Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jamah lauk semalam'

Posted: 05 Jan 2014 10:57 AM PST

Kuala Lumpur: "Kadang-kadang ayam masak kicap yang tidak habis semalam, disimpan dalam peti ais dan keesokannya digunakan untuk menjadi lauk dalam nasi goreng".

Itulah realiti yang perlu dihadapi barisan pemain sepak takraw negara yang menginap di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat berhubung menu makanan di kantin kompleks itu seperti yang didedahkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini.


Ahmad minggu lalu berkata, setiap atlet sewajarnya diberikan tempat tinggal dan makanan terbaik dan berkhasiat termasuk menyediakan pakar pemakanan di MSN Keramat seandainya mahukan prestasi terbaik dihasilkan selain mencadangkan peruntukan RM30 sehari kepada atlet untuk makanan disalurkan terus kepada pemain seandainya perkara itu berterusan.

"Kami di sini (Keramat) mempunyai pilihan menu yang terhad, tidak seperti di MSN Bukit Jalil, mungkin kerana jumlah atlet yang tidak ramai. Namun yang pasti menu disediakan kebanyakannya adalah sama seperti ayam goreng, ayam celup tepung dan ikan tongkol masak sambal.


"Tindakan menyimpan makanan yang tidak habis sebelum digunakan semula juga bukannya sekali dua berlaku, malah sudah banyak kali. Sebab itu kebanyakan kami memilih untuk makan di luar dan jarang menjamah makanan di kantin," kata kapten skuad wanita negara Nurrashidah Abd Rashid yang sudah lapan tahun mewakili negara.


Nurrashidah antara 30 pemain sepak takraw negara yang menginap di MSN Keramat selain skuad lelaki elit B.

Foto

NURRASHIDAH (kiri) terpaksa makan di luar.

"Pernah dulu pemain hanya dihidangkan dengan ikan sardin sebagai juadah berbuka puasa. Bukannya kami berdiam diri kerana pernah mengetengahkan masalah ini dengan mengambil gambar sebagai bukti untuk diberikan kepada pihak yang berwajib namun tiada sebarang perubahan yang berlaku. Lebih mengejutkan pihak kantin pernah mengatakan menu itu daripada MSN," kata pemain dari Kedah itu.


Malah dia turut menyambut baik seandainya peruntukan RM30 sehari disalurkan terus kepada pemain kerana mereka juga tidak mengetahui sama ada makanan yang disediakan adalah berkhasiat untuk atlet dan mampu membantu persembahan mereka.

"Mahu atau tidak kami perlu berjimat-cermat berbekalkan elaun RM500 sebulan yang diperuntukkan untuk membeli makanan luar bagi membolehkan kami mendapatkan makanan yang lebih baik," jelas pemain berusia 27 tahun yang meraih empat gangsa di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Bikin provokasi

Posted: 05 Jan 2014 10:45 AM PST

London: Pemain sayap Arsenal Theo Walcott mencetuskan kemarahan penyokong Tottenham Hotspur ketika diusung keluar pada perlawanan yang menyaksikan skuadnya menang 2-0 ke atas seteru kota London itu dalam aksi Piala FA, awal pagi semalam.

Arsenal kini melangkah ke pusingan keempat hasil jaringan Santi Cazorla dan Tomas Rosicky dan kekecewaan penyokong pelawat tidak dibantu dengan tindakan Walcott menggunakan jarinya untuk menunjukkan keputusan perlawanan ketika diusung kerana mengalami kecederaan lutut.


Tindakannya mampu mencemari persembahan cemerlang Gunners jika Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) memandang serius tindakannya walaupun pengurus Arsenal Arsene Wenger enggan memperbesarkan insiden itu.

"Doktor memaklumkan kepada saya dia dalam kebingungan dan mereka perlu menghalangnya sebelum dia melakukan isyarat, namun apa yang dia lakukannya tidak menyakitkan hati sesiapa," ujar Wenger.


"Saya tidak fikir FA akan mengambil sebarang tindakan. Saya sudah melihat gambar dan dia tidak begitu agresif, dia tersenyum. Saya harap dia tidak digantung atau terlepas sebarang perlawanan kerana kecederaan.


"Theo mempunyai masalah lutut. Kami tidak tahu sama ada kecederaan ligamen atau hanya ditendang, dua kali dia ditendang di lututnya," kata Wenger. "Sudah pasti jika kami kehilangan Theo untuk tempoh yang lama akan menimbulkan masalah." Kemenangan Arsenal mengatasi seteru Tottenham mencetus kekalahan sulung Tim Sherwood sejak dilantik sebagai pengurus bulan lalu bagi menggantikan Andre Villas-Boas dari Portugal yang dipecat.

Cazorla melakukan rembatan kencang pada minit ke-31 dan jaringan kedua disumbangkan Rosicky selepas perlawanan memasuki tempoh sejam hasil kesilapan pertahanan kiri Tottenham, Danny Rose apabila kehilangan bola kepada pemain Republik Czech itu bagi memastikan Arsenal layak ke pusingan 32 terakhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

City batal kunjungan ke Abu Dhabi

Posted: 05 Jan 2014 10:45 AM PST

Blackburn, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini mendedahkan kelabnya sudah membatalkan kunjungan ke Abu Dhabi selepas mereka terpaksa bertarung semula dalam perlawanan ulangan Piala FA menentang Blackburn Rovers.

Kelab yang dimiliki pelabur dari Abu Dhabi itu dijadual bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi aksi persahabatan menentang Al Ain pada 14 Januari ini dan tempoh latihan seminggu dalam cuaca panas namun sebaliknya berlaku apabila terpaksa membuat persediaan untuk perlawanan ulangan menghadapi Blackburn.


Jaringan Alvaro Negredo pada hujung babak pertama meletakkan City di depan pada perlawanan pusingan ketiga di Ewood Park kelmarin namun kapten tuan rumah Scott Dann memastikan keputusan seri 1-1 dengan jaringan penyamaan pada minit ke-55.

Pertahanan kanan City Dedryck Boyata kemudiannya dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua.


City kini pada kedudukan kedua Liga Perdana dan turut berada dalam saingan untuk merebut Piala Liga dan Liga Juara-Juara dan aksi ulangan adalah sesuatu yang mahu dielakkan Pellegrini, namun beliau percaya ia akan memberikan manfaat.


"Anda tidak tahu yang mana sebenarnya lebih baik," katanya.

"Kami sepatutnya bertandang ke Abu Dhabi dan mengadakan perlawanan persahabatan di sana, kini kami akan menentang Blackburn di laman sendiri. Yang mana lebih baik? Adalah mustahil untuk mengetahuinya."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

'Beri mereka peluang'

Posted: 05 Jan 2014 10:44 AM PST

London: Pengurus Chelsea kelahiran Portugal, Jose Mourinho menyatakan Liga Perdana Inggeris dibanjiri pengurus asing dan pengurus tempatan sepatutnya diberikan lebih banyak peluang.

"Ketika ini dalam Liga Perdana dan saya bercakap mengenai diri saya sendiri bahawa saya tidak setuju apabila terlalu ramai pengurus asing di negara ini," kata Mourinho kepada media British.


"Saya tidak nampak kelebihannya kerana saya tidak berasakan pengurus Inggeris ketinggalan dengan pengurus asing.

"Tapi saya fikir jika sudah tiada kerja sebagai pengurus atau pemain di negara ini maka mereka perlu berhijrah ke luar kerana ini kerjaya yang singkat dalam kehidupan. Jadi mereka perlu pergi ke luar dan menikmatinya. Anda akan mempunyai peluang untuk kembali menjadi pengurus dan sebagai pemain." Ketika ini ada sembilan pengurus asing dari luar Britain dan Ireland dalam liga utama selepas Cardiff City minggu lalu melantik pengurus dari Norway Ole Gunnar Solskjaer (gambar) menggantikan pengendali dari Scotland Malky Mackay. Tiada pengurus dari luar ketika Liga Perdana dilancarkan pada 1992.


West Brom juga dilaporkan berhasrat untuk melantik bekas pengurus Osasuna kelahiran Sepanyol, Jose Luis Mendilibar bagi menggantikan pengurus berbangsa Scotland yang dipecat Steve Clarke.


"Apa yang saya boleh katakan dengan pengurus yang akan datang, saya boleh menilai setiap seorang daripada mereka dan mereka adalah pengurus dan individu yang baik yang menjalankan tugas demi kelab masing-masing," kata Mourinho.

"Saya tidak menyatakan mereka bukan pengurus terbaik atau tidak berhak berada di sini seperti saya. Saya cuma sedih apabila negara bola sepak seperti England ini, ramai pengurus tempatan tidak mendapat kerja di tempat sendiri.


"Pengaruh dari luar bagus kerana anda boleh belajar budaya lain tapi saya fikir apa yang mustahak adalah budaya Inggeris sendiri atau dalam kes ini adalah budaya British," jelasnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Misi balas dendam Bolton tertunai

Posted: 05 Jan 2014 10:44 AM PST

London: Bolton Wanderers berjaya membalas dendam kekalahan kepada Blackpool pada final Piala FA 1953 dengan menumpaskan pencabar Liga Kejuaraan itu 2-1 pada pusingan ketiga, kelmarin.

Blackpool memenangi pertembungan pada 1953 dengan keputusan 4-3 dalam perlawanan digelar 'The Matthews Final' sebagai penghargaan kepada legenda England Stanley Matthews yang memenangi trofi itu dalam percubaan ketiga apabila mencipta gerakan untuk Bill Perry menjaringkan gol pada masa kecederaan.


Selepas itu Bolton tewas dua kali kepada Blackpool dalam Piala FA manakala mereka gagal merekod sebarang kemenangan menentang skuad Seasiders itu dalam enam perlawanan sejak Februari 1993.

Mereka pantas mengawal permainan dalam aksi di Stadium Reebok kelmarin dan penyerang Perancis David Ngog berjaya menjaringkan gol hebat dari jarak 25 ela untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan.


Blackpool yang dikendalikan Paul Ince berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi percubaan Tom Barkhuizen namun Ngog menyempurnakan hantaran Jermaine Beckford untuk gol kemenangan pada awal separuh masa kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Koke muncul wira Atletico

Posted: 05 Jan 2014 10:44 AM PST

Madrid: Pemain antarabangsa Sepanyol Koke meledak gol tunggal buat Atletico Madrid sekali gus menyaksikan kelabnya itu merampas kedudukan teratas saingan La Liga dengan kelebihan tiga mata selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Malaga awal pagi semalam.

Pada perlawanan yang tidak banyak menyaksikan peluang di depan gawang gol, Koke berada di kedudukan terbaik sebelum meledak gol keempat peribadinya sepanjang musim ini 20 minit sebelum tamat selepas Willy Caballero menafikan cubaan Adrian Lopez dari jarak dekat.


Real Madrid kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, tetapi mereka berpeluang mengurangkan perbezaan mata itu apabila bertemu Celta Vigo di tempat sendiri awal pagi esok.

"Kemenangan ini adalah hasil kerjasama sepasukan kerana perlawanan ini memang sukar.


"Malaga cuba membiarkan kami mengawal permainan tapi mereka mengambil kesempatan menerusi serangan balas dan mereka juga bertahan dengan baik.


"Kami gagal meraih banyak peluang tapi akhirnya berjaya melakar kemenangan," kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Atletico bagaimanapun menerima perkhabaran kurang gembira menjelang pertemuan dengan Barcelona selepas Juanfran dibuang padang 10 minit babak kedua kerana mengasari Vitorino Antunes dan bakal terlepas perlawanan dengan kelab Catalunya itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Lewandowski lengkap perpindahan ke Bayern

Posted: 05 Jan 2014 10:43 AM PST

Berlin: Penyerang Poland Robert Lewandowski akan meninggalkan Borussia Dortmund untuk bersama Bayern Munich pada musim panas ini menerusi kontrak selama lima tahun, demikian pengesahan Juara Liga Juara-Juara itu.

Pemain berusia 25 tahun itu bersama Dortmund sejak musim 2010-2011 tetapi kontraknya akan tamat Jun ini. Bayern mendedahkan pemain itu akan menyertai mereka pada 1 Julai.


"Kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bersama dengan Lewandowski mengikat kontrak selama lima tahun hingga 2019," kata pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge yang hadir ke majlis tandatangan itu bersama pengarah sukan Matthias Sammer selepas Lewandowski meneruskan rawatan pemulihan.

"Robert Lewandowski salah seorang penyerang terbaik di dunia. Kami berasa bangga kerana dapat melengkapkan perpindahannya.


"Dia pasti akan memperkuatkan pasukan Bayern dan memberikan suntikan baru kepada kami." Lewandowski sudah memaklumkan kepada pengurusan Dortmund pada musim panas lalu yang dia mahu meninggalkan kelab itu tetapi kelab enggan melepaskannya kerana sudah kehilangan pemain tengah Mario Goetze yang turut berhijrah ke Bayern.


Lewandowski bagaimanapun lebih berterus terang kira-kira dua minggu lalu apabila ditanya berhubung masa depannya selepas ini dengan menyatakan sedia untuk berpindah ke Bayern.

Sejak ketibaannya pada 2010, sensasi dari Poland itu membantu Dortmund memenangi kejuaraan liga pada musim 2011 dan 2012. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Mimpi jadi realiti: Honda

Posted: 05 Jan 2014 10:43 AM PST

Rome: Pemain antarabangsa Jepun Keisuke Honda menggambarkan perpindahannya ke AC Milan dari CSKA Moscow umpama impian jadi kenyataan dan berjanji untuk mencipta kejayaan 'cukup istimewa' di Itali.

"Milan adalah pasukan yang hebat, umpama mimpi jadi realiti," kata Honda kepada stesen televisyen Milan sebaik tiba di lapangan terbang menjelang majlis rasmi memperkenalkan dirinya, Rabu ini.


"Semua orang mengharapkan sesuatu daripada saya. Apapun, saya percaya mampu melakukan sesuatu yang cukup istimewa di sini." Pemain tengah berusia 27 tahun itu yang menjadi tonggak utama Jepun pada saingan Piala Dunia pertengahan tahun ini, menghabiskan masa selama tiga tahun sebelum untuk berhijrah ke Milan. yang akan menyaksikannya kekal hingga 2017.

Dia akan mengenakan jersi bernombor 10 bersama kelab gergasi Itali itu yang ketika ini hanya lebih lima mata daripada zon penyingkiran Serie A. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Kartallar SC menang bergaya

Posted: 05 Jan 2014 10:42 AM PST

Melaka: Skuad futsal Kartallar SC dari Sepang Selangor muncul juara Kejohanan Futsal Bawah 17 tahun Sports Planet Puncak Alam (SPPA) selepas mengatasi Arena FM Melaka 2-0 pada aksi final baru-baru ini.

Kemenangan bergaya pasukan itu membolehkan mereka meraih wang tunai, RM1,000 manakala Arena FM, RM700.


Kejohanan anjuran bersama Kick FC itu menyaksikan penyertaan 32 pasukan dengan skuad Semut Merah A dan B juga dari Selangor masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat saingan selepas kedua-dua pasukan itu tewas kepada Kartallar dan Arena FM pada separuh akhir.

Pemain Kartallar SC, Mohd Izzat Yahya berkata, kemenangan ke atas pasukan dari Melaka itu amat membanggakan berikutan pasukannya berjaya membalas dendam atas kekalahan kepada Arena FM di pusingan ketiga Kejohanan Futsal Bawah 18 tahun anjuran Bertam Ulu di Melaka sebelum ini.


"Pada saingan di Klebang itu kami tewas tipis 0-1 dan gagal melangkah ke separuh akhir untuk mengintai kejuaraan, namun kali ini kami berjaya menewaskan mereka di final.


"Apapun saya menganggap semua pasukan yang bertanding memiliki kekuatan seimbang dan hanya nasib serta rezeki memisahkan kemenangan mahupun kekalahan masing-masing," katanya.

Kejohanan itu juga antara usaha penganjur menyediakan bakat terbaik untuk mengharungi saingan Karnival Futsal Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

Tuah penalti remaja MPHTJ

Posted: 05 Jan 2014 10:42 AM PST

Melaka: Pasukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) muncul juara Kejohanan Bola sepak Bawah 12 Tahun Ulang Tahun ke-4 MPHTJ selepas mengatasi Nuri FC dari Selangor pada aksi final di Dataran Sejarah, Ayer Keroh baru-baru ini.

Keputusan terikat 0-0 pada sepenuh masa menyaksikan MPHTJ Junior menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti membolehkan juara meraih RM1,000 dan naib juara RM700 berserta hadiah iringan.


Sementara itu, pasukan Kiddo dari Melaka turut meraih tempat ketiga membawa pulang RM500 dan Ombak FC keempat (RM300) pada kejohanan yang disertai 23 pasukan itu.

Kedudukan kelima hingga kelapan pula milik NS Soccerkids, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), WSD FC (Melaka) dan Fireball Academy dari Selangor yang turut meraih hadiah saguhati.


Penyelaras program Johari Md Aris berkata, kejohanan itu turut disertai pasukan dari Singapura dan Indonesia bertujuan mencungkil bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


Menurutnya, apa yang membanggakan semua pasukan memiliki kemahiran tinggi selain berjaya membentuk permainan matang mengatasi usia sebenar pemain.

Beliau berkata, kemenangan bukan menjadi matlamat setiap pasukan menyertai kejohanan itu kerana apa yang lebih penting mendedahkan pemain kepada saingan kompetitif selain mengeratkan hubungan silaturahim.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/06

No comments:

Post a Comment