk menempah pertemuan menentang Sarawak pada awal bulan depan.

Skuad Merah Kuning kendalian Mehmet Durakovic menewaskan Harimau Muda C, 2-0 dengan Rangel meledak jaringan pada minit ke-52, disusuli Junior pada minit ke-72 dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya petang semalam.


Namun tumpuan sebenarnya adalah menentang juara bertahan Liga Super, LionsXII dengan Durakovic melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama yang menewaskan T-Team, Sabtu lalu termasuk merehatkan kapten pasukan Mohd Bunyamin Omar, Azmi Muslim, S Kunanlan, Abdul Shukor Jusoh, Mohd Farizal Marlias selain meletakkan Junior dan Mohd Fitri Shazwan Raduwan di bangku simpanan.

"Saya mungkin turut melakukan perubahan untuk aksi menentang LionsXII pada Sabtu ini dan perlu melihat proses pemulihan pemain terlebih dulu sebelum membuat keputusan. Saya mahu memberikan peluang kepada semua pemain beraksi dengan situasi jadual perlawanan yang rapat, ia sesuatu tidak dapat dielakkan.


"Aksi menentang LionsXII bukan sesuatu yang mudah terutamanya dengan persaingan yang wujud antara kedua-dua pasukan ini sejak dulu lagi. Mereka bagus terutamanya dengan perlawanan berlangsung di padang rumput tiruan (Stadium Jalan Besar)," katanya.


Pengendali dari Australia itu menurunkan Andik Vermansah buat kali pertama dengan pemain Indonesia itu dilihat masih belum mampu memberikan impak diharapkan namun kehadiran Junior yang masuk menggantikan Andik pada minit ke-59 mengubah corak permainan Selangor yang dilihat kurang tajam dan bertenaga pada babak pertama.

Foto

PEMAIN Selangor, A Thamil Arasu (kiri) melepasi pemain Harimau Muda C, Sanjef Dinesh.

Hasilnya Rangel memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Harimau Muda C, Ahmad Syihan Hazmi susulan sepakan percuma Abdul Hadi Yahya untuk menjaringkan gol ketiganya bersama Merah Kuning selepas dua perlawanan.


Junior kemudiannya melakukan gerakan solo dengan menggelecek beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan di luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.

"Mereka bermain dengan baik, ini skuad muda dan cergas. Mereka berlari sepanjang perlawanan, bagaimanapun sukar untuk bermain baik dengan keadaan padang, namun saya gembira menang ," kata Durakovic.


Sementara itu pengendali Harimau Muda C, Hassan Sazali Waras mengharapkan perlawanan yang lebih kompetitif mampu diperoleh anak buahnya bagi membolehkan mereka terus mempamerkan peningkatan.


"Persembahan mereka selaras dengan harapan saya walaupun tewas. Mereka masih memerlukan perlawanan kompetitif seperti ini kerana lawan mempunyai kualiti tinggi terutamanya pemain import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Pellegrini cabar julang empat gelaran

Posted: 22 Jan 2014 09:36 AM PST

London: Manuel Pellegrini melontarkan cabaran kepada barisan bintang Manchester City supaya memenangi empat trofi musim ini selepas mereka mara ke final Piala Liga dengan penuh bergaya.

Anak buah Pellegrini tidak mempamerkan sebarang belas kasihan apabila dua gol Alvaro Negredo dan jaringan Sergio Aguero membantu Citizens menundukkan West Ham 3-0 pada separuh akhir kedua Piala Liga di Upton Park, awal pagi semalam.


Persembahan bertenaga di timur London itu melengkapkan kemenangan agregat 9-0 yang menjadi jurang kemenangan paling besar dalam sejarah pertandingan itu.

City kini boleh mengimpikan pertembungan di Wembley menentang sama ada Manchester United atau Sunderland pada 2 Mac ini, yang memberikan Pellegrini peluang pertama meraih trofi sejak beliau hadir sebagai pengganti Roberto Mancini hujung musim lalu.


Piala Liga tetap menjadi pilihan keempat dalam senarai keutamaan Pellegrini dan pengendali dari Chile itu percaya kejayaan dalam Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA masih satu kemungkinan jika City mampu mengekalkan persembahan semasa.


"Saya amat bangga dengan pasukan ini. Kami layak ke final dengan memenangi lima perlawanan dan menjaringkan 19 gol dengan hanya satu gol dibolosi," kata Pellegrini.

"Selalunya final di Wembley perlawanan akhir yang amat penting dan saya amat berbangga pasukan kami masih bersaing dalam empat pertandingan.


"Kini kami akan menamatkan Piala Liga pada Mac. Amat penting untuk meneruskan cabaran dalam Piala FA jadi kami mesti menang ke atas Watford. Kami akan meneruskan mentaliti kemenangan dan bercita-cita besar. Kami memikirkan untuk memenangi setiap perlawanan." City kini tidak kalah dalam 18 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan dengan barisan serangan mereka bertindak cemerlang, kemungkinan menyapu bersih semua empat trofi bukan sesuatu yang mustahil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

United pancing Mata

Posted: 22 Jan 2014 09:32 AM PST

Manchester, England: Manchester United yakin dapat membeli Juan Mata dari Chelsea dengan harga £37 juta (RM203.8 juta) selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Rundingan membabitkan pemain tengah Sepanyol berusia 25 tahun itu semakin rancak dan Mata yakin dia akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum hujung minggu ini.


Sekalipun United berhati-hati dalam urusan perpindahan itu selepas mereka gagal mendapatkan pemain ternama musim panas lalu, pengurus United, David Moyes percaya perpindahan itu semakin hampir dimuktamadkan.

Mata berazam meninggalkan Chelsea selepas kecewa dengan kegagalannya memikat pengurus, Jose Mourinho musim ini.


Pemain tengah itu bimbang mengenai tempatnya dalam skuad Sepanyol pada Piala Dunia musim panas ini jika dia tidak beraksi secara kerap di peringkat kelab dan Moyes akan memberinya peluang ketika beliau membentuk pasukan masa depan.


United, yang ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga keempat dalam Liga Perdana, agak terdesak untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Foto

MATA (tengah) semakin kerap disisihkan Mourinho (kanan). Moyes idam bawa Mata bagi perkemaskan United.

Walaupun bayaran perpindahan itu jelas lebih tinggi daripada yang dibayar Chelsea £23.5 juta (RM129.5 juta) kepada Valencia pada 2011, Moyes tetap menaruh harapan untuk mengambil pemain ternama pada pintu perpindahan kali ini.


United difahamkan berhati-hati kerana Moyes dan ketua eksekutif, Ed Woodward gagal membeli pemain seperti Thiago Alcantara dan Cesc Fabregas pada musim panas lalu.

Pemain terbaik Chelsea bagi dua musim terakhir itu tidak beraksi dalam tiga perlawanan terakhir kelab itu. Selepas dia digantikan ketika menentang Southampton pada tahun baru, Mourinho mengakui beliau akan menimbangkan sebarang tawaran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Liebherr tekad beri komitmen

Posted: 22 Jan 2014 09:31 AM PST

London: Pemilik Southampton, Katharina Liebherr berjanji beliau 'amat komited' terhadap kejayaan masa depan kelab Liga Perdana itu berikutan pemergian bekas pengerusi eksekutif, Nicola Cortese minggu lalu.

Cortese menyertai Southampton pada 2009 selepas memainkan peranan utama membeli kelab pantai selatan itu daripada usahawan Switzerland, Markus Liebherr, bapa Katharina.


Beliau mengemudi kebangkitan Saints dari Liga Satu ke Liga Perdana namun pemecatannya dikaitkan dengan laporan tidak sehaluan dengan Katharina yang menjadi pemilik kelab itu selepas kematian bapanya pada 2010.

Laporan dalam media Britain menyatakan beliau tidak berkongsi minat mendiang bapanya buat Southampton, yang kini menghuni tangga kesembilan dalam Liga Perdana dan pemergian Cortese mungkin menyebabkan pengurus, Mauricio Pochettino turut mengundur diri.


Namun dalam satu kenyataan dalam laman web Southampton semalam, Katharina cuba meyakinkan penyokong dengan berkata: "Selepas mewarisi Southampton berikutan kematian bapa saya, saya amat berbangga untuk meneruskan tempoh gemilang dinikmati pasukan ini dan kakitangan selama ini, apa lagi mendapat sokongan kuat peminat.


"Saya amat komited untuk memastikan kelab ini terus mencipta kejayaan." Katharina menegaskan Pochettino tidak akan dipaksa menjual mana-mana pemain ketika pintu perpindahan pemain bulan ini.

"Saya sudah bertemu dengan Pochettino dan memberikan sokongan penuh kepadanya untuk meneruskan tugas dengan cemerlang." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Bisa tandukan Benzema

Posted: 22 Jan 2014 09:31 AM PST

Madrid: Real Madrid semakin hampir memastikan tempat ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol selepas menang 1-0 ke atas Espanyol di laman lawan pada suku akhir pertama, awal pagi semalam.

Karim Benzema menyumbat gol tunggal perlawanan apabila menanduk masuk hantaran silang Alvaro Arbeloa pada minit ke-25.


Espanyol berterima kasih kepada penjaga gol, Kiko Casilla kerana berjaya mengekang banyak percubaan lawan sekali gus menjadi bekal bagi perlawanan kedua di Santiago Bernabeu minggu depan.

Bagaimanapun, mereka seharusnya meraih keputusan seri, namun kecewa apabila penyerang Colombia, Jhon Cordoba merembat terus ke dakapan Iker Casillas lapan minit sebelum tamat.


Ia menyelamatkan rekod peribadi Casillas tidak melepaskan sebarang gol dalam 592 minit dia beraksi di pintu gol dan bos Real, Carlo Ancelotti memuji tahap profesionalisme kapten Sepanyol itu selepas digugurkan daripada tugasan La Liga dengan Diego Lopez mengambil tempatnya selama lebih setahun.


"Saya mengucapkan tahniah kepada Iker kerana dia bertindak cemerlang. Dia berhak memegang rekod itu kerana tahap profesionalisme dimilikinya," katanya.

"Dia beberapa kali menyelamatkan keadaan dan bermain dengan amat bagus setiap kali diturunkan. Kami berdepan banyak perlawanan ketika ini, jadi kedua-dua penjaga gol bermain sama banyak dan Iker penting begitu juga Diego Lopez." Ancelotti membariskan kesebelasan utama terkuat dan berbaloi apabila pasukannya bertindak cemerlang sekali gus meneruskan catatan tidak kalah dalam semua pertandingan kepada 18 perlawanan.


Pengendali dari Itali itu lega dapat mendahului menjelang perlawanan kedua sekalipun agak goyah pada hujung permainan.

"Ini perlawanan suku akhir piala jadi anda perlu menurunkan pasukan terbaik dan jelas kami masih mampu meneruskan saingan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Strategi Garcia berhasil

Posted: 22 Jan 2014 09:30 AM PST

Milan: Gol lewat permainan penyerang Ivory Coast, Gervinho membantu AS Roma layak ke separuh akhir Piala Itali selepas menang 1-0 ke atas pendahulu Serie A, Juventus, awal pagi semalam.

Roma yang kecundang pada final tahun lalu di tangan musuh setempat Lazio, akan mengetahui pencabar mereka pada separuh akhir selepas perlawanan suku akhir antara Napoli dan Lazio minggu depan.


Roma mengalami kekalahan 0-3 di tangan Juventus dalam aksi liga dua minggu lalu dan pasukan tuan rumah kendalian Rudi Garcia (gambar) menurunkan barisan terkuat di Stadium Olimpik yang dipenuhi penonton.

Rakan sejawatnya di Juventus, Antonio Conte mengambil pendekatan berbeza.


Beliau merehatkan penjaga gol Gianluigi Buffon, beberapa bintang tengah termasuk Paul Pogba, Kwadwo Asamoah dan Stephan Lichsteiner selain penyerang Carlos Tevez dan Fernando Llorente.


Akhirnya strategi Conte memakan diri manakala pendekatan Roma membuahkan hasil.

Kapten Francesco Totti berkata: "Kami memang terlalu inginkan kemenangan ini... malam ini kami mengatasi pasukan hebat Juve." Ditanya pasukan mana yang lebih suka ditemui Roma pada separuh akhir, Totti menjelaskan: "Itu masalah mereka, bukan masalah kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Ardiles makin pulih

Posted: 22 Jan 2014 09:30 AM PST

London: Ossie Ardiles, pemenang Piala Dunia bersama Argentina dan bekas pemain tengah Tottenham Hotspur semakin pulih di hospital berikutan kemalangan kereta di Kepulauan Falklands, menurut media Britain dan Argentina semalam.

Ardiles, 61, berada di Falklands menjalani penggambaran dokumentari televisyen mengenai kehidupannya dan bekas rakan sepasukan Argentina dan Spurs, Ricardo Villa.


"Saya sihat dan semakin pulih," Ardiles dipetik berkata dalam BBC. "Tumpuan dan bantuan yang kami peroleh dari polis, pasukan helikopter RAF, doktor dan jururawat bertaraf dunia. Terima kasih kepada semua kerana keprihatinan anda." Ardiles diterbangkan ke Hospital King Edward Memorial di Stanley, ibu negara Falklands, berikutan kemalangan malam Isnin lalu.

Beliau memandu kereta dengan beberapa penumpang termasuk Villa pada kelajuan sederhana apabila beliau hilang kawalan dan terbabas.


Villa, yang hanya terkejut, memberitahu saluran berita TV Argentina, TN Ardiles memerlukan kira-kira 28 jahitan di luka yang dialaminya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Giliran Victoria tersingkir

Posted: 22 Jan 2014 09:29 AM PST

Melbourne: Juara dua kali Victoria Azarenka mengikut jejak langkah Serena Williams dan Maria Sharapova tersingkir daripada Terbuka Australia semalam dalam satu lagi kejutan besar yang memastikan juara baru bagi kategori wanita.

Bintang Belarus itu terkandas pada suku akhir di tangan pemain Poland, Agnieszka Radwanska (gambar) yang menang 6-1, 5-7, 6-0 dan bermakna semua tiga pilihan utama gagal pada kejohanan utama pertama musim ini.


Pemain nombor satu dunia Serena kecundang pada pusingan ketiga manakala pilihan ketiga Maria menyusul pada pusingan berikutnya dalam kejohanan yang menyaksikan banyak kejutan dengan juara bertahan perseorangan lelaki Novak Djokovic disingkirkan lewat kelmarin.

"Anda boleh anggap sebagai peluang yang berlalu. Tiada apa yang boleh saya lakukan sekarang," kata Victoria yang menyedari dia melepaskan peluang terbaik muncul pemain wanita pertama meraih tiga kejuaraan berturut-turut sejak Martina Hingis antara 1997-99.


"Set pertama dan set ketiga, saya fikir terlalu banyak kesilapan dilakukan dan terlalu banyak kesilapan mudah pada saat genting. Namun saya akui dia beraksi hebat hari ini dan mengejar setiap bola." Agnieszka, 24, bertindak cemerlang apabila berusaha membalas setiap pukulan lawannya sekali gus membuatkan penonton di Arena Rod Laver terpukau dengan pukulan groundstroke kencangnya.


Kemenangannya itu menempah pertemuan menentang pilihan ke-20, Dominika Cibulkova yang membelasah pilihan ke-11 dari Romania, Simona Halep 6-3, 6-0 sekali gus layak ke separuh akhir keduanya dalam acara Grand Slam.

Ketika Li Na dari China, naib juara tahun lalu berdepan pemain sedang meningkat Kanada, Eugenie Bouchard pada satu lagi separuh akhir hari ini, kejohanan itu pasti mempunyai juara baru.


"Sering kali sukar menentangnya. Sudah banyak kali saya kalah jadi saya perlu bermain agresif sejak awal dan cuba membalas setiap pukulan. Itulah yang saya cuba lakukan dan ternyata ia berhasil," jelas Agnieszka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Federer jumpa Nadal di separuh akhir

Posted: 22 Jan 2014 09:29 AM PST

Melbourne: Roger Federer bangkit daripada kemerosotan pertengahan saingan menentang Andy Murray semalam untuk menempah pertemuan separuh akhir klasik Terbuka Australia dengan Rafael Nadal.

Selepas Nadal bergelut pada suku akhir menentang Grigor Dimitrov dari Bulgaria, Federer mempamerkan kehebatan lamanya sebelum mengetepikan Murray 6-3, 6-4, 6-7 (6/8), 6-3.


Bintang Switzerland itu terlalu unggul pada dua set pertama namun permainannya agak merudum apabila servisnya dirampas ketika mahu memastikan kemenangan sebelum mensia-siakan dua mata penamat pada tiebreak set ketiga.

Namun dia berjaya mengungguli Murray pada permulaan set keempat, kemudian meraih mata 'break' penting untuk mendahului 5-3 sebelum mencipta mata penamat ketiga dan menggunakan peluang itu dengan servis ace.


"Saya fikir Andy bertindak bagus, dia terus membalas bola dan menekan saya. Malangnya saya gagal menamatkannya pada set ketiga sama ada menerusi servis atau pukulan forehand. Jadi saya gembira menang dalam empat set," jelas Federer.


Federer yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia kali ke-11 berturut-turut, akan berdepan musuh utamanya dalam Grand Slam, Nadal yang memenangi lima pertarungan terakhir mereka pada kejuaraan utama.

"Saya amat bertuah," akui pemain Sepanyol itu, yang menang 3-6, 7-6 (7/3), 7-6 (9/7), 6-2 untuk menempah pertemuan dengan Federer pada penampilan separuh akhir Grand Slam ke-22 sepanjang kariernya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Force India lancar jentera baru 2014

Posted: 22 Jan 2014 09:29 AM PST

Paris: Force India muncul pasukan Formula Satu pertama melancarkan kereta baru mereka bagi musim 2014.

Pasukan yang dimiliki Vijay Mallya itu menyiarkan sekeping foto VJM07 dalam laman web rasmi mereka semalam.


Jentera baru itu yang akan dipandu pelumba Mexico, Sergio Perez dan Nico Hulkenberg, disaluti dengan warna tradisi India kuning cempaka, putih dan hijau dengan latar belakang hitam.

"Saya sering berasakan kereta kami paling cantik dan memukau tapi menambah hitam sebagai warna utama memberikan kami satu kelainan," kata Vijay.


"VJM07 kelihatan mengagumkan dan dengan satu warna baru membuktikan bagaimana Sahara Force India semakin berkembang," menurut bos syarikat pengeluar minuman bir Kingfisher itu.


Force India bersama pasukan pencabar mereka (kecuali Lotus), akan memulakan ujian di litar Jerez, Sepanyol minggu depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

No comments:

Post a Comment